Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang

Sunday, July 28, 2013

TITAH RAJA NAZRIN 2


CABARAN PASCA PRU13:
MUAFAKAT ANTARA KERAJAAN DAN RAKYAT

Titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah 
di Majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia 
di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur 
pada 8 Jun 13

PILIHAN raya adalah satu mekanisme demokrasi, memberikan hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan. Prinsip demokrasi, menghormati kebebasan rakyat untuk memilih kerajaan, berakarkan konsep, ‘Kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’; konsep yang bersumberkan ucapan bersejarah Presiden Abraham Lincoln, bertarikh 19 November 1863 yang dikenali sebagai ‘Amanat Gettysberg’. Oleh itu pilihan raya wajib dilaksanakan secara berintegriti, mencerminkan hak asasi rakyat terjamin, menurut yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Pilihan Raya Umum Ke-13 atau rujukan ringkas PRU-13, telah berlangsung pada 5 Mei. Sebanyak 13.3 juta rakyat mendaftar sebagai pengundi, meningkat 2.5 juta (2,527,775) atau 23.5 peratus, dari bilangan 10.7 juta (10,740, 227) pengundi dalam PRU-12. Peratus yang menunaikan tanggungjawab mengundi meningkat dari 76 peratus dalam PRU-12 kepada 85 peratus dalam PRU-13; peratus tertinggi dalam sejarah pilihan raya umum di negara ini, memecah rekod 79 peratus yang tercatat dalam pilihan raya umum kedua yang berlangsung pada 25 April 1964.

Peratusan tinggi yang turun mengundi adalah petanda positif, bukti keyakinan rakyat akan hak yang diberikan kepada mereka untuk memilih kerajaan. Bilangan pengundi berdaftar yang meningkat dalam 2013 dan peratus tinggi yang mengundi, mencerminkan kepercayaan rakyat bahawa negara ini mengamalkan demokrasi. Petanda positif ini perlu terus ditingkatkan dengan memberikan perhatian kepada perkara-perkara yang telah mencetuskan kecurigaan, di samping merintis kaedah pembetulan, menangani sebarang keraguan.

BN berjaya menguasai 133 kerusi, sementara Pakatan Rakyat memenangi 89 kerusi dari jumlah 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Meskipun BN menguasai 60 peratus kerusi Parlimen untuk membolehkannya menubuhkan Kerajaan Persekutuan, undi popular BN menurun dari 51.4% yang diperoleh dalam PRU-12 kepada 47.4% dalam PRU- 13.
Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), BN memenangi 275 kerusi, berbanding kemenangan 230 kerusi oleh Pakatan Rakyat dari jumlah 505 kerusi yang dipertandingkan. BN berjaya menubuhkan sembilan kerajaan negeri sementara Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan kuasa untuk terus membentuk kerajaan negeri di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor tetapi gagal mempertahankan kuasa di Kedah.

Meskipun BN mencapai kejayaan menubuhkan Kerajaan Persekutuan dan sembilan kerajaan negeri, kekecewaan terukir di wajah kepimpinan parti. BN berjaya kembali berkuasa di Kedah dan berjaya menambah bilangan kerusi DUN di Kelantan, tetapi pencapaian majoriti kerusi yang diperoleh untuk menubuhkan kerajaan di Johor, Perak dan Terengganu tentunya tidak terlepas dari mencetuskan rasa kurang selesa dalam kalangan pemimpin BN. Tambahan pula, majoriti kerusi di Selangor dan Pulau Pinang yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat, begitu juga pertambahan majoriti undi bagi setiap kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat di Selangor dan di Pulau Pinang, di samping kejayaan mengurangkan undi majoriti di kerusi-kerusi yang dimenangi BN, telah meningkatkan tahap keyakinan pimpinan Pakatan Rakyat bahawa mereka kini berada dalam posisi yang semakin bertenaga menawarkan alternatif kepada rakyat; dan berkeyakinan bahawa rakyat semakin terpikat dengan haluan politik yang mereka pelopori. Walaupun berjaya meningkatkan prestasi pencapaian, namun kegagalan menawan Putrajaya, tidak mengecualikan pemimpin tertentu Pakatan Rakyat berasa kecewa, bertindak mempertikaikan kesahihan keputusan PRU-13, mendakwa berlakunya manipulasi, lalu menganjurkan siri perhimpunan atas nama Perhimpunan Hitam 505.

Reaksi spontan dan reaksi awal, kepimpinan dari kedua-dua pihak, baik BN begitu juga Pakatan Rakyat bernada kecewa; kerana BN telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membangunkan negara - untuk meningkatkan taraf hidup rakyat; sementara Pakatan Rakyat telah menimbulkan pelbagai isu, mendedahkan kelemahan parti pemerintah, ditambah keyakinan keterlaluan rakyat kali ini akan melakukan perubahan untuk menukar kerajaan. Pada hakikatnya, prestasi pencapaian, ternyata berada di bawah sasaran yang diunjurkan oleh kedua-dua pihak.

Keputusan PRU-13 bukan kejutan, pada hakikatnya tidak menyimpang jauh dari ramalan ramai pihak. Kejutan sebenarnya, berlaku semasa keputusan PRU-12 diumumkan. PRU-12, bukan sahaja mengejutkan BN kerana kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kuasa di empat negeri lain di samping Kelantan, malah gabungan tiga parti Pas, DAP dan PKR turut dikejutkan dengan pencapaian luar jangka; berjaya membentuk kerajaan di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor, di samping kekal berkuasa di Kelantan.

