Sunday, July 28, 2013

TITAH RAJA NAZRIN 2


CABARAN PASCA PRU13:
MUAFAKAT ANTARA KERAJAAN DAN RAKYAT

Titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah 
di Majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia 
di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur 
pada 8 Jun 13

PILIHAN raya adalah satu mekanisme demokrasi, memberikan hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan. Prinsip demokrasi, menghormati kebebasan rakyat untuk memilih kerajaan, berakarkan konsep, ‘Kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’; konsep yang bersumberkan ucapan bersejarah Presiden Abraham Lincoln, bertarikh 19 November 1863 yang dikenali sebagai ‘Amanat Gettysberg’. Oleh itu pilihan raya wajib dilaksanakan secara berintegriti, mencerminkan hak asasi rakyat terjamin, menurut yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Pilihan Raya Umum Ke-13 atau rujukan ringkas PRU-13, telah berlangsung pada 5 Mei. Sebanyak 13.3 juta rakyat mendaftar sebagai pengundi, meningkat 2.5 juta (2,527,775) atau 23.5 peratus, dari bilangan 10.7 juta (10,740, 227) pengundi dalam PRU-12. Peratus yang menunaikan tanggungjawab mengundi meningkat dari 76 peratus dalam PRU-12 kepada 85 peratus dalam PRU-13; peratus tertinggi dalam sejarah pilihan raya umum di negara ini, memecah rekod 79 peratus yang tercatat dalam pilihan raya umum kedua yang berlangsung pada 25 April 1964.

Peratusan tinggi yang turun mengundi adalah petanda positif, bukti keyakinan rakyat akan hak yang diberikan kepada mereka untuk memilih kerajaan. Bilangan pengundi berdaftar yang meningkat dalam 2013 dan peratus tinggi yang mengundi, mencerminkan kepercayaan rakyat bahawa negara ini mengamalkan demokrasi. Petanda positif ini perlu terus ditingkatkan dengan memberikan perhatian kepada perkara-perkara yang telah mencetuskan kecurigaan, di samping merintis kaedah pembetulan, menangani sebarang keraguan.

BN berjaya menguasai 133 kerusi, sementara Pakatan Rakyat memenangi 89 kerusi dari jumlah 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Meskipun BN menguasai 60 peratus kerusi Parlimen untuk membolehkannya menubuhkan Kerajaan Persekutuan, undi popular BN menurun dari 51.4% yang diperoleh dalam PRU-12 kepada 47.4% dalam PRU- 13.
Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), BN memenangi 275 kerusi, berbanding kemenangan 230 kerusi oleh Pakatan Rakyat dari jumlah 505 kerusi yang dipertandingkan. BN berjaya menubuhkan sembilan kerajaan negeri sementara Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kuasa untuk terus membentuk kerajaan negeri di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor tetapi gagal mempertahankan kuasa di Kedah.

Meskipun BN mencapai kejayaan menubuhkan Kerajaan Persekutuan dan sembilan kerajaan negeri, kekecewaan terukir di wajah kepimpinan parti. BN berjaya kembali berkuasa di Kedah dan berjaya menambah bilangan kerusi DUN di Kelantan, tetapi pencapaian majoriti kerusi yang diperoleh untuk menubuhkan kerajaan di Johor, Perak dan Terengganu tentunya tidak terlepas dari mencetuskan rasa kurang selesa dalam kalangan pemimpin BN. Tambahan pula, majoriti kerusi di Selangor dan Pulau Pinang yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat, begitu juga pertambahan majoriti undi bagi setiap kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat di Selangor dan di Pulau Pinang, di samping kejayaan mengurangkan undi majoriti di kerusi-kerusi yang dimenangi BN, telah meningkatkan tahap keyakinan pimpinan Pakatan Rakyat bahawa mereka kini berada dalam posisi yang semakin bertenaga menawarkan alternatif kepada rakyat; dan berkeyakinan bahawa rakyat semakin terpikat dengan haluan politik yang mereka pelopori. Walaupun berjaya meningkatkan prestasi pencapaian, namun kegagalan menawan Putrajaya, tidak mengecualikan pemimpin tertentu Pakatan Rakyat berasa kecewa, bertindak mempertikaikan kesahihan keputusan PRU-13, mendakwa berlakunya manipulasi, lalu menganjurkan siri perhimpunan atas nama Perhimpunan Hitam 505.

Reaksi spontan dan reaksi awal, kepimpinan dari kedua-dua pihak, baik BN begitu juga Pakatan Rakyat bernada kecewa; kerana BN telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membangunkan negara - untuk meningkatkan taraf hidup rakyat; sementara Pakatan Rakyat telah menimbulkan pelbagai isu, mendedahkan kelemahan parti pemerintah, ditambah keyakinan keterlaluan rakyat kali ini akan melakukan perubahan untuk menukar kerajaan. Pada hakikatnya, prestasi pencapaian, ternyata berada di bawah sasaran yang diunjurkan oleh kedua-dua pihak.

Keputusan PRU-13 bukan kejutan, pada hakikatnya tidak menyimpang jauh dari ramalan ramai pihak. Kejutan sebenarnya, berlaku semasa keputusan PRU-12 diumumkan. PRU-12, bukan sahaja mengejutkan BN kerana kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kuasa di empat negeri lain di samping Kelantan, malah gabungan tiga parti Pas, DAP dan PKR turut dikejutkan dengan pencapaian luar jangka; berjaya membentuk kerajaan di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor, di samping kekal berkuasa di Kelantan.

Secara keseluruhannya, majoriti rakyat menerima keputusan PRU-13. Terdapat pertikaian di beberapa kawasan. Ruang mencabar keputusan yang diragukan, diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan rayuan dikemukakan ke Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua pihak, BN dan Pakatan Rakyat masing-masing dalam tindakan menggunakan saluran undang-undang untuk mencabar keputusan beberapa kawasan Parlimen dan DUN. Langkah tersebut selaras dengan semangat yang mencerminkan budaya berpolitik yang matang lagi bertamadun.

Dalam wawasan mahu membawa negara ke altar lebih tinggi, agar diiktiraf berbudaya maju, agar dihormati sebagai negara yang menjunjung prinsip demokrasi, hendaklah dipastikan bahawa prinsip meluhurkan Perlembagaan dan prinsip mendaulatkan undang-undang tidak sama sekali dikompromikan.

Pendirian berkecuali dan tidak partisan mahkamah ketika mengadili kes-kes rayuan, akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat di samping membantu pohon demokrasi tumbuh subur di taman politik negara.

PRU-13 dan keputusan darinya boleh ditafsirkan secara subjektif atau secara objektif, secara negatif atau secara positif. Hanya disebabkan rakyat di negara ini terdiri dari pelbagai kaum - pelbagai agama, minda jangan terlalu taksub untuk terlalu cepat mentafsirkan sesuatu fenomena melalui dimensi kaum - dimensi agama, hingga padi dikatakan antah, hingga emas dianggap suasa.

Adakah sebenarnya tertanam rasa benci - rasa jijik hingga mencetuskan permusuhan yang meluap di antara kaum dan di antara penganut berlainan agama di negara ini, seperti yang berlaku dalam tahun 1994 di antara puak Hutu dan puak Tutsi di Rwanda, mengakibatkan pembunuhan 800,000 puak Tutsi dan 200,000 puak Hutu. Adakah hubungan kaum di negara ini menyamai senario yang sedang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya oleh kaum Arakanese yang direstui oleh sami Buddha dan pihak berkuasa Kerajaan Myanmar. Adakah tertanam kebencian di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini hingga ke peringkat merencanakan pembunuhan beramai-ramai seperti yang dilakukan oleh tentera Serbia terhadap umat Islam di Bosnia. Adakah PRU-13 telah meluapkan suhu permusuhan lebih panas di antara kaum di negara ini. Adakah PRU-13 telah menjejaskan semangat permuafakatan dan semangat perpaduan di kalangan rakyat. Adakah ia telah memisahkan rakyat dari dapat hidup dalam suasana aman, rukun lagi harmoni; atau sebenarnya, terkandung elemen lain yang lebih perlu dihalusi dan difahami.

Analisis mengenai sesuatu pilihan raya dapat dilakukan secara lebih tepat dengan kesediaan melakukan penilaian objektif, mengetepikan sentimen dan emosi; kesediaan melakukan penelitian komprehensif akan pelbagai urutan peristiwa, akan sebab dan akibat, akan perkara-perkara asas yang mungkin telah terlepas pandang. Lebih penting kesediaan menerima maklum balas secara positif, memeriksa kelemahan dan kesilapan diri, bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi dengan niat tulus untuk membolehkan langkah penambahbaikkan yang bermakna dapat dirintis.

Keputusan PRU-13 diumumkan pada malam 5 Mei. Pada pagi 6 Mei, di Ipoh, rakyat Malaysia berketurunan Melayu, Cina dan India kelihatan bersantai di warung nasi lemak milik pengusaha Melayu. Pada pagi 6 Mei, rakyat Malaysia pelbagai kaum bergaul mesra, bersarapan pagi menikmati roti kaya dan white coffee di Kedai Kopi Cina di Ipoh. Pada pagi 6 Mei, rakyat Malaysia pelbagai kaum memenuhi kedai milik India, duduk semeja dan bersebelahan meja, bergurau jenaka sambil menikmati tosei dan teh tarik. Beta percaya senario harmonis yang sama turut berlaku di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor Bahru, Seremban dan Pulau Pinang. Beta percaya senario harmonis yang sama turut berlaku di antara pelbagai kumpulan etnik Cina, Melayu, Iban, Dayak, Bajau, Murut dan Kadazan, sama ada di Kota Kinabalu, Kuching, Tawau atau Sandakan. Persoalannya, bersifat rasis kah rakyat Malaysia di bumi ini?

Keharmonian, sikap hormat dan toleransi adalah sebahagian dari sifat semula jadi dan identiti budaya rakyat Malaysia. Pada hakikatnya rakyat di Malaysia hidup dalam suasana muhibah dan saling menghormati. Semangat muhibah rakyat Malaysia bukan sahaja berlaku sesama warga malah rakyat Malaysia memperlihatkan toleransi yang tinggi terhadap warga asing hingga membolehkan berjuta warga asing bebas bekerja mencari rezeki di bumi ini. Diakui, sekali sekala ada berlaku peristiwa yang mencetuskan kurang keselesaan di kalangan rakyat, tetapi tidak sampai ke peringkat membenci dan bermusuh kerana semangat menghargai kerukunan - menghargai keamanan, mendapat tempat lebih utama di hati sanubari warga Malaysia.

Secara natural, rakyat Malaysia tidak bersifat perkauman. Di hospital, doktor Melayu, doktor Cina, doktor India, doktor Dayak, doktor Kadazan merawat semua pesakit; pesakit juga tidak pernah mencurigai untuk dirawat oleh doktor yang tidak dari kaumnya atau berlainan agama. Wanita Melayu, Cina, India, Bajau dan Iban ke salon yang sama untuk berdandan rambut, ke butik yang sama untuk menempah pakaian tanpa menghiraukan kaum manakah yang mendandan rambut atau menjahit pakaian. Anak-anak Melayu, Cina, India, Murut dan Bajau tidak pernah ragu untuk membeli aiskrim walau siapa juga penjualnya. Di sekolah dan di universiti, tenaga pengajar menyampaikan ilmu pengetahuan kepada semua murid. Hartawan Cina - hartawan India melantik pengawal peribadi Melayu untuk melindungi keselamatan diri dan keluarga mereka.

Orang Melayu tidak meragui untuk mendapat khidmat pekerja Cina membetulkan atap bocor atau lantai retak di rumah mereka. Tidakkah ini bukti permuafakatan; tidakkah ini bukti perpaduan yang terjalin secara semulajadi, menjalar segar, melata indah, subur di serata bumi Malaysia; sayang sekali kesuburannya sering dibantutkan oleh racun politik.
Dalam negara yang memiliki komposisi rakyat yang begitu pelbagai, permuafakatan dan perpaduan dipengaruhi oleh banyak faktor, tidak terbatas kepada faktor kaum - faktor agama. Oleh itu memilih untuk merumuskan masalah permuafakatan dan perpaduan nasional semata-mata atas faktor kaum - faktor agama terlalu simplistik pendekatannya.
Di samping warga Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama, mengamalkan pelbagai budaya, bertutur pelbagai bahasa, terdapat perbezaan di antara warga bandar dengan warga desa, di antara generasi tua dengan generasi muda. Wujud perbezaan yang dipengaruhi oleh faktor-faktor tahap pencapaian akademik, tahap pencapaian sosioekonomi, di antara yang kaya dengan yang miskin; ditambah dengan perbezaan pendedahan yang dialami oleh anak-anak yang mengikuti aliran persekolahan berlainan, sekolah kebangsaan, sekolah vernakular, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa. Begitu pula dengan tenaga kerja di sektor swasta dengan tenaga kerja di sektor awam, perbezaan sejarah di antara warga di Semenanjung dengan warga di Sabah dan Sarawak yang berada dalam lokasi geografi yang terpisah jauh; ditambah pula pada hari ini perbezaan di antara budaya berkerajaan di peringkat Persekutuan dengan budaya berkerajaan di peringkat negeri terutama di negeri yang tidak dikuasai oleh kumpulan politik yang sama dengan Kerajaan Persekutuan.

