Sunday, February 24, 2013

TAJUK 85: JOM PERGI UMRAH

JOM  KITA GI  
UMRAH
SIRI 1

Sejak pulang dari menunaikan Rukun Islam ke 5 pada tahun 1432H (2010M) niatku untuk kembali mengunjungi Baitullah sentiasa membuak-buak.  Sebaik sahaja menyelesaikan Tawaf Wada' pada hari terakhir di Makkah (sebelum bertolak ke Madinah), aku berdoa bersungguh-sungguh di hadapan Kaabah agar Allah menunaikan hasratku untuk kembali ke tempat itu.

Aku mengekalkan potongan bulanan gajiku untuk Tabung Haji.  Setiap tahun aku memasang niat agar diberikan kemudahan dan kelapangan untuk aku ke sana. Mulanya aku berhasrat untuk menunaikan Umrah pada tahun 2012 namun pertukaran ke MLU pada Februari 2012 dengan gumpalan kerja-kerja yang perlu diselesaikan disamping penabungan yang masih belum mencukupi aku menangguhkan niat. 

Pada 29 Sep 2012 aku mendaftarkan diri dengan Andalusia Travel & Tours untuk menunaikan Umrah (bersama isteri) pada 27 April 2013.  Perancangan awalku adalah mengambil pakej Umrah dan Ziarah Cairo.  Aku ada berbincang dengan rakan Hajiku, Tuan Hj Osman dari Masjid Tanah Melaka untuk mengambil pakej itu.

Pada akhir Feb 2013, aku membuat penelitian semula.  Aku rasakan keadaan di Cairo masih belum stabil.  Kekecohan dan demonstrasi masih berlaku dari semasa ke semasa. Aku bimbang program mungkin terganggu khususnya pergerakan melawat ke destinasi yang dirancang.  Justru itu, pada 24 Feb 2013 aku mengubah perancangan  dengan menukar kepada pakej Umrah dan Ziarah Istanbul pada 19 Mei 2013.

SEMOGA ALLAH MEMPERKENANKAN DOA DAN IMPIANKU.

Sementara menunggu tarikh itu, aku mengulangkaji semula ilmu-ilmu berkaitan umrah sebelum menyertai mana-mana kursus yang bakal dianjurkan oleh Andalusia.

Apa itu Umrah?


Umrah (ﻋﻤﺮﻩ) ialah mengunjungi Baitullah di Makkah dan melakukan ihram, tawaf, sa'i dan bertahallul mengikut tertib.

Umrah adalah fardhu seperti Haji. Ini adalah pendapat al-Imam as-Syafie r.a. yang al-Azhar. Ijmak Ulama mengatakan bahawa hanya wajib dilakukan sekali sepanjang hayat bagi orang yang mampu kecuali orang yang bernazar, maka dia wajib memenuhi nazarnya.

Dalil daripada al-Quran ialah firman Allah Taala: Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah (Al-Baqarah 196).

Sabda Nabi yang diriwayatkan Ibnu Majah, Al-Baihaqi dan sanad yang sahih daripada Aisyah r.a. katanya:

Aku berkata : "Wahai Rasullah,apakah wanita wajib berjihad?". Sabda Baginda: "Ya, jihad yang tiada peperangan padanya iaitu haji dan umrah".

Niat Ihram, Tawaf dan Sa'i tidak boleh dilakukan di mana-mana tempat lain melainkan di tempat yang ditetapkan. Iaitu niat ihram di Miqat, tawaf 7 pusingan mengelilingi Kaabah di dalam Masjidil Haram dan bersa'i 7 kali bermula di bukit Safa dan berakhir di bukit Marwah. Terakhir sekali bertahallul iaitu bercukur atau mengunting rambut sekurang-kurangnya 3 helai selepas itu, segala larangan dalam Ihram menjadi halal sepertimana sebelum beliau berihram.
Beza Umrah dengan Haji ialah Umrah boleh dilaksanakan sepanjang tahun tetapi Haji hanya boleh dilakukan pada bulan haji sahaja, dan hari kemuncaknya ialah pada hari Tasyrik 9, 10, 11, 12 di mana jemaah berkumpul di Padang Arafah dan Mina.

Pada zaman sekarang Kerajaan Arab Saudi menetapkan mana jemaah umrah mestilah mengikut muassasah umrah dan memohon visa umrah melalui agensi umrah. Tiada lagi permohonan Visa umrah dapat dilakukan di Kedutaan Arab Saudi secara individu.