Secara keseluruhannya, majoriti rakyat menerima keputusan PRU-13. Terdapat pertikaian di beberapa kawasan. Ruang mencabar keputusan yang diragukan, diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan rayuan dikemukakan ke Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua pihak, BN dan Pakatan Rakyat masing-masing dalam tindakan menggunakan saluran undang-undang untuk mencabar keputusan beberapa kawasan Parlimen dan DUN. Langkah tersebut selaras dengan semangat yang mencerminkan budaya berpolitik yang matang lagi bertamadun.

Dalam wawasan mahu membawa negara ke altar lebih tinggi, agar diiktiraf berbudaya maju, agar dihormati sebagai negara yang menjunjung prinsip demokrasi, hendaklah dipastikan bahawa prinsip meluhurkan Perlembagaan dan prinsip mendaulatkan undang-undang tidak sama sekali dikompromikan.

Pendirian berkecuali dan tidak partisan mahkamah ketika mengadili kes-kes rayuan, akan dapat meningkatkan keyakinan rakyat di samping membantu pohon demokrasi tumbuh subur di taman politik negara.

PRU-13 dan keputusan darinya boleh ditafsirkan secara subjektif atau secara objektif, secara negatif atau secara positif. Hanya disebabkan rakyat di negara ini terdiri dari pelbagai kaum - pelbagai agama, minda jangan terlalu taksub untuk terlalu cepat mentafsirkan sesuatu fenomena melalui dimensi kaum - dimensi agama, hingga padi dikatakan antah, hingga emas dianggap suasa.

Adakah sebenarnya tertanam rasa benci - rasa jijik hingga mencetuskan permusuhan yang meluap di antara kaum dan di antara penganut berlainan agama di negara ini, seperti yang berlaku dalam tahun 1994 di antara puak Hutu dan puak Tutsi di Rwanda, mengakibatkan pembunuhan 800,000 puak Tutsi dan 200,000 puak Hutu. Adakah hubungan kaum di negara ini menyamai senario yang sedang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya oleh kaum Arakanese yang direstui oleh sami Buddha dan pihak berkuasa Kerajaan Myanmar. Adakah tertanam kebencian di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini hingga ke peringkat merencanakan pembunuhan beramai-ramai seperti yang dilakukan oleh tentera Serbia terhadap umat Islam di Bosnia. Adakah PRU-13 telah meluapkan suhu permusuhan lebih panas di antara kaum di negara ini. Adakah PRU-13 telah menjejaskan semangat permuafakatan dan semangat perpaduan di kalangan rakyat. Adakah ia telah memisahkan rakyat dari dapat hidup dalam suasana aman, rukun lagi harmoni; atau sebenarnya, terkandung elemen lain yang lebih perlu dihalusi dan difahami.

Analisis mengenai sesuatu pilihan raya dapat dilakukan secara lebih tepat dengan kesediaan melakukan penilaian objektif, mengetepikan sentimen dan emosi; kesediaan melakukan penelitian komprehensif akan pelbagai urutan peristiwa, akan sebab dan akibat, akan perkara-perkara asas yang mungkin telah terlepas pandang. Lebih penting kesediaan menerima maklum balas secara positif, memeriksa kelemahan dan kesilapan diri, bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi dengan niat tulus untuk membolehkan langkah penambahbaikkan yang bermakna dapat dirintis.

Keputusan PRU-13 diumumkan pada malam 5 Mei. Pada pagi 6 Mei, di Ipoh, rakyat Malaysia berketurunan Melayu, Cina dan India kelihatan bersantai di warung nasi lemak milik pengusaha Melayu. Pada pagi 6 Mei, rakyat Malaysia pelbagai kaum bergaul mesra, bersarapan pagi menikmati roti kaya dan white coffee di Kedai Kopi Cina di Ipoh. Pada pagi 6 Mei, rakyat Malaysia pelbagai kaum memenuhi kedai milik India, duduk semeja dan bersebelahan meja, bergurau jenaka sambil menikmati tosei dan teh tarik. Beta percaya senario harmonis yang sama turut berlaku di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor Bahru, Seremban dan Pulau Pinang. Beta percaya senario harmonis yang sama turut berlaku di antara pelbagai kumpulan etnik Cina, Melayu, Iban, Dayak, Bajau, Murut dan Kadazan, sama ada di Kota Kinabalu, Kuching, Tawau atau Sandakan. Persoalannya, bersifat rasis kah rakyat Malaysia di bumi ini?

Keharmonian, sikap hormat dan toleransi adalah sebahagian dari sifat semula jadi dan identiti budaya rakyat Malaysia. Pada hakikatnya rakyat di Malaysia hidup dalam suasana muhibah dan saling menghormati. Semangat muhibah rakyat Malaysia bukan sahaja berlaku sesama warga malah rakyat Malaysia memperlihatkan toleransi yang tinggi terhadap warga asing hingga membolehkan berjuta warga asing bebas bekerja mencari rezeki di bumi ini. Diakui, sekali sekala ada berlaku peristiwa yang mencetuskan kurang keselesaan di kalangan rakyat, tetapi tidak sampai ke peringkat membenci dan bermusuh kerana semangat menghargai kerukunan - menghargai keamanan, mendapat tempat lebih utama di hati sanubari warga Malaysia.