Demikian kompleksiti landskap demografi rakyat Malaysia hari ini. Faktor-faktor kepelbagaian dan elemen-elemen perbezaan sudah pasti meningkatkan cabaran besar terhadap usaha memupuk permuafakatan dan perpaduan. Memastikan permuafakatan dan perpaduan berjaya dipupuk dalam negara yang sedemikian pelbagai memerlukan denominator bersifat sejagat yang dapat diterima oleh semua pihak. Memupuk permuafakatan dan perpaduan wajib dijadikan agenda semua pihak; merupakan impian besar dan tugas besar. Impian besar dan tugas besar tidak mungkin dicapai melalui formula yang terlalu permukaan (superficial).

Terdapat beberapa perkembangan yang wajar ditafsirkan secara positif susulan PRU-13. Beta memilih untuk menyentuh tiga perkara.

Pertama: Budaya politik merentasi kaum. Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman (Almarhum) bersama rakan seangkatannya telah mempelopori konsep perkongsian kuasa melalui Perikatan seawal menghadapi Pilihan Raya pra merdeka 1955, diperluaskan kemudiannya melalui penubuhan BN oleh Tun Abdul Razak (Allahyarham) pada 1973. Gagasan perkongsian kuasa yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman mendapat tentangan, paling berat serangan parti Pas (Parti Islam Se Malaya) yang menentang formula UMNO berkongsi kuasa dengan bukan Islam, hingga ke peringkat berlakunya isu kafir-mengkafir sesama umat Islam.Bermula 2008, setelah 51 tahun negara mencapai kemerdekaan, Pas pada akhirnya menerima hakikat relevannya formula perkongsian kuasa politik dalam realiti sebuah negara yang rakyatnya terdiri dari pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai pegangan agama, memiliki pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa. Bermula Pilihan Raya Umum 2008, Pas bukan sahaja bersedia menjalinkan persefahaman ketika pengagihan kerusi untuk bertanding, malah berkempen di pentas yang sama dengan parti-parti bukan Islam, hatta sedia menubuhkan kerajaan bersama bukan Islam di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor; memperlihatkan berlakunya anjakan ideologi yang amat ketara; membuktikan bahawa modul berkerajaan yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman adalah modul politik yang berpandangan jauh, realistik dan merupakan platform berkerajaan dan bernegara yang dapat memberikan satu kestabilan, satu semangat bersatu, satu semangat bernegara kepada semua rakyat di negara ini.

Fenomena yang sedang berlaku hendaklah ditafsirkan secara positif; bahawa gerakan politik di Malaysia telah mencapai tahap kematangan pemikiran, menerima realiti, relevannya kerjasama antara kaum. Bertolak dari perkembangan ini, dijangkakan pendekatan politik yang mensensasikan isu kaum dan isu agama akan semakin kurang memberi pengaruh, di sebaliknya ia lebih membawa kesan negatif.

Kedua: Budaya politik yang lebih representatif. Keanggotaan Jemaah Menteri yang dilantik Pasca PRU-13 lebih inklusif lagi representatif dari segi mewakili wilayah. Tujuh Menteri dilantik dari Sabah dan tujuh Menteri dilantik dari Sarawak.

Mereka turut diberikan portfolio penting. Selepas 50 tahun berada di dalam Malaysia, rasa terpinggir penduduk Sabah dan Sarawak telah diubati; doa dan harapan penduduk Sabah dan Sarawak kini dipenuhi. Partisipasi pemimpin politik Sabah dan Sarawak di peringkat nasional kini semakin bermakna. Penyertaan tiga Menteri dari kalangan profesional yang tidak mewakili mana-mana parti politik merupakan aset kepada negara. Mereka tidak perlu berpolitik; di sebaliknya dapat menumpukan sepenuh fokus untuk merealisasikan agenda negara. Komposisi Jemaah Menteri sedemikian akan dapat mengimbangkan antara pendirian kumpulan politik tertentu dengan pendirian pihak-pihak yang mewakili konstituen lain. Komposisi sedemikian, diharapkan berupaya menggubal dasar-dasar negara yang lebih bersifat nasional dan tidak lagi terlalu didominasi oleh satu kumpulan politik.

Ketiga: Budaya politik lebih seimbang. PRU-12, sebenarnya adalah pilihan raya sangat historik, mengubah landskap politik negara. PRU-12 adalah titik bermulanya era demokrasi baru. Ia mencetuskan iklim kepada permulaan sistem politik dua parti. Ia memperlihatkan kemunculan persaingan di antara dua persepakatan politik yang semakin menyeberangi sempadan kaum - sempadan agama - sempadan wilayah. Ia semakin membuktikan realiti bahawa di Malaysia, tidak ada satu kumpulan politik yang berupaya menubuhkan kerajaan secara isolasi tanpa mendapat sokongan pengundi dari pelbagai kaum - pelbagai agama - pelbagai wilayah.

Parlimen 13 dianggotai oleh 89 anggota Pembangkang. Parlimen telah sekian lama didominasi dengan majoriti besar oleh parti yang menubuhkan kerajaan hingga ramai yang terlepas pandang bahawa Parlimen adalah entiti yang berasingan dari cabang Eksekutif. Komposisi keanggotaan Parlimen 13, diharap, memunculkan peranan kuasa perundangan yang lebih dinamik, memenuhi peranan semak dan imbang kepada Kuasa Eksekutif. Demi kebaikan rakyat, ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua pihak, diharap dapat membahaskan isu-isu utama secara kritis tetapi konstruktif dan menolak sebarang cadangan yang tidak mendatangkan manfaat hakiki. Parlimen hendaklah mengambil sikap sebagai Kuasa Perundangan yang bukan sahaja dihargai oleh rakyat tetapi disegani oleh Kuasa Eksekutif.
Apakah cabaran utama yang sedang dihadapi oleh negara ketika ini dalam hasrat memenuhi agenda permuafakatan dan perpaduan nasional. Pada hemat Beta, cabaran paling kritikal yang dihadapi oleh negara ketika ini adalah untuk menjalinkan permuafakatan dan perpaduan di antara kerajaan dengan rakyat.

Keputusan pilihan raya telah membolehkan parti yang menguasai majoriti kerusi Parlimen menubuhkan kerajaan. Ia bukan garis penamat, di sebaliknya, ia satu permulaan untuk mengembalikan keyakinan dan meningkatkan penerimaan rakyat. Negara, lebih tepat kerajaan pada hari ini, sedang menghadapi krisis persepsi lalu mencetuskan krisis keyakinan. Polarisasi ketika ini, sebenarnya berlaku antara pihak yang menyokong dengan pihak yang tidak menyokong kerajaan, sehingga apa juga usaha yang dirintis oleh kerajaan, tidak dihargai. Kerajaan terus dihujani dengan pelbagai serangan. Kerajaan amat perlu peka dengan trend perkembangan politik semasa yang berlaku, tidak di negara ini sahaja, malah sedang berlaku di serata dunia.

Negara di serata dunia sedang menghadapi konstituen baru dan fenomena baru, kebangkitan partisipasi politik rakyat secara lebih aktif dan tidak lagi bersifat pasif. Era ini memperlihatkan kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan dan pembaharuan, era yang menuntut kepada hak kebebasan bersuara, era yang menuntut dilakukan lebih banyak konsultasi. Era anak muda dan kumpulan terpelajar semakin mendominasi. Era yang meletakkan cabaran besar kepada elit politik di setiap negara untuk berupaya memeta persekitaran politik yang lebih berakomodasi, attentive, terbuka lagi konsultatif.
Kaedah menggunakan kekerasan - kaedah ugutan secara menangkap, menahan, merampas bahan cetak, menghitamkan makluman, adalah order lama yang tidak lagi sesuai diguna pakai kerana rakyat sudah tidak boleh ditakutkan. Lebih mencabar, apabila mereka dan masyarakat menganggap diri mereka adalah wira bila mereka ditahan, ditangkap, dihukum dan dipenjarakan.

Era politik di masa ini adalah era yang menuntut kepada kebijaksanaan mengimbangkan formula rundingan dan konsultasi. Elemen tekanan atau ‘force’ hendaklah digunakan secara paling selektif, dalam keadaan yang benar-benar memerlukan. Istilah ‘atas sebab-sebab keselamatan negara’ jika perlu digunakan, jangan sampai ke peringkat yang boleh ditafsirkan bermotif untuk menyekat kebebasan politik. Tidak ada jalan singkat yang membolehkan dipintasi prosedur undang-undang kerana jalan singkat lebih cenderung untuk membawa rugi kepada lembaran akaun kira-kira politik.

Banyak yang boleh dilakukan untuk membina jambatan permuafakatan dan perpaduan di antara kerajaan dengan rakyat agar keyakinan dan penerimaan rakyat dapat dikembalikan. Beta memilih memberi fokus kepada enam komponen.

Pertama: Sifat Negarawan Pemimpin. Berpandukan laporan akhbar, kenyataan-kenyataan bernada negarawan telah disuarakan oleh pimpinan kanan beberapa kumpulan politik.
Perdana Menteri, memberi jaminan untuk menunaikan semua aku janji yang terkandung dalam manifesto BN kepada segenap lapisan rakyat tanpa mengira sama ada mereka memberikan sokongan atau tidak memberikan sokongan kepada BN. Beliau turut menyatakan BN tidak mempunyai opsyen dari melakukan perubahan mulai sekarang. Ketika menyembahkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk melihat faktor-faktor kebersamaan yang dapat menyatukan rakyat daripada terperangkap dengan nostalgia serta realiti lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di Majlis Kesyukuran BN Wilayah Persekutuan pada 29 Jun 2013, menyeru agar pemimpin BN menilai semula faktor yang membawa kekalahan dan memberikan fokus terhadap tuntutan rakyat, terutama pengundi di bandar, merangkumi pengundi Cina, Melayu dan India. Beliau menyeru supaya dikenal pasti punca sebenar BN ditolak, sama ada berpunca daripada kelemahan sebagai parti pemerintah, dasar yang tidak memenuhi hasrat rakyat, atau isu bandar yang tidak diberi tumpuan. Beliau memilih tidak menyalahkan pengundi kerana menolak BN sebaliknya memilih untuk mengkaji mesej yang disampaikan oleh pengundi, untuk benar-benar dapat mengenal pasti punca yang membawa kekalahan atau kemenangan".

Setiausaha Agong Pas, Dato’ Mustaffa Ali menyatakan Pas menerima keputusan PRU-13; Pas menang di sesetengah kawasan dan kalah di sesetengah kawasan. Realitinya kerajaan sekarang tertubuh kerana memenangi pilihan raya. Timbalan Presiden, PKR, Azmin Ali menyatakan “Panggilan reformasi perlu bermula dari diri sendiri; gagal ke Putrajaya, salah siapa". Beliau selanjutnya menyatakan “rakyat semakin bosan dengan politik keterlaluan; terima kekalahan dan fahami kelemahan diri; perlu bergerak ke hadapan dan terima keputusan yang telah diberikan rakyat". Presiden DAP, Karpal Singh menyatakan “DAP berpuas hati dengan prestasi dalam PRU-13 berjaya memenangi 38 kerusi Parlimen"; katanya lagi “prestasi DAP begitu baik dalam PRU-13 terutama di Gelang Patah yang kami tidak jangka menang".

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyuarakan nada kenegaraan generasi muda, dilaporkan akan mengambil pendirian seorang ahli Parlimen pembangkang secara konstruktif; di samping menegur, akan bekerjasama dengan pihak kerajaan demi pembangunan negara; dan melihat kerjasama dalam membangunkan negara merupakan asas utama yang perlu dititik beratkan oleh kedua-dua pihak di dalam sidang Parlimen.
Ungkapan dan kenyataan bernada kenegaraan yang dilaporkan, memperlihatkan petanda sihat yang menyegarkan iklim demokrasi. Ia wajar dijadikan teladan ke arah membina budaya demokrasi yang bertambah matang. Ia mempamerkan semangat inklusif, selaras dengan falsafah di sebalik Gagasan 1 Malaysia. Ia mempamerkan berlangsungnya proses evolusi secara positif ke arah membina sebuah negara bangsa yang kukuh bersatu.
Semangat permuafakatan dan perpaduan yang diperlihatkan oleh Rasulullah SAW wajib dicontohi. Sifat murni Baginda, tidak berdendam malah sedia memaafkan berjaya menjinakkan musuh, hingga lawan menjadi kawan. Negarawan ikonik semasa, yang harus dijadikan rujukan ialah Nelson Mandela. Selama 27 tahun Nelson Mandela ditahan. Sebaik dibebaskan beliau mengungkap kata-kata berikut;

“I embrace my former captors and my former oppressors, I believe in one nation, and I believe in judging people on the basis of their character and not their colour."
Demikian kejernihan dan kemurnian, keheningan dan kebeningan hati seorang insan bernama Nelson Mandela, yang sebahagian besar usianya, terkurung sebagai tahanan politik di Pulau Robin, tetapi sebaik dibebaskan, memilih permuafakatan demi negara bangsanya.
Suara keinsanan - suara kemanusiaan Nelson Mandela, bergema di serata dunia. Mandela muncul sebagai gergasi ikon moral, memaafkan pihak yang memenjarakan beliau serta menganiaya komuniti beliau. Kebijaksanaan dan perikemanusiaan Mandela dua puluh tahun lepas telah memberikan impak menakjubkan kepada negara yang amat berpecah belah. Ia amat mengagumkan; rasa kagum akan kemuliaan sifat Mandela terkandung dalam kata-kata yang diungkap oleh Archbishop Desmond Tutu,

“"Before Nelson Mandela was arrested in 1962, he was an angry, relatively young man. He founded the ANC’s military wing. When he was released, he surprised everyone because he was talking about reconcilliation and forgiveness and not about revenge".

