Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang

Tuesday, September 21, 2010

TAJUK 4: MY SIBLING


AKU PUNYA ADIK BERADIK


ROTAN- BAHAN BANTUAN MENGAJAR YANG PALING PENTING DALAM KELUARGAKU


INI ADALAH GAMBAR ROTAN dan yang bawah ni adalah bapak aku... antara bapak aku dengan rotan adalah bagaikan aur dengan tebing, bagai alu dengan lesung, bagaikan isi dengan kuku.



Selain dari membesarkan aku dengan disiplin yang amat tinggi, satu perkara yang melekat dalam sanubariku sehingga aku berusia setengah abad ini ialah cara beliau mengajar aku dan adik beradikku belajar mengaji Al Qur'an. Sebelum ini, aku telah menceritakan bagaimana aku dibesarkan secara 'rattanlogy' dan pelbagai kesah menyayat (sekarang melucukan) yang telah kami beradik lalui. Kali ini aku akan memfokus bagaimana beliau mendidik kami membaca alQur'an.

Kami tidak pernah dihantar mengaji ke rumah orang lain. Dari mengenal Alif Ba Ta hingga khatam Al Qur'an, semua bapak aku yang handle. Biasanya kami mula mengaji Muqaddam dalam usia 5-6 tahun. Lazimnya apabila masuk Darjah 1, kami dah masuk Qur'an.

Bapak tak berapa concern sangat sama ada kami dah sembahyang (solat) atau belum. Bab Solat dia jarang tanya. Tapi bab mengaji ni, dia memang tak ada tolak ansur langsung. Mengaji adalah rutin. Prinsip bapak aku, kalau pandai mengaji, tajwid betul, solat akan sempurna. Dia kata, semua orang boleh tunjuk dia solat lima waktu, tapi apa yang dibaca tak de siapa yang dengar kecuali Pak Imam. BETUL JUGAK KAN?

Tapi, yang kami tak tahan tu ialah tang 'keringanan tangan bapak aku'. tak kira ada benda yang dia pegang atau pun tidak, silap sikit je, tangan akan naik. Yang pasti 99% dari masa mengaji,  rotan akan sentiasa ada di tangannya. Biasanya yang selalu kena swing ialah bila baca panjang pendek tak betul. Mengaji dengan bapak aku ni, dia tak ajar hukum-hukum tajwid. Dia tak sebut apa itu Mad, apa itu Idgham, apa itu Izhar, Iqlab dan Ikhfa'. Ikut apa yang keluar dari mulut dia. Macam parrot. Yang kita tau cuma panjang, pendek, nun mati kena baca dengung, tanwin, mati dan sabdu. kami cuma tau hukum hakam tajwid ni setelah sekolah agama sahaja.  Kalau nak tau kami baca betul atau tidak ialah, kalau sekali sebut salah dia akan kata 'HAH!. Dua kali salah juga,...siuppppp! (rattan swing). Sambil swing tu la dia betulkan sebutan yang salah tadi.

Satu lagi, kami belajar mengaji guna bahasa Jawa. Tak ada datas, bawah atau depan. Kami guna 'jabar' untuk diatas, ' jer' untuk dibawah dan 'pes' untuk didepan. Mati, sama guna mati juga, sabdu kita panggi 'tejid', baris dua, kita guna tanwin. Jadi kalau baris dua bawah akan dibaca 'tanwin jer'. Bacaan huruf juga beza, bukan Alif, Ba, Ta, Tsa.....tapi dibaca Alip, Be, Te, Tse, Jim, Kha, Kho...... yang lain sama kecuali 'Rho' disebut 'Rhe'... kalau sekarang, bila dah belajar Tajwid, baru kami tahu rupanya itu adalah bacaan 'imalah'.


Kalau sekarang ni aku baca huruf Arab gaya Jawa, pasti anak-anak aku akan gelakkan aku.


