Monday, May 12, 2014

TAJUK 102: PERTEMUAN TERAKHIR

'SAYU DAN SEDIH'
MENGISI PERTEMUAN DI KUCHING


Pada 5 hingga 7 Mei 2014 aku menghadiri Mesyuarat Pemerintahan Operasi Udara 1/2014 di Pangkalan Udara Kuching. Aku agak bernasib baik kerana diarahkan oleh boss aku untuk mewakili MLU dalam Konferen itu. Sebelum MLU terpisah dari Pemerintahan Operasi (mulai Dis 13), Panglima, KSS dan KSK merupakan peserta tetap dalam MPPOU ini. Tetapi sejak MLU hanya diundang sebagai peserta jemputan sahaja.

Kebetulan kami (peserta Konferens) dibenarkan membawa isteri. Rezeki Adibah dapat naik C130.

Tiga minggu sebelum itu, aku menerima berita melalui watzapp (oleh anakku Hafeez) bahawa adik tiri isteriku Abd Razak yang kini bermastautin di Kuching sedang menghidapi penyakit kanser usus. Aku pun menyampaikan khabar kepada menantuku Noor Hafiz (Along) yang bertugas di Kuching untuk menziarahi ayah sudaranya jika ada kelapangan.

Razak bertugas sebagai guru di Sek Keb Batu Lintang sejak 8 tahun yang lalu. Manakala isterinya mengajar di Sek Keb Kg Gita.

Alhamdulillah, pada 21 April, Along dapat menziarahi Razak di Hospital Umum Kuching selepas Razak menjalani pembedahan membuang sebahagian dari usus besarnya. Ini adalah gambar yang dikirimkan oleh Along pada hari tersebut.



keadaan Razak semasa diziarahi oleh Along pada 21 April 14
.
Pada hari pertama dan kedua Konferens aku tak sempat berjalan-jalan kerana program yang padat. Hanya pada hari ketiga, aku dan isteri berkesempatan untuk melawat Razak. Pada hari pertama aku sudah memaklumkan kepada isteri Razak (Anizah) bahawa aku dan Adibah akan menzirahi di hospital sebaik ada kesempatan semasa berada di Kuching.

Rupanya beberapa hari itu sebelum, Razak sudah pun dibenarkan keluar dari hospital. Tetapi pada 7hb (Rabu) Razak ada temujanji dengan doktor di hospital untuk rawatan susulan selepas pembedahan. Aku merancang keluar hotel jam 0900 dan aku jangka aku melawat sejam sahaja (kerana dia dalam rawatan) dan tamat pada jam 11 pagi.

Pada hari yang sama aku juga telah membuat temujanji dengan skot aku yang bermastautin di Kuching, Mej (B) Ahmad Nordin bin Roslan.

Pada pagi 7hb Mei, aku meminta bantuan MTO PU Kuching sebuah kereta untuk menziarahi Razak. Kami keluar dari hotel jam 0900 dan sampai dalam setengah jam sahaja. Terus menuju ke wad rawatan. Masa itu Razak berada dalam bilik rawatan. Kami dibenarkan masuk.

Bertemulah dua saudara sebapa dengan keadaan yang amat menyayat hati. Walaupun Razak telah berusia 40 tahun dan isteriku berusia 53 tahun, namun sepanjang hayat mereka hanya pernah bertemu beberapa kali sahaja. Masa Razak masih kecil berusia dalam 10/11 tahun memang allahyarham Abah (bapa mertuaku) beberapa kali membawa Razak dan adik-adiknya (Azahana (meninggal kemalangan pada usia 19 tahun); Siti Aisyah; Rashidah dan Baharudin- masa itu adik bungsunya Nur Izzati masih belum dilahirkan lagi) ke rumah di Taman Broleh. Selepas kami berkahwin dan berpindah ke Kuantan dan seterusnya menetap di Lembah Klang, hubungan kami terputus. Malah bila masa Razak dan adik-adiknya berkahwin pun kami tidak mendapat berita.

Pertemuan pertama setelah dewasa adalah sekitar tahun 2004-2005 apabila mereka sekeluarga datang ke Taman Istana dalam pertemuan ahli keluarga yang pertama sejak Abah meninggal dunia pada tahun 1989.

