Saturday, November 24, 2012

TAJUK 83: CUCUNDA KETIGA

"ANUGERAH BERHARGA"
KELAHIRAN CUCUNDA KETIGA

Hadiah yang berharga bagi sesuatu perkahwinan ialah cahaya mata. Hadiah yang ditunggu oleh seorang ayah apabila anaknya telah melangsungkan perkahwinan ialah kelahiran cucu.  Tidak kira, sama ada ia cucu pertama atau yang ke berapa, semuanya ditunggu dengan penuh debaran.  Ini kerana 'melahirkan anak bagi seorang ibu' adalah kesakitan yang paling tinggi selepas kesakitan 'apabila nyawa ditarik dari tubuh oleh malaikat Izrail'.

Hari ini 24 November 2012, iaitu dua hari selepas aku meraikan ulang tahun kelahiranku yang ke 53 aku menerima kelahiran cucuku yang ketiga, yang bakal melanjutkan kensinambungan zuriat Toharudin bin Haji Abd Rasid bin almarhum Haji Tahir bin almarhum Hj Ibrahim.

Aisyahnur Abid binti Toharudin (21 tahun) telah selamat melahirkan seorang puteri pada jam 0443 di Hospital Tuanku Mizan, Wangsa Maju.



Aisyahnur Abid yang dilahirkan pada 8 Mac 1990 telah berkahwin dengan Kapten Muhammad Noor Hafiz bin Kasim pada 19 Nov 2011.

Pada 23 Nov 2012 petang ketika sedang sibuk mengikuti program lawatan tahunan PTU ke PUKL yang disempurnakan oleh YBhg TPTU, aku menerima 'SMS' dari isteriku yang menyatakan bahawa Aisyah telah mula mengalami pendarahan dan sakit-sakit tanda menghampiri masa bersalin.  Bagaimanapun kami tidak terus membawa ke hospital kerana ingin melihat perkembangan selanjutnya.

Kesihan juga aku melihat Aisyah kerana, dalam saat begini suaminya tidak dapat berada di sisinya kerana keperluan tugas. Nor Hafiz masih berada dalam operasi Batalionnya (13 RAMD) di Seri Aman, Sarawak.

Malam itu aku ada majlis tahlil di surau (untuk almarhumah ibu kepada Lt Jen Dato' Hj Raja Mohamamd Affandi).  Selesai majlis itu sepatutnya aku ke rumah Lt Kol Roustom Shah TUDM di salah sebuah OMQ untuk majlis doa selamat sempena pernikahan anak beliau pada 24hb.  Namun hatiku tidak berapa sedap, aku terus pulang ke rumah.  Aku lihat Aisyah masih mengalami sakit-sakit.  Aku arahkan isteriku untuk berkemas menyedaikan peralatan yang sewajarnya dan minta Aisyah bagi tau sahaja kalau rasa dah sakit sangat.  Aku tidak berapa panik kerana hospital tidak jauh dari rumah, boleh sampai dalam 15 minit sahaja. Malam itu aku merasa sangat mengantuk, kepenatan, aku masuk tidur dalam pukul 11 lebih.

Baru sahaja terlelap, isteriku mengejutku mengatakan Aisyah dah merasai sakit yang berterusan. Aku pun bergegas bangun dan bersiap untuk membawa ke HAT Tuanku Mizan.  kami bertolak dalam jam 0030H dan melapor di kaunter kecemasan.  Setelah setengah jam, Aisyah dibawa ke bilik bersalin dan kami apabila diberitahu bahawa rahimnya baru terbuka 3cm (sepatutnya 10 cm) maka kami pun pulang dahulu ke rumah.

Pagi tu, setelah selesai mendirikan solat Subuh, isteriku menelefon ke hospital dan diberitahu bahawa Aisyah telah selamat bersalin pada jam 0440.  Lebih kurang jam 0730, aku dan isteri (bersama Atikah dan Nurul) pergi ke hospital dan meminta kebenaran jururawat untuk mengazankan cucuku.