Persiapan Diri Menunaikan Umrah

Memperbetul tujuan semata-mata kerana Allah S.W.T.

Sesuatu pekerjaan itu hanya menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah S.W.T. apabila:
  • diniatkan semata-mata untuk mematuhi perintah Allah S.W.T.;
  • caranya menepati syariat yang ditetapkan;
  • tidak berlaku sebarang penyelewengan; dan
  • ibadah wajib seperti sembahyang, berpuasa, berzakat dan lain-lain tidak ditinggalkan.
Oleh itu, elakkan diri dari mengerjakan haji dan umrah kerana sebab-sebab sosial, ekonomi, politik atau tujuan-tujuan lain.

Mendapatkan ilmu yang cukup

Setiap ibadah termasuk umrah yang dikerjakan tanpa ilmu adalah sia-sia. Ini kerana kerja-kerja ibadah tidak boleh dibuat secara ikut-ikutan sahaja. Selok belok pelaksanaan ibadah umrah perlu dipelajari dan difahami supaya dapat dikerjakan dengan sempurna sewaktu di Tanah Suci tanpa bergantung kepada orang lain.

Menggunakan sumber wang yang halal

Ibadah umrah adalah merupakan salah satu persembahan kepada Allah S.W.T. Sama ada diterima atau sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana sempurnanya ibadat itu dilaksanakan dan sebersih mana pula wang ringgit yang digunakan.

Pastikan wang ringgit yang digunakan  untuk menunaikan umrah (tambang menambang, makan minum, penginapan dan lain-lain) malah yang digunakan untuk kehidupan seharian adalah dari sumber yang halal lagi bersih dari sebarang penyelewengan atau penindasan. Mata pencarian yang haram, selain dari berdosa, boleh menyebabkan  hilangnya keberkatan dalam kehidupan.

Menjaga kesihatan jasmani dan rohani

Pelaksanaan ibadah umrah memerlukan kesihatan fizikal dan mental serta kestabilan emosi. Bakal jemaah hendaklah menjaga kesihatan menerusi pemakanan yang baik dan seimbang serta memperbanyak aktiviti riadah. Selain itu, jemaah hendaklah melatih diri supaya bersikap positif dan bijak mengawal perasaan.

Menyempurnakan semua rukun Islam yang lain

Ibadah haji adalah rukun yang kelima dan terakhir selepas mengucap dua kalimah syahadah mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengeluarkan zakat. Bakal-bakal jemaah umrah perlu terlebih dahulu mempunyai kefahaman yang sempurna bersabit tuntutan Syahadah, sembahyang, puasa dan zakat serta melaksanakannya.

Memperbanyakkan amalan sedekah

Sesuatu yang boleh meringankan bebanan orang lain (termasuk suami, isteri, ibubapa, saudara mara, sahabat handai, faqir miskin, anak yatim dan sebagainya) sama ada dalam bentuk wang ringgit, tenaga hatta senyuman atau perwatakan ceria adalah sedekah. Amalan sedekah membantu menambah pahala, mengurangkan dosa dan membantu hubungan sesama manusia. 

Bakal jemaah digalakkan memperbanyakkan sedekah sewaktu di Tanah Air dan juga di Tanah Suci nanti. Ia membahagiakan pihak yang menerima dan turut membahagiakan pihak yang memberi. Sewaktu berada di Tanah Suci pula, para jemaah hendaklah menggunakan sebaik-baiknya kesempatan untuk memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan.

Menunaikan sembahyang berjemaah

Matlamat menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci Makkah antara lain ialah untuk memanfaatkan masa yang ada sebaik mungkin untuk beribadah terutamanya di Masjidil Haram. Peluang berada di Tanah Suci Makkah hendaklah digunakan sebaiknya untuk beribadah sebaik mungkin seperti menunaikan solat berjemaah.

Menjauhi amalan-amalan syirik

Menyengutukan Allah adalah merupakan salah satu dosa besar. Tidak selayaknya orang yang hendak menjadi tetamu Allah membuat kerja-kerja syirik seperti beramal dengan ilmu sihir, bergantung hidup kepada tangkal azimat dan sebagainya. Selain itu, bakal-bakal jemaah hendaklah menghindari sifat suka mengejar kebendaan dan kesenangan hidup sehingga meremehkan soal halal dan haram, dosa dan pahala serta syurga dan neraka.

