Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang

Monday, December 14, 2015

PLM 113 MEMORI DAN DOA BUAT AYAHANDA

102140H DIS 2015



NOTA CINTA 
BUAT AYAHANDAKU YANG DIKASIHI




Pada hari Khamis, 9 Dis 15, lebih kurang jam 1130H, aku ke Seremban kerana menziarahi dan menghadiri majlis pengkebumian ayah kepada Lt Kol Mohd Rizal bin Zakaria di Taman Paroi Jaya.

Selesai solat Jenazah di Masjid Paroi Jaya, jenazah disempurnakan pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Paroi Jaya, bersebelahan dengan Stadium Paroi.

Pagi itu, dalam whatsapp group adik beradik aku ada bersembang mengenai kondisi bapak yang dikatakan semakin lemah. Berita dari Mohd Rahmat (anak saudaraku) menyatakan bahawa bapak sudah tiga hari asyik baring sahaja, dah tak mau makan dan amat kurang bercakap.

Sebelum itu, pada 5hb Dis, adik-adik aku yang pulang ke kampung ada memberikan maklumat bahawa bapak sudah semakin lemah, tidak aktif seperti sebelumnya. Selalunya dari pagi sampai ke tengahari bapak akan bermain tanah dan batu di sekeliling rumah dan bila keletihan dia akan baring atau duduk di kerusi yang diletakkan di belakang dapur. Itulah aktivitinya setiap hari sejak dua tahun yang lalu. Sebenarnya, bapak sudah kehilangan daya ingatan sejak dua atau tiga tahun yang lalu. Tiada satu pun dari lapan anak-anaknya yang boleh diingati atau dikenali. Tapi penglihatan dan pendengarannya masih tajam. Pertuturanya juga masih jelas. Bapak hanya kenal emak.

Sejak dua-tiga bulan lalu, keadaannya juga sudah semakin tidak terurus, dia akan membuang air besar atau kecil di mana sahaja dia terasa. Emak akan memujuknya untuk menyucikan kerana keadaan bapak yang tidak suka air, apa lagi untuk dimandikan. Emak terpaksa memujuk untuk mandi sebelum malam supaya dapat tidur dalam keadaan bersih. Aku sendiri pernah berusaha memujuknya untuk mandi tetapi gagal.

Kembali ke kesah perjalanan pulang aku dari Seremban. Setelah selesai majlis pengekebumian ayah Lt Kol Rizal, aku bersama Lt Kol Sharifudin dan pemanduku, Kpl Zaplin menikmati makan tengahari di Restoran Man Tom Yam di Kg Hj Ismail, Jalan Jelebu, Ampangan.

Dalam perjalanan pulang ke KL, hati aku sudah merasa ada perkara yang tak kena.

Program hujung minggu itu amat ketat. Hari Sabtu aku merancang untuk bertolak dari rumah jam 0500H ke TUDM Ipoh bagi menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Pramuda. Kalau boleh sampai KL sebelum jam 1600H, aku berusaha untuk menghadiri majlis perkahwinan anak skot Frizan Ali di Dewan Pedana Felda. Manakala pada 13 Dis, aku ada dua lagi jemputan perkahwinan; skot Abd Razak Siran di Taman Tuanku Jaafar dan Mej Jaafar Sidek (KM RPS) di Dewan Jamil, Kem Perdana, Sg Besi.

Setelah otak aku berputar-putar. aku mengambil keputusan untuk pulang ke kampung pada hari Jumaat malam. Aku terus menghantar mesej kepada isteriku dan anak-anakku supaya membuat persiapan untuk balik kampung.

Anak sulungku Hafeez membalas mesej dan membuat cadangan baru. Hafeez mengajakku untuk pulang ke kampung pada malam itu juga (Khamis malam Jumaat) kerana Selangor bercuti pada hari Jumaat sempena Hari Ulangtahun Keputeraan Sultan Selangor. Aku seperti tidak lagi mahu berfikir dan terus menghantar mesej kepada boss aku (Laksda Dato' Aris) untuk memohon cuti sehari esok (Jumaat).

Bila boss aku membalas 'Approved', aku pun terus mengarahkan isteri dan anak-anak untuk bersiap untuk bertolak malam itu juga (selepas solat Isyak).

