PERTAMA SEKALI, aku ingin mengangkat setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah swt kerana telah menajdikan emak dan bapak, datuk/nenek serta moyangku beragama islam. Mereka telah melahirkan aku sebagai orang islam. Satu nikmat yang tidak diperolehi oleh sebahagian besar manusia yang lahir di atas muka bumi ini.
Doa Untuk Ibu dan Ayah
Perhimpunan ahli keluarga (anak-anak kepada ayahanda dan bondaku) merupakan rutin atau tradisi keluarga pada setiap 1 Syawal setiap tahun. Katanya, tradisi ini telah diamalkan sejak aku belum dilahirkan lagi. Semasa kedua nendaku (sebelah bapa) masih hidup, perhimpunan keluarga ini diadakan di rumah datukku, almarhum Embah Tahir dan almarhumah Nyai Manisah. Perhimpunan ini melibatkan keluarga tiga orang adik-beradik bapakku (Abd Rashid (bapak), Abd Manap dan Razikan)
Tradisi ini diteruskan setelah Embah Tahir meninggal dunia pada tahun 1976. Sehinggalah selepas Nyai Manisah meninggal dunia pada tahun 1992, lokasi perhimpunan bertukar ke rumah bapak (kerana bapak merupakan anak sulung). Abd Manap (atau Hj Abd Shukor) telah meninggal dunia pada tahun 1986 namun anak-anaknya terus menyertai perhimpunan ini. Bagaimanapun sejak kematian Nyai, keluarga Achik Razikan tidak menyertainya kerana beliau tinggal di Skudai, jauh dari kampung. Jadi, perhimpunan tahunan hanya melibatkan anak-cucu Abd Rashid dan Abd Manap.
RAYA TAHUN 1962
RAYA TAHUN 1981
RAYA TAHUN 1999
7 Dis 2014 merupakan kali pertama kami adik beradik yang seramai sembilan orang (termasuk seorang anak angkat) berkumpul secara rasmi di luar Hari Raya Eid Ftri (Syawal). Kami bersetuju supaya ia merupakan sambutan Hari Ulangtahun Rasmi tahunan untuk kedua ayah-bonda. Tarikh kelahiran sebenar mereka berdua tidak diketahui kerana zaman dulu tiada surat sijil kelahiran rasmi. Mereka hanya membuat kad pengenalan setelah negara mencapai kemerdekaan. Tarikh lahir pun dibuat secara agak-agak sahaja.
Perancangan dibuat secara spontan sahaja melalui whatsapp group adik beradik. Maka pada 7hb terlaksanalah perancangan kami. Program hari itu:
- 1100H: Membaca Yasin dan Tahlil dan Doa Selamat diikuti acara memeluk kasih kedua ayahanda dan bonda.
- 1200H: Majlis memotong kek ulangtahun ayahanda/bonda
- Jamuan keluarga (Nasi Beriani Gam, Sup Gearbox Kambing)
Majlis sungguh meriah dan syahdu sekali. Hanya anak nombor 6 (Hj Rakhiman) sahaja yang tidak dapat hadir pada tarikh tersebut.
Di sini aku nukilkan selembar puisi untuk mengimbau kenangan lama peluang yang aku miliki bersama keluargaku selama 17 tahun pertama hayatku. Pembaca jangan tersinggung dengan perkataan 'BAPAK' yang kutulis sepanjang puisi ini. Kami orang JAWA (Generasi X) memang tak pernah guna perkataan Ayah, Abah, Babah, Abi, Papa, Daddy dan sebagainya. Dari kecil kami panggil ayah kami BAPAK atau PAK sahaja.
EMAK OH EMAK
Emakku adalah isteri
kepada bapakku
Emakku juga ibu kepada
adik beradikku
Kami dikandung dalam rahim
ibu yang sama
Kami dilahir dari laluan
yang sama
Kerana ada emak, bapak
berkerja lebih keras
Kerana ada emak, rezeki
ayah bertambah.
Kerana emak, makan pakai
bapak dan kami semua diurus.