Secara natural, rakyat Malaysia tidak bersifat perkauman. Di hospital, doktor Melayu, doktor Cina, doktor India, doktor Dayak, doktor Kadazan merawat semua pesakit; pesakit juga tidak pernah mencurigai untuk dirawat oleh doktor yang tidak dari kaumnya atau berlainan agama. Wanita Melayu, Cina, India, Bajau dan Iban ke salon yang sama untuk berdandan rambut, ke butik yang sama untuk menempah pakaian tanpa menghiraukan kaum manakah yang mendandan rambut atau menjahit pakaian. Anak-anak Melayu, Cina, India, Murut dan Bajau tidak pernah ragu untuk membeli aiskrim walau siapa juga penjualnya. Di sekolah dan di universiti, tenaga pengajar menyampaikan ilmu pengetahuan kepada semua murid. Hartawan Cina - hartawan India melantik pengawal peribadi Melayu untuk melindungi keselamatan diri dan keluarga mereka.

Orang Melayu tidak meragui untuk mendapat khidmat pekerja Cina membetulkan atap bocor atau lantai retak di rumah mereka. Tidakkah ini bukti permuafakatan; tidakkah ini bukti perpaduan yang terjalin secara semulajadi, menjalar segar, melata indah, subur di serata bumi Malaysia; sayang sekali kesuburannya sering dibantutkan oleh racun politik.
Dalam negara yang memiliki komposisi rakyat yang begitu pelbagai, permuafakatan dan perpaduan dipengaruhi oleh banyak faktor, tidak terbatas kepada faktor kaum - faktor agama. Oleh itu memilih untuk merumuskan masalah permuafakatan dan perpaduan nasional semata-mata atas faktor kaum - faktor agama terlalu simplistik pendekatannya.
Di samping warga Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama, mengamalkan pelbagai budaya, bertutur pelbagai bahasa, terdapat perbezaan di antara warga bandar dengan warga desa, di antara generasi tua dengan generasi muda. Wujud perbezaan yang dipengaruhi oleh faktor-faktor tahap pencapaian akademik, tahap pencapaian sosioekonomi, di antara yang kaya dengan yang miskin; ditambah dengan perbezaan pendedahan yang dialami oleh anak-anak yang mengikuti aliran persekolahan berlainan, sekolah kebangsaan, sekolah vernakular, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa. Begitu pula dengan tenaga kerja di sektor swasta dengan tenaga kerja di sektor awam, perbezaan sejarah di antara warga di Semenanjung dengan warga di Sabah dan Sarawak yang berada dalam lokasi geografi yang terpisah jauh; ditambah pula pada hari ini perbezaan di antara budaya berkerajaan di peringkat Persekutuan dengan budaya berkerajaan di peringkat negeri terutama di negeri yang tidak dikuasai oleh kumpulan politik yang sama dengan Kerajaan Persekutuan.

Demikian kompleksiti landskap demografi rakyat Malaysia hari ini. Faktor-faktor kepelbagaian dan elemen-elemen perbezaan sudah pasti meningkatkan cabaran besar terhadap usaha memupuk permuafakatan dan perpaduan. Memastikan permuafakatan dan perpaduan berjaya dipupuk dalam negara yang sedemikian pelbagai memerlukan denominator bersifat sejagat yang dapat diterima oleh semua pihak. Memupuk permuafakatan dan perpaduan wajib dijadikan agenda semua pihak; merupakan impian besar dan tugas besar. Impian besar dan tugas besar tidak mungkin dicapai melalui formula yang terlalu permukaan (superficial).

Terdapat beberapa perkembangan yang wajar ditafsirkan secara positif susulan PRU-13. Beta memilih untuk menyentuh tiga perkara.

Pertama: Budaya politik merentasi kaum. Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman (Almarhum) bersama rakan seangkatannya telah mempelopori konsep perkongsian kuasa melalui Perikatan seawal menghadapi Pilihan Raya pra merdeka 1955, diperluaskan kemudiannya melalui penubuhan BN oleh Tun Abdul Razak (Allahyarham) pada 1973. Gagasan perkongsian kuasa yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman mendapat tentangan, paling berat serangan parti Pas (Parti Islam Se Malaya) yang menentang formula UMNO berkongsi kuasa dengan bukan Islam, hingga ke peringkat berlakunya isu kafir-mengkafir sesama umat Islam.Bermula 2008, setelah 51 tahun negara mencapai kemerdekaan, Pas pada akhirnya menerima hakikat relevannya formula perkongsian kuasa politik dalam realiti sebuah negara yang rakyatnya terdiri dari pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai pegangan agama, memiliki pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa. Bermula Pilihan Raya Umum 2008, Pas bukan sahaja bersedia menjalinkan persefahaman ketika pengagihan kerusi untuk bertanding, malah berkempen di pentas yang sama dengan parti-parti bukan Islam, hatta sedia menubuhkan kerajaan bersama bukan Islam di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor; memperlihatkan berlakunya anjakan ideologi yang amat ketara; membuktikan bahawa modul berkerajaan yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman adalah modul politik yang berpandangan jauh, realistik dan merupakan platform berkerajaan dan bernegara yang dapat memberikan satu kestabilan, satu semangat bersatu, satu semangat bernegara kepada semua rakyat di negara ini.

Fenomena yang sedang berlaku hendaklah ditafsirkan secara positif; bahawa gerakan politik di Malaysia telah mencapai tahap kematangan pemikiran, menerima realiti, relevannya kerjasama antara kaum. Bertolak dari perkembangan ini, dijangkakan pendekatan politik yang mensensasikan isu kaum dan isu agama akan semakin kurang memberi pengaruh, di sebaliknya ia lebih membawa kesan negatif.

Kedua: Budaya politik yang lebih representatif. Keanggotaan Jemaah Menteri yang dilantik Pasca PRU-13 lebih inklusif lagi representatif dari segi mewakili wilayah. Tujuh Menteri dilantik dari Sabah dan tujuh Menteri dilantik dari Sarawak.