Sepintas Lalu Tentang Adik Beradik Ku


Diulang sekali lagi (Rujuk Chapter 1), Keluargaku boleh dikatakan satu keluarga yang besar. Kami ada lapan adik beradik. Memang meriah. Masa raya lagi la meriah sebab semua akan berkumpul di rumah Bapak. Setiap tahun, angkanya sentiasa bertambah. Hingga sekarang (2010) emak/bapak aku ada 8 anak, satu anak angkat, 43 cucu dan 10 cicit.




Anak Pertama
.
Abangku yang sulung bernama Md Jahrom (Rom atau Long). Dia dilahirkan pada 7HB JUN 1951. Sekolah rendah di Seri Rejo Sari (SRS), sekolah menengah (aliran Inggeris) di Batu Pahat kemudian pindah ke SM Parit Saidi apabila dibuka pada pertengahan tahun 60an (kemudian dinamakan Sek Tunku Mahmood Iskandar- STMI). 

Masa bersekolah di Batu Pahat dia duduk di rumah sewa di Jalan Lim Poon. Aku tak berapa rapat dengan Long kerana semasa aku kecil, dia bersekolah di bandar dan tinggal di rumah sewa, kemudian bersekolah di Muar dan bekerja di luar daerah. Kami jarang sangat berjumpa.  .Apa yang aku ingat, masa aku dalam Darjah 4, dia dah Tingkatan 5 di STMI. Dia ramai kawan.  Selalunya  bila balik dari sekolah. kawan-kawan dia akan singgah lepak kat rumah aku.  Rumah aku jadi macam rumah persinggahan.  Kami adik beradik kenal dengan semua kawan-kawan dia.  Antaranya Saadon Samadi, Ramli Ismail, Zamani Hj Mansor, Mohamad Jurimi, Sadiman Bandi, Ismail Sulaiman, Sairi Saimon dan lain-lain. 

Selepas tamat SPM dia bersekolah dia ambil STP di SM Md Yassin Muar dan tinggal di rumah Wak Musbah (saudaraku sebelah nenek sebelah emak). Long kemudian berkerja sebagai kerani dengan Felda di Chemplak, Segamat. Long berkahwin dengan Sharifah Zainah bt Syed Lani, anak seorang staf Felda juga pada tahun 1975. Lepas itu, Long berpindah ke Felda Bukit Batu, Kulai. Kemudian dia bertukar kerja dengan Ladang Bousted di Semberong sebelum bertukar di Ladang Sindora, Kluang dan Ladang Tereh di Paloh. Long juga pernah ditugaskan untuk mengurus ladang di Palembang Indonesia untuk beberapa tahun. Setelah bersara dia tinggal menetap di Taman Lambak, Kluang.


Long dikurniakan 4 orang anak:
  • Nor Aziyati (Yati) (1976) - berkhawin (1) dengan Khairul Anuar (berpisah) dan dikurniakan seorang anak bernama Muhd Aliff.  Berkahwin (2) dengan Suhairi bin Samian dan dikurniakan seorang anak.
  • Khairul Fahmi (Pam) (1977) - berkahwin dengan Aina Salina binti Latif dan dikurniakan 3 orang anak.
  • Aini Nadhirah (Aini) (1979) 
  • Mohd Fairuz (Ayut) (1984). - berkahwin dengan Erma binti Mat dan mempunyai 3 orang anak.  Kini menetap di Kubang Kerian, Kelantan.

Long sudah mempunyai 4 orang cucu dari Yati, Pam dan Ayut. Yati kerja dengan bank, Pam dengan Jabatan Muzium Negara manakala Ayut adalah graduan Kejuruteraan Elektrik dari UTHM dan mempunyai perniagaan sendiri di Kota Bharu, Kelantan dan mungkin settledown di sana kerana bertemu jodoh di sana. 

Anak Kedua

Anak kedua dalam keluarga ialah Siti Rahimah (Im atau Ngah). Im dilahirkan pada 7HB JULAI 1954. Sekolah rendah di SRS dan menengah di STMI. Apa yang aku ingat (masa tu aku kecik laa) dia ni banyak peminat kat sekolah. Sama ada dari kalangan cikgu atau kawan-kawan lelaki. Masa balik sekolah, ada saja cikgu yang kirim salam kepadanya. Aku pun tak faham sangat masa tu.