Kali pertama aku sekeluarga berkunjung ke rumah Mak Cki Rahmah di Kluang adalah pada Hari Raya tahun 2011 atau 2010. Masa itu tak dapat jumpa Razak. Itu semua adalah atas inisiatif anakku Hafeez yang telah berusaha sendiri menghubungi bapa dan ibu saudaranya satu persatu.

Dan inilah (7hb Mei 14) pertemuan sebenar hubungan sebagai adik-beradik. Mereka berdua berpelukkan dan bertangisan. Bertambah menyayat hati adalah melihat keadaan Razak seperti itu. Tubuhnya tinggal tulang dan kulit sahaja.


keadaan Razak sungguh menyedihkan NAMUN dalam kesakitan dan kesayuan dia masih mampu tersenyum dapat bertemu dengan kekandanya

Lebih kurang jam 10.30, Razak meminta bantuan untuk dihantar ke rumahnya kerana mereka tiada kenderaan untuk pulang. Pagi tadi ke hospital atas bantuan rakan. Alhamdulillah di tempoh akhir hidupnya akudiberkan peluang oleh Allah untuk menghulurkan bantuankepada insan yang benar-benar memerlukan. Hikmahnya, aku juga dapat ke rumahnya di Lorong Bunga Merak, Jalan Matang.


 
 
Adibah berkhidmat untuk adiknya, menyuapkan makanan (rupanya ini adalah khidmat pertama dan terakhir seorang kakak kepada adikyang tidak pernah tinggal bersama sejak dilahirkan)

Aku menghubungi skot Nordin bahawa aku tak dapat menemuinya di hotel kerana masih berada di rumah adik ipar di Matang. Nordin memilih utnuk datang ke rumah Razak. Rupanya rumah Nordin tidak jauh sangat adri rumah razak, di Taman sebelah sahaja.

Maka hari itu rezeki aku dapat bertemu dua-dua sekali. Adik iparku Razak dan skot aku Ahmad Nordin. ALHAMDULILLAH. 


 
skot Nordin berpeluang menziarahi Razak
Adibah bersama isteri Razak, Anizah (wanita ini sungguh tabah berbakti untuk suami tersayang hingga ke nafas terakhir)
aku bergambar dengan skot Nordindi hadapan rumah Razak

SESUNGGUHNYA UJIAN YANG DIHADAPI OLEH RAZAK AMAT BERAT. BERAT MATA MEMANDANG, LAGI BERAT YANG MENANGGUNGNYA.

AKU BERDOA SEMOGA ALLAH MEMBERIKAN KEMUDAHAN KEPADA ADIK IPARKU RAZAK. AGAR DAPAT PULIH DARI SAKITNYA. SEMOGA RAZAK DAN ANIZAH SENTIASA SABAR DAN TABAH MENGHADAPI UJIAN ALLAH INI.

Pada 20 Mei 2014, aku mendapat maklumat dari isteri Razak bahawa Razak terpaksa dibawa ke hospital kerana mengalami keadaan yang kritikal.

Aku menghubungi menantu ku Muhamad Noor Hafiz yang bertugas di Markas 3 Briged untuk menziarahi di hospital serta membantu setakat yang mampu serta melaporkan situasi. Hafiz dapat melawat pada tengah malam itu.

Diberitakan bahawa kandungan gula dalam badan amat rendah sehingga 0.7 yang menyebabkan Razak terlalu lemah, pemikirannya sudah hampir tidak berfungsi atau hilang kawalan.



Keadaan razak pada 20 Mei 14

Pada pagi 21 Mei dimaklumkan bahawa ibu Razak (Makcik Rahmah) telah tiba di Kuching. Manakala sebelah malamnya beberapa ahli keluarga dari KL juga tiba di Kuching. Kak Yah, Kak Chom, abang Zul dan isteri serta Azahari (anak Kak Yah) tiba di Kuching pada tengah malam dan terus dibawa oleh Hafiz ke hospital.

Awal pagi 22hb Mei itu juga ibu Razak turut datang ke hospital .Maka bertemulah ahli keluarga yang telah begitu lama tidak bersilah.


Antara rakaman detik-detik pertemuan adik beradik sedarah yang menyayat hati sehari sebelum Razak menghembuskan nafas yang akhir


Doa dan kucupan seorang ibu di hari terakhir. Semoga restu ibu dapat melepaskan ruh Razak ke alam baqa' dengan penuh ketenangan.