Mereka turut diberikan portfolio penting. Selepas 50 tahun berada di dalam Malaysia, rasa terpinggir penduduk Sabah dan Sarawak telah diubati; doa dan harapan penduduk Sabah dan Sarawak kini dipenuhi. Partisipasi pemimpin politik Sabah dan Sarawak di peringkat nasional kini semakin bermakna. Penyertaan tiga Menteri dari kalangan profesional yang tidak mewakili mana-mana parti politik merupakan aset kepada negara. Mereka tidak perlu berpolitik; di sebaliknya dapat menumpukan sepenuh fokus untuk merealisasikan agenda negara. Komposisi Jemaah Menteri sedemikian akan dapat mengimbangkan antara pendirian kumpulan politik tertentu dengan pendirian pihak-pihak yang mewakili konstituen lain. Komposisi sedemikian, diharapkan berupaya menggubal dasar-dasar negara yang lebih bersifat nasional dan tidak lagi terlalu didominasi oleh satu kumpulan politik.

Ketiga: Budaya politik lebih seimbang. PRU-12, sebenarnya adalah pilihan raya sangat historik, mengubah landskap politik negara. PRU-12 adalah titik bermulanya era demokrasi baru. Ia mencetuskan iklim kepada permulaan sistem politik dua parti. Ia memperlihatkan kemunculan persaingan di antara dua persepakatan politik yang semakin menyeberangi sempadan kaum - sempadan agama - sempadan wilayah. Ia semakin membuktikan realiti bahawa di Malaysia, tidak ada satu kumpulan politik yang berupaya menubuhkan kerajaan secara isolasi tanpa mendapat sokongan pengundi dari pelbagai kaum - pelbagai agama - pelbagai wilayah.

Parlimen 13 dianggotai oleh 89 anggota Pembangkang. Parlimen telah sekian lama didominasi dengan majoriti besar oleh parti yang menubuhkan kerajaan hingga ramai yang terlepas pandang bahawa Parlimen adalah entiti yang berasingan dari cabang Eksekutif. Komposisi keanggotaan Parlimen 13, diharap, memunculkan peranan kuasa perundangan yang lebih dinamik, memenuhi peranan semak dan imbang kepada Kuasa Eksekutif. Demi kebaikan rakyat, ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua pihak, diharap dapat membahaskan isu-isu utama secara kritis tetapi konstruktif dan menolak sebarang cadangan yang tidak mendatangkan manfaat hakiki. Parlimen hendaklah mengambil sikap sebagai Kuasa Perundangan yang bukan sahaja dihargai oleh rakyat tetapi disegani oleh Kuasa Eksekutif.
Apakah cabaran utama yang sedang dihadapi oleh negara ketika ini dalam hasrat memenuhi agenda permuafakatan dan perpaduan nasional. Pada hemat Beta, cabaran paling kritikal yang dihadapi oleh negara ketika ini adalah untuk menjalinkan permuafakatan dan perpaduan di antara kerajaan dengan rakyat.

Keputusan pilihan raya telah membolehkan parti yang menguasai majoriti kerusi Parlimen menubuhkan kerajaan. Ia bukan garis penamat, di sebaliknya, ia satu permulaan untuk mengembalikan keyakinan dan meningkatkan penerimaan rakyat. Negara, lebih tepat kerajaan pada hari ini, sedang menghadapi krisis persepsi lalu mencetuskan krisis keyakinan. Polarisasi ketika ini, sebenarnya berlaku antara pihak yang menyokong dengan pihak yang tidak menyokong kerajaan, sehingga apa juga usaha yang dirintis oleh kerajaan, tidak dihargai. Kerajaan terus dihujani dengan pelbagai serangan. Kerajaan amat perlu peka dengan trend perkembangan politik semasa yang berlaku, tidak di negara ini sahaja, malah sedang berlaku di serata dunia.

Negara di serata dunia sedang menghadapi konstituen baru dan fenomena baru, kebangkitan partisipasi politik rakyat secara lebih aktif dan tidak lagi bersifat pasif. Era ini memperlihatkan kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan dan pembaharuan, era yang menuntut kepada hak kebebasan bersuara, era yang menuntut dilakukan lebih banyak konsultasi. Era anak muda dan kumpulan terpelajar semakin mendominasi. Era yang meletakkan cabaran besar kepada elit politik di setiap negara untuk berupaya memeta persekitaran politik yang lebih berakomodasi, attentive, terbuka lagi konsultatif.
Kaedah menggunakan kekerasan - kaedah ugutan secara menangkap, menahan, merampas bahan cetak, menghitamkan makluman, adalah order lama yang tidak lagi sesuai diguna pakai kerana rakyat sudah tidak boleh ditakutkan. Lebih mencabar, apabila mereka dan masyarakat menganggap diri mereka adalah wira bila mereka ditahan, ditangkap, dihukum dan dipenjarakan.

Era politik di masa ini adalah era yang menuntut kepada kebijaksanaan mengimbangkan formula rundingan dan konsultasi. Elemen tekanan atau ‘force’ hendaklah digunakan secara paling selektif, dalam keadaan yang benar-benar memerlukan. Istilah ‘atas sebab-sebab keselamatan negara’ jika perlu digunakan, jangan sampai ke peringkat yang boleh ditafsirkan bermotif untuk menyekat kebebasan politik. Tidak ada jalan singkat yang membolehkan dipintasi prosedur undang-undang kerana jalan singkat lebih cenderung untuk membawa rugi kepada lembaran akaun kira-kira politik.