Kerana emak, kami
rasa tenang dan selamat
Bapak memang garang
Bapak memang sadis
Bapak memang kurang
sabarnya
Walaupun emak juga agak
garang tapi emak lebih tenang dan sabar
Waktu kami dibelasah bapak
Emak hanya mampu melihat
dari jauh
Kami nampak airmata emak
mengalir
Tapi emak tak berani hampir
Kami juga tak mau emak
datang hampir
Kami lebih takut kalau
emak terima tempias kesalahan kami
Kalau tubuh kami calar
balar, emak yang akan merawat kami
Kami hanya tersak-esak
kesakitan
Kami tak sampai hati melihat
wajah emak
Walaupun kami dengar
sambil merawat emak meleter
Kami tahu airmata emak
mengalir
Bapak bangun pagi untuk menoreh getah
Emak bangun lebih pagi, menyediakan
sarapan kami
Emak bangun lebih pagi untuk menyediakan
pakaian sekolah kami
Emak juga ikut ke kebun menolong bapak
menoreh getah
Kami bangun pagi, makan dan ke sekolah
Bila selesai menoreh dan memesin getah
Bapak balik terus mandi dan berehat atau
tidur
Emak balik, terus mandi dan memasak
untuk kami semua
Lepas masak emak menyediakan makanan
untuk kami yang pulang dari sekolah
Emak sambung mencuci pakaian kotor kami
sekeluarga
Emak tak berehat
Emak tak sempat tidur
Petang bapak ke kebun lagi
Emak juga ikut lagi ke kebun
Kami pula ke sekolah agama
Kami pulang sekolah, mandi dan mengaji
Bapak pulang dari kebun mandi dan
berehat
Emak pulang dari ke kebun, mandi tapi
terus bekerja
Emak mula memasak untuk kami
Lepas makan malam, kami mengaji
Lepas mengaji kami mentelaah kerja
sekolah
Tiada television
Hanya radio sumber berita
Hanya radio transistor jadi hiburan
Lagu-lagu permintaan
Bapak hanya berminat berita harga getah
keping
Emak tiada masa untuk mendengar berita
Lepas makan, emak membasuh pinggan
mangkok
Lepas itu bapak akan minta emak untuk
picit badan
Kadang lepas ngaji kami kena pijak-pijak
badan bapak
Emak akan melipat pakaian
Emak akan menggosok pakaian sekolah kami
dengan seterika arang kayu
Begitulah rutin emak dari pagi sampai ke
malam
Berjasa kepada bapak dan kami semua
Kami tidak tahu bahasa
Kami tidak tahu berjasa
Kami seperti tiada perasaan
Kami seperti tiada belas ehsan
Emak, maafkan kami
Bila sudah besar dan jauh baru kami terasa
Bila kami sedar, kami sudah tidak dapat
berbuat apa
Tak mampu membalas jasa
Tak mampu membela
Tak mampu menjaga
Kami sibuk dengan isteri kami
Kami sibuk dengan anak-anak kami
Kami sibuk dengan harta kami
Emak terus berkerja, terus berjasa
sampai bila-bila
Kerana itu, emak adalah unik.
Emak adalah ciptaan Allah yang istimewa.
Allah kuatkan rahimnya untuk menyimpan benih
manusia
Allah kuatkan bahunya untuk mendokong anak2nya,
Allah lembutkan hatinya untuk memberi rasa aman,
Allah teguhkan peribadinya untuk terus berjuang,
Allah beri dia naluri untuk tetap menyayangi,
walaupun disakiti, dimarahi
Emak adalah makhluk perkasa
Emak adalah insan yang sangat istimewa
Emak, wajahmu adalah wajah wanita yang paling
cantik
Emak, masakanmu adalah yang paling enak
Emak, suaramu yang paling indah
didengari
Emak, setiap ayatmu adalah doa
Emak, doamu yang paling jelas di
pendengaran Allah
Emak, restumu yang paling diberkati
Emak
Halalkan air susumu
Halalkan penat lelahmu
Halalkan suaramu
Halalkan airmatamu
Emak
Restui kami
Doakan kami
Ampuni kami
Bapak aku, Haji Abd Rashid bin Haji Tahir (Isa) bin Ibrahim (Jayos) (dalam sijil kelahiran anak-anak, ada yang tulis Abd Rashid, Abdul Rashid, Abd Rasid dan Ab Rasid) dilahirkan pada tahun 1927. Maknanya usia bapak adalah sama dengan usia SPB Yang DiPertuan Agong sekarang, Tuanku Alhaj Abdul Halim.Selepas menunaikan Fardhu Haji pada tahun 1951, bapak diberi nama Haji oleh Siekhnya di Makkah, iaitu Haji Abdul Aziz. Oleh itu, di kampung orang panggil bapak dengan nama Kaji Ajis, Wak Ajis, Wak Dol Aziz, atau Wak Aji Dolajis. Tak ada orang kampung yang panggil Hj Rashid. Yang aku pernah dengan panggil nama Rasid/Rasit ialah datuk/nenak aku arwah Embah Tahir/Nyai Sah.
Seperti yang aku tulis di atas, bapak hanya ada tiga beradik, dan bapak anak sulung. Adiknya Lek Shukor meninggal dalam tahun 1986 pada usia 57 tahun. Manakala adik bongsunya Hj Razikan (80 tahun) kini menetap di Tampoi, Johor Bahru.
Emakku, Umi Kelsom binti Hj Mustapha bin Hj Omar (Pajoyo) pula dilahirkan pada tahun 1935. Emak ada 12 adik beradik tetapi enam darinya meninggal waktu masih kecil. Jadi aku hanya kenal enam sahaja iaitu Mohd Zain (Wak Yen)- meninggal 2012, Samsudin (Wak Sam)- meninggal 2011, Abeshah (Wak Besah)- meninggal 2013, Noriam (Wak Non), emak aku Umi Kelsom dan Siti Amirah (Lek Siti). Pada waktu ini (Jan 2015), hanya tiga sahaja yang masih hidup iaitu Wak Non (kini menetap di Felda Seri Jaya, Bukit Serampang, Muar), emak dan Lek Siti (kini .di Kg Parit Lapis Seri Dalam).