Ketetapan Allah tidak akan berganjak walaupun sesaat. Setelah beberapa bulan menderita menanggung kesakitan, pada 23 Mei 2014 lebih kurang jam 1240 tengahari, Abdul Razak telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pastinya almarhum amat bertuah kerana di saat akhir usianya telah mendapat keredhaan ibu yang melahirkannya yang kebetulan berada di sana.

Begitu juga dipertemukan dengan kakak- kakak dan abang sebapa yang amat jarang ditemukan. Semoga pemergian Razak membenihkan hikmah yang lebih besar untuk merapatkan lagi tali silaturrahmi di antara dua keluarga sedarah.



SEMOGA ALLAH MENCUCURI RAHMAT KE ATAS RUH ADINDA ABDUL RAZAK, DIAMPUNKAN SEGALA DOSANYA, DILUASKAN DAN DITERANGI KUBURNYA DENGAN CAHAYA KEIMANAN SEHINGGA KE HARI KIAMAT NANTI.

MAAFKAN KAMI SEMUA YANG TIDAK MENGAMBIL BERAT KE ATASMU SELAMA INI.

TERIMA KASIH ALONG (MENANTUKU NOOR HAFIZ) YANG BANYAK MEMBANTU DI SAAT AKHIR KEHIDUPAN BAPA SAUDARAMU. 


.

Sunday, April 6, 2014

APA KATA MAHATHIR TENTANG ANWAR



Penjelasan Dr Mahathir Tentang Salah Laku Moral Anwar


AIDCNews – 07/10/11 – Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pernah menjelaskan mengapa beliau terpaksa mengambil tindakan memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan keahlian UMNO, semuanya berpunca dari salah laku moral.

Berikut merupakan penjelasan Dr Mahathir yang ketika itu Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia menjelaskan sebab-sebabnya kepada ahli mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, yang turut dihadiri Anwar pada malam 3 September 1998.

Semasa saya berjumpa dengan Menteri Besar dan juga beberapa orang lain yang datang berjumpa saya untuk mengetahui berkenaan masalah ini, ada tuduhan bahawa saya ambil tindakan ini kerana politik kerana saya nak menyelamatkan diri saya.

Saya nak kata di sini, kalau saya ambil tindakan pasal politik, apa gunanya saya tunggu sehingga keadaan jadi begini genting dan masalah-masalah lain menekan negara. Pilihan ini saya ambil kerana saya percaya tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempunyai asas yang kukuh.

Saya tidak puas hati dengan tuduhan ini pada mulanya.

Tahun lepas, bulan Ogos tuduhan ini dibuat oleh orang-orang. Seorangnya ialah adik (Ummi Hafilda) kepada Azmin iaitu setiausaha kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan juga seorang driver yang dahulu bekerja sebagai driver Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kemudian bekerja sebagai driver Azmin, sekarang ini sudah bekerja di Melaka (Azizan Abu Bakar).

Surat telah disampaikan kepada saya dan kedua-dua dan surat itu dibawa oleh Megat Junid yang menyatakan bahawa ini telah dibuat oleh orang berdua ini dan telah berjumpa dengan Megat Junid dan Tun Daim.

Saya tolak sepenuhnya tuduhan yang dibuat terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saya tuduh Megat Junid cuba membuat surat layang dengan pakar fitnah terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dan dengan itu, tidak ada siapa yang tahu dan saya pula diberi oleh pihak polis satu kenyataan yang dibuat oleh adik Azmin iaitu Ummi yang berkata bahawa tuduhan yang dibuat dalam surat pertamanya itu adalah tidak berasas dan saya anggap bahawa dengan itu, kes itu telah selesai.
Sepertimana Ahli-ahli Majlis Tertinggi tahu, saya tidak kata apa-apa kepada Majlis Tertinggi tentang pendirian saya terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Bahkan saya masih anggap dia bakal pengganti saya.

Dan selepas peristiwa itu pun, saya masih lagi buat kenyataan berkali-kali bahawa saya memberi sokongan penuh iaitu dia akan menjadi pengganti saya dan saya ingin serah UMNO bulat-bulat termasuk penyokong-penyokong saya kepadanya sebagai Presiden parti dan juga sebagai Ketua Kerajaan.