Kami hanya dapat melawat (masuk ke wad Obstetrik) pada jam 1230 petang. 
.
 

Auni Humayra binti Muhamad Noor Hafiz
 

Dalam setengah jam kemudian, Fairiz dan Farihan datang melawat.  Aku mengambil kesempatan keluar sekejap menghadiri dua jemputan perkahwinan; Kept Hj Kamaruzaman (di Dewan Dato Othman Harun) dan Kol Hj Ahmad Zulkifle TUDM di Kampung Pengantin (Wedding Garden), Setapak.

Kawan baik Aisyahnur semasa sekolah rendah, Afzan bt Dato' Azri adalah satu-satunya bukan keluarga yang datang melawat Aisyahnur di wad.  Mungkin dia terbaca maklumat berkaitan kelahiran baby Aisyahnur di dalam facebook.
.
 
Muhammad Aqeef Waqas, cucu sulung sempat melelapkan mata kepenatan semasa melawat sepupunya yang baru dilahirkan (pemegang jawatan Laksamana- ketua segala cucu)

 
sepupu yang baru

baby dah buka mata

 
INILAH KETIGA-TIGA CUCUNDAKU BERSAMA BONDA MASING-MASING
Muhammad Aqeef Waqas bin Mohd Farihan (24 Okt 2011)
Wafa Firdaus binti Muhammad Hafeez Firdaus (22 Ogos 2012)
Auni Humayra binti Muhammad Noor Hafiz (24 Nov 2012)
.
Satu perkara yang agak mengecewakan aku ialah sikap kakitangan di HAT Mizan.  Sebuah hospital yang besar, selesa, moden dan canggih serta mempunyai pengiktirafan ISO. 

Setelah habis waktu melawat pada jam 1900, kami sekeluarga meninggalkan hospital.  Pihak hospital tidak membenarkan mana-mana ahli keluarga menemani Aisyahnur.  Kami percaya dengan hanya ada 3 pesakit (bersalin) pastinya Aisyahnur bakal mendapat layanan yang baik. Aku percaya staf di hospital ATM pasti lebih profesional berbanding hospital biasa yang wad bersalinnya sentiasa penuh.

Namun pada malam itu, lebih kurang jam 1100 malam, apabila menelefon Aisyahnur tentang perkembangannya, kami menerima berita yang tidak menyenangkan.  Bayangkan, dalam keadaan yang masih lemah, baru lebih kurang 18 jam melahirkan anak, masih ada kesan ubat bius serta masih ada pendarahan, terpaksa menyalin sendiri bayinya yang menangis kerana membuang air besar.  Apabila dia menekan loceng meminta bantuan nurse yang bertugas, apa kata 'nurse yang bertugas itu?

"Baby awak ni berak, awak ibunya, awak basuh lah ye".  Lepas basuh, lampin ni buang dalam tong sampah dalam bilik air tu".

Bayangkan dalam keadaan kesakitan itu, dia terpaksa membawa bayinya ke bilik air, mencuci dan menyalin. Sedih sungguh aku mendengarnya.  Aku percaya Aisyah tidak mereka-reka cerita. Aku kenal anak aku.  Aisyah seorang yang keras hati dan dan walaupun tubuhnya kecil berbanding abang dan adik-adiknya, dia antara anak aku yang paling berani dan kuat semangat. Dan, kalau tidak ditanya, dia tidak akan bercerita.

HANGIT juga hati aku. Kalau ada 20 pesakit mungkin dia ada alasan tidak cukup tangan.  Ini cuma 3 orang sahaja di dalam wad.  Bulan Ogos lepas, masa meanntu aku melahirkan anak di Hospital KL, walaupun ramai pesakit, para jururawat menjalankan tugas dengan baik. Kalau jururawat banyak mulut atau mulut laser tu aku boleh terima kerana cerita itu aku dah biasa dengar sejak aku kenal apa itu wad bersalin.  Tapi banyak mulut pun tangan berjalan buat kerja juga.