Sila buka TAJUK 55 untuk mengetahui secara mendalam pakcik/makcik dan sepupu sepapatku.
MAAFKAN AKU EMAK
MAAFKAN AKU BAPAK
Emak
Bapak
Kecilku hanya menyusahkan
Malas membantu
Cuba mengelak untuk menolong
Menolong dengan hati berat
Merungut ketika membuat
Emak
Bapak
Aku memang berpura-pura
Aku ke sekolah bukan untuk pandai
Aku ke sekolah bukan untuk maju
Aku ke sekolah bukan untuk menimba ilmu
Aku ke sekolah kerana terpaksa
Aku ke sekolah kerana takut rotan bapak
Aku ke sekolah kerana abang dan kakak ke sekolah
Aku ke sekolah dengan hati yang berat dan membuku
Emak
Bapak
Aku tak pernah memikirkan susah payahmu mencari duit
Untuk beli seragam untuk 11 tahun
Untuk beli beg dan buku untuk 11 tahun
Untuk bayar yuran untuk 11 tahun
Untuk belanja sekolahku selama 11 tahun
Entah berapa puluh ribu wangmu habis untuk aku dan adik beradikku
Aku tak pernah ambil tahu
Emak
Bapak
Aku tahu bapak mahu aku sentiasa nombor satu
Tapi
Aku tidak belajar bersungguh-sungguh
Aku tidak berusaha yang sepatutnya
Aku belajar sambil lewa
Aku belajar hanya supaya tak kena rotan
Aku nak dapat nombor satu kerana takut rotan
Aku nombor satu kerana anugerah Tuhan
Aku nombor satu kerana anak orang lain tiada paksaan
Emak
Bapak
Kelian berdua tak tau selama ini aku hanya bernasib baik
Aku hanya dapat pertolongan Allah, walaupun aku kurang usaha
Aku hanya baca bila nak periksa
Aku berjaya kerana apa yang kujawab semua kena
Kalau aku rajin, SRP aku boleh dapat 8A
Kalau aku usaha, SPM aku dapat 8A
Aku jadi best student STMI kerana nasib baik
Aku dapat ke Tingkatan 6 Alam Shah, aku lari masuk UTM
Di UTM aku habiskan duit emak/bapak
Duit bapak jugak aku cekup
Kursus Senibina belanja tinggi
Biasiswa aku terima tak cukup lagi
Tiap bulan mintak subsidi, kerana aku dah makan maggi
Emak
Bapak
Aku ini anak aku tak kenang budi
Walaupun dah diberi peluang belajar tinggi
Aku masih tak sedar diri
Belajar sambil lewa lagi
Kelas tutorial selalu tak pergi
Kali ini nasib tak menyebelahi lagi
Aku gagal tak boleh sambung belajar lagi
Baru aku sedar langit itu tinggi
Nak balik kampung aku tak berani
Emak
Bapak
Kalau aku sedar awal lagi
Sekarang aku Professor di universiti
Atau arkitek membina bangunan tinggi
Sudah ada firma sendiri
Punya bungalow sendiri
Kereta mewah pun mampu kumiliki
Emak
Bapak
Aku malu pada kelian berdua
Aku malu meminta-minta
Aku malu tak punya kerja
Emak
Bapak
Kerana itu aku sanggup merana
Kerana itu aku sanggup terseksa
Kerana aku mahu jadi pegawai tentera
Kerana aku mahu pilot pesawat udara
Tapi aku gagal juga
Cita-cita tak tercapai juga
Emak
Bapak
Maafkan aku tak sempat membalas budi
Gaji kecil tapi dah mengada-ngada
Baru dua tahun kerja dah gatal nak kawin anak dara
Simpanan pun tak ada
Kenduri semua bapak yang punya
Bila dah kawin sibuk jaga keluarga
Balik kampung sekali sekala
Membantu tidak menyusahkan ada
Emak
Bapak
Aku ini bukan anak yang baik
Aku ini anak yang banyak dosa
Dosa kepada Allah tak terkira
Dosa kepada emak dan bapak
Dosa kepada saudara-saudara
Dosa kepada kawan-kawan
Dosa kepada orang yang tak kukenali
Emak
Bapak
Ampunkanlah dosa-dosa ku
Kerana aku tidak dapat membelamu
Kerana aku tidak dapat menggembirakanmu
Kerana aku tidak mampu membalas jasamu
Kerana aku gagal menyenangkan hatimu
Ya Allah
Ampunilah segala dosa dan kesilapan kedua ibu bapa ku
Kurniakanlah kesejahteraan ke atas keduanya
Jauhilah dari penyakit dan penderitaan zahir dan batin
Akhirilah kehidupan dengan dengan pengakhiran yang engkau redhai
KURNIAKANLAH syurga untuk mereka berdua