Banyak yang boleh dilakukan untuk membina jambatan permuafakatan dan perpaduan di antara kerajaan dengan rakyat agar keyakinan dan penerimaan rakyat dapat dikembalikan. Beta memilih memberi fokus kepada enam komponen.

Pertama: Sifat Negarawan Pemimpin. Berpandukan laporan akhbar, kenyataan-kenyataan bernada negarawan telah disuarakan oleh pimpinan kanan beberapa kumpulan politik.
Perdana Menteri, memberi jaminan untuk menunaikan semua aku janji yang terkandung dalam manifesto BN kepada segenap lapisan rakyat tanpa mengira sama ada mereka memberikan sokongan atau tidak memberikan sokongan kepada BN. Beliau turut menyatakan BN tidak mempunyai opsyen dari melakukan perubahan mulai sekarang. Ketika menyembahkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk melihat faktor-faktor kebersamaan yang dapat menyatukan rakyat daripada terperangkap dengan nostalgia serta realiti lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di Majlis Kesyukuran BN Wilayah Persekutuan pada 29 Jun 2013, menyeru agar pemimpin BN menilai semula faktor yang membawa kekalahan dan memberikan fokus terhadap tuntutan rakyat, terutama pengundi di bandar, merangkumi pengundi Cina, Melayu dan India. Beliau menyeru supaya dikenal pasti punca sebenar BN ditolak, sama ada berpunca daripada kelemahan sebagai parti pemerintah, dasar yang tidak memenuhi hasrat rakyat, atau isu bandar yang tidak diberi tumpuan. Beliau memilih tidak menyalahkan pengundi kerana menolak BN sebaliknya memilih untuk mengkaji mesej yang disampaikan oleh pengundi, untuk benar-benar dapat mengenal pasti punca yang membawa kekalahan atau kemenangan".

Setiausaha Agong Pas, Dato’ Mustaffa Ali menyatakan Pas menerima keputusan PRU-13; Pas menang di sesetengah kawasan dan kalah di sesetengah kawasan. Realitinya kerajaan sekarang tertubuh kerana memenangi pilihan raya. Timbalan Presiden, PKR, Azmin Ali menyatakan “Panggilan reformasi perlu bermula dari diri sendiri; gagal ke Putrajaya, salah siapa". Beliau selanjutnya menyatakan “rakyat semakin bosan dengan politik keterlaluan; terima kekalahan dan fahami kelemahan diri; perlu bergerak ke hadapan dan terima keputusan yang telah diberikan rakyat". Presiden DAP, Karpal Singh menyatakan “DAP berpuas hati dengan prestasi dalam PRU-13 berjaya memenangi 38 kerusi Parlimen"; katanya lagi “prestasi DAP begitu baik dalam PRU-13 terutama di Gelang Patah yang kami tidak jangka menang".

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyuarakan nada kenegaraan generasi muda, dilaporkan akan mengambil pendirian seorang ahli Parlimen pembangkang secara konstruktif; di samping menegur, akan bekerjasama dengan pihak kerajaan demi pembangunan negara; dan melihat kerjasama dalam membangunkan negara merupakan asas utama yang perlu dititik beratkan oleh kedua-dua pihak di dalam sidang Parlimen.
Ungkapan dan kenyataan bernada kenegaraan yang dilaporkan, memperlihatkan petanda sihat yang menyegarkan iklim demokrasi. Ia wajar dijadikan teladan ke arah membina budaya demokrasi yang bertambah matang. Ia mempamerkan semangat inklusif, selaras dengan falsafah di sebalik Gagasan 1 Malaysia. Ia mempamerkan berlangsungnya proses evolusi secara positif ke arah membina sebuah negara bangsa yang kukuh bersatu.
Semangat permuafakatan dan perpaduan yang diperlihatkan oleh Rasulullah SAW wajib dicontohi. Sifat murni Baginda, tidak berdendam malah sedia memaafkan berjaya menjinakkan musuh, hingga lawan menjadi kawan. Negarawan ikonik semasa, yang harus dijadikan rujukan ialah Nelson Mandela. Selama 27 tahun Nelson Mandela ditahan. Sebaik dibebaskan beliau mengungkap kata-kata berikut;

“I embrace my former captors and my former oppressors, I believe in one nation, and I believe in judging people on the basis of their character and not their colour."
Demikian kejernihan dan kemurnian, keheningan dan kebeningan hati seorang insan bernama Nelson Mandela, yang sebahagian besar usianya, terkurung sebagai tahanan politik di Pulau Robin, tetapi sebaik dibebaskan, memilih permuafakatan demi negara bangsanya.
Suara keinsanan - suara kemanusiaan Nelson Mandela, bergema di serata dunia. Mandela muncul sebagai gergasi ikon moral, memaafkan pihak yang memenjarakan beliau serta menganiaya komuniti beliau. Kebijaksanaan dan perikemanusiaan Mandela dua puluh tahun lepas telah memberikan impak menakjubkan kepada negara yang amat berpecah belah. Ia amat mengagumkan; rasa kagum akan kemuliaan sifat Mandela terkandung dalam kata-kata yang diungkap oleh Archbishop Desmond Tutu,

“"Before Nelson Mandela was arrested in 1962, he was an angry, relatively young man. He founded the ANC’s military wing. When he was released, he surprised everyone because he was talking about reconcilliation and forgiveness and not about revenge".

Sesungguhnya, bumi ini memerlukan dan perlu melahirkan pemimpin yang mengamalkan sifat kemanusiaan yang tinggi dan memiliki pendirian negarawan yang unggul, membawa suara perdamaian - menghargai keharmonian - menghormati kerukunan.