Sesungguhnya, bumi ini memerlukan dan perlu melahirkan pemimpin yang mengamalkan sifat kemanusiaan yang tinggi dan memiliki pendirian negarawan yang unggul, membawa suara perdamaian - menghargai keharmonian - menghormati kerukunan.

Kedua: Meluhurkan Perlembagaan - Mendaulatkan Undang-Undang; adalah kunci penentu untuk menjamin ketenteraman awam dan kestabilan politik. Undang-undang wajib dilaksanakan secara adil - secara saksama. Undang-undang jangan diizinkan untuk dilaksanakan secara selektif. Jika undang-undang dilaksanakan secara selektif akan tempanglah keadilan, akan pincanglah alam dan kehidupan ini, membolehkan yang lemah menjadi mangsa yang kuat. Apabila undang-undang dan keadilan mula diperdagangkan dengan ringgit dan sokongan, dikompromikan kerana tekanan politik, akan menderitalah yang miskin dan yang lemah dan akan bermaharajalela yang kaya dan yang berkuasa. Persepsi bahawa kerajaan kurang tegas dan tidak bersungguh memerangi rasuah dan salah guna kuasa adalah antara faktor utama yang menyebabkan berlakunya krisis keyakinan. Rasuah dan salah guna kuasa ternyata menyalahi undang-undang. Setiap batang pensel atau setiap butir peluru perolehan kerajaan diuruskan oleh pegawai awam. Dalam era yang siling sudah pandai melihat dan lantai sudah bijak bertutur, amalan tadbir urus yang tidak telus, tidak lagi dapat disembunyikan dari pengetahuan umum.

Perdana Menteri telah memberi pengakuan untuk memberi tumpuan meningkatkan kualiti tadbir urus dan integriti dan memperhebatkan usaha memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa. Hasrat Perdana Menteri sewajibnya disambut. Institusi Kehakiman, institusi perundangan, institusi awam, institusi pertahanan dan institusi keselamatan perlu berdiri teguh atas prinsip profesionalisme, tegas memberikan nasihat dan berani menyampaikan maklum balas secara tepat dan betul kepada pemimpin. Ketidakberanian memberi nasihat secara tepat dan betul, akan meletakkan pemimpin berada dalam khayalan cerita indah, kerajaan bakal bertambah lemah, dan pada akhirnya pemimpin perlu membayar dengan harga tinggi semasa menghadapi pilihan raya.

Ketiga: Memahami dan mendalami konsep Federal isme berasaskan Perkara-Perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan. Malaysia dianggotai oleh 13 negeri dan Wilayah Persekutuan. Ketua kepada sembilan negeri adalah Raja-Raja berdaulat, sementara empat negeri dipertanggungjawabkan kepada Yang Dipertua Negeri. Kerajaan Negeri terletak di bawah payung naungan Raja Pemerintah dan pengawasan Yang Dipertua Negeri. Amalan mengetepikan status negeri adalah amalan yang boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati kedaulatan Raja dan tidak menghormati institusi Yang Dipertua Negeri. Hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kini menjelmakan dimensi baru; ia semakin memeningkan kepala kakitangan awam yang berkhidmat di negeri-negeri. Mereka kini menghadapi dilema ketika memenuhi tanggung jawab untuk mengimbangkan kesetiaan, di antara pihak berkuasa negeri dengan pihak berkuasa persekutuan, terutama di kalangan mereka yang ditempatkan di negeri yang dikuasai oleh kumpulan politik yang berlainan parti dengan Kerajaan Persekutuan. Telah berlaku keadaan, pegawai-pegawai awam Persekutuan yang bertugas di negeri, di larang menghadiri acara-acara rasmi di peringkat negeri termasuk acara yang dihadiri oleh Raja Pemerintah. Demikian juga dilaporkan bahawa pegawai-pegawai negeri turut dilarang menyertai acara anjuran Kerajaan Persekutuan. Senario sedemikian nyata tidak menunjukkan kematangan budaya politik negara bangsa dan kurang mendalamnya kefahaman di kalangan penjawat awam akan konsep Federal isme.

Konsep Federal isme wajib difahami - wajib dihormati. Perlu diperkenalkan orientasi baru terutama di kalangan penjawat awam. Kelainan politik, di antara negeri dan Persekutuan jangan sampai menjejaskan hubungan warga, hingga memungkinkan warga kembali bersifat parokial kenegerian, lalu menghindar dari tercapainya semangat muafakat dan hasrat berpadu.

Formula perhubungan dan rangka kerja baru antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri wajib diperkenalkan dalam order politik terkini, demi tidak menyulitkan kakitangan awam untuk menyempurnakan amanah dan demi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa pertelingkahan politik. Perlu ada garis yang jelas di antara hubungan yang dipengaruhi kekangan politik, atas dasar parti dengan parti, dibezakan dengan hubungan kerja, antara kerajaan dengan kerajaan.

Keempat: Pendidikan Kenegaraan. Episod Melissa Gooi meningkatkan keyakinan Beta bahawa majoriti rakyat di negara ini tidak bersifat rasis; di sebaliknya mereka adalah insan-insan berjiwa rasional - berfikiran waras. Melissa Gooi dilaporkan ditahan oleh pihak keselamatan untuk membantu siasatan kerana dikatakan menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam facebook.

Susulan penahanan tersebut Zaini Hassan telah menulis rencana yang diterbitkan di muka surat 11, akhbar Utusan Malaysia bertarikh 5 Jun 2013, bertajuk “Salahkah Melissa Gooi? Ajarlah Asas Perlembagaan di sekolah." Zaini Hassan telah memulakan rencana tersebut dengan para;

“Saya tidak salahkan Melissa Gooi yang mencetuskan kisah menghina Yang di-Pertuan Agong dalam facebooknya. Sebenarnya Melissa dan rakan-rakan facebooknya Shuh Chien Loo, Hun Kiet Wong, Carol Tay yang berbicara mengenai titah Yang di-Pertuan Agong itu mungkin tidak kenal pun siapa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Mereka tidak tahu pun fungsi-fungsi Baginda.

Zaini Hassan selanjutnya menulis;

Kisah Melissa Gooi seharusnya menjadi satu teladan oleh kita semua, juga oleh Kerajaan BN yang diberikan mandat baru .....

Bukan masa lagi mahu menongkat dagu memandang ke langit. Sesuatu harus dilakukan terhadap orang seperti Melissa yang semakin hari, semakin tahun, semakin dekad, semakin generasi, semakin bertambah.
Ia memperlihatkan berlakunya fenomena kejahilan atau ignorant mengenai sistem kebudayaan kita, sistem kenegaraan kita yang menjalar kepada sistem Perlembagaan Negara kita...

Zaini Hassan selanjutnya menyarankan:

Oleh itu saya syorkan Kementerian Pendidikan yang kini sudah disatukan dan mempunyai dua Menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri, dengan Timbalan-Timbalan Menteri mula memikirkan soal ini. Ia bukan soal hari ini sahaja, atau untuk penggal ini sahaja, tetapi untuk generasi rakyat Malaysia..;.Jika subjek Asas Perlembagaan, tidak diperkenalkan ... maka selama itulah orang kita akan terus menerus mempertikai Perlembagaan Negara.
Saya berharap Kementerian Pendidikan dapat memikirkan perkara ini supaya tidak lagi melahirkan Melissa Gooi dan rakan-rakannya...Ajar subjek Asas Perlembagaan....di semua aliran sekolah"

Beta tidak kenal Zaini Hassan secara peribadi tetapi mengikuti rencana tulisan beliau. Melissa Gooi adalah rakyat Malaysia berketurunan Cina; sementara Zaini Hassan, wartawan kanan, bukan sahaja berketurunan Melayu, berwajah Melayu, berdarah Melayu malah bertugas dengan akhbar Utusan Malaysia yang dilabel oleh setengah pihak sebagai akhbar yang meniup api perkauman. Zaini Hassan telah mencerminkan jiwa besar dan contoh semangat seorang Malaysian, secara tegas melahirkan pandangan kritis atas prinsip kebenaran, meskipun Beta percaya, Zaini juga tidak kenal Melissa Gooi. Apa jua jenama negatif yang dilabelkan terhadap Utusan Malaysia, akhbar tersebut tidak melakukan diskriminasi untuk tidak menyiarkan rencana yang bernada membela situasi seorang anak gadis keturunan Cina.

Di luar dewan ini, lebih ramai anak muda Malaysia dalam kategori Melissa Gooi. Adakah kaedah tangkapan, tahanan, dakwaan dan hukuman akan menyelesaikan masalah ketatanegaraan yang sedang dihadapi. Berapa ramai lagi pegawai penyiasat diperlukan, berapa banyak lagi jawatan pendakwa yang perlu ditambah, berapa lagi mahkamah yang perlu diwujudkan, dan berapa banyak lagi tempat tahanan yang perlu dibina, jika kita mempercayai kepada pendekatan sedemikian untuk menangani masalah. Jangan disalahkan anak jalan berbogel kalau ibu bapa tidak membekalkan baju.

Apa yang lebih perlu diutamakan adalah mendidik asas-asas kenegaraan bermula dari bilik darjah dan menyemaikan semangat ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’. Raja Pemerintah, Yang di-Pertuan Agong adalah lambang kedaulatan negara; bendera negara, Jalur Gemilang, lagu kebangsaan, ‘Negaraku’, adalah simbol kebesaran negara. Hari ini lambang kedaulatan dan simbol kebesaran negara telah dihina.

Ketika Beta di bangku sekolah, Beta diasuh mendaulatkan Raja Pemerintah, menghormati bendera negara dan lagu kebangsaan. Bendera negara bukan hanya tidak boleh dipijak, malah dipastikan ketika upacara menaikkan bendera, kain bendera tidak tercecah bumi. Bendera negara dimuliakan, dikibarkan di puncak tiang, dinaikkan di sebelah pagi, diturunkan sebelum malam; tidak dibiarkan berkelana, tertinggal reput di tiang-tiang sebagai kain usang. Hari ini ia kelihatan berlaku di serata negara; dukacita ia turut berlaku di bangunan sekolah dan di pejabat kerajaan.

Bendera negara bukan sahaja tidak boleh dipijak, malah turut dilarang dari dipotong-potong untuk dijadikan material baju - material topi - material seluar.

Perkara ini amat asas, malangnya telah tidak dititik beratkan, hingga hari ini terdapat kontinjen yang menyertai perarakan sambutan Hari Kebangsaan turut menyalah gunakan pemakaian bendera negara. Bermakna, betapa komponen kenegaraan telah tidak diutamakan dalam sistem pendidikan negara.

Kurikulum kandungan dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan yang benar-benar dihayati, hendaklah segera diperkenalkan tanpa bertangguh, dijadikan kandungan pengajian bukan sahaja di sekolah, malah di semua maktab, kolej dan institusi latihan; dan diuji dalam urusan lantikan dan kenaikan pangkat pegawai awam.

Kelima: Peranan Media. Media adalah instrumen penting untuk memupuk semangat muafakat - semangat perpaduan. Rakyat hari ini telah menguasai saluran media alternatif. Data menunjukkan pengguna Internet di Malaysia telah meningkat dari 3.7 juta dalam tahun 2000 kepada 17.7 juta dalam 2012, satu perangkaan yang cukup tinggi bagi negara yang mempunyai 29 juta penduduk. Sebanyak 61 peratus dari pengguna berada dalam usia 21 ke 40 tahun. Data 2012 juga menunjukkan 13.6 juta penduduk pada hari ini telah mempunyai facebook.

Media rasmi negara hendaklah menjadi tanda aras mengamalkan cara pengolahan berita yang seimbang lagi autentik, berfungsi sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dengan rakyat, berupaya merentasi dan dapat diterima oleh semua lapisan rakyat. Perlu ada etika pengolahan berita yang bijaksana, membezakan antara kepentingan kerajaan dengan kepentingan berpihak parti politik. Pengolahan berita yang terlalu memihak, sebenarnya tidak memberi manfaat kepada kerajaan, bersifat counter productive, semakin memisahkan rakyat dari kerajaan. Hari ini sebahagian rakyat menolak maklumat yang diuar-uarkan melalui saluran berita rasmi kerajaan disebabkan rasa mual dengan pengolahan yang keterlaluan memuji atau keterlaluan mengeji sesuatu pihak. Pengarang Timothy B. Tyson, pemegang ‘Grawemeyer Award’ 2006, mengingatkan “If there is to be reconcilliation, first there must be truth"

Keenam: Peranan Institusi Raja. Raja adalah payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum - tanpa mengira agama - tanpa mengira kabilah politik. Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan. Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Untuk itu amatlah penting bagi Raja bersifat berkecuali, memastikan berada di atas segala polemik politik untuk membolehkan institusi Raja berupaya berperanan secara berkesan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama dalam mendamaikan sebarang perselisihan dan untuk memastikan takhta diterima dengan dada lapang dan hati terbuka apabila diperlukan berperanan menurunkan suhu panas yang berkemungkinan mendidihkan lava-lava persengketaan.

