Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang

Tuesday, September 21, 2010

TAJUK 5: SRK SERI REJO SARI

SRK SERI REJO SARI

 MELANGKAH KAKI  
 KE ALAM 
 PERSEKOLAHAN 

Sekolah Atap

Hari ini, kalau aku sebut 'sekolah atap', ramai anak-anak atau generasi Y yang tidak dapat membayangkan rupanya.  'Atap' (in English also known as attap) adalah sejenis bumbung yang diperbuat dari daun rumbia (atau sagu) atau daun nipah. Tulang atap biasanya dibuat dari batang pinang yang dipotong dan dibelah mengikut saiz yang sesuai. Semasa aku di zaman kanak-kanak, rumah kampong yang berbumbungkan atap rumbia adalah satu pemandangan biasa. Hanya di awal tahun 60an atau selepas merdeka, baru orang kampong mula menggunakan bumbung zink.  

Gamabr-gambar di bawah menunjukkan punca daun atap rumbia/nipah diperolehi dan cara-cara membuatnya.
.
  
pokok rumbia yang masih muda
  
pokok rumbia yang telah tua dan tinggi
  
pokok nipah (biasanya tumbuh subur di paya atau tebing atau kuala sungai)
kerja-kerja membuat atap (macam menenun)


kepingan atap yang sudah siap


kepingan atap yang sudah kering dan sedia untuk dipasang


Daun sagu/nipah digunakan kerana ia boleh tahan lama dengan pelbagai cuaca. Atap rumah boleh bertahan sehingga lebih lima tahun.

Hari ini atap rumbia/nipah tidak lagi digunakan untuk dijadikan bahan utama bumbung rumah tetapi sebagai bumbung pondok gazebo atau pondok tempat menjual buah-buahan di tepi jalan.

Ada juga restoran yang menggunakan sebahagian dari bumbungnya dari bahan atap rumbia sebagai mengekalkan lambing tradisi atau budaya lama sahaja.


 


Cerita atap ini hanyalah satu selingan sahaja. Bukan niat aku untuk bercerita tentang atap rumbia. Kesah asal adalah untuk menceritakan pengalamanku merasai suasana belajar di sekolah atap.

Aku tidak menghadiri pra-sekolah atau TADIKA. Zaman itu tiada TADIKA. Terus masuk Darjah Satu (bukan tahun Satu). Penggunaan Tahun Satu ini hanya terpakai di Universiti sahaja (kerana university waktu dulu tidak menggunakan sistem Semester)

Zaman persekolahanku bermula apabila aku berusia 7 tahun. Aku didaftarkan ke Darjah Satu (Dj 1) di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Rejo Sari (SRK SRS) pada bulan Januari 1966.  Nama Seri Rejo Sari adalah sempena lokasi sekolah tersebut yang terletak di Kampung Parit Rejo Sari. Jaraknya lebih kurang 2km dari kampungku. Tapi jarak 2km pada masa itu aku rasakan amat jauh sekali kerana terpaksa naik basikal atau berjalan kaki sahaja. Ia amat berbeza dengan keadaan sekarang apabila semua kampong telah dihubungkan dengan jalan raya dan kenderaan berjentera boleh sampai ke depan pintu setiap rumah. 

Kalau aku nak ke sekolah, aku ada banyak pilihan. Kalau merujuk kepada lakaran peta di bawah, jalan alternatif untuk ke sekolah adalah seperti berikut:

  1. Dari A (rumah aku) melalui point A2 terpaksa melalui jalan potong (kita panggil jalan terabasan) yang kecil di pinggir kebun getah arwah Wak Sanugi hingga bertemu Pt Maamor di point B (terpaksa menyeberangi titi papan dua keping (kita panggil papan gembung). Dari point B terus ke arah sekolah (point C).
  2. Dari rumah terus ke Pt Maamor (point A1) dan terus ke sekolah (C) melalui pont B.
  3. Dari rumah terus ke Pt Rejo Sari (point A3) dan terus ke sekolah.


Macam yang aku sebut tadi, jalannya tak la semudah waktu ini. Waktu musim panas jalan berhabuk terutamanya jalan dari point A3 ke point C. Manakala di musim hujan, jalan menjadi lecah/lecak/becak, berlopak dan berselut (berlumpur) terutamanya jika melalui jalan dari point A2 ke B dan dari point B ke C (sekolah). Begitu juga jalan dari point A3 ke C. Kami terpaksa turun dan menyorong (menolak basikal) melalui lopak-lopak.  Jika dipaksa juga mengayuh, ada kemungkinan akan jatuh atau tayar terbenam dalam lopak.

Lopak yang tanah gambut akan menjadi selut hitam pekat, manakala jalan tanah merah menjadi lopak berwarna merah, manakala kawasan yang bertanah liat akan menjadi lumpur yang melekat pada kasut dan tayar basikal. Kami terpaksa berhenti beberapa kali untuk mencungkil lumpur yang tersangkut di celah sayap roda basikal menggunakan kayu. 

Pakaian terutama kasut sekolah?, tak payah cakap la. Sekarang baru nak timbul rasa kesihan kepada emak yang terpaksa membasuh baju sekolah yang kotor bolor. Masa itu, belum ada lagi binatang yang bernama washing machine!.

.


  
  
  
keadaan kebanyakan jalan kampung dalam tahun 60an di waktu musim panas


keadaan jalan kampong hari ini yang serba baik dan selesa

Anda tak akan menemui kasut puteh yang berwarna putih. Cara terbaik memelihara kasut ialah dengan berkaki ayam atau berselipar dan kasut sekolah disangkutkan di handle basikal. Bila sampai sekolah baru dipakai. Stokin?. Adalah sesuatu yang asing kepada kami. Jarang sangat pakai stoking ke sekolah.

Pada masa itu, boleh dikatakan lebih 50% anak-anak sekolah adalah berkudis di kaki.


SIAPA KATA AKU SUKA KE SEKOLAH?

Siapa kata aku suka ke sekolah?. Pergi sekolah adalah bagaikan satu hukuman. Aku TERPAKSA bangun pagi-pagi, TERPAKSA mandi pagi, Mandi pagi adalah satu penyiksaan bagiku. Sejukkkk. Masa itu tiada bilik air atau paip air. Mandi di kolam (perigi). Pokoknya, aku memang tak suka mandi pagi. Bau badan, aku pun tak tau, kena tanya orang yang lalu sebelah aku waktu itu. Kadangkala aku tipu, pergi kolam cuma basuk muka sahaja.