Ini adalah satu kenyataan yang selalu saya buat di hadapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim atau di ucapan-ucapan lain yang saya buat. Saya selalu membuat kenyataan yang sama sehingga akhbar-akhbar asing pun telah setuju tentang the annointed assistant – apa nama – pengganti yang telah dikenal pasti oleh saya.

Selama ini pun, saya telah memberi sokongan penuh sehingga daripada masa masuk ke dalam UMNO sehingga menjadi Ketua Pemuda, Naib Presiden kemudian Timbalan Presiden. Sepanjang masa saya beri sokongan dan mempertahankan apabila ada orang menangkis.

Banyak orang yang datang jumpa saya yang membuat macam-macam kenyataan termasuk percubaan memburukkan diri saya dalam dan luar negera.Tuduhan bahawa secara tidak langsung saya melakukan crony capitalism, hypnotism, cronyism, corruption dan berbagai-bagai lagi.
Apabila Zahid Hamidi membuat kenyataan yang sama, saya, semua Ahli Majlis Tertinggi tahu bahawa saya membuat teguran yang keras terhadap Zahid.

Kalaupun Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri membuat teguran yang sama di Johor, tetapi saya tidak tegur Dato’ Seri Anwar Ibrahim, saya salahkan Zahid. Saya kata, apa yang dikatakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ditujukan bukan kepada Malaysia dan bukan kepada saya tetapi kepada negara-negara lain.

Sepanjang masa sehingga Majlis Tertinggi mesyuarat agung pun saya membuat pendirian yang sama iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menjadi pengganti saya apabila saya berhenti.

Dan sebenarnya saya berhajat untuk berhenti tahun ini, tahun 1998. Waktu tahun sudah, saya pergi bercuti dua bulan dan semasa itu saya serah pentadbiran kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan tidak ragu-ragu walaupun ada orang yang kata itu tidak bijak dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak setia kepada saya, saya tidak terima dakwaan mereka.

Perkara ini sepatutnya tidak membawa kepada apa-apa tetapi malangnya buku ini. Buku 50 Dalil ini dikeluar, ada orang bagi kepada saya satu salinan, saya tak baca, pasal saya anggap buku ini sebagai fitnah.
Sampai sekarang ini pun saya tak baca.

Tetapi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri mengambil tindakan untuk mengambil apa nama internal…apakah (istilah itu) saya pun tak tahu, apa nama bahasa undang-undang ini. Dia cuba menyekat pengedaran buku ini.

Dan tindakan itu diambil sebagai satu tindakan criminal iaitu melapor kepada polis bahawa buku ini patut di ban kerana ianya mengandungi banyak tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri beritahu kepada saya bahawa dia mengambil tindakan ini dan saya kata “this is very tricky,” inilah perkataan yang saya guna.

Saya masih ingat “this is very tricky” sebabnya saya kata tricky adalah apabila sesuatu yang diserah kepada polis, maka polis akan siasat dan walaupun kalau tidak ada apa-apa.. tak apalah.
Tetapi kalau ‘ada apa-apa’ polis sebagai professional body akan siasat…Jadi itulah yang berlaku.
Polis membuat siasatan dan kemudian memberitahu saya bahawa tuduhan-tuduhan dalam buku itu walaupun tak semuanya benar, tapi ada yang benar.

Mereka telah menyoal beberapa orang dan orang-orang ini secara sukarela, kata polis memberi maklumat dan polis memberitahu kepada saya apa yang diakui oleh orang-orang ini.
Saya mengaku, saya terkejut kerana saya tak sangka satu orang, satu kawan yang saya fikir begitu warak sekali boleh terlibat dalam kegiatan yang semacam ini.

Yang lain saya tak berapa peduli sangat, tentang masalah duit dan lain-lain saya tak berapa peduli. Tetapi tuduhan yang mengejutkan saya ialah berkenaan womenize, ada hubungan seks dengan beberapa wanita, tuduhan bahawa ada percubaan untuk intact isteri orang dan yang dahsyat sekali ialah tuduhan bahawa telah meliwat seorang lelaki yang dulu menjadi driver kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Itu tuduhan yang dibuat oleh polis dan mereka mempunyai cukup bukti, apa statement-statement yang ditandatangani dan gambar-gambar yang mereka ambil tentang orang ini.

Namun, saya masih tidak puas hati dan saya bagitahu kepada polis, bahawa saya sendiri nak tanya orang-orang ini dan saya berjumpa dengan orang ini satu persatu dan tanya, “Sama ada polis paksa mereka atau pun tidak?”