Majlis Raja-Raja adalah badan syura yang unik. Setiap Raja yang berangkat menghadiri mesyuarat Majlis, beserta Yang Dipertua Negeri, diiringi bersama oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing. Yang di-Pertuan Agong berangkat pada hari terakhir mesyuarat, diiringi Perdana Menteri. Badan syura ini, setidak-tidaknya merupakan badan yang telah dapat menggabungkan wakil negeri dan wakil Persekutuan, berbincang dalam suasana mesyuarah yang tertib, sopan, beradab lagi bertamadun. Kehadiran Menteri Besar dan Ketua Menteri, disandarkan kepada jawatan rasmi tanpa sebarang identifikasi politik. Memandang ke hadapan, peranan badan syura ini boleh dipertingkatkan - diperluaskan agar berfungsi sebagai forum perundingan yang berkecuali, bebas dan tidak partisan, berada di atas politik kepartian. Potensi badan syura ini sebagai instrumen penyatuan dalam kepelbagaian sewajarnya dioptimumkan untuk mengimarahkan semangat permuafakatan dan perpaduan.

PRU-13 adalah kemenangan rakyat. Partisipasi rakyat serta sifat kenegaraan yang dipamerkan rakyat wajar dihargai. Tanpa rakyat, tidak akan ada negara, tanpa negara, tidak akan ada kerajaan. Maju mundur sesebuah negara dicerminkan melalui taraf hidup, taraf pendidikan, taraf sosioekonomi majoriti rakyat. Kukuh lemahnya sesebuah kerajaan, tertakluk kepada sokongan dan keyakinan, perpecahan dan permuafakatan yang dapat dipupuk di kalangan rakyat. Suara rakyat - suara keramat. Oleh itu, setiap teguran yang disuarakan rakyat, perlu diberikan respons positif, jangan secara impulsif bersifat terlalu defensif, secara terburu-buru melakukan penafian - menyalahkan rakyat. Di sebaliknya teguran rakyat hendaklah diterima dan didengar, diberikan perhatian dan disiasat kesahihannya selaras dengan pendirian Perdana Menteri yang menyifatkan era kerajaan tahu semua telah berakhir. Kesediaan menerima teguran atas kesilapan, kesediaan mengaku masih terdapatnya kelemahan, apatah lagi kesediaan memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan dan kelemahan, mempamerkan jiwa besar pemimpin.

Negara bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-56. Kedewasaan usia negara hendaklah diselarikan dengan kematangan fikiran rakyat. Sejak memperoleh kemerdekaan, kemajuan negara ini dicapai dari sikap pemimpin berjiwa rakyat, pemimpin yang mengutamakan rakyat lalu merintis segala usaha memajukan rakyat. Diakui tahap kesempurnaan masih belum dicapai. Diakui masih banyak yang perlu dibaiki.
Pilihan raya telah berlangsung, keputusan telah diumum, kerajaan telah dibentuk. Manusia boleh merancang - manusia boleh berusaha - manusia boleh berdoa. Allah SWT juga yang lebih mengetahui lalu telah menentukan. Bersyukur dan redalah dengan penentuan kuasa Ilahi Yang Maha Mengetahui, jadikan peringatan dan panduan akan ayat 165 Surah Al An‘aam yang bermaksud,

“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk menguji mu tentang apa yang diberikan Nya kepada mu. Sesungguhnya Tuhan mu amat cepat seksaan Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130709/re_01/Cabaran-pasca-PRU-13-Muafakat-antara-kerajaan-dan-rakyat#ixzz2aM7PORBh 
© Utusan Melayu (M) Bhd 







,.

Sunday, July 14, 2013

TITAH RAJA NAZRIN 1

TEKS UCAPAN 

RAJA DR NAZRIN SHAH

Perpaduan Ummah: Harapan, Realiti Dan Cabaran - Raja Nazrin



Titah DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah 

Di Majlis Wacana Perpaduan Ummah Anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka

Tarikh: 19 Februari 2013 (Selasa); Jam: 10.00 Pagi

Tempat: Balai Budaya Tun Syed Nasir Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Bismillahi Rahmani Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Segala puji milik ALLAH Subhanahu Wata’ala. Salawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda; seterusnya ke atas para tabiin dan para ulama. Semoga memperoleh ihsan sehingga hari kebangkitan.

2. Dewan Bahasa dan Pustaka merintis usaha menganjurkan Wacana Perpaduan Ummah. Wacana ini berlangsung ketika persaingan politik di kalangan ummah sedang memuncak. Ia berlangsung pada waktu yang sangat mencabar memandangkan pilihan raya umum kali ketiga belas, diramal akan diadakan dalam masa terdekat. Langkah menganjurkannya pada waktu yang sensitif ini, adalah satu langkah berani. Dewan Bahasa dan Pustaka berkemungkinan berhadapan risiko untuk disalah ertikan, apatah lagi jika nada diskusi dan jika resolusi yang dirumuskan, bakal menghiris perasaan mana-mana kabilah politik.

3. Berasaskan premis, bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka berada di atas politik partisan kepartian, wacana yang dianjurkan ini, memperlihatkan pemikiran jauh penganjur, bersedia mengambil tanggung jawab untuk membincangkan agenda jangka panjang ummah. Sepanjang sejarah penubuhannya, Dewan Bahasa dan Pustaka berperanan signifikan melaksanakan pelbagai kegiatan untuk menyatukan ummah melalui program-program keilmuan, kebudayaan, kesenian dan persuratan berteraskan Islam dan Melayu. Jika pun terkandung agenda politik, ia lebih berunsurkan wawasan politik yang lebih besar untuk memastikan kelangsungan bangsa, terutama dari segi mempertahankan hak, maruah dan martabat bangsa. Semoga setiap niat suci dan kerja murni mendapat keredaan dan lindungan ILAHI, Amin Ya Rabul Alamin.

4. Institusi Raja dan Dewan Bahasa mempunyai sejarah hubungan nostalgik. Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka telah dirasmikan oleh Seri Paduka Yang Dipertuan Agong pada 31 Januari 1962. Berdasarkan rekod, selepas upacara pengisytiharan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957, acara perasmian bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka, merupakan kali pertama selepas merdeka, kesemua sembilan Raja Melayu berangkat hadir di satu majlis. Dewan Bahasa juga adalah institusi yang setia menjunjung salah satu dari tujuh wasiat untuk mendaulatkan bahasa Melayu; memastikan bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

5. Perkenan Beta berangkat menzahirkan titah di Wacana ini adalah dalam semangat ‘rantau jauh diulangi, rantau dekat dikenda’. Ia memberi ruang kepada Beta dapat bersama rakyat, seiring menghayati pesanan menurut yang dicatatkan oleh Tun Seri Lanang dalam karya agung Sulalat Al-Salatin akan amanat Sultan Alauddin kepada putera Baginda:“...rakyat itu umpama akar, Raja itu umpama pohonnya, jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikianlah Raja-Raja itu dengan segala rakyatnya....”

6. Dalam menyempurnakan hasrat penganjur, Beta juga perlu teliti memilih ungkap kata, demi memastikan takhta kekal bersifat berkecuali, berada di atas politik kepartian, terlindung dari disalah tafsir, hingga Raja dianggap turut terlibat secara langsung dalam politik kepartian; lebih-lebih lagi menyedari akan terdapatnya hari ini audiens Melayu yang semakin taasub, berpemikiran secara berpuak – berpendirian semakin berpihak; audiens bangsa yang semakin hilang pemikiran rasional, audiens bangsa yang semakin kabur pandangan – semakin kelam penglihatan.

7. Sesungguhnya institusi Raja turut diamanahkan dengan tanggung jawab fardu kifayah kepada watan – kepada ummah. Segala yang sedang berlaku, terutama yang menyentuh umat Melayu, turut diikuti oleh istana secara dekat, diteliti dan dihalusi, ditimbangkan cerita, diimbangkan berita. Kebelakangan ini, semakin ramai individu, semakin banyak organisasi yang meletakkan harapan tinggi akan peranan lebih aktif institusi Raja untuk memastikan wadah perjuangan bangsa tidak jauh menyimpang – tidak jatuh tergelincir, hingga bangsa Melayu nanti menerima nasib berdagang di bumi sendiri, bagaikan itik kehausan di air, bagaikan ayam mati di kepuk, kerana dagang lalu terus ditanak, sedangkan anak di riba mati tak makan.

8. Penganjur wacana memilih istilah ummah. Perkataan ummah disebut lima puluh satu (51) kali di dalam Al-Quran, manakala dalam bentuk jamak, umam disebut tiga belas (13) kali.3 Berdasarkan tafsiran kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah ummah bermaksud umat Islam yang luas lagi menyeluruh merentasi sempadan negara – sempadan wilayah. Dalam konteks wacana ini, Beta memilih untuk memberikan fokus kepada isu perpaduan ummah di Malaysia; menjurus kepada isu perpaduan Melayu supaya wacana ini tidak dilarikan penglihatan melihat tungau di seberang lautan, melupakan gajah di hadapan mata.

9. Akhir-akhir ini, bangsa bagaikan berhadapan pantang larangan sehingga silu untuk menyebut perkataan Melayu, di bumi dan di tanah air warisan bangsa yang terletak di tengah-tengah Nusantara Melayu. Bumi dan tanah air pusaka bangsa, pada satu ketika dahulu tersohor dengan kemakmuran, berperanan sebagai pusat pertemuan budaya timur – budaya barat, dilimpahkan sejahtera, di bawah naungan kerajaan berpayungkan Raja Melayu dan Kerajaan Melayu yang mengamalkan sistem pemerintahan berteraskan Islam. Jika tidak segera diperbetulkan rasa janggal untuk menyebut perkataan Melayu, dibimbangkan ia akan menjadi titik mula kepada pelupusan sejarah dan tamadun bangsa, lantas melarat kepada penghakisan bahasa dan identiti bangsa. Malah, telah turut kedengaran pengumuman oleh saluran media rasmi negara yang merujuk Raja Melayu sebagai Raja Malaysia.

10. Ketika bangsa bagaikan mabuk dilambung ombak globalisasi, amatlah perlu untuk bangsa diperingatkan kepada fakta sejarah, agar Melayu kekal dijadikan konsep yang hidup, tidak di hanyutkan oleh arus globalisasi. Konsep Melayu hendaklah kekal diaktifkan dengan menghormati bahasa Melayu, menghargai budaya Melayu, menghayati ajaran Islam, mengekalkan kedaulatan bangsa yang dilambangkan oleh takhta pemerintahan beraja. Sejauh mana Beta melaut, Beta senantiasa menjadikan pedoman akan ungkap kata yang pernah dizahirkan oleh Paduka Ayahanda Beta, Hakim Raja Tan Sri Azlan Shah ketika dianugerahkan Ijazah Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya, pada 30 Jun 1979;
Petikan:“ ...bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu ingat, dan jika kita tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian. Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah,

Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka...; Perkataan ‘Negeri Melayu Bersekutu’, ‘Negeri Melayu Tidak Bersekutu’ dan ‘Persekutuan Tanah Melayu’ masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu....Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia”.

11. Dalam membicarakan mauduk perpaduan ummah, kita tidak terlepas dari menyentuh isu perpecahan ummah, lantas membawa minda menyelami punca yang menyebabkan berlakunya pemisahan ummah. Syeikh Rashid Ganusi, pemimpin gerakan An-Nahdah di Tunisia, berpandangan jika ada dua parti politik orang Islam yang berebut kuasa, di situlah punca perpecahan umat Islam di mana-mana negara kerana politik itu mencetuskan kebencian yang luar biasa sehinggakan umat tidak boleh bersikap rasional lagi.

12. Wacana ini perlu bersedia membicarakan isu perpecahan ummah secara terang lagi bersuluh, meskipun air yang ditepuk bakal mercik ke muka sendiri. Dua parti politik Melayu-Islam, ia itu UMNO dan PAS berperanan paling dominan di negara ini, khususnya pengaruh mereka di kalangan umat Melayu. UMNO dan PAS semakin bersaing untuk berada di atas, kedua-dua kabilah sedang rancak berusaha baik untuk mempertahan, begitu juga untuk mendapatkan kuasa. Terdapat andaian bahawa jika dua kabilah politik Melayu yang saling berpengaruh ini, kembali bercantum seperti mana yang pernah berlaku, di era PAS menyertai BARISAN NASIONAL, maka perpaduan ummah akan tercapai - masalah perpecahan ummah akan selesai. Andaian tersebut sebenarnya terlalu simplistik untuk dijadikan preskripsi bagi menangani isu yang sarat dengan kompleksiti; kerana kalau padi tidaknya padi, lelahlah ummah menampi-nampi.