Gosok gigi??? Adalah sesuatu kemewahan. Kta orang terpaksa kongsi berus gigi dengana dik beradik. Jadi, bagi mengelakkan malas berkongsi, aku pun malas gosok gigi. Dalam banyak hari, aku ke sekolah tanpa menggosok gigi. Bau?, Tak payahlah tanya, mana aku tau. Tapi aku pun tau, bau gigi tak bergosok memang busuk, hanyir dan entah apa lagi. Sebab aku bau mulut kawan-kawan aku yang tak gosok gigi macam itu. Korang jangan dok gelak pulak!!

Tapi masa itu, semua lebih kurang sahaja. Jadi tak ada siapa yang komen atau tegur tentang bau badan dan bau mulut.

Cikgu-cikgu sekolah pun dah almaklum sangat dengan kehidupan budak-budak kampong ni. Alah bias tegal biasa. Tak ada cikgu yang marah kalau anak muridnya tak mandi pagi atau tak gosok gigi. Memang gigi cepat rosak. Kena sakit gigi, biasa, bubuh minyak geliga. Masa tu senang je, bila gigi goyang, hari-hari goyang supaya cepat longgar, bila dah longgar, ikat dengan benang, sentap...tanggal. Akan umbuh gigi baru.

Balik kepada cerita masuk Darjah Satu.

Sejarah Sek Keb Seri Rejo Sari

SRK Seri Rejo Sari dibuka  dalam tahun 1938, iaitu sebelum Perang Dunia ke 2. Ia dibangunkan di atas sekeping Tanah yang diwakafkan oleh bekas Ketua Kampung Rejo Sari, almarhum Tuan Haji Alias bin Wongso yang juga menjadi Ketua Penaja penubuhan SKSRS.


Pada tahun 1947 berbagai usaha telah dijalankan bagi membangunkan semula bangunan ini dengan menggunakan bahan-bahan yang dicari dari hutan. Pada April 1948 bangunan ini telah di roboh akibat dipukul ribut. Hampir 100 orang murid pada masa itu terpaksa belajar di bawah serpihan bangunan yang runtuh.


Hasil Usaha dan kerjasama penduduk kampung, bangunan baru dapat didirikan pada bulan September 1949. Bangunan ini berukuran 50 x 20 kaki persegi yang berlantai papan dan beratap rumbia di bawah pembiayaan penduduk kampung sepenuhnya. Pada 09 Mac 1950, Pegawai Daerah Batu Pahat iaitu Dato’ Mohd Seth Bin Md.Said telah merasmikan bangunan sekolah tersebut. Sempena perasmian tersebut sekolah ini diberi nama Sekolah  Melayu Seri Rejo Sari yang dapat menampung 116 orang murid berserta 2 orang guru.


Pada tahun 1952 kerajaan telah memberi peruntukan kecil untuk bangunan tambahan berukuran 30 x 30 kaki persegi. Namun begitu pertambahan jumlah murid dari masa kesemasa, bantuan kecil terus diperolehi pada tahun 1953 hingga 1959. Akhirnya keluasan bangunan ini menjadi 240 x 20 kaki persegi dan dapat menampung seramai 400 orang murid serta 9 orang guru.


Pada tahun 1961, jumlah murid telah meningkat seramai 460 orang serta 14 orang guru dengan 13 aliran darjah. Memandangkan bangunan sekolah ini telah usang, Jemaah pengurus sekolah telah memohon bantuan kerajaan Malaysia. Akhirnya pada 28 November 1966 berdirilah sebuah bangunan lagi yang mengandungi 6 bilik darjah. Pada tahun 1968 sekolah ini mendapat bangunan tambahan yang mengandungi 2 buah bilik darjah.


Pada 5 Julai 1968, bangunan sekolah tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Encik Mohd.Khir bin Johari. Sekolah ini diberi nama Sekolah Kebangsaan Seri Rejo Sari.



Pada tahun 1981, pihak sekolah telah mendapat bantuan peruntukan khas pelajar Kerajaan Malaysia untuk membina  2 bangunan dua tingkat seperti yang terdapat sekarang.
.
Allahyarham Tan Sri Mohd Khir bin Johari
(Mantan Menteri Pelajaran 1957-1960 dan 1965-1969)



Bangunan baru 2 tingkat yang dibina dalam tahun 1981


SRK SRS menampung pelajar dari kalangan anak-anak kepada penduduk di beberapa buah kampung sekitar 3 km keliling. Antaranya adalah Parit Saidi Darat dan Tengah, Parit Punggur Darat dan Tengah, Parit Lapis Berong, Parit Mahang Darat dan Tengah, Parit Lapis Mahang Darat dan Tengah, Parit Maamur Darat dan Tengah, Parit Kadir Darat, Parit Rejo Sari, Parit Lapis Kadir Darat, Parit Simpang Enam dan Parit Seri Baharum Darat.

Sekolah-sekolah rendah lain yang berhampiran adalah SRK Parit Kadir, SRK Pt Kemang, SRK Perpat dan SRK Seri Timbul.



logosrsweb.gif (23530 bytes)
KESAH 
BOCAH GEMBENG

First Year In School

Darjah 1
.
Masa aku mendaftar masuk ke Darjah 1 di awal Januari tahun 1966, keadaan SKSRS masih begitu dhaif sekali. Darjah satu ditempatkan di bawah bangsal (annex kepada bangunan utama). Ia dibangunkan sementara menunggu banguan konkrit disiapkan. Bangsal beratapkan nipah, tiada dinding dan berlantaikan Tanah (gambut). Tiangnya diperbuat dari batang pinang. Meja dan kerusi panjang bertiangkan buluh besar dan papan tebal. Bila hujan lebat semua akan berkumpul di tengah kelas kerana tempias. Bangunan bangsal tersebut dilaksanakan oleh orang kampong secara gotong royong.

Mankala Darjah 2 hingga 5 ditempatkan di bangunan lama yang diperbuat dari kayu, berdindingkan papan separuh. Separuh lagi sebelah atas adalah dinding dawai sangkar (welded wire mesh or BRC) yang pada masa sekarang orang biasa gunakan untuk buat reban ayam, atau reban kucing. Lantainya simen yang sudah pecah di sana sini. Bangunan ini beratapkan zink.

Dalam tahun 1966 itu, Darjah 6 menumpang bangunan Sekolah Menengah di Parit Saidi kerana bangunan baru SRS masih dalam pembinaan.

Begitulah aku melalui tahun pertama persekolahanku. Merasai zaman sekolah atap macam zaman bapak aku bersekolah dulu sebelum zaman pendudukan Jepun.