Ada satu peristiwa yang aku masih ingat, satu hari bapak jumpa satu surat yang dikirimkan ke alamat rumah untuk Ngah. Bila dibuka, rupanya surat dari seorang lelaki yang menaruh hati dan ingin berkenalan dengannya. Apa lagi, bapak aku pun menyinga, hari tu kakak aku teruk kena belasah. Bapak aku nak bakar beg sekolahnya dan suruh kawin. Kami adik-adik pucat lesi tenguk kakak kena belasah.

Ngah dikategorikan sebagai murid yang bijak, masa sekolah rendah selalu dapat position yang baik dalam peperiksaan. Tapi prestasinya menurun semasa di sekolah menengah. Agaknya sebab ramai yang ganggu, dia tak dapat konsentrasi pelajaran. Masa dia di Tingkatan 5, dah ada yang booking. Tamat sahaja T5 (1972), sebelum dapat keputusan SPM, bapak aku kahwinkan Ngah dengan seorang Guru Ugama yang bernama Hamzah bin Hj Yusof. Orang sekampung juga. Dia ada Sijil Darjah Khas, jadi dah rezeki dia dapat jadi Guru Agama selepas dia melahirkan anak kedua (kalau tak silap).


majlis perkahwinan Siti Rahimah

Ngah dikurniakan anak yang ramai iaitu 9 orang. Tetapi anak ketiganya yang bernama Muhd Razaleigh meninggal dunia selepas dilahirkan. Anak-anak Ngah ialah;
  • Khasiatul Fauziah (Uji) (1972)- berkahwin dengan Khairul Saleh bin Salihin- dikurniakan 3 orang anak
  • Nizatulshima (Noni) (1973)- berkahwin dengan Mohd Azhan dan dikurniakan 5 orang anak.
  • Mohd Razaleigh (meninggal dunia semasa kecil)
  • Mohd Nasruddin (Rudi) - berkahwin dengan Sunarti binti Sukiman.
  • Mohd Rahmat (Mamat) - berkahwin (1) dengan xx (meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya pada tahun 2008). Berkahwin (2) dengan Nirzwana.
  • Mohd Fitri (Pit) -berkahwin dengan....dan mempunyai seorang anak.
  • Mohd Hamdan (Adan) berkahwin dengan Norhuda
  • Nur Faizi Fahariah (Faiz)
  • Nur Farizah Syahidah (Ezah). 

Bapa dan emak borek,anak-anak pun rintik.  Ngah cikgu agama, arwah Hamzah pun cikgu agama, setakat ini lima dari 8 anak Ngah mewarisi kerjaya ibu-bapanya. Uji bertugas sebagai guru berijazah di sekolah menengah, Noni dan Rudi sebagai guru agama, Mamat (graduan ijazah Statistik) juga guru sekolah. Faiz pun nampak gaya akan jadi guru ugama. Ezzah yang baru grad UNISEL 2011 pun kerja guru TASKA. Selepas berkahwin dengan Ngah, Hamzah telah berkahwin kali kedua dengan Norhafizah binti Rosdi, anak bekas Ketua kampong aku juga dan dikurniakan seorang anak lelaki. Hamzah meninggal dunia pada tahun 2006 setelah beberapa tahun mengalami penyakit obesiti, kencing manis dan darah tinggi.  

Wahai kekandaku Hamzah, walau apa pun yang terjadi, aku tetap menghurmatimu sebagai abang iparku. Aku mengenalimu sejak aku kecil lagi, dan selepas itu berpuluh tahun kita dalam satu keluarga yang bahagia. Semoga Allah mengampunkan dosamu dan ruhmu tenang di alam barzah.

Ngah bersara sebagai Guru Besar Sek Agama Seri Rejo Sari pada tahun 2012. Tetapi Ngah masih aktif mengajar Fardhu Ain untuk kaum ibu di surau/masjid.