13. Secara zahir, perpecahan ummah diandaikan terbelah dalam dua kabilah politik; tetapi perlu diselami lebih dalam dari itu, kerana dua kabilah politik itu dianggotai oleh pelbagai individu, tiap seorang memiliki pelbagai kerenah, pelbagai agenda, pelbagai hasrat, pelbagai niat. Terdapat jurang antara yang tersurat dan yang tersirat, antara akal dan nafsu, antara kata dan kota. Terdapat musang berbulu ayam, terdapat gunting dalam lipatan, terdapat sokong membawa rebah. Terdapat perebutan kuasa sesama sendiri terdapat adu domba. Apatah lagi apabila kuasa dilihat dan digunakan sebagai konduit untuk membina kekayaan diri - kekayaan famili – kekayaan kroni.

14. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari mencatatkan ketika mula menghadapi keuzuran kesihatan, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersabda, bahawa Baginda tidak bimbang kemungkinan ummah menolak keesaan ILAHI, tetapi Baginda lebih bimbang bahawa selepas kewafatan Baginda, berlakunya pertelingkahan ummah kerana merebut kekayaan.6 Kebimbangan Baginda sebenarnya satu ramalan tepat akan suasana yang akan berlaku selepas Baginda wafat; bahawa ummah walaupun kekal berpegang kepada Tuhan yang Esa, tetapi mereka berpecah belah kerana faktor-faktor pangkat, kuasa, kekayaan dan afiliasi, hingga ummah menyisihkan semangat persaudaraan.

15. Penyertaan PAS dalam BARISAN NASIONAL pada tahun 1973, tidak seratus peratus direstui oleh ahli-ahli PAS. Ketika dibentangkan usul untuk PAS menyertai BARISAN NASIONAL, 190 perwakilan mengundi bersetuju, 94 menentang, 19 berkecuali dan 30 memilih tidak menghadirkan diri. Abu Bakar Hamzah, Amaluddin Darus, Mohamad Fakaruddin Abdullah, Daud Yatimi adalah antara tokoh penting yang mengambil pendirian meninggalkan PAS. Selepas muktamar tersebut, pimpinan PAS terus menghadapi tentangan hingga Dato’ Mohammad Asri terpaksa mengambil tindakan disiplin memecat lima belas pemimpin parti di Kelantan, Terengganu, Perlis, Perak dan Johor, menunjukkan perpecahan ummah tetap berlaku; berlaku sesama ahli PAS. Dalam era tujuh puluhan juga, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)9 dan Persatuan Ulama Malaysia10 ditubuhkan; sementara Darul Arqam meluaskan pengaruh, untuk mengisi vakum perjuangan berteraskan Islam, menawarkan alternatif kepada mereka yang tidak lagi sefahaman dengan pendirian PAS ketika itu.

16. Menyertai BARISAN NASIONAL meninggalkan pengalaman yang amat pahit kepada PAS. Di era tersebut, tercetusnya perpecahan di kalangan ahli-ahli parti, skandal pemimpin parti didedahkan; ada yang keluar meninggalkan PAS, parti BERJASA ditubuhkan. PAS hilang kuasa di Kelantan dalam tahun 1978. Muktamar PAS kali kedua puluh lapan yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka ini pada 23 Oktober 1982, mendesak Dato’ Mohammad Asri meletak jawatan Presiden parti; keahliannya digantung pada 30 Januari 1983, selanjutnya dilucutkan dari menjadi ahli parti pada 24 Februari 1983.12 Yusof Rawa, atas jawatan Presiden PAS, dalam ucapan bertarikh 1 Mei 1983, menyelar Dato’ Mohammad Asri dengan nada keras;
Petikan:“ Orang yang cuba menjadikan parti Islam ini sebagai topeng pasti akan dihancurkan oleh ahli-ahli PAS yang telah membuktikan kesetiaan mereka kepada perjuangan Islam.”

17. Dato’ Mohammad Asri menubuhkan parti baru, Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM), membawa HAMIM menyertai BARISAN NASIONAL, mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya tahun 1986. HAMIM tidak berusia panjang, dibubarkan dalam tahun 1988. Nasib yang menimpa Dato’ Mohammad Asri adalah satu perulangan peristiwa; menyamai nasib yang terlebih dahulu dialami oleh Yang Dipertua Agung PAS yang pertama, Haji Ahmad Fuad. Dalam Mesyuarat Agung PAS bertarikh 26 September 1953, yang berlangsung di Madrasah Masriyyah, Bukit Mertajam, hasrat Haji Ahmad Fuad membawa PAS bekerjasama dengan Dato’ Onn Jaafar menyertai ‘National Conference’ telah ditolak. Haji Ahmad Fuad berundur dari memimpin PAS. Nasib yang pernah menimpa Haji Ahmad Fuad, begitu juga nasib yang menimpa Dato’ Mohammad Asri, sedikit sebanyak akan dijadikan tamsil oleh pimpinan PAS hari ini dalam menimbangkan sebarang unjuran untuk bekerjasama dengan UMNO.

18. Penubuhan BARISAN NASIONAL memberikan kekuatan baru kepada UMNO. UMNO mendapat sinar baru selepas era kelam pasca pilihan raya 1969. Namun kekuatan baru UMNO, begitu juga pemulihan imej UMNO, diperoleh bukan semata-mata kerana PAS sudah tidak lagi menjadi saing politiknya. Sebenarnya berlaku era pembaharuan, satu renaisans di dalam UMNO. Terdapat faktor-faktor lain yang lebih signifikan yang berjaya mengembalikan keyakinan ummah kepada UMNO. Kreditnya perlu diberikan kepada gandingan kebijaksanaan, keberanian dan ketegasan regu pimpinan Tun Abdul Razak (Allahyarham) dan Tun Dr. Ismail (Allahyarham). Tun Abdul Razak peka dan meneliti isu-isu utama yang dijadikan peluru menyerang UMNO dan menyerang Kerajaan semasa kempen pilihan raya 1969, lalu bertindak segera melakukan langkah-langkah pembetulan.

19. Imej kerajaan berkaitan rasuah ditangani tanpa bertangguh. Tun Abdul Razak tidak memberi perlindungan kepada mana-mana juga anggota pentadbiran dan ahli parti yang terpalit dengan rasuah. Atas nasihat Dato’ Harun Hashim, MAJLIS GERAKAN NEGARA (MAGERAN) melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), untuk membekukan aset orang-orang yang disyaki melakukan rasuah.16 Menteri Besar Perak, Dato’ Ahmad Said didedahkan memiliki wang sejumlah hampir satu perpuluhan dua juta ringgit (1,138,403.00 ringgit); sebanyak tiga ratus tiga puluh ribu ringgit (329,979.00 ringgit) wang tersebut telah disita kerana didapati diperoleh secara rasuah. Dato’ Ahmad Said meletakkan jawatan Menteri Besar Perak pada Februari 1970.

20. Dalam bulan Julai 1970, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah bercuti selama dua bulan dan selepas itu jawatan Menteri Besar Terengganu digantikan dengan Mahmood bin Sulaiman.18 Di peringkat Persekutuan, Khaw Kai Boh diarah berundur dari menjadi anggota jemaah Menteri pada September 1970.19 Sepanjang tahun 1970, BPR melakukan 3265 inkuiri, 319 siasatan penuh, melakukan tangkapan 115 individu dan 67 penjawat awam; sementara tindakan disiplin dikenakan terhadap 87 pegawai.20 BPR turut diarah melakukan siasatan terhadap kontraktor dan pembekal yang memanipulasikan proses tender Kerajaan.

21. Pendekatan preventif disuntik untuk meningkatkan integriti serta daya tahan pegawai awam dari godaan rasuah. Skala gaji baru diperkenalkan dengan mengambil kira kos sara hidup, diperlengkap dengan kemudahan skim pinjaman perumahan, agar kakitangan awam boleh membeli rumah tanpa perlu bergantung pada sumber kewangan dari pihak lain.22 Pada awal tahun 1971, Dato’ Harun Hashim merumuskan bahawa kempen memerangi rasuah telah mencapai matlamat. Kesungguhan beliau memerangi rasuah dihargai. Dato’ Harun Hashim diangkat ke kerusi Hakim Mahkamah Tinggi pada Mac 1971.

22. Tun Abdul Razak tidak selesa dengan pendekatan salah, yang dilapor dilakukan oleh pihak tertentu di dalam angkatan tentera, lalu melakukan rombakan pimpinan Angkatan Tentera Malaysia.24 Anggota jemaah menteri dan anggota pentadbiran yang dilantik oleh Tun Abdul Razak terdiri dari kalangan ahli-ahli parti yang kompeten, turut membawa masuk teknokrat-teknokrat dari kalangan anggota perkhidmatan awam yang memiliki prestasi cemerlang, antaranya Ghazali Shafie, Abdul Kadir Yusof, Chong Hon Nyan dan K. Pathmanaban.

23. Suara yang digemakan di Dewan Bahasa ini, melalui perhimpunan ‘Peristiwa Api dan Air Mata’ atau ‘Keranda 152’ menyentuh isu Bahasa Kebangsaan diberikan perhatian. Menteri Pelajaran pilihan beliau, Abdul Rahman Ya’kub melaksanakan secara tegas sistem pelajaran kebangsaan dari peringkat sekolah hingga ke pengajian tinggi. Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan pada Mei 1970. Dasar Bahasa Kebangsaan dilaksanakan secara tegas. Surat Setiausaha Agung National Union of Teachers, John Gurusamy yang ditulis dalam bahasa Inggeris kepada beliau adalah antara surat terawal yang dipulangkan kembali. Abdul Rahman Ya’kub bertegas, bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak boleh dikompromikan; sebarang surat kepada kerajaan yang tidak menghormati bahasa kebangsaan, hendaklah dimasukkan ke bakul sampah.

24. Pada waktu yang sama, Tun Abdul Razak mempromosikan tenaga profesional muda di dalam UMNO, antaranya Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Adib Adam, Rafidah Aziz, Marina Yusof yang berada dalam lingkungan usia awal tiga puluhan, di samping Abdullah Ahmad, Shahril Abdul Samad, Haji Suhaimi Kamaruddin yang belum pun mencecah usia tiga puluh tahun, sebagai barisan pelapis di dalam parti. Tun Abdul Razak memahami bahawa untuk mendapat sokongan warga muda, UMNO perlu menggunakan jambatan yang dibina dari kalangan tenaga muda.

25. Teknokrat yang dinamik dan teknokrat muda turut diberikan amanah dan kepercayaan. Nama-nama seperti Ani Arope, Taib Andak, Ungku Aziz, Rashdan Baba, Arshad Ayub, Ainuddin Wahid, Hassan Ibrahim, Ishak Tadin, Hanif Omar, telah diamanahkan dengan tugas-tugas strategik untuk menyuntik inovasi di pelbagai jabatan, agensi, badan berkanun, begitu juga institusi pendidikan negara.

26. Era tersebut juga menjelmakan emansipasi wanita Melayu secara lebih bermakna. Wanita Melayu tidak lagi terbatas kepada profesion juru taip, kerani, cikgu dan jururawat tetapi diberikan peluang yang sama untuk menjawat profesion lebih tinggi. Anak Melayu juga dibina keyakinan untuk menceburkan diri dalam sektor-sektor perbankan, kewangan, perdagangan dan industri.

27. Kemiskinan rakyat ditangani melalui pelbagai pembangunan prasarana, jalan kampung, bekalan elektrik dan air bersih, klinik desa dan sekolah. Melayu diperkenalkan dengan budaya pertanian komersial melalui pembukaan Rancangan FELDA secara besar-besaran. Program pendidikan diutamakan, sekolah berasrama penuh dan pelbagai institut latihan dibina, program meningkat literasi meliputi orang-orang dewasa, dilaksanakan oleh KEMAS.

28. Tun Abdul Razak berjaya membaca secara tepat faktor-faktor yang dapat mengembalikan keyakinan warga khususnya bangsa Melayu kepada UMNO, dengan memenuhi tuntutan bangsa tetapi turut diimbangkan secara saksama dengan keperluan kaum lain. Tun Abdul Razak begitu juga Tun Dr. Ismail berlatar belakangkan keluarga bangsawan – keluarga atasan; tetapi hati dan jiwa mereka menghayati kemiskinan dan kedaifan rakyat. Segala yang dilaksanakan berpaksikan kasih ikhlas - kasih sejati kepada rakyat. Bila berucap, Tun Abdul Razak tidak perlu memetik ayat Al-Quran; beliau tidak pernah memaparkan imejnya sebagai alim, untuk mengimamkan makmum bersolat atau memimpin jemaah berdoa, tetapi keikhlasan bekerja yang beliau pamerkan, mencerminkan pancaran kemurnian dan ketulusan Islam. Pendekatan pimpinan Tun Abdul Razak memiliki unsur-unsur keselarian dengan kepimpinan yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu tidak dapat membeli hati manusia dengan harta. Akan tetapi kebaikan budi pekerti kamulah yang menawan hati mereka”.