Jadi, janganlah kita salahkan 100% kepada murid-murid sekolah (budak-budak Melayu-Bumiputera) ini yang tidak berjaya. Janganlah salahkan mereka kalau mereka (macam aku) yang tidak suka bersekolah. Kerana mereka sebenarnya tidak tau apa faedah jadi orang pandai. Contoh yang dapat mereka lihat ialah cikgu. Cikgu yang juga mengajar sekolah atap dan terpaksa meredah jalan yang becak dan semak untuk sampai ke sekolah. Dengan lecak dan semak itu, kalau masa yang digunakan sama dengan masa masuk ke kebun, banyak hasil yang boleh mereka dapat.
.
Beginilah keadaan 'sekolah atap' tetapi keadaan bilik darjah aku dalam tahun 1966 jauh lebih daif lagi, tiada dinding dan berlantaikan tanah. Bangunan seperti ini diduki oleh Darjah 1 hingga 5 sahaja, hanya bumbungnya adalah zink.
.
Dulu punya sekolah, dalam satu kelas ada 3 cikgu sahaja. Pertama guru kelas yang mengajar semua subjek kecuali Bahasa Inggeris dan Agama islam, kedua  guru subjek Bahasa Inggeris dan ketiga guru subjek Agama Islam.  Cikgu kelasku yang pertama dalam sejarah persekolahanku bernama Cikgu Jemaon bin Hj Nasir. Setakat yang aku maklum hari ini 1 Jan 2016, beliau masih hidup lagi. Guru Bahasa Inggeris bernama Cikgu Zainal Abidin bin Hassan (anak kepada Guru Besar SRS pada masa itu. Dia guru sementara, kemudian dia menjadi posmen di Pejabat Wakil Pos Parit Kadir. Manakala guru Agama Islam ialah Ustaz Aswoto bin Saion (almarhum).

Terdapat sebuah kelas lagi Darjah Satu di mana Guru Kelasnya ialah Cikgu Ghazali bin Hassan. Guru Agamanya Ustaz Shariff bin Omar.
.

Gambar Darjah Satu (Guru Kelas: Cikgu Jemaon Hj Nasir)
.
Kalau lihat gambar di atas, dari jumlah 40 murid, jumlah murid perempuan lebih dua kali ganda dari murid lelaki. Di antara mereka adalah anak-anak kelahiran Kg Pt Lapis Mahang. Mereka adalah Shahrom bin Ismail, Kamari bin Mudiar, kembar Junainah and Junaidah bt Yassin, Jamaliah bt Sardi, Rosesidah bt Roslan, Hamimah bt Ismail, Kamisah bt Kasmuni dan Siti Miskiah bt Sumadi. Keluarga Kamari kemudiannya berpindah rumah ke kampung sebelah (Pt Maamor).

Mesti anda ingin tahu bagaimana aku menjalani bulan pertama persekolahannku. Seperti yang aku sebut awal tadi, aku memang tak suka sekolah. Keduanya, aku memang penakut, manja dan mudah menangis (istilah Jawanya ialah 'gembeng') aku tak jumpa istilah dalam bahasa Melayu (ada orang sebut kememeh).

Kena ejek, ajuk, usik atau sakat sikit,  aku akan menangis. Jadi aku perlukan seseorang untuk melindungiku dari gangguan orang lain. Dalam minggu pertama persekolahan, kakak aku (Darjah 6) terpaksa menunggu aku di luar kelas. Bila dia tidak kelihatan, aku akan menangis. Tapi kakakku perlu masuk ke kelas kerana kelas Darjah 6 ditempatkan di Sek Men Parit Saidi yang jaraknya lebih 2.5km dari SRK SRS.  Kira-kira dua minggu baru aku benar-benar 'settled down' dan boleh berdikari. Begitulah teruknya sikap aku di awal persekolahanku.

Pencapaian tahun pertama persekolahanku tidak begitu cemerlang. Aku belum kenal apa itu persaingan. Walaupun bapak ada memberi galakkan supaya kuat belajar dan boleh jadi DO (Pegawai Daerah). Masa itu DO merupakan satu kedudukan yang terlalu tinggi untuk orang Melayu. Orang tak tahu untuk jadi DO mesti lulus ijazah dari Universiti. Tapi orang kampung sendiri tak tahu istilah Universiti itu sendiri. Bayangkan tahun 1966, cuma ada sebuah sahaja Universiti dalam negara kita, iaitu Universiti Malaya.

Tapi pencapaian akademik aku (walaupun aku ni penakut dan gembeng), tidak mengecewakan. Dari jumlah 40 pelajar sekelas aku, dalam peperiksaan setengah tahun aku berjaya menduduki tangga ke 14 dan dalam peperiksaan akhir tahun aku menduduki tempat ke 5. NOT BAD ISN'T IT?



'asam keping (haw flakes)' was one of my favourite food during my primary school
(if you did not finish you can keep it in the bag or pocket)

Darjah 2 (1967)

Prestasi yang tidak cemerlang sepanjang Darjah 1 menyebabkan aku diberikan perhatian lebih oleh arwah bapak.  Sebenarnya posisi yang aku perolehai semasa Darjah 1 itu sudah cukup bagus berbanding jumlah murid sekelas. Tapi arwah bapak masih tak puas hati. Dalam kamus bapak, yang dia tau anak dia mesti dapat nombor SATU hingga TIGA sahaja.

Perhatian lebih (close monitoring) di sini bermaksud, lebih banyak rotan yang aku terima. Setiap kali pulang dari sekolah, arwah bapak akan siap sedia menunggu di depan pintu. Tahan beg sekolah. Sementara aku pergi mandi dan makan tengahari, dia akan memeriksa buku-buku kerja sekolah aku. Kalau jumpa tanda pangkah (SALAH) atau koyakan dalam buku, maka lepas makan nanti berbiratlah peha aku kena rotan. Bapak memang pantang kalau anak-anak dia curi kertas (koyakkan di bahagian belakang). Dia tahun mana buku 20 muka surat dan 40 muka surat. Dia akan kira. Kalau tak cukup, maka aku akan kena 'inquiry' dan pastinya aku gagal dan akan menerima hukuman 'mandatory' sesah dengan rotan.

Masuk ke Darjah 2A, dengan keyakinan yang lebih tinggi. Guru Darjah adalah Cikgu Rahmat bin Kasidin. Orang Parit Kemang. Cikgu Rahmat bertubuh gempal dan pada masa itu kami anggap sebagai agak garang (pandangan murid kerdil).  Pembaris satu ela merupakan senjata utamanya. Akan digunakan untuk mendebik belakang murid yang gagal menjawab soalan. Itu gaya dan cara guru zaman itu. Bukan satu kesalahan, asalkan tidak luka atau berdarah. Tidak pernah ada murid yang mengadu kepada ibu bapa akibat dirotan oleh cikgu. Tidak pernah ada ibu bapa yang membuat laporan polis kerana anak dibelasah cikgu.