Anak Ketiga

Anak ketiga adalah Khamim (Amim). Nama asalnya Nor Khamim tapi bila didaftarkan hanya Khamim sahaja. Amim dilahirkan pada 18HB APRIL 1957, iaitu tahun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Bersekolah yang sama dengan aku iaitu SRS dan STMI.

Di kalangan adik beradikku, Amim adalah yang paling berani dan tabah. Boleh kata sebagai KES BERANI MATI punya. Sejak kecil lagi dia adalah pelindung kepada adik-adik. Oleh kerana jarak dengan umurku hanya 2 tahun, maka kami dibesarkan bersama, bermain bersama dan bersekolah bersama. Sama ada semasa di sekolah atau bermain di luar waktu sekolah, kalau ada sesiapa yang mengusik aku, memang buruklah padahnya. Jangan nak kata usik, kalau orang tu gertak aku je pun dia akan belasah sampai terkangkang. Dia tak boleh dicabar, dan sanggup bergelut walaupun lawannya jauh lebih besar. Bila orang tau dia selalu menang bergelut, ramai geng samseng kampung bersebelahan suka cabar dia ajak gaduh, dan dia tak pernah menolak atau mengaku kalah- dia akan lawan dan  tetap menang. Aku tabik padanya. Dan aku pun pelik kerana selama kami membesar bersama, dia tak pernah belajar silat.  Malah kalau bapak aku dengar dia gaduh atau bergelut dengan anak orang, dia akan kena belasah teruk.


Amim juga memang berbakat pemimpin. Dia jadi Ketua Pengawas semasa di sekolah rendah dan menengah.

Selepas SPM, Amim belajar ke Politeknik Ungku Omar (PUO) dalam jurusan Electronic and Communication dan dapat biasiswa LLN. Selepas tamat PUO dia bekerja dengan LLN (sekarang TNB) sehingga sekarang. Aku sekali lagi tabik kepadanya kerana dia dari SPM aliran Sastera dan juga aliran Melayu telah berjaya menempuh cabaran bidang kejuruteraan (yang dipenuhi dengan sabjek Sains dan matematik) di PUO dengan jayanya.  Aku sendiri (yang perasan pandai) gagal Matematik semasa di UTM.


Aku berterima kasih kepadanya kerana sering membantuku semasa aku di UTM. Dia sangat pemurah. Kalau aku kekeringan poket (pokai), aku akan mengunjungi rumah sewanya di Jalan Cemperai, Bangsar untuk mendapatkan bantuan. Masa aku berkursus di Kinrara (setelah aku masuk TUDM), dia dududk di Taman Desa, Jalan Klang Lama. Bila weekend, aku akan pergi ke rumahnya, dia dan kawan-kawannya akan bawak aku jalan-jalan di KL. Masa tu, kami suka naik bas Seri Jaya sahaja. Kadang kami balik kampung bersama, masing-masing naik motor kapcai.  Dia suka Yamaha, aku suka Suzuki.


Sampai sekarang, dia adalah kalangan adik beradikku yang paling ringan tangan untuk membantu apa saja.  Mulutnya je bising sikit, suka sakat dan kutuk orang, tapi hatinya yang TERBAIK.

Amim berumahtangga dua tahun selepas aku. Dia berkahwin pada tahun 1985 dengan Badariah bt Hj Samin dari Kg Parit Tariman, Senggarang. Masa aku bertugas di TUDM Kuantan, dia juga ditukarkan ke sana dan sama-sama menyewa di Taman TAS, Kuantan. Amim dikurniakan 6 orang anak iaitu:
  • Muhd Yusuf Islam (akauntan di TNB - grad UNITEN).
  • Siti Mariam Jamilah
  • Nor Rashidah Aziziyah
  • Intan Rosharina Zaharah
  • Ali Imran Syarifuddin
  • Alif Syukry Albukhary.
Amim telah dua kali menunaikan Fardhu Haji.  Pertama kali semasa masih bujang (lebih kurang tahun 1986) kerana mengiringi kedua ibu bapaku yang menunaikan haji untuk kali kedua.  Kali kedua beliau ke Mekah ialah pada tahun 2008 bersama isterinya. Semoga Allah memberi kemudahan kepada kekandaku ini sebagai balasan 'kemudahan' yang dia berikan kepada orang lain.