29. Ketulusan hati seorang pemimpin yang luhur itulah, sebenarnya yang menjadi tali pengikat utama, berjaya menyatukan ummah. Negara kehilangan besar disebabkan pemergian Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail yang terlalu awal menyahut panggilan ILAHI. Padamlah dua pelita utama, yang mengorbankan diri masing-masing untuk mencahayakan negara bangsanya. Semoga roh kedua mereka, begitu juga barisan pimpinan seangkatan mereka yang senantiasa mengamalkan sifat jujur, ikhlas lagi amanah, dicucuri limpah rahmat ILAHI. AL-FATIHAH.

30. Mulai era tujuh puluhan, UMNO muncul sebagai organisasi politik yang gagah lagi terulung. UMNO bukan sahaja mempunyai akar politik yang semakin kukuh tetapi turut memiliki kekuatan baru, ia itu kekuatan kewangan dan kekuatan ekonomi, diperkuatkan dengan keahlian lebih ramai cerdik pandai, teknokrat dan profesional Melayu. Menara UMNO siap dibangunkan dalam tahun 1985, menjadi mercu tanda kemegahan parti - kemegahan bangsa. Melalui nomini, UMNO terlibat aktif dalam aktiviti perniagaan dan pelaburan. Lalu UMNO berupaya berdikari, memiliki sumber kewangan sendiri untuk membiayai kegiatan parti. Komposisi perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO sedikit demi sedikit beralih dari kalangan guru sekolah, pegawai KEMAS, pegawai penerangan, penghulu dan pegawai rendah kepada tokoh profesional, tokoh perniagaan, tokoh korporat. UMNO semakin mencerminkan imej elit masyarakat Melayu.

31. Dalam era UMNO begitu dominan menguasai politik negara dan memiliki kekuatan ekonomi, UMNO dilanda krisis dalaman. Isu Harun Idris dan Pemuda UMNO, dakwaan agen komunis meresap di dalam parti, dakwaan adanya puak Aidit dan puak Nasution, politik wang, krisis kepimpinan. Krisis kepimpinan 1987, mengakibatkan UMNO disabitkan perintah pembatalan pendaftaran, menjadi sebab kepada tertubuhnya Parti Semangat 46. Krisis Kepimpinan 1998 mendorong kepada tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat. Bermakna, berada dalam satu kabilah politik yang sama, tidak menjamin perpecahan ummah tidak berlaku.

32. Sejak pilihan raya Persekutuan pertama yang berlangsung pada 27 Julai 1955, ummah telah mempunyai opsyen untuk memilih pimpinan Melayu di antara UMNO dan PAS. Lima puluh dua kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya Persekutuan 1955. UMNO bertanding di tiga puluh lima (35) kawasan, MCA di lima belas (15) kawasan dan MIC di dua (2) kawasan; Parti Negara dengan sekutunya The National Association of Perak bertanding di tiga puluh sembilan (39) kawasan (37 terdiri dari calon Melayu). PAS secara bersendirian, mempunyai sumber yang amat terbatas, malah tidak berupaya untuk membayar deposit bagi calon yang bertanding; apatah lagi untuk membiayai perbelanjaan berkempen. Dalam situasi kedaifan sumber, PAS hanya berupaya meletakkan sebelas (11) calon untuk bertanding; namun berjaya menidakkan kejayaan seratus peratus Parti Perikatan, dengan kemenangan tunggal Haji Ahmad Tuan Hussein, seorang guru pondok dari Pokok Sena, yang bertanding di kawasan Kerian, Perak. Kejayaan tersebut mencatatkan rekod bahawa, PAS adalah satu-satunya parti pembangkang yang telah menganggotai dewan perundangan Persekutuan sejak pilihan raya mula diperkenalkan. Kejayaan kecil PAS ini, laksana ragi yang membantu menyuburkan PAS untuk berkembang.

33. Dalam Pilihan raya tahun 1959, PAS mencatat kejayaan di luar dugaan. PAS memenangi sembilan (9) dari sepuluh (10) kerusi Parlimen di Kelantan, hanya kalah di kawasan Parlimen Ulu Kelantan, kekalahan Amaluddin Darus dengan 464 undi kepada Tengku Inderaputra. PAS menguasai empat (4) dari enam (6) kerusi Parlimen di Terengganu, sementara menawan dua puluh lapan (28) dari tiga puluh (30) kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan dan tiga belas (13) dari dua puluh empat (24) kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu. Kemenangan ini telah membolehkan PAS menubuhkan dua Kerajaan Negeri; meletakkan PAS sebagai parti Islam pertama di Asia Tenggara yang berjaya menubuhkan kerajaan dan merupakan antara parti Islam terawal di dunia yang berjaya memperoleh kuasa pemerintahan secara berperlembagaan.

34. Di samping menguasai tiga belas (13) kerusi di Dewan Rakyat, PAS turut mempunyai empat (4) anggota di Dewan Negara. PAS berupaya menubuhkan Kerajaan Negeri yang kuat di Kelantan tetapi di Terengganu PAS berhadapan dengan realiti cabaran untuk mengurus kejayaan. Bibit perebutan kuasa mula terserlah hingga Timbalan Presiden PAS, Zulkiflee Muhammad (Allahyarham) menganggap PAS mencapai kemenangan terlalu cepat. Kebimbangan Zulkifli adalah bacaan yang tepat kerana Kerajaan PAS di Terengganu tidak bertahan lama. Undi tidak percaya diusulkan terhadap Mohamad Daud pada 30 Oktober 1961; dua ahli Dewan Undangan PAS menyokong usul tidak percaya tersebut, sementara tiga lagi memilih berkecuali32 mengakibatkan PAS hilang kuasa pemerintahan di Terengganu. PAS hanya kembali memerintah Terengganu selepas pilihan raya umum kesepuluh yang diadakan pada tahun 1999, itu juga hanyalah untuk tempoh satu penggal.

35. Kejayaan PAS di Kelantan dan di Terengganu pada tahun 1959 dan susulan peristiwa menjatuhkan Kerajaan PAS di Terengganu pada tahun 1961, mula mencetuskan pemikiran strategik jangka panjang di kalangan beberapa tokoh PAS. Bahawa kejayaan sekadar berkuasa memerintah di peringkat negeri tidak akan dapat membawa kejayaan lebih besar kepada PAS. Untuk mencapai kejayaan lebih besar, PAS perlu memandang jauh, mengatur langkah hingga berjaya menguasai Kerajaan Persekutuan. Tokoh-tokoh tertentu PAS ketika itu, mula menyedari betapa pentingnya PAS menjalinkan kerjasama dengan orang-orang bukan Islam. Zulkiflee Muhamad di tahun enam puluhan, telah mengusulkan agar PAS segera membuka pintu keanggotaan parti kepada warga negara bukan Islam sebagai ahli bersekutu. Pemikiran Zulkiflee terlalu jauh mendahului pemikiran majoriti anggota partinya. Idea Zulkiflee bukan sahaja dibantahi oleh majoriti ahli-ahli jawatankuasa agung PAS, malah Zulkiflee dalam persidangan jawatankuasa agung PAS yang berlangsung di Jalan Raja Uda, Kampung Baru, Kuala Lumpur, menangis tersedu-sedu kerana dikecam hebat sebagai pengkhianat kepada bangsa Melayu; hinggakan Dr. Burhanuddin Al Helmy terpaksa menangguhkan mesyuarat. Bila mesyuarat di sambung semula, Zulkiflee dengan penuh hiba menarik balik usul berkaitan.

36. PAS telah melalui pahit maung perjuangan, era jatuh dan bangun. Bermula dari sebuah organisasi, terdiri dari kumpulan ulama di dalam UMNO, kemudiannya keluar dari UMNO, memilih untuk mewujudkan entiti politik sendiri. PAS telah melakukan pelbagai anjakan untuk kelangsungan perjuangan dan menerokai pelbagai titik perimbangan untuk mengembangkan pengaruh. Dari organisasi yang amat daif, menumpang ihsan berteduh di bawah bumbung madrasah milik ulama UMNO, dengan berbekalkan mesin taip buruk, PAS hari ini telah muncul sebagai kabilah politik yang menguasai pelbagai teknologi komunikasi moden, di dokong bukan lagi oleh tok guru dan lebai kampung, tetapi oleh barisan profesional dan teknokrat dari pelbagai lapisan dengan pemikiran semakin terbuka, berdaya usahawan tinggi, mengikhtiarkan sumber rezeki secara berdikari.

37. Program pendidikan negara adalah program Dasar Ekonomi Baru yang paling berjaya memenuhi matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Program pendidikan negara telah berjaya menghasilkan lebih ramai cerdik pandai dan tenaga profesional di kalangan generasi muda ummah. Ramai di antara mereka berminat dalam politik; ramai yang mahu berperanan aktif di dalam politik. UMNO telah terlalu sarat untuk dapat menyediakan ruang yang boleh menyerap kesemua angkatan muda inteligensia ummah. Di samping itu, berlaku budaya over protective yang diamalkan di kalangan sebahagian pemimpin UMNO, yang tidak bersedia menerima kehadiran angkatan inteligensia muda ini, kerana bimbang angkatan muda bakal mencabar status quo pimpinan. Di tambah dengan gelombang kebangkitan Islam sejagat, angkatan muda inteligensia ummah ini, sedikit demi sedikit telah menjadi tenaga baru di dalam PAS. Mereka memberikan kekuatan baru – mereka menyuntik budaya baru – mereka melakar imej baru PAS.

38. Mereka didewasakan di tapak semaian politik yang sehingga kini tidak memperlihatkan budaya bermegah-megah berbentuk material atau dihiasi dengan pakaian dan kenderaan berjenama. Mereka tidak bersantai di cofffee house atau di lounge hotel ternama, tetapi bersantai di warung dan di kedai kopi, berqiamullail di masjid – berusrah di surau. Lalu berlaku asimilasi budaya yang amat erat, menggabung dan mengimbangkan tradisi dengan modenisasi, mencantumkan komponen duniawi dengan ukhrawi; menghasilkan produk politik yang berupaya menyampaikan tazkirah di pondok dan madrasah, pada masa yang sama bertenaga untuk berdebat di auditorium universiti dan di forum antarabangsa. Kehadiran mereka telah mengubah kaedah dan pendekatan politik PAS. Kehadiran mereka semakin terasa.

39. Semasa berucap kepada perwakilan UMNO Johor Baru pada 19 Februari 2000, mantan Timbalan Presiden UMNO Tun Musa Hitam memperingatkan:
Petikan: “ Terang-terang saya berani menyatakan sekarang bahawa PAS telah berjaya dengan hujah-hujahnya memikat orang-orang Islam’.

40. PAS terus melakukan pelbagai eksperimen politik. Dengan sumber tenaga yang semakin ramai dan semakin pelbagai, PAS terus mereka-cipta resipi politik yang cuba diadaptasikan sehampir mungkin dengan audiens dan teater yang dihadapi. PAS melakukan analisis tepat, akan perubahan komposisi pengundi mengikut pecahan kaum, melalui pemetaan kawasan pilihan raya baru, yang mula diguna pakai semasa pilihan raya umum kesebelas pada tahun 2004. PAS menyedari lalu menerima hakikat bahawa untuk merealisasikan cita-cita politiknya, mereka perlu menjalin kerjasama dengan bukan Melayu. Hari ini, bekerjasama dengan bukan Melayu, bukan lagi satu opsyen kepada PAS, tetapi diterima sebagai satu keperluan. Dalam pilihan raya umum kedua belas, PAS mengulangi kejutan kejayaan. Di samping mengekalkan pemerintahan di Kelantan, PAS turut menguasai negeri Kedah. Walaupun PAS memenangi hanya enam (6) dari lima puluh sembilan (59) kerusi Dewan Negeri di Perak, ADUN PAS diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dilantik ke jawatan Menteri Besar.

41. PAS kini berada dalam satu tahap keyakinan diri yang amat tinggi akan kekuatan politiknya. PAS kini mempercayai pengaruh parti tersebut tidak lagi terbatas di kalangan Melayu tetapi yakin bahawa perjuangan mereka semakin difahami oleh bukan Melayu. Pemikiran strategik yang pernah diusulkan oleh Zulkiflee Muhamad dalam tahun enam puluhan kini diadaptasi sebagai strategi politik yang perlu diterima pakai. PAS kini berada dalam psyche pemikiran bahawa kekuatan dari segi gerakan politiknya telah mengatasi UMNO, malah menganggap bahawa secara relatif, kekuatan politik UMNO semakin rapuh kerana UMNO telah terlalu lama selesa bergantung pada jentera dan sumber kerajaan. Suara PAS menyentuh isu urus tadbir negara secara telus, memerangi rasuah, sistem kehakiman yang bebas lagi adil, penguatkuasaan undang-undang secara saksama, membasmi kemiskinan, menangani keruntuhan moral dan jenayah, masalah kos sara hidup yang tinggi, adalah isu-isu popular yang memberikan kelebihan retorik untuk digunakan oleh PAS sebagai senjata ofensif menyerang lawan.