Memperbaiki akhlak dan menghindari sifat-sifat mazmumah (tercela)

Tanah Suci Makkah adalah tempat orang memperlihatkan peribadinya yang sebenar. Orang yang hendak menjadi tetamu Allah S.W.T. hendaklah mempunyai adab yang baik sama ada dari segi perbuatan, percakapan malah niat di hati. 

Sifat-sifat buruk seperti hasad dengki, sombong, takabbur, panas baran, suka mendedahkan aurat, suka bermegah-megah dan lain-lain hendaklah dijauhi. Menurut maksud hadith, hasad dengki menghapuskan amal kebaikan seseorang sepertimana api membakar hangus kayu api.

Tanah Suci Makkah juga adalah tempat pertembungan umat Islam dari segenap pelusuk dunia. Sifat-sifat murni seperti sabar, ikhlas, syukur, tolong-menolong, ramah dan sebagainya akan dapat memudahkan interaksi sesama jemaah.

Membersihkan diri dari dosa

Sebelum berangkat ke Tanah suci bakal jemaah hendaklah bertaubat dengan:
  • meninggalkan serta merta perbuatan yang telah menimbulkan dosa;
  • berazam dengan sepenuh hati tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi;
  • merasa kesal yang amat sangat di atas perbuatan dosa itu; dan
  • jika dosa itu ada kaitan dengan manusia, perlu mendapatkan kemaafan dan pernyataan halal bagi kesalahan yang dilakukan dan hak yang  diambil dari manusia tersebut.
Berdoa dan bertawakkal

Perancangan Allah S.W.T. mengatasi segala perancangan makhluk-Nya. Segala persiapan yang telah dibuat tidak dapat menjamin ibadah umrah dapat dilakukan dengan sempurna. Justeru, para jemaah perlu banyak berdoa kepada Allah S.W.T., memohon keampunan dan pertolongan-Nya. 

Para jemaah juga sebaiknya memperbanyakkan sembahyang sunat Tahajjud, Tasbih, Taubat dan Hajat menjelang keberangkatan dan juga sepanjang berada di Tanah Suci.

Agensi Pengelola Umrah / Haji Bermasalah

Jangan tertipu dengan tawaran Pakej Umrah dari syarikat-syarikat yang kita tidak pasti keupayaannya. 

Berikut adalah senarai nama agensi pengelola umrah/haji yang mempunyai rekod bermasalah bersama jumlah tuntutan yang telah difailkan dari tahun 2005 sehingga 30 April 2011.
  1. Qaisar Travel & Tours Sdn Bhd (103 aduan)
  2. Al kahfi Travel & Tours Sdn Bhd (81 aduan)
  3. Hijjaz Legend Travel & Tours Sdn Bhd (64 aduan)
  4. Warith NY Travel & Tours Sdn Bhd (50 aduan)
  5. Permata El Nur Travel & Tours Sdn Bhd (22 aduan)
  6. Mat Sarawak Travel & Tours Sdn Bhd (20 aduan)
  7. Anjung Warith Holidays Sdn Bhd (18 aduan)
  8. Jaznal Travel & Tours Sdn Bhd (14 aduan)
  9. Tijaratun Nur Travel Group Sdn Bhd (13 aduan)
  10. Bahrulmazi Travel & Tours Sdn Bhd (12 aduan)
Sumber : Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia
..
Syarat-Syarat Umrah

Syarat adalah perkara yang paling penting dalam pelaksanaan sesuatu ibadah. Sekiranya seseorang itu tidak cukup syarat, umpamanya dia seorang kafir atau seorang Islam yang telah melakukan perbuatan-perbuatan yang menepati ciri-ciri orang murtad, maka ibadah umrahnya bukan sahaja tidak wajib dikerjakan, malahan tidak sah jika dilakukan. Berikut ialah syarat-syarat pelaksanaan ibadah umrah:
  • Berakal.  Tidak wajib kepada orang tidak berakal (gila) dan tidak sah jika dilakukan.
  • Baligh. Tidak wajib bagi kanak-kanak. Sah jika dilakukan tetapi tidak mengugurkan kewajipannya mengerjakan umrah setelah dewasa kelak.
  • Berkuasa. Berkuasa dengan menunaikannya sendiri ataupun berkuasa mengerjakannya dengan pertolongan orang lain (badal umrah).
  • Islam. Tidak wajib dan tidak sah bagi orang kafir dan juga orang murtad.
  • Merdeka. Tidak wajib bagi hamba abdi tetapi sah dan berpahala jika dapat dilakukan.