Aku dan isteri bersama Hafeez dan isteri bertolak jam 2030H. Anak-anak yang lain akan mengikut pada hari Sabtu (hari cuti). Jalan ke arah selatan mengalami kesesakan yang agak teruk bermula di terowong Jalan Tun Razak bawah Jalan Ampang. Selepas melepasi terowong berhadapan dengan Kedutaan Indonesia, kami mengambil jalan lebuhraya MEX keluar di Seri Petaling. Tapi selepas perjalanan lancar setelah melepasi Tol Plaza Sg Besi, kemudian sesak semula selepas persimpangan Seri Putra/Bukit Mahkota.

Kami berhenti rehat untuk qadha' hajat di R n R kecil di Nilai. Ketika itulah aku menerima mesej dari adikku Noradzim yang baru sahaja sampai di kampung bahawa bapak telah pergi meninggalkan alam yang fana ini. Mesej Adzim mengatakan bahawa bapak menghembuskan nafasnya terakhir lebih kurang jam 1945H/

Kami meneruskan perjalanan dan sampai kampung lebih kurang jam 0030H (10hb).
.

Bapak, ini cucumu (anak sulungku, Hafeez) yang memaliskan celak di keningmu
  



Seawal pagi hari Jumaat itu, kariah kampung, saudara-mara dan kenalan yang berdekatan mula datang ke rumah untuk menziarahi jenazah. 

Sebagai warga yang tertua di Kg Parit Lapis Mahang dan perkampungan sekitarnya, bapak aku memang dikenali ramai. Di kampung nama almarhum lebih terkenal dengan panggilan Wak Ajis atau Embah Ajis (asal dari nama Haji Abdul Aziz) Selain itu, semasa hayatnya almarhum memang amat ramah mesra dengan semua lapisan masyarakat.

Bapak ni, kalau dengan anak-anak dia memang kami amat geruni macam kambing nampak harimau. Kalau boleh mengelak. Tapi dengan masyarakat kampung dan sedara mara almarhum sangat mesra dan kelakar.


  
  

Antara lapan anak bapak (9 termasuk anak angkat), hanya abangku Hj Khamim sahaja yang tidak dapat pulang untuk menguruskan jenazah bapak kerana beliau berada di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah Umrah.

Tujuh yang ada  memandikan, mengkafankan, mendirikan solat jenazah dan menguruskan jenazah bapak hingga selesai dikebumikan pada jam 1030H.

Sejak dulu lagi, aku memang memasang niat, sekiranya bapak meninggal dunia, aku mahu memngimamkan solat jenazah bapak. Allah maqbulkan impianku. Dalam suasana yang sedih dan plu itu, aku menguatkan semangatku untuk mengimamkan solat jenazah bapak. Dan aku tak dapat menahan sedu tangisan ketika membaca doa selepas solat itu.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Ampunilah almarhum ayahandaku Hj Abd Rashid bin Hj Tahir
Angkatlah derajatnya bersama orang yang mendapat hidayah
Berilah penggantinya bagi oang-orang yang ditingalkan sesudahnya
Dan ampunilah kami dan dia wahai Allah seru sekian alam
Lebarkanlah kuburannya dan berilah penerangan di dalamnya.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Sesungguhnya Almarhum Hj Abd Rashid dalam tangunganMu
dan tali perlindunganMu
Peliharalah dia dari fitnah kubur dan azab api neraka
Engkau adalah Maha Setia dan Maha Benar
Ampunilah dia
Kesihanilah dia
Sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Pengasih
Lagi maha Penyayang




Buat emak, pastinya pemergian bapak adalah satu kehilangan yang amat sukar untuk diterima kerana mereka berdua tidak pernah berpisah sejak 65 tahun yang lalu. Sama-sama menempuh zaman kesusahan dan kesenangan. Sama-sama membesarkan kami lapan adik beradik dan seorang anak saudara (Amer) yang tinggal bersama kami sejak berusia 9 tahun).

Emak sangat sabar dan tabah dengan kerenah bapak.



 
 
  
 
 
  
  
  
  

  
  
  
  
.