42. Pada masa yang sama, UMNO kekal dalam psyche bahawa ia adalah kabilah politik Melayu terbesar dengan bilangan keahlian yang lebih ramai dari PAS, tetap menguasai pemerintahan negara, masih menguasai pemerintahan di sembilan negeri, di samping menguasai instrumen-instrumen utama Negara dan telah mencipta rekod berjasa kepada ummah. Pimpinan UMNO terus memperkenalkan inovasi – menyuntik pelbagai program transformasi untuk membawa negara mencapai status negara maju di samping mengadakan pelbagai pendekatan mendampingi rakyat.

43. UMNO juga memiliki kelebihan sebagai parti yang sedang menguasai kerajaan. Walaupun memiliki kelebihan tersebut, UMNO pula tidak dapat lari dari dipersalahkan apabila berlaku kelemahan di peringkat jentera pelaksana dan berlaku kelemahan sistem penyampaian kerajaan. Mengurus tadbir negara adalah tanggung jawab jauh lebih berat dan lebih sukar berbanding kegiatan sekadar berkempen.

44. Kedua-dua kabilah politik Melayu ini, masing-masing sedang berada dalam psyche keyakinan bahawa kemenangan berpihak kepada mereka. Pada masa yang sama pelbagai individu, organisasi dan badan-badan Melayu meletakkan harapan dan terus menyeru agar dua kabilah politik Melayu ini bersatu. Dari segi hukum adatnya, psyche seseorang yang yakin dirinya akan menang, baik di dalam sukan, baik di dalam peperangan, tidak membenarkan dirinya untuk memberi walk over atau laluan mudah. Psyche yang merasakan diri berada di ambang kemenangan juga tidak bersedia untuk meletakkan dirinya menjadi junior partner atau pemegang saham lebih kecil jika berlakunya penggabungan. Tambahan pula dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, negara menyaksikan era ummah paling rancak berpolitik. Kerja berkempen berlaku sepanjang masa dan dirancakkan lagi dengan pilihan raya kecil yang begitu kerap berlaku. Sejak pilihan raya umum kedua belas, tercatat rekod paling banyak berlangsungnya pilihan raya kecil dalam sesuatu penggal parlimen; enam di peringkat parlimen dan sepuluh di peringkat Dewan Undangan Negeri.

45. Suasana berkempen tidak pernah berhenti. Bendera dan sepanduk parti tergantung di serata jalan, di serata kampung, di serata bangunan, di serata kawasan. Perhimpunan dan perarakan bagaikan aktiviti harian. Kenyataan politik, ikrar politik, pengumuman politik dan janji politik dilafazkan setiap hari oleh kedua-dua pihak, menjadi berita utama media. Istilah-istilah perang, medan tempur, memperlengkapkan senjata, titisan darah terakhir, adalah perbendaharaan kata yang dipilih untuk digunakan. Pendekatan bercorak memusnahkan lawan telah meningkatkan suhu politik, menanti waktu untuk meluapkan lava panas kemarahan. Perseteruan dan sifat berdendam kesumat semakin menyerap di antara satu sama lain.

46. Malah persaingan politik telah menghalalkan cara hingga merentasi etika yang dianjurkan oleh Islam, melanggar tata kesopanan budaya Melayu. Fitnah, pemalsuan dan penghinaan yang keterlaluan terhadap lawan berlaku secara berleluasa. Perbalahan berbentuk verbal, diperluaskan dalam bentuk penulisan dan dilebarkan melalui alam siber. Dibimbangkan, pada akhirnya nanti, tidak akan ada lagi tokoh Melayu yang credible dan boleh dipercayai. Sheikh Muhammad Abduh pernah mengingatkan bahawa Islam itu didindingi oleh umat Islam; ummah sewajarnya mengingatkan bahawa Melayu itu juga didindingi oleh orang Melayu.

47. Kebelakangan ini, pertentangan di antara kabilah politik telah melarat kepada tindakan-tindakan berbentuk fizikal. Telah muncul kumpulan pengacau; dari kalangan anak muda, berlagak samseng melakukan perbuatan yang mengetepikan undang-undang. Telah muncul anak muda mengoyak poster – melempar batu, mengadakan sekatan jalan raya – menyimbah cat ke potret pemimpin – memijak bendera negara. Toleransi kepada budaya gengsterisme adalah satu permulaan budaya yang amat tidak sihat, sangat bercanggah dengan semangat demokrasi, sangat bertentangan dengan sifat bangsa yang bertamadun dan anti tesis kepada budaya negara maju. Anak muda jangan dididik bersifat samseng. Pihak berkuasa tidak harus memejamkan mata, di sebaliknya wajib bertindak tegas. Memperkenalkan dan bertoleransi kepada budaya samseng adalah satu kesilapan besar, ia bakal mencetus huru-hara, ia adalah perbuatan mungkar yang tidak mendapat keberkatan dan keredaan ILAHI, ia berpotensi menjadi bumerang yang bakal memakan diri sendiri.

48. Telah dua belas kali pilihan raya diadakan. Malaysia adalah satu-satunya negara Komanwel yang sehingga hari ini terus diterajui oleh Kerajaan yang sama sejak dari tarikh negara mencapai kemerdekaan. UMNO kekal menerajui dan menjadi tunggak kepada kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Kejayaan UMNO berterusan menerajui pemerintahan negara diperoleh kerana wawasan bijak UMNO sejak menyertai pilihan raya pra kemerdekaan 1955. UMNO sejak awal lagi telah mempelopori konsep perkongsian kuasa. Suara kesederhanaan yang dibawa oleh UMNO memudahkan kaum bukan Melayu untuk menerima UMNO. Di samping itu, UMNO juga sehingga tahun sembilan puluhan memiliki kelebihan yang ketara mengatasi PAS dari segi bilangan tenaga teknokrat dan profesional di dalam parti.

49. Kehadiran PAS di Dewan Perundangan Persekutuan, bermula dengan seorang ahli pada tahun 1955, disusuli tiga belas (13) ahli Dewan Rakyat dan empat (4) ahli Dewan Negara pada tahun 1959. Pada tahun 1959, PAS merumuskan untuk berperanan sebagai pembangkang yang aktif dan adil.35 Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara PAS dinasihatkan tidak membuat bangkangan semata-mata kerana PAS parti pembangkang. Zulkiflee Muhammad telah mengingatkan wakil-wakil PAS untuk memberikan sokongan kepada perkara yang baik dan membuat teguran secara membina kepada perkara yang kurang baik.36 Zulkiflee sendiri telah menunjukkan sebaik contoh apabila mencipta rekod perbahasan melebihi empat jam di Parlimen, berucap atas tema Islam dan politik, mengkritik dasar sekular kerajaan. Meskipun Zulkiflee mewakili PAS, Perdana Menteri, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman (Almarhum) dan Menteri Persekutuan V. T. Sambanthan (mendiang) turut mencerminkan sifat parliamentarian berhemah tinggi. Mereka mengiktiraf Zulkiflee dan mengakui Zulkiflee menyuarakan pandangan konstruktif bernada negarawan.

50. Hari ini sifat negarawan sedemikian, semakin tidak kedengaran lagi. Budaya perbahasan di Parlimen lebih mirip kepada salah menyalahi, ada kalanya berlaku dengan nada tinggi dan suara bertempek. Warga sesungguhnya amat merindukan suara kenegaraan yang memiliki unsur-unsur kesarjanaan melalui gaya perbahasan yang bernas, intelek, tajam lagi kritikal. Warga kepingin melihat berlakunya di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri perdebatan bertamadun yang matang dan kandungan perdebatan yang menyuarakan kepentingan warga. Warga mengimpikan ahli-ahli dewan perundangan mempamerkan laku yang sejajar dengan gelaran penghormatan yang diberikan kepada mereka.

51. Hukum akal, menunjukkan, ketika ini masih belum ada titik mula untuk memungkinkan dua kabilah politik Melayu ini berada dalam minda yang bersedia disatukan. Tepak sirih pinangan terus ditolak. Namun, Beta sedar bahawa bacaan Beta adalah dari pemikiran orang bukan politik yang daif lagi naif, pemikiran seorang hamba ALLAH yang masih belum khatam belajar ilmu politik; bacaan yang mungkin salah sama sekali kerana Beta juga maklum bahawa politik adalah seni yang memungkinkan berlakunya sesuatu kemustahilan; kerana di dalam politik tidak ada rakan dan tidak juga ada musuh yang kekal. Beta lebih insaf bahawa ALLAH Subhanahu Wata’ala, Maha Penentu; jika ALLAH mahu menjadikan sesuatu, apa juga keajaiban boleh berlaku. Sebagai hamba ALLAH yang menghargai nilai perpaduan, sewajarnya kita terus berdoa, tidak berputus harap dan sama-sama berikhtiar mencari resipi terbaik demi kebaikan ummah.

52. Perpaduan adalah perkara makruf sementara perpecahan dianggap mungkar. Usaha ke arah mencapai perpaduan adalah satu tuntutan ILAHI, selaras dengan seruan yang terkandung dalam ayat 103, Surah Ali-Imran yang bermaksud:“ Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) ALLAH, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat ALLAH kepada mu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka ALLAH menjinakkan antara hati mu; lalu menjadilah kamu dengan nikmat ALLAH orang-orang yang bersaudara....”

53. Usaha memupuk perpaduan adalah sebahagian dari sunah. Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam diutus oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala untuk menyatupadukan ummah agar hidup aman, rukun dan damai, saling membantu – saling memperkukuhkan. Daripada Abu Musa a-Ssy’ari, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti satu binaan, sebahagiannya saling mengukuh sebahagian yang lain”.

54. Demikian seruan ILAHI, demikian peringatan Rasul Junjungan mengenai perpaduan, begitu murni – begitu indah, terangkai dalam kalam ILAHI terkandung dalam Sunah Rasul. Dalam senario dua kabilah politik Melayu masih dalam minda tidak bersedia untuk bergabung, ummah yang dikurniakan akal fikiran wajar memikirkan opsyen perpaduan yang lebih realistik, agar usaha yang dirintis tidak dilihat bagai memasang pelita di tengah hari – bagai mencari bayang di waktu malam. Ummah harus bertanya, apakah hanya ada satu laluan untuk sampai ke Mekah? Apakah hanya ada satu kaedah untuk sampai ke Medinah? Jawapannya pasti tidak. Kerana itu ummah hendaklah melakukan orientasi bijak, memikirkan secara mendalam akan opsyen pendekatan yang lebih realistik supaya kalau berladang biar menjadi – kalau bersawah biar berpadi, dalam menangani iklim politik Melayu Islam yang terbahagi dalam dua kabilah, laksana dua sungai mengalir selari tetapi enggan bercantum.

55. Setiap yang berlaku mengandungi hikmah tersembunyi sebagai ujian ILAHI kepada manusia. Apabila manusia tekun berfikir, air laut menjadi tawar, racun bisa ada penawar. Kembalilah mencari pedoman di dalam Al-Quran. Sesungguhnya, jika ALLAH menghendaki manusia hanya terdiri dari satu umat, tentunya hari ini dunia hanya mempunyai satu umat seperti yang terkandung pada permulaan ayat 118 Surah Hud, ayat 93 Surah An-Nahl, dan ayat 8 Surah Al-Sura; ketiga-tiga ayat tersebut dimulakan dengan kalimah yang bermaksud: “ Jikalau ALLAH menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu...”

56. Tetapi ALLAH Subhanahu Wata’ala telah mencipta ummah dari seorang lelaki dan perempuan, berbangsa dan bersuku supaya saling mengenali seperti yang terkandung dalam ayat 13 Surah Al Hujurat. Kerana itu ulama berpandangan bahawa perbezaan pendapat adalah satu fitrah yang berlaku, diterima pada zaman Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam, disuarakan di era Khalifah yang empat, demikian juga di era para Tabi’in, disusuli dengan era Mujtahid. Dalam era-era tersebut, muncul pelbagai pendapat, tetapi tidak ada pihak yang merendah-rendahkan kumpulan lain. ALLAH Subhanahu Wata’ala telah memberikan peringatan melalui ayat 11, Surah Al Hujurat yang bermaksud;“ Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan...).....
...janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah (mereka) beriman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” Surah Al Hujurat (49:11)

57. Hakikatnya, kelainan pandangan adalah sebahagian dari norma semula jadi intelek. Perbezaan kaedah adalah lumrah yang dibenarkan di dalam Islam, memberikan keistimewaan kepada umat Islam lebih mudah menunaikan ibadah, berpandukan kesesuaian imam dan mazhab tertentu, tetapi tidak sama sekali merendah-rendahkan imam dan mazhab lain, lalu membolehkan berlakunya penyatuan dalam kepelbagaian; perpaduan dalam perbezaan.

58. Antara kata pujangga Confucius berbunyi; “Tidak menjadi salah untuk sesuatu terusan mempunyai sampan yang banyak asalkan kesemua sampan menuju haluan yang sama”.

Kata-kata tersebut sebenarnya menjadi kompas panduan pelbagai organisasi bukan Melayu. Meski mereka berada dalam kabilah berlainan, tetapi dalam perkara-perkara asas menyentuh bahasa, kebudayaan, pendidikan dan perniagaan, mereka bersatu suara - bersatu tindakan. Mereka tampak berselisih dari segi pendekatan tetapi mempunyai matlamat perjuangan yang sama. Kepentingan mereka tidak pernah terjejas, walau kabilah politik mana yang menang atau kalah di dalam pilihan raya. Kabilah politik bukan Melayu memiliki kebijaksanaan strategi, mengambil posisi sayap kanan - sayap kiri, tetapi sama-sama melambung bola ke petak penalti untuk menjaringkan gol kemenangan.