Jawapan mereka, “Mereka tidak dipaksa.” Saya tanya pula, “Sama ada mereka sanggup memberi – apa nama – keterangan dalam mahkamah kalau mereka dikehendaki menjadi saksi?”

Mereka semua mengakui bahawa, “Mereka sanggup memberi penjelasan dalam mahkamah.”

Orang pertama yang saya jumpa ialah seorang driver yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris, bercakap bahasa Melayu sedikit sebanyak dan orang ini bercerita pada saya tentang bagaimana dia membawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke suatu bangunan dan dia juga bertanggungjawab disuruh mencuci dan menyiapkan bilik tidur dan juga membawa perempuan-perempuan Cina jalang, bawa untuk berjumpa Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dan selepas itu, dia bawa balik perempuan-perempuan ini dan juga hantar. Kadang-kadang hantar Dato’ Seri Anwar Ibrahim balik rumah dalam kereta yang cermin hitam, orang tidak nampak.
Saya tanya, “Berapa kali benda ini berlaku?” Dia kata, “Banyak kali” dan “Siapa yang dibawa?”. “Banyak perempuan Cina. Ada juga perempuan seorang Mexican,” dia kata.

Saya tak tahulah, sama ada dia tahu Mexican atau tak Mexican ke, itu dia kata. Itu daripada driver itu.
Saya tanya dia berkali-kali, “Sama ada benar atau tidak benar? Sama ada dia sanggup membuat kenyataan ataupun tidak?” dia juga berkata, “Bahawa yang jahat ini ialah Datuk Nalla dan dia bekerja dengan Datuk Nalla.”

Datuk Nalla kadang-kadang tidak bayar gajinya. Dia kata, “Dato’ Seri Anwar Ibrahim baik, yang menghasut Dato’ Seri Anwar Ibrahim ialah Datuk Nalla.”

Saya juga jumpa dengan seorang kerani dan dia bercerita bagaimana Dato’ Seri Anwar cuba nak ada hubungan seks dengan dia. Dan dia tolak dan dia balik beritahu kepada ibu dia dan abang dia dan adik dia.

Dan mereka itu berkata, jangan buat apa-apalah, pasal dia ini orang besar. Tidak buat laporan atau apakah.

Orang yang ketiga yang saya jumpa ialah seorang perempuan India yang juga membuat kenyataan bahawa dia berjumpa nak dilakukan hubungan seks oleh Dato’ Seri Anwar dalam sebuah bilik dalam sebuah bangunan seperti itu dan dia juga menolak kerana katanya dia datang haid.
Wanita yang ketiga ialah seorang perempuan Melayu yang mengaku dia ada hubungan seks dengan Dato’ Seri Anwar.

Kemudian saya berjumpa dengan driver yang bernama Azizan. Dia dulu bekerja dengan Dato’ Seri Anwar. Lepas itu, dengan kerana Dato’ Seri Anwar mengadakan hubungan songsang dan dia berasa malu dan berkali-kali buat dan dia berhenti kerja. Dan kemudian dia bekerja dengan Azmin.
Apabila dia bekerja dengan Azmin, adik Azmin bertanya kepada dia, berkenaan dengan ke mana dia selalu bawa isteri Azmin. Dan apabila cerita-cerita ini bangkit, dia sebut apa yang berlaku kepada dia. Apa yang Dato’ Seri Anwar buat kepada dia.

Itu… Ummi tadi telah mengajak dia supaya membuat laporan dan dia pun membuat satu laporan yang ditandatangani. Tetapi, dia kata yang tulis bukan dia. Yang tulis Ummi dan dia tandatangan. Ummi lah yang tanya kepada driver ini tentang kelakuan isteri Azmin yang selalunya dapat panggilan telefon, dapat pergi ke shopping complex dan hilang sekejap.

Lepas itu balik, bercakap berkenaan dengan boyfriendnya yang biasa menyebut bahawa anak dia itu adalah anak Dato’ Seri Anwar. Sebab itu adik Azmin ini buat keputusan untuk melapor.
Dan apabila dia melapor, dia diburu oleh polis. Sehingga polis pergi ke rumah kawannya dan pecah pintu dan tangkap dia dan paksa dia suruh ubah kenyataan bahawa apa yang dia kata itu tidak benar. Jadi, itu cerita daripada Ummi.