Antara rakan sekolahku yang hadir menziarahi jenazah bapak ialah:

  
Ruminah Hj Alias, Hjh faridah Munafaat dan Hj Faridah Hj Nuralhadi
  
Rosmah Dikon, Kalthom Misri, Siti Fatimah Baai dan Fauziah Naaim

  
Ayub Misman dan Khir Sarikin
  

Nota Cinta Untuk Bapak
.
Bapak,
Sudah delapan puluh lapan tahun bapak menyedut nafas di atas muka bumi ini
Sudah begitu lama bapak menabur jasa bakti
Sudah beribu pokok getah dan kelapa sawit yang bapak tanam
Sudah bertan, berkilogram hasil tanaman yang bapak pikul
Sudah beribu kilometer bapak mengayuh basikal atau menunggang motorsikal mencari rezeki
Sudah beratus ribu wang bapak dilaburkan untuk anak-anaknya
Sudah beratus liter air peluh yang mengalir keluar dari badan bapak
Sudah berjuta kalori tenaga yang bapak buang untuk mencari makan ahli keluarga
.
Bapak,
Bila ku lihat pokok durian, manggis, langsat dan rambutan; ohhh ini bapak yang tanam
Bila ku lihat pokok pisang keliling rumah; ohhh ini bapak yang tanam
Bila ku lihat tanah sekeliling rumah; ohhh ini bapak yang beli dan usahakan
Bila ku lihat tiang rumah; ohhh ini bapak yang dirikan
Bila ku lihat bekas kolam/sumur: ohhh ini dulu bapak yang gali- di dalam kolam itu kami kerap menerima hukuman maut - dari hukuman itulah kami punya naluri untuk belajar berenang
Bila ku lihat kebun ubi di tepi sungai; ohh ini dulu bapak yang usahakan
Bumbung rumah, dinding rumah, lantai rumah; semua usaha tangan dan titik peluh bapak
.
Bapak,
Sudah begitu lama bapak menderita
Sudah begitu lama bapak kehilangan nikmat kehidupan 
Sudah begitu lama bapak tidak mengenali anak dan cucunya
Sudah lama sekali bapak tidak tahu waktu solat
Sudah lama sekali bapak tidak dapat mengenali siapa sahabat dan siapa saudara-mara

Bapak,
Maafkan aku kerana gagal sebagai anak
Maafkan aku kerana tidak pernah menjagamu seperti bapak membesarkan aku
Maafkan aku kerana kedekut hartaku,  tidak seperti bapak mengumpul harta untuk kami
Maafkan aku kerana sentiasa sibuk dengan keperluan duniaku lalu meluangkan masa untukmu,
.
Bapak,
Aku pasti merasai kehilanganmu, 
Aku pasti amat merinduimu, 
Aku masih jelas mengingati zaman kecilku
Aku masih jelas mengingati kesukaran bapak membesarkan kami
Aku masih jelas mengingati kenakalan kami adik beradik yang selalu menyusahkan bapak
Aku masih jelas mengingati tabahnya bapak membina dan membesarkan rumah
Aku masih jelas mengingati kerja keras bapak dikebun
Aku masih jelas mengingati kebun getah bapak
Aku masih jelas mengingati kebun sawit bapak
Aku masih jelas mengingati kebun kopi bapak
Aku masih jelas mengingati kebun pisang bapak
Aku masih jelas mengingati, setiap hujung minggu kami adik beradik akan sama-sama ke kebun, pagi menoreh getah, petang menyadap buah kelapa sawit atau memetik kopi, atau memancah (menebas) semak di kebun dan pelbagai kerja kampong yang lain.
Aku masih jelas mengingati, kami akan disuruh mengejar dan menangkap ayam untuk disembelih
.
Bapak,
Masih jelas dalam benakku ini
Betapa kerasnya cara bapak mendidik dan  mengajar kami
Bapak mengajar kami mengenal huruf al Qur'an
Betapa bapak mengajar kami mengaji bertajwid tanpa tahu apa hukum tajwidnya
Betapa bapak walaupun duduk berjauhan, bapak sedar kalau kami tersalah hukum bacaan
Betapa setiap lepas Asar, kami mesti mengulangkaji bacaan Al Quran tanpa gagal
Bapak mengajar kami membaca berzanji dan mesti berani membaca di majlis-majlis maulidur Rasul
Bapak mengajar kami berselawat Nabi
Bapak mengajar kami berzikir (pujian)
Bapak mengajar kami supaya berani berazan di surau bila masuk waktu
Bapak mengajar kami sifir dan kira-kira
Bapak akan menunggu kami balik sekolah di depan pintu, memeriksa kerja sekolah kami
.
Bapak,
Betapa takutnya kami adik beradik kepada bapak
Betapa ketegasan dan kegarangan bapak memang amat terkenal seantero kampung
Betapa ngerinya kami melihat rotan bapak yang sentiasa tersangkut di dinding
Betapa waktu itu, kami adik beradik merasai kehidupan kami begitu tertekan
Betapa waktu itu,  kami amat takut adalah membuat kesilapan
Betapa waktu itu,  kami amat takut dengan hukuman yang keras
Betapa waktu itu, kami lihat bapak bagaikan harimau yang kelaparan
Betapa waktu itu, kami amat menyesal punya bapak seperti itu
Betapa, emak hanya melihat dari jauh kami dibelasah setengah mati
Betapa seperti masih terasa peritnya sebatan rotan bapak