59. Sasterawan Negara Abdullah Hussein teresak menangis hiba kerana Novel INTERLOK dicerca dan dibakar secara terbuka, disebabkan terselit dua patah perkataan yang dianggap menghina kaum India; sedangkan tidak terlintas sama sekali olehnya untuk bersifat sedemikian. Kaum India baik yang di dalam mahupun yang di luar kerajaan, serta pelbagai organisasi dan individu, bersatu suara – bersatu tindakan atas nama mempertahankan maruah bangsa, mendesak supaya dibatalkan penggunaan novel tersebut sebagai teks sastera di sekolah. Tuntutan mereka dipenuhi.

60. Ketika berlaku perselisihan di antara Sayidina Ali Karramallahu wajhah dengan Mu’awiyah, Kerajaan Roma menawarkan bantuan kepada Mu’awiyah untuk menentang Sayidina Ali dengan harapan mendapat manfaat jangka panjang. Tawaran tersebut ditolak secara tegas oleh Mu’awiyah malah secara keras Mu’awiyah memberi amaran kepada Kerajaan Roma,“ Jangan terpedaya kerana perbezaan kami, jika kamu berhasrat menentang umat Islam, aku akan menjadi tentera Ali yang pertama untuk menentang mu”.

61. Keresahan ummah tidak kerana bangsa berada dalam kabilah politik yang berlainan, tetapi ummah teramat bimbang akan arah haluan kegiatan politik yang terlalu tertumpu pada pencapaian matlamat jangka pendek untuk memperoleh kuasa. Ummah kelihatan semakin taasub menumpukan kesetiaan pada slogan, pada lambang, pada simbol kabilah masing-masing hingga teralpa kepada agenda bangsa yang lebih besar serta kelangsungan bangsa untuk jangka panjang. Sedikit demi sedikit hak, maruah dan martabat bangsa terhakis. Jika ada suara menuntut untuk dipertahankan kedudukan bangsa, suara tersebut dimomokkan sebagai rasis, dianggap merugikan strategi perjuangan, disifatkan menyinggung perasaan kaum lain. Persaingan kabilah politik bagaikan tidak lagi menghiraukan tindak tanduk yang semakin meletakkan ummah berada dalam situasi bagaikan telur di hujung tanduk.

62. Dalam hasrat membina perpaduan ummah, fikiran hendaklah diluaskan, berupaya menerokai kaedah yang tidak hanya terbatas pada usaha menyatukan dua kabilah politik. ALLAH Subhanahu Wata’ala masih merahmati bangsa Melayu dengan mengamanahkan individu-individu bangsa menjawat pelbagai jawatan dalam pelbagai institusi, menguasai pentadbiran awam, tentera, polis, kehakiman dan perundangan, institusi pendidikan dan pelbagai lagi. Bilangan ummah yang tidak terlibat secara langsung dalam politik kepartian masih ramai; malah tidak kurang yang bertambah mual dengan gelagat politik yang keterlaluan. Perpaduan yang mahu dicapai hendaklah diperluaskan untuk menyepadukan matlamat besar yang satu, dalam kepelbagaian konstituen bangsa yang sedang berlaku.

63. Pertama: Tidak salah untuk bangsa berada dalam pelbagai kabilah asalkan bangsa mencapai kata sepakat, bersatu pendirian, mempertahan, melindungi dan mengurus perkara-perkara menyentuh hak, maruah serta martabat bangsa Melayu dan Agama Islam, yang sama sekali tidak harus dikompromikan. Usaha meraih sokongan politik bukan lesen membolehkan status bangsa digadaikan. Sifat mempamerkan ‘kami kurang Melayu’ atau ‘we are less Malay’ untuk populariti politik, adalah perbuatan silap paling besar dan penderhakaan paling durjana kepada bangsa Melayu.

64. Kedua: Ummah wajib disedarkan bahawa mereka sudah terlalu lama selesa sebagai penduduk majoriti, sudah terlalu lama selesa bersandarkan kekuatan politik, sudah terlalu lama selesa dinaungi kerajaan; hingga ummah tidak lagi memiliki pertubuhan yang bebas lagi berkecuali, secara berani lagi tegas lantang menyuarakan tuntutan ummah. Sejarah perjuangan bangsa Melayu bermula dengan pelbagai pertubuhan. UMNO ditubuhkan melalui Kongres yang menghimpunkan 41 pertubuhan Melayu. Ketika memperjuangkan kemerdekaan, terdapat pelbagai pertubuhan Melayu, bagai himpunan pelbagai perahu tetapi berdayung menghala ke destinasi yang sama. Pertubuhan-pertubuhan Melayu ketika itu, laksana ranting-ranting, bila terhimpun berupaya menyalakan api besar, hingga berjaya meruntuhkan gagasan Malayan Union. Kekuatan bangsa ketika itu, tidak didukung oleh kemewahan kewangan; pertubuhan-pertubuhan Melayu majoritinya tidak dipimpin oleh sarjana berkelulusan tinggi, tetapi dipimpin oleh para guru dan ustaz, kerani dan penghulu, petani dan nelayan, tetapi cekal dengan semangat sedia berputih tulang dari hidup berputih mata.

65. Jika Dewan ini boleh bersuara, ia akan bercerita kepada kita, kisah perhimpunan bersejarah, Peristiwa Api dan Air Mata yang pernah berlangsung di sini. Pada petang 3 Mac 1967, berhimpun di Dewan Bahasa dan Pustaka dua ribu (2000) umat Melayu dari seluruh tanah air, atas nama individu, atas nama 120 pertubuhan Melayu, merumuskan ketetapan, menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 menyentuh Fasal 152 Perlembagaan yang dianggap telah dipesongkan dari erti dan tafsirannya, diselewengkan dari semangat dan kehendak sebenarnya. Peristiwa bersejarah yang menghasilkan antologi puisi Keranda 152, terkandung lembut kata yang diungkap oleh Sasterawan Negara Usman Awang;


‘ Malam itu di Balai Budaya
Api dan Air Mata
Malam itulah juga
Parlimen jadi pertanda
Memenggal leher BAHASA’.

Kata-kata tersebut menikam dalam ke dada pemimpin, meninggalkan bisa lebih beracun dari Keris Taming Sari yang ditusuk ke dada Hang Jebat.

66. Hari ini di manakah terkuburnya pertubuhan-pertubuhan Melayu? Apakah kekuatan yang masih ada di kalangan pertubuhan Melayu yang masih bernafas? Ummah perlu kembali menghidupkan semangat dan roh pertubuhan yang benar-benar berkecuali, tidak memihak, tidak partisan, dihormati dan digeruni oleh pemimpin, oleh pentadbir, oleh akademia, oleh kabilah politik. Pertubuhan yang tidak terikat – tidak tertakluk – tidak dipengaruhi kerana sogokan wang oleh mana-mana pihak; pertubuhan yang tidak dijadikan platform mempopularkan individu; pertubuhan yang bukan berperanan sebagai rumah persinggahan kepada individu yang sudah ditolak oleh mana-mana parti politik; pertubuhan yang berperanan aktif lagi objektif, mengaudit tindak tanduk kabilah politik, pentadbiran negara, jabatan, agensi dan institusi, begitu juga individu yang melakukan kemungkaran, memperdagangkan maruah bangsa; pertubuhan yang kiblat kesetiaannya adalah kepada agama, bangsa dan negara.

67. Ketiga: Badan Kehakiman, perkhidmatan awam, pasukan keselamatan hendaklah mengamalkan budaya profesionalisme yang tidak partisan, menyempurnakan tugas secara amanah, adil dan saksama, berpaksikan undang-undang dan peraturan; tegas menegakkan kebenaran – cekal menentang kemungkaran, tidak bersekongkol merestui berlakunya penyelewengan terutama dalam mengurus khazanah, sumber kekayaan dan sumber kewangan negara.

68. Keempat: meningkatkan kegiatan keilmuan dan menambah komponen pengetahuan di kalangan ummah terutama dari segi penghayatan dan amal, agar ummah memiliki iman yang kukuh, yakin berpegang bahawa rezeki, jawatan, pangkat dan kuasa datangnya dari ILAHI, lantas tidak gentar menyuarakan nasihat yang betul dan tidak goyah menyampaikan fakta yang benar, meskipun berhadapan dengan jeneral yang bengis atau menteri yang berkuasa.

69. Kelima: Memahami dan mendalami konsep federalisme berasaskan Perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat ditubuhkan dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di peringkat Persekutuan dan Raja Pemerintah atau Yang Dipertua Negeri di peringkat Negeri. Sifat kesetiaan kepada Raja hendaklah dicerminkan melalui sifat kesetiaan menyempurnakan tugas kepada Kerajaan yang telah diperkenankan penubuhannya. Raja Pemerintah dan Yang Dipertua Negeri telah menunjukkan sebaik contoh, bersifat tidak partisan ketika menyempurnakan peranan masing-masing berlandaskan peruntukan Perlembagaan. Di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Perak, Selangor dan Terengganu, Raja Pemerintah, masing-masing berangkat merasmikan Dewan Undangan Negeri walaupun kabilah politik negeri berkaitan sedang atau pernah diterajui oleh kabilah politik yang berbeza dengan Kerajaan Persekutuan; begitu juga menghadiri acara-acara yang dianjurkan oleh Kerajaan masing-masing. Demikian juga peranan yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan Sabah di era Sabah tidak diperintah oleh BARISAN NASIONAL. Keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong merasmikan Kolej Universiti Insaniah di Kedah baru-baru ini, adalah sebaik contoh pendirian institusi Raja yang tidak partisan. Raja dan Yang Dipertua Negeri kekal diiringi oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja bersandarkan jawatan rasmi tanpa diskriminasi kepada identiti politik yang mereka wakili.

70. Wacana yang dianjurkan ini, jadikan usaha berterusan ke arah membawa ummah bermuhasabah. Dewan hendaklah terus menganjurkannya secara bersiri, menjelajah ke serata negeri, melakukan perbincangan secara tertutup; bersifat tidak partisan, diiktiraf dan dihormati sebagai forum yang dapat mempertemukan ummah dari pelbagai kabilah, pelbagai institusi dan pelbagai organisasi; menjadi saluran maklumat melaporkan keadaan ummah secara faktual kepada pihak-pihak berkaitan hatta kepada Raja-Raja. Sejajar dengan sejarah penubuhan dan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dan imej berkecualinya yang belum tercalar, amatlah sesuai untuk Dewan diamanahkan mengambil tanggung jawab sebagai sekretariat kepada usaha menyatupadukan ummah. Untuk membolehkan Dewan Bahasa dan Pustaka dapat memenuhi hasrat tersebut secara berkesan, ia harus diberikan kepercayaan, ia harus diberikan amanah, ia harus diberikan fleksibiliti politik dan ia juga harus diterajui oleh personaliti yang diterima dan dihormati kerana integriti dan sifat berkecualinya, mengambil tanggung jawab selaras dengan seruan yang terkandung dalam ayat 104 Surah Ali Imran yang bermaksud;


“ Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung”.

Begitu pula maksud ayat 10 Surah Al Hujurat; 


“ Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat.”

71. Dalam menimbangkan subjek untuk dizahirkan di wacana ini, Beta tidak dapat menahan hiba membaca catatan kolumnis prolifik, Noor Azam bertarikh 31 Julai 2009;,

Petikan:“ Bangsa kita ini sedang sakit tenat. Kalau lambat diubati ia pasti akan mati. Yang akan tinggal hanya orang Melayu – bukan lagi bangsa Melayu. Ingatlah! Nama Tanah Melayu sudah pun terkubur 46 tahun yang lalu”

72. Beta tidak terkecuali berhadapan situasi serba salah untuk menzahirkan kebenaran, ditelan mati emak – diluah mati bapa, kerana kebenaran itu ada kalanya amat pahit untuk dimamah. Namun jika penyakit ummah mahu diubati, Beta berpegang, betapa pahit sekalipun, ummah harus sedia memamahnya; Beta tidak reda jika satu hari nanti, Raja Melayu itu dianggap tidak kisah nasib ummahnya, tidak hirau urusan watannya, tiada kekuatan menzahirkan hakikat; Beta tidak reda, Raja Melayu itu dilukiskan sekadar berkhayal dan bermimpi, hanya bergurindam dan bersyair dengan kata pujian kerana takut menghadapi realiti; dan ketika ummahnya gundah gulana, Raja leka bermain catur di dalam istana. Beta amat insaf, betapa tanggung jawab yang diamanahkan ke bahu Raja Pemerintah, turut diadili di hari kebangkitan seperti peringatan yang terkandung dalam ayat 9, Surah Al Imran bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada keraguan padanya, Sesungguhnya ALLAH tidak memungkiri janji Nya”.

73. Ya ALLAH kepada Mu kami bermohon, pelihara dan lindungi bangsa Melayu ini, pandu mereka menemui jalan yang Engkau redai. Amin Ya Rabul Alamin.

Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...