Satu perkara yang aku ingat tentang Cikgu Rahmat ialah keprihatinannya menghargai tokoh sejarah silam. Semua anak-anaknya diberi nama dengan prefix 'Tun". Anak sulungnya bernama Tun Perak. Anaknya yang lain yang aku ingat bernama Tun Kelana danTun Fatimah.

Guru Bahasa Inggeris ialah Cikgu Ghazali bin Hassan manaka guru Agama Islam ialah Cikgu Shariff bin Omar.

Pencapaian akademikku semasa di Darjah Dua meningkat dengan mendadak. Ada 3 penggal peperiksaan, Dalam Penggal I aku dapat kedudukan No. 2, seterusnya dalam peperiksaan Penggal II dan Penggal III aku mengekalkan kedudukan terasas dalam peperiksaan. Pasti arwah bapak amat gembira dengan pencapaian cemerlangku. Antara rival utama dalam kelas yang bersaing untuk 5 tempat di atas ialah Normadiah bt Kamari, Rosesidah Roslan, Salamah Kosnin, Hamidah dan Markinah bt Danuri.

Mulai tahun tersebut, aku mula dimasukkan dalam kumpulan murid yang kompetitif atau kumpulan pesaing utama dalam kelas.




 
Keadaan bangunan baru SRK SRS yang disiapkan dalam tahun 1966


Darjah 3 (1968)

Tahun ketiga persekolahanku di SRK SRS tidak membanggakan. Prestasiku agak menurun. Mungkin rival sekelas seperti Rosesidah Roslan, Salamah Kosnin dan Normadiah Kamari bekerja lebih kuat untuk mengatasiku.

Guru Kelas dan juga guru agama ialah Cikgu Aswoto bin Saiaon (allahyarham) manakala Cikgu Ghazali bin Hassan meneruskan tugas guru Bahasa Inggeris.

Prestasi aku dalam Darjah 3 menjunam. Dalam peperiksaan Penggal 1, aku mendapat kedudukan No. 8 dalam kelas. Aku bukan sahaja malu tetapi juga menjadi mangsa kemarahan arwah bapak. Samapai bapak kata "jangan bagi makan budak ni". Betapa kecewanya arwah bapak dengan keputusan peperiksaanku. Sukar untuk menjelaskan kenapa aku begitu teruk, yang aku ingat, aku begitu sukar untuk memahami soalan. Contoh, dalam satu soalan ada 3 soalan tambahan yang perlu dijawab, aku hanya jawab satu. Pada hal, aku boleh jawab semuanya. Cuma gagal memahami kehendak soalan.

Salah satu punca prestasi aku menurun ialah pada tahun itu arwah Mbah Suminah pergi menunaikan ibadah Haji di Mekah. Maklumlah kami adik beradik amat merindui nenek kami yang selama ini tinggal bersama. Masa itu, tempoh menunaikan Fardhu Haji adalah lebih 3 bulan dengan menaiki kapal laut.

Bagaimanapun dalam peperiksaan Penggal II aku memperbaiki kedudukan ke No. 4 dan seterusnya pencapaian terbaik ke kedudukan No 3 dalam peperiksaan Penggal III. Aku benar-benar tidak berpuashati dengan pencapaianku sendiri

Bagaimanapun, rupanya Darjah 3 merupakan mimpi buruk yang terakhir buatku. Aku semakin matang dan menyerlahkan keupayaan sebenar, terutamanya dalam subjek Matematik dan bahasa Inggeris. Bermula Darjah 4, aku terus memecut tanpa menoleh ke belakang lagi mengekalkan kegemilangan diri dan nama baik (imej) arwah bapak.


Darjah 4 (1969) 

Guru Darjah 4 ialah Cikgu Ahmad Hj Salleh. Dia tinggal di Bandar Batu Pahat dan setiap hari dating ke sekolah dengan emnaiki motorsikal besar jenis Triumph (masa itu kami sebut motorsikal Terompah). Membonceng di belakangnya ialah arwah Cikgu Khamis bin Sujak. Kalau musim hujan, Cikgu Ahmad akan menumpangkan motorsikalnya di kedai atau rumah orang di tepi jalan Parit Botak dan berjalan kaki ke sekolah. Sebab kalau kami murid menolak basikal, tak kan dia nak menolak motorsikal tu??.

Tahun 1969 adalah tahun berlakunya Tragedi 13 Mei di KL. Tapi pada usia 10 tahun, aku belum tahu apa-apa. TV pun tak ada di kampong masa tu. Radio cuma dengar waktu malam sahaja. Itu pun masa malam dihabiskan dengan mengaji alQur'an, mengulangkaji pelajaran sekolah. Di Johor (khususnya di kampungku) macam tak ada apa-apa). Cuma aku dengar juga tentang arahan perintah berkurung yang dikenakan di KL kemudian melarat ke Negeri Sembilan dan Melaka. Johor terlepas dari bahang rusuhan.  

Dalam tahun 1969 itu juga SRK SRS menerima seorang guru dari Amerika Syarikat di bawah Peace Corps Programme . Namanya Mr Tom. Nama penuhnya Thomas Joseph Huwiler yang berasal dari Milwaukee, Wauwatosa, USA. Mr Tom mengajar aku Bahasa Inggeris dan Sains. Mr Tom telah memperkenalkan kaedah baru sistem pembelajaran di sekolah kami. Maka pada tahun itu SRS membina sebuah makmal Sains dan mempunyai peralatan audio-visual. Namun kondisi makmal sains itu bukan lah sebuah makmal. Sukar untuk digambarkan.

After more than 40 years (1969-2010) I still remember one 'formula' taught by Mr Tom how to memorize the colour sequence of the rainbow. "Mat Jambul Ke Hutan Bawa Nasi Ulam'..... "Merah, Jingga, Kuning, Hijau, Biru, Nila, Ungu". Thank You Mr Tom.


Mr Tom berpindah ke Sek Keb Rengit pada tahun 1970. Selepas pulang ke USA dua tahun kemudian, Mr Tom ada pernah datang lagi ke Malaysia pada penghujung tahun 1970an dan singgah ke rumahku dan itulah pertemuan terakhir kami.





Pada tahun 1969 juga berlakunya SEJARAH manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan. Kapal angkasa USA yang bernama Apollo II yang membawa tiga angkasawan . Apollo 11 membawa Michael Collins, Neil Amstrong dan Edwin Aldrin. ) Collins memandu kapal dan Amstrong mencecahkan kaki ke bulan diikuti oleh Aldrin pada Jam 20:17:40 UTC, 20 Julai 1969.