Sebenarnya saya tidak berminat untuk berjumpa dengan Ummi. Oleh kerana Dato’ Seri Anwar sendiri beritahu kepada saya, bahawa Ummi ini ialah keluarga kepada Azmin. Dan Ummi ini sudah rujuk balik kepada keluarganya dan tidak lagi membuat tuduhan-tuduhan ini. Dan oleh kerana itu, saya tidak berminat untuk berjumpa dengan Ummi.

Sebaliknya, pada suatu malam saya hadir satu majlis perkahwinan. Setelah saya balik ke rumah, isteri saya telefon. Dia kata, ada dua orang nak jumpa saya. Sanggupkah saya jumpa? Saya kata, “Pasai apa?” “Ialah pasal kes.”

Yang datang ni ialah Ummi dan seorang lagi yang berjanggut dan mengaku dirinya tiga pupu kepada Dato’ Seri Anwar, ada kaitan dengan Sulaiman Palestin.

Dan Ummi bercerita tentang apa yang berlaku. Sama seperti yang diceritakan oleh Azizan. Saya tanya Ummi, saya dengar kata dia telah tarik balik (tuduhan yang dibuat sebelum ini).
Dia kata, dia tidak pernah tarik balik. Dia terpaksa.. dipaksa oleh polis untuk menarik balik apa yang dia buat kenyataan.

Jadi, pendek kata, setelah saya dengar semua ini, saya berpendapat bahawa cerita-cerita ini adalah benar.

Dan inilah yang menyebabkan saya memikir semula tentang Dato’ Seri Anwar sebagai Presiden UMNO dan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Sesuainya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Yang lain saya boleh maaf, saya boleh lupa tetapi perbuatan songsang ini perbuatan yang tidak halal, baik daripada segi agama ataupun bagi masyarakat kita.

Adalah sesuatu yang saya tidak boleh terima dan saya tidak mahu bertanggungjawab, membenarkan orang yang terlibat dengan perbuatan yang buruk ini menjadi pemimpin UMNO dan jadi pemimpin negara.

Memang Dato’ Seri Anwar Ibrahim cuba berkata, bahawa tuduhan ini tidak benar. Tetapi saya perlu buat penilaian saya sendiri. Dan saya yakin dan saya percaya bahawa tuduhan ini adalah benar.
Selain daripada itu, saya juga berjumpa dengan seorang Ketua Bahagian UMNO daripada Perak, Hamzah namanya. Dia bawa saya tape recording – apa nama telephone called, antara isterinya dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sekali lagi saya terkejut mendengar apa yang diperkatakan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada seorang isteri kepada seorang Ketua Bahagian UMNO. Cuba nak pikat dia supaya – apa nama – supaya berjumpa untuk tujuan apa. Dan loghat cakap itu saya dapati tidak begitu baik.
Saya masih tidak mahu mendedahkan perkara ini seboleh-bolehnya.

Walaupun pihak polis sudah ready, sudah pun menyiapkan kes-kes ini terutama berkenaan Datuk Nalla.

Saya nak cuba kalau boleh tidak mendedahkan perkara ini. Sebab itu, saya minta supaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim letak jawatan.

Saya berharap kalau dia letak jawatan, dia pergi, saya tak payah nak sebut tentang perkara ini kerana perkara ini mengaibkan seseorang dan parti kita dan keluarga-keluarga Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri yang saya berpendapat tidak berdosa.

Dan saya tidak hendak perkara ini mencemarkan mereka.

Tetapi Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak menuruti. Dengan itu, saya terpaksa melucutkan jawatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Apabila saya lucutkan jawatan ini, saya terpaksa membuktikan sebab-sebab kenapa saya melucutkan seseorang yang memegang jawatan ini. Saya terpaksa membuktikan sebab-sebab kenapa saya melucutkan seorang yang memegang jawatan yang tinggi dalam parti dan kerajaan. Saya tidak boleh mempertahankan tindakan saya melainkan saya dedahkan segala-galanya.

Saya cuba nak harap kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan pergi dengan rela hati dan saya tidak perlu berkata apa-apa. Kalau pun nak tuduh bahawa ini ialah oleh kerana pendapat yang berbeza-beza berkenaan dengan ekonomi, yang itu tidak mengapa, saya boleh pertahankan diri saya.
Tetapi apabila saya mengambil tindakan melucutkan, saya mesti jelaskan sebab-sebab yang saya ambil tindakan.

