Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang

Thursday, January 22, 2015

TAJUK 105: MENERIMA CUCU KE 5


Ia mengingatkan kembali diriku kepada TRAGEDI sedih dan menyayat hati yang menimpa diri cucundaku yang kedua, Wafa Firdaus binti Muhammad Hafeez Firdaus pada 8 Jun 2013.

Wafa yang dilahirkan pada 22 Ogos 2012 telah diambil oleh Allah Azzawajalla ketika berusia lebih kurang Sembilan bulan.

Sila baca TAJUK 381 bertarikh 24 Jun 2013.

http://coltoras1959.blogspot.com/search?updated-max=2013-06-30T00:24:00%2B08:00&max-results=7

Pada hari Sabtu, 18 Jan 2014 iaitu 19 bulan 9 hari selepas Wafa meninggalkan dunia yang fana ini, aku dan isteri dikurniakan pengganti darah daging Wafa. Syukur kepadamu Ya Allah.

Menantuku, Musfirah binti Kader, bonda kepada almarhumah Wafa Firdaus telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Kuala Lumpur pada jam 0804H.




.....oleh kerana aku bakal bermastautin di Negeri Sembilan, ini aku nukilkan sedikit tradisi dalam adat BERANDOI yang diamalkan oleh orang Negeri Sembilan. Adat berandoi ini diamalkan juga di Melaka, Perlis dan Kedah. Di Kedah dan Perlis ia dipanggil BERENDOI.

Seperti yang diketahui, Negeri Sembilan memang kaya dengan adat-adat kekeluargaan dan kemasyarakatannya yang unik.

Walaupun ia dipanggil adat, tetapi ayat-ayat dalam nyanyian berandoi ini mengandungi maksud yang amat dalam dari sudut ketuhanan dan kemanusiaan. Selain dari merungkai asal usul ciptaan manusia ia juga mengandungi nasihat sesama insan serta  puji-pujian, doa dan harapan kepada Allah yang Maha Esa agar bayi yang dilahirkan ini bakal menjadi anak yang soleh.

Bismillah itu permulaan nama,
Keadaan zatnya bersama-sama,
Menzahirkan sifat menyatakan asmak,
Khadim dan taat sedialah lama,

Wahai segala anaknya Adam,
Asal yang wahi nurul khatam,
Dipecahkan empat zahirnya Adam,
Dipecahkan pula sekalian alam,

Rahim bapamu turun ke ibumu,
Empat puluh hari nutfah namamu,
Lapan puluh hari alakah namamu,
Seratus dua puluh hari masfah namamu,

Empat bulan sampailah tuan ,
Sudah menjadi kaki dan tangan,
Cukuplah dengan sifat sekalian,
Nyawanya belum lagi didatangkan,

Sampailah sudah saat dan waktu,
Datanglah nyawa lalu bersatu,
Di dalam tubuh tempatnya itu,
Hawa dan nafsu sudah berlalu,

Dikandungkan ibumu sembilan bulan,

Lebih dan kurang tiada ditentukan,
Melahirkan dikau beberapa kesakitan,
Beberapalah pantang minum dan juga makan,

Tatkalalah engkau jatuh ke lantai,
Dengan segera bidan mencapai,
Sudah dimandikan lalu dipakai,
Tinggallah ibumu lemah gemalai,

Sudah dipakaikan lalu diqamat,
Mintalah doa supaya selamat,
Ingatlah pesan Nabi Muhammad,
Di atas dunia beramal ibadat,

Wahailah anak jangan engkau bantah,
Dzahirkan engkau sangatlah susah,
Dialih ke kiri ke kanan pun basah,
Habis berlumur kencing dan muntah,

Setelah lah kamu sudahlah ada,
Siang dan malam ibumu berjaga,
Tidurpun tidak barang seketika,
Makan dan minumpun tiada terasa,

Tiadalah tentu siang dan malam,
Tidurpun tidak dapat di tilam,
Terkejut terjaga di tengah malam,
Bangkit memangku di dalam kelam,

Apabila engkau dapat berbilang ,
Disuruh mengaji berulang-ulang,
Ke rumah gurumu tempat berulang ,
Pagi dan petang jangan engkau selang,

Wahailah anak kami berpesan,

Kepada engkau di dalam buaian,
Ibu bapamu jangan dilawan,
jangan mengikut iblis dan syaitan,

Apabila dewasa disuruh sembahyang,
Engkau doakan siang dan malam,
Sembahyang jangan dicampak dibuang,
Dikutuknya Tuhan bukan kepalang,

Ya Allah Malikul Adzah,
Budaknya ini besarkan tuah,
Siang dan malam makin bertambah,
Sehinggalah sampai ia berpindah,

Wahailah anak kami buaikan,
Engkau ini kami doakan,
Umur yang pendek minta panjangkan,
Rezeki yang halal minta murahkan,

Ya Allah Malikul Adzabi,

Budaknya ini murahkan rezeki,
Sejukkan badan terangkan hati,
Limpah dan makmur sehari-hari,

Ya Allah Malikul Jabar,
Budaknya ini cepatlah besar,
Jauhkan daripada perkara yang mungkar,
Dari kecil sampai ke besar,

Ya Allah Malikul Azati,
Budaknya ini tetapkan hati,
Minta kurniakan pangkat yang tinggi,
Di dunia akhirat beroleh terpuji,

Ya Allah Malikul Rahman,
Budaknya ini tetapkan iman,
Beramal ibadat minta kuatkan,
Syaitan dan iblis minta jauhkan,

Ya Allah Malikul Wahhab,
Budaknya ini jauhkan azab,
Minta makbulkan doa mustajab,
Siang dan malam memohonkan harap,

Ya Allah Malikul Mannan,
Doakan dia minta diperkenan,
Siang dan malam sepanjang zaman,
Bala dan fitnah minta jauhkan,

Ya Allah Tuhan yang kudrat,

Jauhkan kami daripada maksiat,
Minta panjangkan dunia akhirat.

extracted from:
http://1islamc.blogspot.com/2013/04/pantun-berandoi.html

.......Majlis Aqiqah dan Tahniq untuk menamakan cucuku ini telah diadakan pada Hari Sabtu, 24 Jan 2015 selepas solat Maghrib di Surau Luqman Hakim.

Dengan rasminya, cucuku ke 5 ini diberi nama SAYF BIN HJ MUHAMMAD HAFEEZ FIRDAUS BIN HJ TOHARUDIN BIN ABD RASHID (HJ ABDUL AZIZ) BIN ISA (HAJI TAHIR) BIN IBRAHIM.



  
  
 
 
 


No comments:

Post a Comment