Siaran langsung peristiwa itu kami tonton melalui TV hitam putih di dalam kelas. Mr Tom amat gembira dengan pencapaian agung bangsanya dan kami semua turut bertepuk tangan tanpa memahami keagungan teknologi itu.

Dalam Darjah 4 aku mengekalkan pencapaian terbaik dengan mengekalkan posisi No. 1 dalam kelas untuk ketiga-tiga Penggal peperiksaan.

Darjah 5 (1970)

Masuk Darjah 5 sudah dikategorikan sebagai kumpulan senior di sekolah. Maklumlah, tahun depan bakal menjadi murid yang paling senior. Darjah 5 juga penting kerana pada tahun ini pelajar bakal menduduki peperiksaan paling berprestij di sekolah rendah, iaitu Peperiksaan Penilaian Darjah 5. Peperiksaan ini bakal menentukan sama ada pelajar layak atau tidak untuk melanjutkan ke Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Berasrama Penuh (SMBP). 

Guru Kelas Darjah  5 ialah Cikgu Mahyun Hj Yusuf (almarhum). Guru subjek Agama ialah Cikgu Shariff bin Omar manakala guru Bahasa inggeris ialah Cikgu Mohd Amin bin Ismail. 

Sepanjang Darjah 5, aku mengekalkan kecemerlangan yang dibawa dari Darjah 4. Aku juga mengekalkan kedudukan Pertama Dalam kelas untuk ketiga-tiga penggal peperiksaan.

Peperiksaan Penilaian Darjah 5 dilaksanakan pada bulan Ogos atau September 1970. Apabila keputusan diumumkan, aku diisytiharkan sebagai Pelajar Terbaik dengan mendapat 3A1B1C (A untuk Bahasa Malaysia 1, Bahasa Malaysia 2 dan Sejarah; B untuk Ilmu Sains; dan C untuk B. Inggeris). Pada zaman itu, sekolah kampung memang sukar sekali untuk mencapai prestasi yang baik. Syarat untuk ke SMBP mesti dapat 5A atau paling rendah 4A1B. Manakala pencapaian 3A2B akan terpilih ke sekolah menengah terpilih di dalam daerah. Untuk daerah Batu Pahat, akan ditawarkan ke Sekolah Tinggi Batu Bahat dan mendapat kemudahan asrama.

Oleh kerana ada 1C dalam keputusanku, maka aku tidak berjaya terpilih ke mana-mana sekolah. Pelajar SRKSRS yang pertama mendapat 5A ialah Baharom bin Musri (dari Kg Parit Seri Baharom). Beliau terpilih untuk ke Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Ipoh.


.
 gambar murid Darjah 5 (tahun 1970) sempena perpisahan Cikgu Tom (Thomas Joseph Huwiler)

Kelas Darjah 5 (1970)
 .

Darjah 6 (1971) 

Tahun akhirku di SRK SRS ialah dalam Darjah 6. Pada mulanya aku dimasukkan dalam Darjah 6 Merah, dimana Guru Kelasku ialah Cikgu Khamis bin Sujak (almarhum). Almarhum Cikgu Khamis ini secara fizikal adalah pengidap obesiti. Apabila kepenatan, beliau kerrap terlelap dalam kelas. Beliau juga mengakui bahawa beliau ada masalah komplikasi jiwa. Aku bukan bercerita atau mengumpat, tapi almarhum sendiri yang mengaku dalam kelas bahawa beliau ada penyakit jiwa. Tapi bukan lah sakit jiwa ke tahap gila. Bila kelas sedang serius membuat latihan atau ujian, beliau tersenyum sorang di hadapan. Bila kelas sedang ketawa kerana beliau ada buat kelakar, tetiba beliau marah. 

Beiau menyedari bahawa diriku adalah pelajar berbakat dan berpotensi (aku bukannya syok sendiri). Ini adalah sejarah dan berdasarkan fakta pencapaian akademik ku sejak Darjah 1. Beliau sayangkan masa depanku akan terjejas jika aku kekal dalam kelasnya. Beliau mengaku bahwa beliau tidak mampu memberikan perhatian supaya aku dapat mengekalkan kecemerlangan. Jadi, dengan inisiatifnya, beliau bepakat dengan Guru Kelas 6 Biri, Cukgu Redzo bin Hj Sidek, supaya aku ditukarkan ke Kelas 6 Biru.

Almarhum Cikgu Khamis sebenarnya ada pertalian darah dengan keluargaku. Aku pun dah lupa salasilah yang bertaut antara dua keluarga ini. Kalau emak memang dia boleh bercerita hal ini. Pernah beberapa bulan almarhum t.inggal menumpang di rumahku kerana mengelakkan keletihan berulang alik ke Bandar Batu Pahat setiap hari. 

Berbalik kepada cerita Darjah 6, Cikgu Redzo bin Hj Sidek memang terkenal dengan garangnya di SRK SRS itu. Dia memang ringan tangan nak menampar murid yang nakal atau tidak dapat menjawab soalan. Selain tampar dan pukul dengan kayu pembaris satu ela, ada satu jenis hukuman Cikgu Redzo yang lain dari yang lain.  Kuiz adalah aktiviti biasa dalam kelas. Tiap-tiap hari sebelum mulakan tajuk baru, beliau akan membuat kuiz secara lisan. Sapa yang kena tunjuk dia kena jawab. Siapa gagal akan berdiri hingga lah sampai giliran murid yang dapat menjawab dengan betul. Murid yang gagal menjawab dikenakan hukuman mendukung murid yang Berjaya menjawab mengelilingi bilik darjah. Bayangkan kalau murid yang ke 10 baru dapat jawab!...dia akan berpeluang didukung oleh 9 murid yang gagal menjawab sebelumnya. Tak mengira sama ada murid lelaki atau perempuan. Tapi masa tu...masih BODOH....dapat dokong pun tak rasa apa-apa. Kalau zaman sekarang, sudah pasti ada laporan polis atau Pejabat Pendidikan.



inilah cara dukungan yang aku maksudkan (gambar dari internet)



Guru Agama masih kekal Cikgu Sharif manakala BI diajar oleh guru baru yang bernama Mr Yee Kong Heng. Mr Yee adalah guru bangsa Tionghua yang pertama mengajar di SRKSRS.

Semasa aku dalam Darjah 6, aku sudah pandai menaip dengan laju. Ini kerana di rumah aku ada mesin taip. Semua abang dan kakakku dihantar ke sekolah menaip oleh bapak supaya menambah kemahiran dan lebih mudah mendapat kerja, khususnya kerja pejabat. Tapi aku tak berminat mengikut kursus tersebut. Dengan dua jari sahaja aku sudah mampu menaip dengan laju (hingga sekarang). Jadi aku diberi tugas untuk menaip kertas contoh soalan BI dari buku My Yee untuk di cetak semula (mesin pendua atau selalu kita panggil mesin saikostail). Dapatlah upah sikit.