Sebab itu saya panggil Menteri-menteri Besar ke rumah saya sebagai ketua-ketua perhubungan.
Saya tidak panggil Majlis Tertinggi kerana saya berharap, masih berharap – saya tidak perlu jelas kepada Majlis Tertinggi. Saya jumpa dengan Menteri Besar, saya terang semuanya. Dan saya sanggup kalau Menteri-menteri Besar nak jumpa dengan orang yang saya jumpa pun saya sanggup untuk berjumpa, supaya dapat mengesahkan sendiri apakah benar atau pun tidak ?

Tetapi Menteri-menteri Besar tidak berminat untuk nak bertanya walaupun mereka berjumpa dengan Ummi dan Hamzah dan seorang lagi budak yang berjanggut.

Saya bagi penerangan kepada Menteri Besar supaya tindakan yang saya akan ambil akan difahami oleh Menteri-menteri Besar. Saya berhajat – berharap, saya dapat menerangkan perkara ini kepada Majlis Tertinggi tanpa mengeluarkan butir-butir yang tidak sedap didengar.

Tapi sebagaimana yang kita tahu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak meletakkan jawatan. Saya terpaksa melucutkan jawatannya dan saya terpaksa menjelaskan semuanya pada malam ini.
Saya tak nak ulas banyak lagi. Saya tahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuat tuduhan bahawa ada konspirasi daripada seluruh alat kerajaan. Saya tak tahulah apa asas-asas itu.

Saya tak akan tahankan diri saya kerana bagi saya, yang penting ialah seorang yang mempunyai moral yang begitu buruk, moral yang menjadi lebih buruk kerana menggambarkan diri sebagai seorang yang alim, seorang ulama, seorang yang boleh menjadi imam, boleh buat khutbah, orang yang semacam ini lebih daripada orang lain, tak patut buat kerja yang semacam itu.

Pada pendapat saya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja tidak layak memegang jawatan dalam kerajaan, tidak layak memegang jawatan dalam UMNO, bahkan tidak layak menjadi ahli UMNO.

REFERENCE: BLOG AIDC
Oct 07, 2011 - by  AIDC 59   



APA PULA KATA YUSUF QARDHAWI?


Saturday, March 15, 2014

TAJUK 101: MENEMUI SAHABAT SAS 1977

Pada 15 Mac 2014 aku menghadiri jemputan Majlis Perkahwinan anak lelaki bekas rakan sekelas (Tingkatan 6 Rendah) semasa di Sekolah Alam Shah, Jalan Cheras, Haji Adam bin Sulong. Majlis diadakan di Dewan Melati, Perbadanan Putrajaya.



Dalam majlis ini aku dapat berjumpa dengan lain-lain rakan sekelas seperti Engku Hamzah Tuan Mat, Hj Misro bin Jerut dan Hj Abdul Talib bin Abd Hamid.

Rakan-rakan lain yang sampai setelah aku meninggalkan majlis ialah, Minhad, Zakaria Md Alip dan Ahmad Noh bin Jeni.



 
 
Adam, Engku Hamzah, aku, Talib dan Misro 

Ini adalah kali pertama aku dapat bertemu dengan Hj Abd Talib yang bertugas di Pejabat Pelajaran Negeri Selangor di Shah Alam. Sebelum ini kami hanya berkomunikasi melalui facebook atau watzap sahaja sejak 3-4 tahun lepas. Semasa mengenali semula Talib, masa tu dia bertugas sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Langat.