Dia dan keluarga kini menetap di Bandar Baru UDA, Johor Bahru.

Anak Keempat

Pemilik BLOG ini.  Aku berkahwin dengan Adibah dan dikurniakan 6 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan:

  • Muhammad Hafeez Firdaus (lahir 27 Ogos 1984).  Berkahwin dengan Musfirah binti Kader pada 30 Okt 2011) dan dikurniakan seorang puteri bernama Wafa Firdaus (22 Ogos 2012- meninggal dunia 9 Jun 2013) dan seorang putera Sayf (Feb 2015).
  • Nur Fairiz Fazeera (lahir 23 Oktober 1985). Berkahwin dengan Mohd Farihan bin Md Ridzuan pada 24 Sep 2010 dan dikurniakan dua orang putera, Muhammad Aqeef Waqas (lahir 24 Oktober 2011), Muhammad Aariq Waqas (2014) dan seorang puteri Nur Aralyn Raysha (18 Jun 2015).
  • Aisyahnur Abid (lahir 8 Mac 1990).  Berkahwin dengan Muhd Noor Hafiz bin Kassim pada 8 Mei 2010 dan dikurniakan seorang puteri Auny Humayra (24 Nov 2012).
  • Atikah Nur Ezzaty (lahir 6 Jun 1991) berkahwin dengan Muhammad Asyafiq bin Harun pada 30 Ogos 2014 dan dikurniakan seorang putera, Putera Afi pada bulan Ogos 2015. 
  • Muhammad Heikal Fawwaz (lahir 26 Mei 1995).
  • Nurul Azyan Syafiqah (lahir 4 Mei 2000).

Anak Kelima

Selepas aku adalah Noradzim (Ajim), anak kelima. Ajim dilahirkan pada tahun 3HB JANUARI 1963. Di kalangan adik-adikku, Ajim juga dikategorikan sebagai berani, cuma dia bukan kaki bergelut macam Amim. Dia juga bersekolah yang sama dengan aku masa di SRS dan STMI. Dia lebih berani dengan aku. Masa di SRS, masa tu aku di Tahun 5 dia baru masuk Tahun 1, dia pernah berkelahi dengan kawannya sampai dahinya benjol. Kawan-kawanya bawalah datang jumpa aku, mengadu, tapi aku yang menangis (kesian tenguk dia)....hahaha. Tak guna punya abang.

Selepas SRP dia melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 4 Sains di Sek Tun Ismail (STI), Parit Raja. Lepas SPM, dia kemudiannya memasuki Maktab Perguruan Ilmu Khas (kalau tak silap aku la) seterusnya mengajar di Sek Men Pulau Lumut, Pelabuhan Klang lebih kurang tahun 1984 atau 85. Pulau Lumut adalah sebuah perkampungan nelayan Melayu. Untuk ke sana perlu menaiki bot selama 45 minit dari jeti Pelabuhan Klang. Tapi kini, Pulau ini telah dimajukan, ditukar nama menjadi Pulau Indah dan wujud sebuah pelabuhan moden (Pelabuhan Barat atau Westport).

Dalam tahun awalnya Ajim tak tahan mengajar di sana, merayu untuk minta tukar ke tanah besar namun tidak berjaya. Tapi akhirnya, dia mendapat hobi baru iaitu memancing di laut (pasal dah boring sangat la tu) dan selain ikan dia juga berjaya memancing anak gadis Pulau Indah bernama Zaharah bt Abd Rahman. Kekal dia bermastautin di sana sehingga sekarang. Ajim dikurniakan ramai anak, iaitu 7 orang iaitu:
  • Muhammad Fauzan (Pojan)- sekarang bertugas dengan APMM, 
  • Ain Nazihah (Ain) - ITM Manjung 
  • Wahidatul Saidah (Wahidah)- UITM Shah Alam
  • Muhammd Ilman (Ilman) (1995)
  • Muhammad Farhan (Pa'an)
  • Muhammad Ikhwan (Iwan)
  • Nurlyana Hazirah (Azira).
Ajim sekarang mengajar di sebuah sekolah rendah di Pandamaran, Klang.