Semasa dalam Darjah 6, aku juga mengekalkan kedudukan teratas dalam kelas untuk ketiga-tiga penggal. Sayangnya aku atau report card sekolah rendah aku dah hilang  (musnah) semasa rumah bapak kena puting beliung dalampada awal tahun 1990an. Kalau tidak mesti aku ada bukti untuk menunjukkan rekod kejayaanku semasa zaman sekolah rendah.

Antara kawan-kawan seangkatan di SRK SRS antara tahun 1966-1971 yang aku masih ingat namanya: 
  1. Abd Wahid bin Abd Aziz - Pt Mahang
  2. Abu Hasan bin Abd Hamid - Pt Seri Baharom (meninggal dunia)
  3. Abd Shukor bin Karto - Pt Kadir
  4. Ayob bin Misman - Pt Lapis Berong
  5. Azizah bt Osman - Pt Punggur
  6. Faridah bt Hatim @ Norulhadi - Pt Mahang
  7. Faridah bt Munafaat - Pt Kadir
  8. Hamidah bt Kasmin - Pt Saidi
  9. Hamidah - Pt Punggur
  10. Hamimah bt Ismail -  Pt Lapis Mahang
  11. Jamaliah bt Sardi   Pt Lapis Mahang
  12. Jamari - Pt Perpat
  13. Johari bin Ekak - Pt Saidi
  14. Junainah bt Yassin   Pt Lapis Mahang
  15. Junaidah bt Yassin   Pt Lapis Mahang
  16. Kamisah bt Kasmuni   Pt Lapis Mahang
  17. Kamari bin Mudiar - Pt Kadir
  18. Kalthom bt Misri - Pt Kadir
  19. Khairi - Pt Lapis Berong
  20. Kasmiati bt Sandimo - Pt Punggur
  21. Mohd Khir bin Sarikin - Pt Mahang
  22. Mahadi bin Panut - Pt Saidi
  23. Masrom b Kusni - Pt Punggur
  24. Masrom bin Kormin - Pt Spg Enam
  25. Markinah bt Danuri - Pt Punggur
  26. Miswan bin Mohamad - Pt Saidi
  27. Misnah bt Taibon - Pt Saidi (meninggal dunia)
  28. Norjaie bin Amin - Pt Kadir
  29. Normah bt Kormin - Pt Punggur
  30. Noraini bt Nasib - Pt Makmur
  31. Latipah bt Sarjan - Pt Makmor
  32. Normadiah bt Kamari - Pt Punggur
  33. Razali bin Basir - Pt Rejo Sari (meninggal dunia)
  34. Ruminah Hj Alias - Pt Maamor
  35. Rokiah bt Saleh - Pt Punggur
  36. Saini bin Idris - Pt Punggur
  37. Saimi bin Idris - Pt Punggur
  38. Samin bin Sumadi - Pt Mahang
  39. Shahrom bin Ismail - Pt Lapis Mahang
  40. Tukimon bin Mari - Pt Kadir
  41. Salamah Kosnin - Pt Lapis Punggur
  42. Saadiah bt Bunayan   Pt Lapis Mahang
  43. Rosesidah bt Roslan   Pt Lapis Mahang
  44. Ruminah Hj Alias - Pt Maamor
  45. Siti Halijah bt Sordi - Pt Saidi
  46. Siti Masamah bt Salikin - Pt Mahang (meninggal dunia)
  47. Siti Miskiah bt Sumadi   Pt Lapis Mahang
  48. Siti Maskiah bt Markumi - Pt Punggur
  49. Tulas binti Suaji (meninggal dunia)
  50. Tukimon bin Mari
  51. Waris Salim- Spg Enam
  52. Zainah bt Omar - Pt Lapis Berong
Sebenarnya, masih ramai lagi kerana keseluruhan kemasukan ke Darjah 1 Tahun 1966 lebih kurang 70-80 orang, beberapa gambar semasa sekolah rendah adalah ehsan/kiriman dari rakan sekelas dan sekampong yang tidak ditemui sejak aku meninggalkan sekolah menengah pada tahun 1976; Puan Rosesidah Roslan yang baru sahaja bersara (2015) dari profesion sebagai guru di SMK Seri Kembangan, Serdang.

Kawan dan Persahabatan



.
Alam persekolahan sekolah rendah merupakan pelantar utama seseorang kanak-kanak memulakan kehidupan masyarakat dalam kumpulan sebayanya. Daripada rakan sepermainan dari kalangan jiran atau rakan sekampung, kini seorang kanak-kanak mula menerima kawan yang lebih ramai dari pelbagai kampung. 

Waktu di sekolah rendah aku tidak mempunyai rakan karib. Semuanya biasa sahaja. Cuma ada 2-3 orang sahaja yang selalu bersama ketika balik sekolah rendah dan semasa ke sekolah agama petang. Abdul Wahid dan Md Khir, budak Pt Mahang dan Norjaai Amin budak Pt Kadir Darat. Wahid dan Khir lebih selalu bersama kerana perjalanan balik satu arah, manakala Norjaai di arah yang bertentangan. Kadang-kadang balik dari Sekolah Kebangsaan, Norjaai akan ikut aku balik rumah, makan tengahari di rumahku sebelum ke sekolah Ugama yang bermula jam 3.00 petang.
.
Seorang lagi kawan rapatku bernama Baharom bin Musri. Berasal dari Pt Seri Baharom Darat. Tapi Baharom ini junior setahun dari aku, cuma sekolah agama sekelas kerana dia adalah kategori budak bijak yang mengatasi rakan sebayanya. Baharom adalah murid SRS yang memecah rekod mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5. Dia kemudiannya melanjutkan pelajaran ke SMBP iaitu STAR, Ipoh dan kemudiannya ke luar negara. Sejak itu hubungan kami putus kerana tidak pernah berjumpa lagi. Dia kini adalah seorang Jurutera bertauliah yeng mempunyai firmanya sendiri.
Kegiatan Sekolah


Selain dari cemerlang dalam pelajaran dalam kelasku, aku tidak mempunyai kelebihan lain sama ada aktiviti sekolah atau sukan. Aku minat Pengakap tapi bapak tak membenarkan aku masuk Pengakap semasa di SRS. Aku tak tau kenapa. Mungkin aktiviti tersebut memerlukan perbelanjaan tambahan untuk membeli pakaian seragam dan lain-lain.

Kesah Untuk Dikenang


Banyak kesah-kesah semasa di sekolah rendah.  Ada kesah lucu dan ada kesah sedih.