Kedua: Meluhurkan Perlembagaan - Mendaulatkan Undang-Undang; adalah kunci penentu untuk menjamin ketenteraman awam dan kestabilan politik. Undang-undang wajib dilaksanakan secara adil - secara saksama. Undang-undang jangan diizinkan untuk dilaksanakan secara selektif. Jika undang-undang dilaksanakan secara selektif akan tempanglah keadilan, akan pincanglah alam dan kehidupan ini, membolehkan yang lemah menjadi mangsa yang kuat. Apabila undang-undang dan keadilan mula diperdagangkan dengan ringgit dan sokongan, dikompromikan kerana tekanan politik, akan menderitalah yang miskin dan yang lemah dan akan bermaharajalela yang kaya dan yang berkuasa. Persepsi bahawa kerajaan kurang tegas dan tidak bersungguh memerangi rasuah dan salah guna kuasa adalah antara faktor utama yang menyebabkan berlakunya krisis keyakinan. Rasuah dan salah guna kuasa ternyata menyalahi undang-undang. Setiap batang pensel atau setiap butir peluru perolehan kerajaan diuruskan oleh pegawai awam. Dalam era yang siling sudah pandai melihat dan lantai sudah bijak bertutur, amalan tadbir urus yang tidak telus, tidak lagi dapat disembunyikan dari pengetahuan umum.

Perdana Menteri telah memberi pengakuan untuk memberi tumpuan meningkatkan kualiti tadbir urus dan integriti dan memperhebatkan usaha memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa. Hasrat Perdana Menteri sewajibnya disambut. Institusi Kehakiman, institusi perundangan, institusi awam, institusi pertahanan dan institusi keselamatan perlu berdiri teguh atas prinsip profesionalisme, tegas memberikan nasihat dan berani menyampaikan maklum balas secara tepat dan betul kepada pemimpin. Ketidakberanian memberi nasihat secara tepat dan betul, akan meletakkan pemimpin berada dalam khayalan cerita indah, kerajaan bakal bertambah lemah, dan pada akhirnya pemimpin perlu membayar dengan harga tinggi semasa menghadapi pilihan raya.

Ketiga: Memahami dan mendalami konsep Federal isme berasaskan Perkara-Perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan. Malaysia dianggotai oleh 13 negeri dan Wilayah Persekutuan. Ketua kepada sembilan negeri adalah Raja-Raja berdaulat, sementara empat negeri dipertanggungjawabkan kepada Yang Dipertua Negeri. Kerajaan Negeri terletak di bawah payung naungan Raja Pemerintah dan pengawasan Yang Dipertua Negeri. Amalan mengetepikan status negeri adalah amalan yang boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati kedaulatan Raja dan tidak menghormati institusi Yang Dipertua Negeri. Hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kini menjelmakan dimensi baru; ia semakin memeningkan kepala kakitangan awam yang berkhidmat di negeri-negeri. Mereka kini menghadapi dilema ketika memenuhi tanggung jawab untuk mengimbangkan kesetiaan, di antara pihak berkuasa negeri dengan pihak berkuasa persekutuan, terutama di kalangan mereka yang ditempatkan di negeri yang dikuasai oleh kumpulan politik yang berlainan parti dengan Kerajaan Persekutuan. Telah berlaku keadaan, pegawai-pegawai awam Persekutuan yang bertugas di negeri, di larang menghadiri acara-acara rasmi di peringkat negeri termasuk acara yang dihadiri oleh Raja Pemerintah. Demikian juga dilaporkan bahawa pegawai-pegawai negeri turut dilarang menyertai acara anjuran Kerajaan Persekutuan. Senario sedemikian nyata tidak menunjukkan kematangan budaya politik negara bangsa dan kurang mendalamnya kefahaman di kalangan penjawat awam akan konsep Federal isme.

Konsep Federal isme wajib difahami - wajib dihormati. Perlu diperkenalkan orientasi baru terutama di kalangan penjawat awam. Kelainan politik, di antara negeri dan Persekutuan jangan sampai menjejaskan hubungan warga, hingga memungkinkan warga kembali bersifat parokial kenegerian, lalu menghindar dari tercapainya semangat muafakat dan hasrat berpadu.

Formula perhubungan dan rangka kerja baru antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri wajib diperkenalkan dalam order politik terkini, demi tidak menyulitkan kakitangan awam untuk menyempurnakan amanah dan demi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa pertelingkahan politik. Perlu ada garis yang jelas di antara hubungan yang dipengaruhi kekangan politik, atas dasar parti dengan parti, dibezakan dengan hubungan kerja, antara kerajaan dengan kerajaan.

Keempat: Pendidikan Kenegaraan. Episod Melissa Gooi meningkatkan keyakinan Beta bahawa majoriti rakyat di negara ini tidak bersifat rasis; di sebaliknya mereka adalah insan-insan berjiwa rasional - berfikiran waras. Melissa Gooi dilaporkan ditahan oleh pihak keselamatan untuk membantu siasatan kerana dikatakan menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam facebook.

Susulan penahanan tersebut Zaini Hassan telah menulis rencana yang diterbitkan di muka surat 11, akhbar Utusan Malaysia bertarikh 5 Jun 2013, bertajuk “Salahkah Melissa Gooi? Ajarlah Asas Perlembagaan di sekolah." Zaini Hassan telah memulakan rencana tersebut dengan para;

“Saya tidak salahkan Melissa Gooi yang mencetuskan kisah menghina Yang di-Pertuan Agong dalam facebooknya. Sebenarnya Melissa dan rakan-rakan facebooknya Shuh Chien Loo, Hun Kiet Wong, Carol Tay yang berbicara mengenai titah Yang di-Pertuan Agong itu mungkin tidak kenal pun siapa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Mereka tidak tahu pun fungsi-fungsi Baginda.