Anak Keenam

Rakhiman (Man) adalah anak yang keenam, dilahirkan pada 13HB OKTOBER 1965. Aku tak banyak mengikuti perkembangan Man. Mungkin beza usia selama 6 tahun, dah lain generasi. Masa dia sekolah sekolah rendah aku dah sekolah menengah dan tinggal rumah Nyai, jarang dapat jumpa. Masa aku tinggalkan kampung pada tahun 1977, dia baru Tahun 6. Lepas tu aku pun jarang balik kampung, setahun sekali dua sahaja.

Lepas SPM (atau STP) dia buat berbagai kerja termasuk yang aku ingat di dalam kawasan (hutan) di pendalaman daerah Maran Pahang. Dia minat juga nak masuk tentera tapi tidak berjaya dalam temuduga pemilihan Pegawai Kedet.  Man sudah menunaikan Fardhu Haji pada tahun 1990 semasa dia masih bujang lagi.  Aku tak ingat tahun berapa dia berkahwin, tapi itulah hari pertama  dia dapat surat tawaran kerja dengan JPJ. Agak-agak dalam tahun 1994 macam tu la. Dia berkahwin dengan gadis pilihannya (bekas rakan sekolah di STI), Salmah binti Jais,  seorang jurutera di MPOB berasal dari Parit Raja. Mereka dikurniakan 4 orang anak, iaitu:

  • Fatimah Nur Asyikin
  • Amirul Zulhilmi
  • Muhammd Imran Zaki
  • Aliyah Nazihah.
Taqdir menentukan, perkahwinan Rakhiman  dengan Salmah tak kekal dan mereka berpisah dalam tahun 2004. Man kemudian berpindah ke JPJ Kemaman dan beli rumah di sana dan bertemu jodoh kedua di sana. Dia bernikah dengan Jamilah binti Abd Ghai, seorang peguam di Kemaman pada tahun 2007 dan telah dikurniakan seorang cahaya mata:
  • Iyrdena Zahirah (2008).  
Didoakan semoga jodohnya kali ini akan berkekalan hingga akhir hayat.


Anak Ketujuh

Khairiah (Yah) dilahirkan pada 13HB MEI 1968. Apa yang aku ingat, pada tahun itu nenek aku sebelah mak (Embah Suminah) menunaikan Fardhu Haji (masa itu naik kapal laut). Betapa susahnya orang nak pergi haji masa tu, dengan persediaan yang begitu rapi seperti kotak-kotak makanan sepanjang pelayaran pergi dan balik. Rasanya, 3 bulan baru balik dari Mekah.

Aku masih ingat, masa nak menamakan bayi, dia ada menyebut yang dia namakan Khairiah kerana mengambil nama Menteri Pelajaran pada masa itu, Allahyarham Encik Khir bin Johari yang baru merasmikan SRS. Khairiah dalam bahasa Arab yang bermaksud 'wanita yang baik'.

Macam juga Man, aku tidak dapat banyak maklumat tentang perkembangan Yah masa kecil kerana dia membesar ketika aku di perantauan. Setahun jumpa sekali dua sahaja. Selepas SPM Yah diterima menjadi Guru Agama di Pontian sebelum ditukarkan ke Batu Pahat. Yah juga telah menunaikan fardhu haji sebelum mendirikan rumahtangga bersama Ngah pada tahun (1989).


Dia berumahtangga pada tahun 1990 atau 1991 dengan seorang pemuda dari Kg Parit Haji Ali bernama Mohd Safingi bin Hj Sulaiman (Pie), graduan Banking dari UiTM. Yah dan Pi'e dikurniakan 5 orang anak:
  • Fatin Fadwana (1992) - graduan pengajian Pendidikan Khas di UPSI Tg Malim dan menerima Anugerah Pingat Emas DiRaja dalam KOnvo UPSI Nov 2015. TAHNIAH
  • Umar Abdul Aziz (1995).  
  • Raihan Nurhanani (1997). 
  • Khairin Jadwa (2000).
  • Khairunnisa (2005). 

