Wednesday, August 22, 2012

TAJUK 78: CUCU KEDUA

4 SYAWAL 1433
KELAHIRAN CUCU KEDUA

Hari ini adalah 4 Syawal 1433 bersamaan dengan 22 Ogos 2012.  Malam tadi aku bersama isteri dan 3 orang anak-anakku baru sampai di rumah di KL setelah 3 hari berhari raya di kampung (Parit Lapis Mahang).  Kami pulang ke Batu Pahat pada hari Sabtu pagi. 


Mengimbau sedikit suasana Hari Raya di kampung pada tahun ini.

Sebagaimana Hari Raya tahun-tahun sebelumnya, tahun ini ahli keluarga berkumpul di rumah bapak pada malam Raya. Kalau orang China merayakan Gong Xi Fa Cai dengan makan besar dan menjamu 'yee sang' dan kueh bakulnya, kami sekeluarga juga ada tradisi Makan Besar. Kalau 'full strength' jumlahnya lebih 60 orang (9 anak dan lebih 50 cucu dan cicit).

Pelbagai hidangan seperti lontong, ketupat, lemang, nasi himpit, lopes serta lauk-pauk seperti kuah lodeh, kari, ayam masak kicap, sambal kacang, sambal lemak lembu, sambal goreng dan berbagai lagi.  Bukan semua masakan keluarga tetapi kebanyakannya adalah hasil 'barter trade' di kalangan penduduk kampung khususnya jiran tetangga.  Aku rasa antara 20-30 pertukaran hidangan pada petang itu.  Dan itulah tradisi di kampung yang tidak berkesinambungan di dalam kehidupanku setelah meninggalkan kampung.

Raya tahun ini, kami tidak membenarkan emak memasak atau membuat lontong seperti tahun-tahun yang lalu. Kesian emak, kerana terpaksa menjaga bapak yang semakin uzur dan kehilangan seluruh ingatan lepasnya.  Bapak hanya boleh nampak dan buat apa yang ada di hadapannya sahaja. Dia tidak kenal siapa lagi manusia yang bercakap dengannya walaupun anak-anak dan cucunya sendiri.  Perlu pengawasan.  Walaupun pada fizikalnya bapak masih sihat, mampu mencabut rumput, menyapu sampah keliling rumah, hobinya merata-ratakan pasir di keliling rumah, bapak dah tak ingat semua anak-beranaknya (kami tak pernah tanya sama ada kenal emak atau tidak, terlalu sedih kalau dia jawab 'TIDAK KENAL'). Kami anggap dia kenal emak sebab dari buka mata sampai tutup mata untuk tidur emak yang melayannya setiap hari.

Tahun ini, kami adik beradik berpakat mengupah 'Ngah dan anak-anaknya' untuk menyediakan segala-galanya. Keperluan asas jamuan raya. Kami pakat buat collection sahaja. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.  Terima kasih Ngah dan anak-anak yang menjadi Duta kami adik beradik untuk memantau segala aktiviti emak dan bapak setiap hari.  Tanpa Ngah, emak tak boleh bergerak jauh dari bapak. 

Aku sebenarnya amat berasa bersalah kerana dalam usiaku melangku 50 tahun ini, masih tidak berupaya untuk meluang masa menjaga emak dan bapak, insan tempat kami bernaung dan menagih kasih sayang dari kecil sehingga kami kami berumahtangga dan keluar mencari rezeki dan membesarkan anak-anak kami pula.  Dulu kami lihat emak dan bapak memelihara Embah (Suminah) selama bertahun-tahun sebelum Embah meninggal dunia pada tahun 1995. Hari ini kami yang berpendapatan beribu-ribu sebulan, tidak mampu untuk duduk dengan emak lebih dari seminggu. Emak! Bapak! Ampunkanlah dosa-dosa kami dia atas kegagalan kami membalas kasihsayang mu.

.
.
.
Sejak bapak kurang sihat 2-3 tahun yang lalu dan Long (abang Jahrom) pun sudah tidak lagi bermalam raya di kampung kerana telah mempunyai keluarga besar (anak, menantu dan cucu), kepala keluarga diambil alih oleh Hj Khamim. Biasanya perhimpunan yang mengumpulkan dua keluarga iaitu anak-cucu Hj Abd Rashid dan anak-cucu almarhum Hj Abd Manap akan berkumpul dirumah kami sebelum Solat Eidil Fitr.  Kami bertakbir berama-ramai seterusnya Hj Khamim akan memberikan kata-kata aluan sebelum membaca doa selamat dan tahlil arwah.  Tahun ini (1433) tugas mengetuai majlis ini diamanahkan kepada aku kerana Hj Khamim kurang sihat (batuk). Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar.