Takrif Berkuasa

Berkuasa mengerjakan sendiri

Seseorang itu dikira berkuasa mengerjakan umrah jika mempunyai perkara-perkara berikut:
  • bekalan untuk yang pergi dan juga untuk keluarga yang tinggal;
  • kenderaan;
  • aman perjalanan;
  • sihat badan dan akal; dan
  • berkesempatan (mempunyai masa yang cukup) untuk mengerjakan umrah.
Berkuasa bagi wanita

Bagi kaum wanita, mereka perlu mempunyai tiga lagi syarat iaitu:
  • Mendapat izin suami atau wali;
  • Tidak berada dalam iddah(walaupun suami telah memberi keizinan atau berwasiat membenarkan pergi);dan
  • Ditemani oleh:
    • Suami atau wali (atau jika tiada);
    • Mahram iaitu seorang lelaki yang haram bernikah dengannya (atau jika tiada);
    • Perempuan thiqat (dua orang perempuan yang boleh dipercayai, boleh membantu dalam urusan fizikal dan pelaksanaan ibadah. Walau bagaimanapun khidmat perempuan thiqat ini hanya boleh digunakan bagi umrah fardhu sahaja tetapi tidak bagi umrah sunat.
Rukun Umrah

Terdapat lima perkara dalam Rukun Umrah yang mesti dilaksanakan oleh jemaah. Pelaksanaan Rukun Umrah tidak boleh dibuat dengan mewakilkannya kepada orang lain. Sekiranya salah satu daripada Rukun Umrah ditinggalkan secara sengaja atau tidak sengaja, ibadah umrah tersebut adalah tidak sah.

Lima Rukun Umrah ialah:
  • Niat
  • Tawaf
  • Sai’e
  • Tahallul
  • Tertib

نويت العمرة وأحرمت بها لله تعالى

Ertinya : “Sahaja aku berniat umrah dan berihram aku untuk melaksanakannya kerana Allah Ta’ala.”                                   

Tawaf.  Tawaf adalah salah satu rukun yang sangat penting dalam ibadat umrah. Sekiranya ia tidak dilaksanakan mengikut syarat-syaratnya, ia menjadi tidak sah dan justeru itu Sai’e, iaitu rukun yang berikutnya juga akan menjadi tidak sah.

Syarat- syarat sah tawaf.

Berniat mengelilingi Ka’abah semata-mata untuk menunaikan tawaf kerana Allah S.W.T. Lafaz niat Tawaf Umrah:

Ertinya: “Aku berniat Tawaf Umrah di Ka’abah ini tujuh pusingan kerana Allah Taala.”
.
  • Tawaf hendaklah dilakukan di luar Ka’abah tetapi di dalam Masjidil Haram. Tawaf boleh dilakukan di bahagian atas Masjidil Haram tetapi mesti dipastikan bahu sentiasa mengiringi Ka’abah.
  • Tidak boleh menyentuh mana-mana bahagian Ka’abah termasuk  Syazarwan (bingkai Ka’abah) semasa tawaf.
  • Tidak boleh menggunakan laluan di bawah pancur emas antara Hijr Ismail dengan Ka’abah (kerana Hijr Ismail juga dikira sebahagian daripada Ka’abah).
  • Laluan tawaf hendaklah bersih daripada najis.
  • Tawaf hendaklah dimulai dari belakang garisan Hijr al-aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama.
  • Tawaf hendaklah dilakukan sebanyak tujuh kali pusingan dengan  sempurna dan yakin.
  • Mesti mengirikan Ka’abah sepanjang masa tawaf. Beri perhatian khusus apabila tiba di penjuru-penjuru Ka’abah.
  • Mesti suci daripada hadas kecil (yakni berwuduk).
  • Mesti suci daripada hadas besar.
  • Badan dan pakaian mesti suci daripada najis.( mendukung anak lelaki yang belum berkhatan adalah diaggap membawa najis yang menyebabkan tawaf menjadi tidak sah).
  • Mesti menutup aurat.
Sai’e.  Sai’e adalah juga satu rukun yang penting dan perlu dilaksanakan dengan sempurna. Walaupun begitu sahnya Sai’e bergantung kepada sahnya tawaf. Jika kerana sesuatu sebab, tawaf tidak sah maka Sai’e yang walaupun dibuat dengan sempurna akan turut menjadi tidak sah.