Kesah Pertama: Rata-rata pelajar sekolah aku adalah dari golongan miskin yang tinggal di kampung-kampung pendalaman.   Mereka datang ke sekolah sama ada naik basikal (macam aku) atau jalan kaki (kaki ayam lagi).  Kalau bawa wang saku (bagi yang agak berada pun dalam 10 sen sehari. Kalau  tak, bawa bekal sendiri (Jawa panggil 'bontrot') dengan air sebotol.  Tapi botol air dulu bukan macam sekarang.macam-macam fesyen.  Dulu guna botol kicap atau botol air lemonad (kita panggil botol oren) yang ditutup (sumbat) dengan gabus.

Bila waktu rehat, kami makan ikut grup (geng) masing, kat bawah pokok dalam kebun atau belukar tepi padang sekolah.  Masa tu dah ada semangat setia kawan,kerana kami sering bertukar-tukar lauk.  Biasanya telur goreng, sambal tumis, sayur tumis, sardin atau tempeh goreng je.

Cerita sedih tentang kemiskinan, ada antara pelajar yang kelaparan, tiada bekal atau wang saku, yang sanggup makan cengkerik, belalang, malah dalam satu kes ada budak yang makan cicak. Aku pun tak boleh bayangkan macam mana rasanya cicak mentah???.

Kes Kedua: Kes curi bekal dalam beg kawan pun ada...curi duit tu biasa la, pantang lepa...ramai yang panjang tangan .  Rasanya bukanlah betul-betul 'pencuri' tetapi 'survival' akibat kemiskinan.


Kalau tak bawa air minuman, pilihan kedua ialah minum air tempayan (air hujan yang ditadah dari atap) di rumah salah seorang penduduk kampung di tepi sekolah (sekolah mana ada pagar).  Aku ingat lagi, dalam tempayan berlumut itu pun penuh dengan larva nyamuk. Kuak je air tu, ceduk dengan daun pisang atau daun kopi (kita panggil centong), minum.  Alhamdulillah aku masih hidup sampai hari ini.   Sakit perut tu biasa la.  Masa tu, istilah demam denggi memang tak wujud dalam kamus kita orang.  Kalau dengar ada orang kampung atau budak-budak yang meninggal.dunia akibat demam panas, tu sesuatu yang biasa...bukan sesuatu yang perlu diambil perhatian sangat.  Takdir Tuhan.

Kesah ketiga ialah, bila ada doktor atau nurse (misi) datang dari pekan untuk membuat suntikan imunisasi seperti tanam cacar dan sebagainya.  Aku punyalah takut dengan suntikan. Satu masa tu, masa misi masuk kelas, aku lari keluar. Sembunyi belakang pokok kelapa kat belakang bilik darjah. Jenuh cikgu pujuk aku bawa masuk dalam kelas.


Kesah keempat. Kesah Norjai kena tikam. Aku lupa sebab dan puncanya. Ia berlaku dalam tahun 1970 (Darjah 5) di dalam Makmal Sains. Guru Sains masa masa itu ialah Cikgu Tom (Thomas J. Huwiler) guru Peace Corps dari Amerika. Entah apa masalah pertelingkahan antara Khair Sarikin dan Norjai Amin, tiba-tiba Khair mengambil pensil yang telah diasah (pengorek) tajam lalu menikam lengan Norjai. Habis lengan baju Norjai berlumuran darah. Cikgu Tom pun jadi panik. Dia panggil guru kelas, Cikgu Mahyun (allahyarham). Cikgu Mahyun bergegas datang, bila dia tau Khair punya kerja, dia terus bagi penampar kepada pipi Khair (Cikgu mahyun dan Khair ni duduk satu kampung, Pt Mahang). Setelah mengikat luka, Cikgu Mahyun mendokong Norjai  untuk dibawa ke klinik.


Kesah kelima. Ini juga berkaitan dengan Cikgu Tom. Rasanya dalam Darjah 4. Aku tak berapa ingat kenapa Cikgu Tom marah kepada salah seorang murid Halijah Sordi. Mungkin dia conteng buku Sains atau dia salah buat gambarajah. Cikgu Tom naik marah, diangkat buku Halijah tinggi-tinggi untuk dilihat oleh murid-murid lain sambil memekik "CANTIKKK SORDI !!!". Tak pernah kami tengok Cikgu Tom marah sebegitu. Yang kami tergelak ialah bila Cikgu Tom memekik kana bapak Halijah, bukan nama Halijah. Bila aku dah bersekolah menengah dan kerja baru aku realized bahawa Mat saleh panggil seorang dengan panggilan SURNAME atau First Name.


Kesah keenam. Ini berlaku dalam tahun 1967 (Darjah 2). Ada dua orang pelajar lelaki iaitu Kamari dan Shahrom telah menulis surat cinta kepada dua murid perempuan, Normadiah dan sorang lagi aku lupa. Masa itu, Normadiah boleh dikatakan salah seorang murid yang cantik dan pembersih. Entah apa yang ditulis, aku pun tak tau. Murid perempuan itu telah menyerahkan surat (atau mesej) tersebut kepada cikgu kelas, iaitu Cikgu Rahmat Kasidin. Apa lagi, kedua-dua murid lelaki tadi dipanggil ke depan dan kena sesah dengan pembaris satu ela.


Barisan tenaga pengajar tahun 2011

Masa aku sekolah dulu, SRS tak ada lagu sekolah lagi. Tapi sekarang dah ada (mula digunakan pada tahun berapa, aku tak pasti).  Aku dapat lirik lagu sekolah ini dari facebook SRS pada 29 Januari 2011

Lagu sekolah

Majulah sekolah kami
Sekolah Seri Rejo Sari
Namamu indah gagah bestari

Seri Rejo Sari
Menjadi kebanggaan kami
Namamu terabdi di sanubari
Kami lafazkan doa restu
Semoga maju terus maju

Seri Rejo Sari
Namamu indah nama warisan
Majulah ke arah kejayaan


Lambang sekolah pun dah bertukar.  masa aku sekolah dulu, seingat aku lambang nyaberwarna biru/hijau dan putih.

buat guru-guruku yang dikasihi,
anda semua adalah penyuluh haluan hidupku,
pasti aku tak mungkin dapat membalas jasa baktimu,
andainya cikgu sudah tiada lagi,
aku doakan semoga ruhmu dicucuri rahmat oleh Allah swt,
jika cikgu masih ada lagi,
aku doakan agar Allah sentiasa mengurniakanmu
kesihatan dan kelapangan.