Selesai doa selamat kami sekeluarga bersalam-salaman memohon ampun dan maaf dengan setiap ahli keluarga.

Kanak-kanak yang belum berkerja merupakan kumpulan keluarga yang paling tak sabar menunggu majlis doa selesai.  Mereka akan duduk di posisi masing-masing untuk menerima habuan duit raya dari atuk-atuk, pakcik-pakcik, dan abang-abang/kakak-kakak sepupu yang sudah bekerja.  Pemberi duit raya yang akan berpusing mengagihkan duit raya satu persatu supaya tidaka ada yang tercicir. Rasanya pagi itu sahaja mereka boleh collect dekat RM200. Itulah zaman mereka.  Masa aku kecik dulu, paling banyak dapat pagi raya adalah 'dua atau tiga ringgit sahaja'.

Tradisi keluarga besar kami- takbir dan doa di pagi 1 Syawal


Tahun ini sessi fotografi tidak lengkap kerana 3 dari anak-anakku tidak menyertai perayaan hari pertama di kampung halaman.



Raya kali ini ini kami pulang ke Batu Pahat berlima sahaja. Fazeera dan Aisyah mengikut suami masing-masing beraya di rumah mertuamanakala Hafeez tinggal di KL kerana isterinya sedang menunggu waktu untuk melahirkan anak sulung mereka. 

Kelahiran Puteri - Cucunda kedua

Kami bertolak dari kampung jam 10.30 dan beraya ke Kluang dahulu (dapat dua rumah, rumah abangku yang sulung di Taman Seri Lambak dan rumah besanku di Taman Kluang Barat) sebelum meneruskan perjalanan ke KL.  Bertolak dari Kluang lebih kurang jam 4.15.  Selepas exit Simpang Ampat (Alor Gajah), lebuhraya PLUS mulai sesak dan bergerak perlahan.  Melihat keadaan itu, kami keluar exit Senawang dan singgah di rumah Taman Ampangan, Seremban untuk solat Maghrib dan Isyak.  Lebih kurang jam 2145 kami bertolak dari Seremban melalui lebuhraya LEKAS. Trafik lancar. Keluar exit Kajang/Bangi masuk ke PLUS semula, trafik amat lancar berlawanan seperti yang dijangkakan (melihat keadaan di Senawang tadi).

Alhamdulillah, selamat sampai KL lebih kurang 1020 dan singgah makan di RK Satay, Keramat Permai. Sampai rumah jam 2330, kerana kepenatan, terus masuk tidur.  Bangun 0515, untuk ke surau,  Hafeez bagi tau, dia hantar isterinya ke HKL jam 0300 pagi tadi dan isterinya ditahan di HKL.  Aku terus ke surau untuk solat Subuh.  Keadaan masih sunyi. Beberapa rumah sahaja yang kelihatan berpasang lampu.  Lepas azan hanya ada lebih kurang 10 jemaah sahaja. Ustaz pun belum ada yang pulang dari berhariraya.  Pagi ini mereka tolak aku jadi imam.  Rupanya pagi ini adalah azan Subuh pertama sejak malam 1 Syawal hari itu.

Jam 0630, pulang dari surau, Hafeez dah siap sedia ke HKL ditemani oleh ibunya kerana katanya Musfirah dah masuk bilik bersalin.  Aku tunggu rumah.  Beberapa minit kemudian, isteriku menelefon memberitahu bahawa Musfirah sudah pun selamat bersalin. Rupanya semasa aku di surau tadi, Musfirah sudah pun melahirkan anaknya.  Seorang PUTERI. Syukur alhamdulillah.  Kini aku ada sepasang cucu.  Cucu pertamaku seorang PUTERA (anak kepada Fazeera). 







Baby ini dilahirkan pada jam 0647H di Hospital Kuala Lumpur dengan berat timbangan 2.49kg dan dinamakan Wafa Firdaus binti Muhammad Hafeez Firdaus.

Namun ALLAH Maha Mengetahui dan Maha Menetapkan apa jua ketentuannya. Usia Wafa Firdaus tidak panjang. Allah lebih menyayanginya sebab itu SYURGA Firdaus dianugerahkan untuknya. Satu KEPASTIAN.

Pada 9 Jun 2013, ketika aku dan isteri berada di Istanbul (baru hari kedua) dalam perjalanan menunaikan ibadah umrah, aku menerima berita bahawa Wafa Firdaus telah pergi buat selama-lamanya akibat kemalangan jalan raya.







.

.

No comments:

Post a Comment

IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...