Syarat-syarat sah Sai’e:
  • Hendaklah dilakukan selepas tawaf.
  • Tujuan hendaklah semata-mata untuk Sai’e.
  • Sai’e hendaklah dimulai dari Bukit Safa dan tamat di Bukit Marwah.
  • Sai’e dilakukan genap dan sempurna bilangan sebanyak tujuh kali. Perjalanan balik dari Marwah ke Safa dikira sekali pula.
http://www.jawhar.gov.my
.
Bagaimana Orang Mekah Melaksanakan Umrah

Salah seorang sahabat saya, Hj Zainal Samsi yang pernah bekerja dan tinggal dalam kawasan tanah haram (8 km dari Masjidil Haram) ingin berkongsi sedikit maklumat tentang bagaimana penduduk Tanan Haram mengerjakan Umrah.
  • Bagi penduduk Tanah Haram (dalam lingkungan 20 ke 30km dari Baitullah), mereka hendaklah keluar ke mana-mana tanah Halal untuk Berihram (Selalunya ada batu sempadan yang bertulis "Haram Boundary - Non Muslim is prohibited). Tak kira mana-mana sempadan, asalkan Tanah Halal. Selalunya Rakyat Malaysia dan negara luar akan keluar ke Masjid Tanaim utk berihram kalau mereka hendak mengerjakan Umrah bagi kali kedua dan seterusnya selepas mereka berada di Mekah. Keluar ke Masjid Tanaim adalah Sunnah Rasululah seperti amalan Saidatina Aisyah. Bagi penduduk Mekah mereka boleh keluar ke mana-mana tanah Halal utk berihram. Masjid Tanaim ni lebih kurang 20km sahaja dari Baitullah, kalau naik Taksi 50rial jer satu taksi utk 4 orang. Kalau boleh cakap arab sikit2 30 ke 40 rial. Ada  yang kemut tu cuma hulur 25rial, MasyaAllah. Selalunya orang Arab jugak tapi bukan Warganegara Saudi. 
  • Ada lima tempat Miqat. Bagi yang datang dari arah utara (Spt Madinah), tempat Miqat adalah Bir Ali lebih kurang 450km sebelum sampai ke Mekah. Bir Ali ni masa kita belajar sekolah Agama dulu namanya Zulhulaifah. Sesiapa yang menetap selepas Bir Ali menghala ke Mekah, tempat miqatnya ialah daripada rumah masing2. Contohnya rumah mereka 350km menghala ke Mekah selepas Bir Ali, maka berihram dari rumah masing2.
  • Bagi yang datang dari arah selatan (seperti Yemen), tempat Miqat ialah Yalamlam (sama spt dalam kitab Muta'al Badrin), lebih kurang 150km dari Mekah. Kat sini ada nama lain iaitu Saadiah. Dulu Bani Saadiah tinggal dikawasan sini (ibu susuan Nabi). Sesiapa yang tinggal 100km menghala ke Mekah, maka tempat miqatnya ialah dari rumah juga. Dulu embah kita naik Haji dengan Kapal Laut kat Yalamlam nilah tempat Miqat sebelum sampai ke Pelabuhan Jeddah.
  • Bagi yang datang dari arah Timur (Dari Riyadh dan Taif) Miqatnya adalah Wadi Mahram berdekatan dengan Bandar Taif. Wadi Mahram masa kita belajar Darjah Khas dulu, Qurnal Manazil. Sekarang ni kalau orang tanya mana Qurnal Manazil, org arab sendiri pun tak tahu kat mana, sebab dah lekat dengan nama Wadi Mahram ni. Wadi Mahram ni lebih kurang 50km sebelum sampai Mekah (Baitullah). Kalau kita naik kapalterbang dari Malaysia, kat sini lah tempat kita Miqat (Qurnal Manazil). Selalunya Pilot tak pernah umumkan nama tempat, cuma beritahu tempat miqat 30 mint lagi akan sampai.
  • Bagi yang datang dari arah Barat (Jeddah), tempat Miqatnya adalah dari Rumah masing2. Disini tiada tempat specific utk Miiqat. Cuma rumah masing2 sebab Jeddah tu pun dah dekat laut Merah.
  • Bagi yang datang dari Arah antara utara dan Timur (Timur Laut), tempat Miqatnya adalah Jakronah. Kat sini ada sejarah yang tersendiri masa zaman Rasulullah dulu, tapi saya dah lupa.Jakronah ni agak jauh sikit dan tak berapa popular utk Miqwat. Hanya rombongan yang buat lawatan sahaja yg melalui tempat ni dan kemudian bermiqat.


IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...