Zaini Hassan selanjutnya menulis;

Kisah Melissa Gooi seharusnya menjadi satu teladan oleh kita semua, juga oleh Kerajaan BN yang diberikan mandat baru .....

Bukan masa lagi mahu menongkat dagu memandang ke langit. Sesuatu harus dilakukan terhadap orang seperti Melissa yang semakin hari, semakin tahun, semakin dekad, semakin generasi, semakin bertambah.
Ia memperlihatkan berlakunya fenomena kejahilan atau ignorant mengenai sistem kebudayaan kita, sistem kenegaraan kita yang menjalar kepada sistem Perlembagaan Negara kita...

Zaini Hassan selanjutnya menyarankan:

Oleh itu saya syorkan Kementerian Pendidikan yang kini sudah disatukan dan mempunyai dua Menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri, dengan Timbalan-Timbalan Menteri mula memikirkan soal ini. Ia bukan soal hari ini sahaja, atau untuk penggal ini sahaja, tetapi untuk generasi rakyat Malaysia..;.Jika subjek Asas Perlembagaan, tidak diperkenalkan ... maka selama itulah orang kita akan terus menerus mempertikai Perlembagaan Negara.
Saya berharap Kementerian Pendidikan dapat memikirkan perkara ini supaya tidak lagi melahirkan Melissa Gooi dan rakan-rakannya...Ajar subjek Asas Perlembagaan....di semua aliran sekolah"

Beta tidak kenal Zaini Hassan secara peribadi tetapi mengikuti rencana tulisan beliau. Melissa Gooi adalah rakyat Malaysia berketurunan Cina; sementara Zaini Hassan, wartawan kanan, bukan sahaja berketurunan Melayu, berwajah Melayu, berdarah Melayu malah bertugas dengan akhbar Utusan Malaysia yang dilabel oleh setengah pihak sebagai akhbar yang meniup api perkauman. Zaini Hassan telah mencerminkan jiwa besar dan contoh semangat seorang Malaysian, secara tegas melahirkan pandangan kritis atas prinsip kebenaran, meskipun Beta percaya, Zaini juga tidak kenal Melissa Gooi. Apa jua jenama negatif yang dilabelkan terhadap Utusan Malaysia, akhbar tersebut tidak melakukan diskriminasi untuk tidak menyiarkan rencana yang bernada membela situasi seorang anak gadis keturunan Cina.

Di luar dewan ini, lebih ramai anak muda Malaysia dalam kategori Melissa Gooi. Adakah kaedah tangkapan, tahanan, dakwaan dan hukuman akan menyelesaikan masalah ketatanegaraan yang sedang dihadapi. Berapa ramai lagi pegawai penyiasat diperlukan, berapa banyak lagi jawatan pendakwa yang perlu ditambah, berapa lagi mahkamah yang perlu diwujudkan, dan berapa banyak lagi tempat tahanan yang perlu dibina, jika kita mempercayai kepada pendekatan sedemikian untuk menangani masalah. Jangan disalahkan anak jalan berbogel kalau ibu bapa tidak membekalkan baju.

Apa yang lebih perlu diutamakan adalah mendidik asas-asas kenegaraan bermula dari bilik darjah dan menyemaikan semangat ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’. Raja Pemerintah, Yang di-Pertuan Agong adalah lambang kedaulatan negara; bendera negara, Jalur Gemilang, lagu kebangsaan, ‘Negaraku’, adalah simbol kebesaran negara. Hari ini lambang kedaulatan dan simbol kebesaran negara telah dihina.

Ketika Beta di bangku sekolah, Beta diasuh mendaulatkan Raja Pemerintah, menghormati bendera negara dan lagu kebangsaan. Bendera negara bukan hanya tidak boleh dipijak, malah dipastikan ketika upacara menaikkan bendera, kain bendera tidak tercecah bumi. Bendera negara dimuliakan, dikibarkan di puncak tiang, dinaikkan di sebelah pagi, diturunkan sebelum malam; tidak dibiarkan berkelana, tertinggal reput di tiang-tiang sebagai kain usang. Hari ini ia kelihatan berlaku di serata negara; dukacita ia turut berlaku di bangunan sekolah dan di pejabat kerajaan.

Bendera negara bukan sahaja tidak boleh dipijak, malah turut dilarang dari dipotong-potong untuk dijadikan material baju - material topi - material seluar.

Perkara ini amat asas, malangnya telah tidak dititik beratkan, hingga hari ini terdapat kontinjen yang menyertai perarakan sambutan Hari Kebangsaan turut menyalah gunakan pemakaian bendera negara. Bermakna, betapa komponen kenegaraan telah tidak diutamakan dalam sistem pendidikan negara.

Kurikulum kandungan dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan yang benar-benar dihayati, hendaklah segera diperkenalkan tanpa bertangguh, dijadikan kandungan pengajian bukan sahaja di sekolah, malah di semua maktab, kolej dan institusi latihan; dan diuji dalam urusan lantikan dan kenaikan pangkat pegawai awam.