Bapak,
Bukan niatku mengungkit sikap dan gaya bapak mendidik kami,
Bukan niatku untuk mengaibkan bapak
Bukan niatku untuk mendosakan bapak
Tidak sesekali pak,
Kami amat bangga punya bapak yang garang
Kami berterima kasih kerana bapak tegas
Kami berterima kasih kerana bapak tak berkompromi dengan kami
Kami berterima kasih kerana bapak mendidik kami dengan rotan dan hukuman
.
Bapak,
Kami membesar hasil dari tangan dan titik peluh bapak
Kami berjaya dalam hidup hasil dari tangan bapak
Kami menjadi manusia dihormati hasil dari tangan bapak
Kami jadi baik kerana didikan bapak
Kami tahu bapak mahu kami jadi manusia berguna dan berjasa
Kami tahu bapak tidak mahu kami merempat menyusahkan orang lain
Kami tahu bapak tak mahu kami bekerja di kebun seperti bapak
.
Bapak,
Aku tidak mampu mencari harta seperti kesungguhan bapak dulu
Aku tidak sempat membawa bapak melancong
Aku telah berusaha untuk sukses dalam kerjayaku
Aku terkilan tidak dapat menghadiahkan sebutir bintang (Jeneral) sebelum bapak menutup mata - mungkin jika diizinkan Allah, itu hadiah untuk emak
.
Bapak,
Aku sempat menghadiahkan 7 cucu sebelum bapak pergi
Aku akan pastikan zuriatmu adalah cucu-cucu yang soleh dan solehah untuk mendoakan kesejahteraanmu di akhirat
.
Bapak,
Kami redha dengan pemergianmu
Kami redha kerana itu ketetapan Allah
Kami berharap bapak telah mengampuni dosa-dosa kederhakaan kami
Kami sempurnakan jenazahmu
Kami bersama memandi dan mengkafankanmu
Kami selesaikan urusan pengkebumianmu bersama
Aku sendiri mengimamkan solat jenazahmu Bapak
.
Bapak,
Kami akan jagai emak
Kami akan pastikan emak bahagia
Kami akan pastikan emak tidak disakiti
Kami akan pastikan emak sentiasa senyum hingga akhir hayatnya
.
Bapak,
Aku menangis mengingatkan bapak keseorangan di sana
Aku menangis mengingatkan bapak kegelapan di sana
Aku menangis mengingatkan bapak kesunyian di sana
.
Bapak,
Aku berdoa agar segara amal baktimu di terima Allah
Aku berdoa Munkar dan Nakir akan datang dengan wajah persahabatan
Aku berdoa semoga bapak aman di sana
Semoga Allah mengampuni sebesar mana dosa-dosamu
Semoga Allah meluaskan ruang kuburmu
Semoga Allah memberi cahaya untuk menerangi kuburmu
Semoga tenang ruhmu di alam barzah menanti tiupan sangka kala
Semoga kita bertemu nanti di Padang Mahsyar
Semoga kita lancar dan berjaya meniti Siratal Mustaqim
Semoga kita bersama menghirup air sungai yang mengalir di syurga firdausi