Pertemuan pertamaku di kalangan rakan-rakan sekelas L6 SAS 1977 ini hanya bermula pada tahun 2011 apabila Abdul Malek Azman datang dalam majlis perkahwinan anak aku pada bulan November 2011. Selepas itu baru lah aku dapat temui satu persatu dalam beberapa majlis yang berbeza. Tidak termasuk Kamdani Md Salleh (rakan sekampungku) sehingga tarikh ini rakan yang pernah aku temui ialah:
  • Abdul Malek Azman (pertama kali jumpa semasa beliau hadir perkahwinan anakku pada tahun 2011) 
  • Hj Misro Jerut (semasa aku menghadiri majlis perkahwinan anak beliau pada tahun 2012)
  • Engku Hamzah (semasa aku menghadiri reunion di rumah beliau pada tahun 2012)
  • Hj Adam Sulong (semasa aku menghadiri majlis perkahwinan anak Misro pada tahun 2012) 
  • Abu Bakar Katar (2012) 
  • Minhad  (semasa aku menghadiri reunion di rumah Engku Hamzah pada tahun 2012)
  • Hj Sapini Mat Saman (semasa aku menghadiri majlis perkahwinan anak Misro pada tahun 2012)
  • Hj Marjuni Suradi (semasa aku menghadiri majlis perkahwinan anak Misro pada tahun 2012)
  • Fathul Rahman (semasa aku menghadiri reunion di rumah Engku Hamzah pada tahun 2012)
  • Yasman Tamsir  (semasa aku menghadiri reunion di rumah Engku Hamzah pada tahun 2012)
  • Ahmad Noh Jeni (semasa aku menghadiri majlis perkahwinan anak Noh pada tahun 2013)
  • Zakaria Md Alip (semasa aku menghadiri majlis perkahwinan anak Noh pada tahun 2013)
  • Zakaria Bokhari (semasa aku menghadiri majlis perkahwinan anak Misro pada tahun 2012)
  • Simi Abdul Ghani, Dato' (semasa aku menghadiri majlis perkahwinan anak Noh pada tahun 2013)
  • Hj Che Shukri Hassan, Dato' (dalam satu majlis rasmi di Kementerian Pertahanan dalam tahun 2014)
  • Khairudin (terjumpa di kawasan bangunan MINDEF pada tahun 2014)
  • Hj Abd Talib Hamid (semasa aku menghadiri majlis perkahwinan anak Adam pada tahun 2014)

Beberapa orang lagi ex-classmate yang telah berkomunikasi melalui emel atau facebook ialah Zaki bin Muda (Terengganu) dan Ali bin Senik (Kelantan)


Juga pertemuan selepas lebih 30 tahun antara (dari kiri) Ali Senik, Ahmad Noh Jeni dan Engku Hamzah

InsyaAllah pada 5 April nanti, ada lagi satu majlis perkahwinan melibatkan rakan sekelas SAS 1977, iaitu Engku Hamzah Tuan mat di Sg Ramal, Kajang.

Sunday, February 2, 2014

TAJUK 100: MAJLIS PERTUNANGAN ATIKAH NUR EZZATY


PERTUNANGAN
ATIKAH

Pada 26 Jan 14, ibu dan bapa saudara kepada Muhammad Assyafiq bin Harun dari Kg Jawa, Jalan Sg Gerang, Batu 18, Jalan Ulu Langat telah datang ke rumahku untuk merisik anakku yang keempat, Atikah Nur Ezzaty.

Macam juga  2 puteriku sebelum ini, aku tidak banyak kerenah dan syarat mencari bakal menantu lelaki. Yang penting ialah ada kerja tetap dan boleh membaca alQur'an dengan baik.

Persetujuan dicapai bahawa rombongan peminangan secara rasmi (hantar tanda) dilaksanakan pada 1 Feb 2014. Sebenarnya aku malas nak buat majlis atau adat-adat yang membazirkan masa dan wang ini. Kalau boleh terus tetapkan hari pernikahan dan keraian sahaja. Jimat. Tapi kehendak orang perempuan (isteri) ini lain. Kena ambil kira juga. Apa lagi dua anak perempuan sebelum ini dibuat, jadi kali ini macam terpaksa kena juga lah.

Tiba masanya, pada 1 Feb 2014 bersempena dengan long weekend gabungan Tahun Baru China dan Hari Wilayah Persekutuan, rombongan peminangan pun sampai.

Ketibaan Rombongan Peminangan


.


Majlis dimulakan dengan Tazkirah dan Doa oleh Ustaz Kol Hj Nawawi Hj Daud (KAGAT)








Sessi Bergambar



Tetamu beransur pulang


Niat nak buat kecik-kecik je, tapi besar juga jadinya.

Aku memohon kepada Allah agar dilindungi dari perkara yang tidak disukaiNYA sehinggalah segalanya selamat disempurnakan nanti. Doakan juga agar pertemuan ini akan berkekalan siikuti oleh majlis ijab qabul dan seterusnya menjalani ekhidupan suami-isteri sehingga akhir hayat dan terus menerus mendapat kebarkatan dari Allah.
.

IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...