Aku minta isteri aku menelefon ke wad, minta bagi tau nurse itu, kalau dia tak mampu nak menjaga, saya akan datang malam ini juga. Bila isteri aku beritahu bahawa Aisyahnur adalah anak pegawai tentera, baru dia menggelabah minta maaf.  Mentang-mentanglah suami Aisyah tiada dan masa aku melawat tengahari tadi aku pakai kopiah sahaja dan tidak memperkenalkan diri.  Dia ingat aku kerja cikgu atau kerani kot.  So, dia nak buli Aisyah.

Pada 25 Nov 2012, lebih kurang jam 1300, aku bersama isteri pergi ke HAT Tuanku Mizan untuk menguruskan membawa pulang Aisyahnur dan 'baby'nya setelah keduanya didapati sihat.

Alhamdulillah, pagi itu, nurse itu melayan dia dengan baik, memandikan bayi dan menyalin pakaiannya.  Sepatutnya: kalau dia niat baik untuk mengajar ia boleh dibuat dengan cara yang sesuai. Mungkin tengok dulu, macam mana cara nak angkat baby, tengok dulu masa berjalan ke bilik air, sama ada perlukan bantuan atau tidak. Kalau dah confirm mampu, atau tiada masalah, barulah boleh dilepaskan.  Bukan siang-siang dah lepas tanggungjawab.

LEBIH MENARIK, sepanjang hari Aisyahnur berada di dalam wad, Makcik India (cleaner) yang mengambil berat tentang Aisyah. Sambil membuat tugas mencuci lantai dan bilik air, dia menawarkan bantuan kepada Aisyah. Malah memberikan nasihat dan petua untuk diamalkan. Jauh lebih profesional dari nurse yang bertugas.

PERSOALANnya.  Andainya berlaku insiden seperti ibu tergelincir atau bayi jatuh semasa nurse tiada dalam wad, agak-agak apa ayat yang akan keluar dari mulut mereka. Pastinya skripnya berbunyi begini;

"Ehh, kami kan ada, dah tau awak ni tak mampu lagi, kenapa tak panggil kami?......, tengok dah jadi macam ni, nanti pihak pengurusan mesti salahkan kami kerana tak pandai kerja.....".

Aku tak tau, mungkin Pengiktirafan ISO di HAT Tuanku Mizan kena semak semula.
'Ala kulli hal, anak aku telah selamat melahirkan bayinya dan keduanya dalam keadaan sihat.  Allah Maha Mengetahui bagaimana perasaannya, melahirkan anak pertama tanpa sesiapa berada di sisinya.  Suami jauh diperantauan.  Ibu bapa pulak tidak dibenarkan menunggu.

Aku harap juga bayi ini tidaklah ikut macam ibunya waktu kecil dulu. Si Aisyahnur ni, dari kecik sampailah hari pertama dia masuk TADIKA (1996)- dia adalah anak yang paling kuat menangis dan tidak mahu langsung berenggang dengan emaknya.  Walaupun dah ada adik, dia tidak boleh terlepas pandang ibunya. Dengan orang lain khususnya pakcik-makciknya langsung tidak mau.  Amat sensitif. Merajuknya tahan berjam-jam. Adiknya lebih mudah mesra dengan orang lain. Susah betul menjaga dia waktu kecil dulu. Aku tidak dapat membayangkan macam mana nak hantar dia ke sekolah.  Mesti ibunya kena tunggu sampai waktu balik.  Tapi sikapnya berubah 100% sebaik sahaja melangkah masuk ke TADIKA.  Hari pertama masuk kelas dia terus 'independence'. Tiada lagi air mata pada dia.


.
 

1 comment:

IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...