.
MEMORI

Sijil Kelahiran bapak, menunjukkan bahawa bapak dilahirkan pada 9 Mei 1927

 
Passport bapak menunaikan ibadah Haji kali pertama pada tahun 1953, ketika berusia 26 tahun

Hari Raya Eid Fitri 1989

 
 
Ogos 26, 2012- Hari Raya Eid Fitri
Oktober 17, 2012
Februari 10, 2013
Julai 20, 2013
April 11, 2014

Disember 8, 2014


Bapakku, Abdul Rashid atau Abdul Rasid atau Haji Abdul Aziz bin Isa atau Haji Tahir bin Ibrahim dilahirkan pada 24 Mei 1927 di Kg Parit Lapis Mahang. Tapi pada zaman itu, tarikh lahir yang sebenar memang tidak diketahui, Masih belum ada Persekutuan Tanah Melayu. Tanah melayu masih diperintah Inggeris, Johor masih sebagai Negeri Melayu Tak Bersekutu. Belum ada proper Pejabat Pendaftaran. Tarikh lahir main agak-agak sahaja. Malah kata mak aku, ada yang dah umur 3-4 tahun baru daftar pun ada. Jadi badan tua usia muda.

Menerima pendidikan asas di Sekolah Melayu Pt Kemang dan kemudiannya mengikuti pengajian Agama Pondok di Parit Sulong. Masa Jepun datang menakluki Tanah Melayu dalam tahun 1942, bapak aku baru berusia 15 tahun.

Bapak bernikah dengan emakku Umi Kelsom binti Hj Mustapha pada tahun 1950 etika berusia 23 tahun. Mak kata masa tu emak baru berusia 15 tahun.

Ketika meninggal dunia bapak meninggalkan enam orang anak lelaki dan dua perempuan, 42 orang cucu dan 30 orang cicit:

  1. Haji Md Jahrom
    1. Nor Azyati (+2)
    2. Mohd Khairul Fahmi (+3)
    3. Aini Nadhirah
    4. Mohd Fairuz (+3)
  2. Hajjah Siti Rahimah
    1. Khasiatul Fawziah (+3)
    2. Nizatulshima (+6)
    3. Mohd Nasruddin
    4. Mohd Rahmat (+1)
    5. Mohd Fitri (+1)
    6. Mohd Hamdan (+1)
    7. Nur Faizi Fahariah (+2)
    8. Nur Farizah Shahidah (+1)
  3. Haji Khamim
    1. Muhd Yussuf Islam
    2. Siti Maryam Jamilah
    3. Nor Rashidah Aziziyah
    4. Intan Rosharina Zaharah
    5. Ali Imron Sharifuddin
    6. Alif Shukry Albukhary
  4. Haji Toharudin
    1. Muhd Hafeez Firdaus (+2)
    2. Nur Fairiz Fazeera (+3)
    3. Aisyahnur Abid (+1)
    4. Atikah Nur Ezzaty (+1)
    5. Muhd Heikal Fawwaz
    6. Nurul Azyan Syafiqah
  5. Noradzim
    1. Mohd Fauzan
    2. Ain Nazihah
    3. Wahidatul Saidah
    4. Muhd Ilman
    5. Muhd Farhan
    6. Muhd Ikhwan
    7. Nurliayana Hazirah
  6. Haji Rakhiman
    1. Fatimah Nur Ashikin
    2. Amirul Zulhilmi
    3. Mohd Imran Zaki
    4. Aliya Nazihah
    5. Irdeyna Zahirah
  7. Hajjah Khairiah
    1. Fatin Fadhwana
    2. Umar Abdul Aziz
    3. Khairin Jadwa
    4. Raihan Nur Hanani
    5. Khairunnisa
  8. Aminin
    1. Adam Iskandar
.
  
  
  
Semoga ruh ayahanda aman di sana
Kasih sayang kami semua kekal hingga ke akhirat
Wahai tanah
Kau jagalah ayahandaku ini
Jangan kau sakiti dia
Kerana dialah insan yang mengenalkan aku kepada Al Qur'an dan Islam




No comments:

Post a Comment