Kelima: Peranan Media. Media adalah instrumen penting untuk memupuk semangat muafakat - semangat perpaduan. Rakyat hari ini telah menguasai saluran media alternatif. Data menunjukkan pengguna Internet di Malaysia telah meningkat dari 3.7 juta dalam tahun 2000 kepada 17.7 juta dalam 2012, satu perangkaan yang cukup tinggi bagi negara yang mempunyai 29 juta penduduk. Sebanyak 61 peratus dari pengguna berada dalam usia 21 ke 40 tahun. Data 2012 juga menunjukkan 13.6 juta penduduk pada hari ini telah mempunyai facebook.

Media rasmi negara hendaklah menjadi tanda aras mengamalkan cara pengolahan berita yang seimbang lagi autentik, berfungsi sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dengan rakyat, berupaya merentasi dan dapat diterima oleh semua lapisan rakyat. Perlu ada etika pengolahan berita yang bijaksana, membezakan antara kepentingan kerajaan dengan kepentingan berpihak parti politik. Pengolahan berita yang terlalu memihak, sebenarnya tidak memberi manfaat kepada kerajaan, bersifat counter productive, semakin memisahkan rakyat dari kerajaan. Hari ini sebahagian rakyat menolak maklumat yang diuar-uarkan melalui saluran berita rasmi kerajaan disebabkan rasa mual dengan pengolahan yang keterlaluan memuji atau keterlaluan mengeji sesuatu pihak. Pengarang Timothy B. Tyson, pemegang ‘Grawemeyer Award’ 2006, mengingatkan “If there is to be reconcilliation, first there must be truth"

Keenam: Peranan Institusi Raja. Raja adalah payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum - tanpa mengira agama - tanpa mengira kabilah politik. Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan. Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Untuk itu amatlah penting bagi Raja bersifat berkecuali, memastikan berada di atas segala polemik politik untuk membolehkan institusi Raja berupaya berperanan secara berkesan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama dalam mendamaikan sebarang perselisihan dan untuk memastikan takhta diterima dengan dada lapang dan hati terbuka apabila diperlukan berperanan menurunkan suhu panas yang berkemungkinan mendidihkan lava-lava persengketaan.

Majlis Raja-Raja adalah badan syura yang unik. Setiap Raja yang berangkat menghadiri mesyuarat Majlis, beserta Yang Dipertua Negeri, diiringi bersama oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing. Yang di-Pertuan Agong berangkat pada hari terakhir mesyuarat, diiringi Perdana Menteri. Badan syura ini, setidak-tidaknya merupakan badan yang telah dapat menggabungkan wakil negeri dan wakil Persekutuan, berbincang dalam suasana mesyuarah yang tertib, sopan, beradab lagi bertamadun. Kehadiran Menteri Besar dan Ketua Menteri, disandarkan kepada jawatan rasmi tanpa sebarang identifikasi politik. Memandang ke hadapan, peranan badan syura ini boleh dipertingkatkan - diperluaskan agar berfungsi sebagai forum perundingan yang berkecuali, bebas dan tidak partisan, berada di atas politik kepartian. Potensi badan syura ini sebagai instrumen penyatuan dalam kepelbagaian sewajarnya dioptimumkan untuk mengimarahkan semangat permuafakatan dan perpaduan.

PRU-13 adalah kemenangan rakyat. Partisipasi rakyat serta sifat kenegaraan yang dipamerkan rakyat wajar dihargai. Tanpa rakyat, tidak akan ada negara, tanpa negara, tidak akan ada kerajaan. Maju mundur sesebuah negara dicerminkan melalui taraf hidup, taraf pendidikan, taraf sosioekonomi majoriti rakyat. Kukuh lemahnya sesebuah kerajaan, tertakluk kepada sokongan dan keyakinan, perpecahan dan permuafakatan yang dapat dipupuk di kalangan rakyat. Suara rakyat - suara keramat. Oleh itu, setiap teguran yang disuarakan rakyat, perlu diberikan respons positif, jangan secara impulsif bersifat terlalu defensif, secara terburu-buru melakukan penafian - menyalahkan rakyat. Di sebaliknya teguran rakyat hendaklah diterima dan didengar, diberikan perhatian dan disiasat kesahihannya selaras dengan pendirian Perdana Menteri yang menyifatkan era kerajaan tahu semua telah berakhir. Kesediaan menerima teguran atas kesilapan, kesediaan mengaku masih terdapatnya kelemahan, apatah lagi kesediaan memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan dan kelemahan, mempamerkan jiwa besar pemimpin.

Negara bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-56. Kedewasaan usia negara hendaklah diselarikan dengan kematangan fikiran rakyat. Sejak memperoleh kemerdekaan, kemajuan negara ini dicapai dari sikap pemimpin berjiwa rakyat, pemimpin yang mengutamakan rakyat lalu merintis segala usaha memajukan rakyat. Diakui tahap kesempurnaan masih belum dicapai. Diakui masih banyak yang perlu dibaiki.
Pilihan raya telah berlangsung, keputusan telah diumum, kerajaan telah dibentuk. Manusia boleh merancang - manusia boleh berusaha - manusia boleh berdoa. Allah SWT juga yang lebih mengetahui lalu telah menentukan. Bersyukur dan redalah dengan penentuan kuasa Ilahi Yang Maha Mengetahui, jadikan peringatan dan panduan akan ayat 165 Surah Al An‘aam yang bermaksud,

“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk menguji mu tentang apa yang diberikan Nya kepada mu. Sesungguhnya Tuhan mu amat cepat seksaan Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130709/re_01/Cabaran-pasca-PRU-13-Muafakat-antara-kerajaan-dan-rakyat#ixzz2aM7PORBh 
© Utusan Melayu (M) Bhd 







,.

No comments:

Post a Comment