 

ALUMNI YANG BERJAYA

YBhg Dato Hj Johar bin Murad
(mantan Timbalan KSU Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi)


Dato' Ir Hj Salamat bin Wahit
(bekas CEO PUSPAKOM yang pertama)


Ramai lagi bekas anak murid SKSRS yang berjaya  dan cemerlang dalam kerjaya mereka, antaranya Datuk Hj Sukiman bin Dahlan (bekas Pegawai Daerah), Datuk Hj Abd Wahid Dahlan (bekas Datuk Bandar JB), Ir Mokhtar bin Musri (Jurutera), Ir Baharom bin Musri (Jurutera), En Muhamad bin Jurimi dan lain-lain lagi.

 SETELAH 40 TAHUN 

Pada 6 April 2011 ada missed call di handfon aku yang nombornya agak asing kerana tiada dalam senarai contact number henfonku. Nombor tersebut menunjukkan henfon itu berdaftar di Johor. Setelah panggilan kedua aku terima, rupanya ia panggilan dari dari Cikgu Hj Kamarudin bin Kasim yang mengajar di Sek Keb Seri Rejo Sari.  Jemputan itu adalah  untuk merasmikan Mesyuarat Agong PIBG SRS kali ke 34 pada 16 Apr 2011.  Cikgu Hj Kamarudin bin Kasim adalah senior aku setahun di STMI. Walaupun aku teragak-agak untuk menerima jemputan itu, tapi aku seperti tiada ayat atau perkataan untuk menolak jemputan itu.  

Kebetulan, kali terakhir aku balik kampung ialah seminggu selepas aku pulang dari Mekah pada 12 Dis 2010. Maknanya dah 4 bulan aku tak menjenguk kedua orang tua aku.  Jadi setelah aku mengenepikan jemputan lain pada tarikh yang sama, aku mengesahkan persetujuan ke atas jemputan itu.  Aku pun menempah cenderamata di Georgie Sport untuk dihadiahkan kepada pihak sekolah sebagai kenangan.  Berharga RM180 sahaja.

Dipendekkan cerita,  tibalah tarikh yang ditunggu. Ini juga pengalamanku yang pertama menghadiri Mesyuarat Agung PIBG yang diadakan pada waktu malam. Majlis bermula selepas waktu Isyak, jam 9.30 malam.  Pengerusi PIBG nya ialah En Sukiman bin Hj Ahmad (junior aku di SRS) dan Guru Besarnya ialah Tuan Hj Kasman bin Darman. Kehadiran lebih kurang 160 orang.  Itu pun sebab sepanjang siang tadi hujan lebat.  

Antara yang aku jumpa di sana ialah Cikgu Zaleha Musri, juniorku di SRS dan juga di STMI. Kebetulan abang beliau (Baharom) adalah sahabat karibku semasa di SRS.  Baharom adalah murid pertama SRS yang mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5.  Aku juga jumpa dengan Cikgu Salihin Shuib (sekelas dengan Cikgu Kamarudin di STMI). Salihin adalah Ketua Pengawas STMI tahun 1975 sebelum aku mengambilalih pada tahun berikutnya. Cikgu Hjh Ponniyah (kakak kepada Cikgu Kamarudin) juga mengajar di SRS.  Malangnya aku tak dapat jumpa Cikgu Kamdani Salleh (my best friend masa di Tingkatan 5 STMI).

Setelah ucapan Pengerusi PIBG dan Guru Besar, maka sampailah  giliran aku untuk menyampaikan ucapan perasmian.

Sebenarnya aku tidak menyediakan teks ucapan.  Sesampainya dari KL, sementara menunggu petang, aku mencari idea apa yang aku nak cakap.  Aku hanya tuliskan points untuk dicakapkan.  Aku diberitahu oleh Cikgu Kamarudin, bahawa aku diberi masa antara 25 minit atau 30 minit untuk berucap.  mak datuk! panjangnya.  Aku jangkakan, paling lama pun aku boleh berucap selama 15 minit sahaja kerana  walaupun aku dah biasa berucap,  tempat dan audien nya amat asing bagiku.

Kandungan ucapanku meliputi banyak perkara, bermula dari mengenang keadaan semasa aku masuk Darjah 1 pada tahun 1966 hinggalah perubahan pembangunan yang ada sekarang.  Aku juga menyentuh tentang kesusahan penduduk di sini semasa zaman Jepun dan BMA.  Seri Rejo Sari dahulu adalah kawasan laluan pengganas komunis Bintang Tiga.  Dan pembangunan prasarana telah menyebabkan orang Melayu lupa diri diseliputi kemewahan.

Selebihnya aku bercakap tentang patriotik dan mengungatkan semua supaya jangan melupai jasa tokoh-tokoh dahulu yang membawa kemerdekaan dan membawa kemajuan.

Aku akhiri ucapanku dengan menyanyikan lagi 'Anak Kecil Main Api'


2 comments:

  1. Assalamualaikum,

    Dear Sir,

    I am really touched by your story on SK SRS and your life experiences during the time as primary school student at the beloved Alma Mater.

    I am also an alumnus of SK SRS, spending all my primary school education at the school from 1984 to 1990. I came from a very humble background, my family was the poorest among the poor families in Kampung Lapis Kadir and my father had psychological ilness. I was actually the first 'chief' among the poor student who were given the food assistance under the Rancangan Makanan Tambahan (RMT) program. My duty as the chief was to make sure that all the underprivileged RMT students got their food and lead the the 'doa makan' recitation.

    Alhamdulillah I currently serve as a researcher at the International Agency for Research on Cancer (IARC), a specialized agency of the World Health Organization (WHO). I completed my PhD from Uppsala University, Sweden in 2010 and I did wrote about SK SRS in my PhD thesis acknowledgement (find it here: http://www.diva-portal.org/smash/get/diva2:278818/FULLTEXT01.pdf page 54). In that, I expressed my gratitude to the most significant teachers at the school and my homage to the beloved Alma Mater.

    InsyaAllah I am completing my tenureship with the WHO-IARC and will return home to Malaysia in May this year. I will continue my service as an assistant professor at the International Islamic University Malaysia Campus in Kuantan.

    I have travelled the world and spent most of my life far from SK SRS, but the school is never far from my heart. I hope I will be able to contribute to the school and its students upon my return to Malaysia. Please let me know if you have any program or plan related to SK SRS that I can be of assistance.

    Your Humble Junior,
    Arifin

    Dr. Mohd Arifin Bin Kaderi
    Genetic Cancer Susceptibility Group
    International Agency for Research on Cancer
    150 cours Albert Thomas
    69372 Lyon
    France

    ReplyDelete
  2. Al fatihah untuk arwah atok ku . Hj Aswoto Bin Saion .

    ReplyDelete