Anak Kelapan

Aminin (Minin) dilahirkan pada 3HB FEBRUARI 1971, anak bongsu, mestilah paling manja. Untung sikit dia ni, masa dia kecik, bapak dah tua, jadi tahap kegarangan bapak dah menurun. Lagi satu, masa tu kebun getah dah tak ada, potong kelapa sawit pun semua dah upah kat orang. Jadi dia tak lah rasa sangat derita berperang dengan nyamuk dan agas di kebun.

Sama macam abang-abang dan kakak-kakaknya, bersekolah rendah di SRS dan menengah di STMI. Dia masuk Tingkatan 4 Sains di STI Parit Raja. Masa sekolah menengah pun bapak dah beli kan motorsikal. Rezeki anak bongsu la kan. Lepas SPM dia masuk Maktab Perguruan Melewar, Seremban. Tamat latihan di Maktab, Mini kena mengajar di SRJK China di Chukai. Dia pun sama dengan Ajim, mula-mula tahan duduk jauh, nak mintak tukar balik Johor, tapi tak dapat. Kalau Ajim ubatkan boring dengan memancing, Minin pulak buat tuisyen mengajar anak-anak China. Sukses pulak tu. Maka, perniagaan tuisyennya semakin berkembang.

Dia kemudiannya mengambil cuti belajar untuk mengambil ijazah di UPM selama 4 tahun. Selepas graduat, dia kena tukar ke Pengerang tapi tak pergi.

Entah macam mana, dia boleh terjerlus dalam bidang perniagaan aku pun tak pernah tanya.  Kalau tenguk raut wajahnya, memang tak ada tokoh ahli perniagaan. Mula-mula dia buka kedai handphone dan membaiki komputer, kemudian masuk perniagaan construction dan lepas tu macam-macam sampai kepada pembekalan alat ganti bot untuk PETRONAS. Balik dari UPM dia teruskan usahaniaganya.

Setelah 37 tahun membujang, dan menghabiskan sebahagian besar kerjaya di Kemaman, Terengganu, akhirnya dia bertemu jodoh di Kuala lumpur. Gadis pilihannya bernama Reiza Mardeanna binti Mohd Rosdi. Mereka berkahwin pada tahun 2008 dan setakat ini telah dikurniakan seorang putera, Adam Iskandar yang dilahir
kan pada 13 November 2010 (Adam dilahirkan semasa aku berada di Makkah menunaikan Fardhu Haji).



 



ALBUM LAMA


Ini lebih kurang tahun 1981 atau 1982- semua yang ada ni masih bujang trang tang tang- tenguk la si Minin tuu, lokooo je lagi. Kalau cakap sekarang ni bawak Lexus ke Merc, mesti korang tak caya


2 comments:

  1. Assalamualaikum..

    Saya rasa Aini Nadhirah tu adalah kawan sekelas saya masa sekolah rendah di Sek. Keb. Ladang Tereh.

    Dah lama jugak saya cuba cari dia tapi tak jumpa. Apa khabar dia sekarang? Sihat ke? Dah kahwin ke? Sebab dalam entry ni, tak menyatakan apa-apa pasal Aini.

    Kalau boleh, saya nak berhubung balik dengan Aini. Cuma untuk tanya khabar sebagai seorang kawan lama.

    Terima kasih..:)

    p/s: sebelum ni saya dah jumpa nama Aini Nadhirah kat blog ColToRas, tapi tak komen apa-apa sebab nampak blog tu macam dah tak aktif..

    ReplyDelete
  2. Waalaikum salam, memang betul Aini Nadhirah anak saudara saya, dia juga menyertai TUDM dan telah berhenti dalam tahun 2009. Sejak itu saya tidak pernaj menemuinya kerana setiap kali saya dtg ke rumahnya di Taman Lambak, dia tidak pernah ada di rumah. Maaf ya saya tidak dapat memberikan maklumat lanjut.

    ReplyDelete