Sunday, August 7, 2011

TAJUK 31: PUASA DAN AKU


  PUASA @ POSO 


Waktu Kecil di Kampung


Pada 1 Ogos 2011 Masehi telah jatuh juga tarikh 1 Ramadhan untuk tahun 1432 Hijriyah.  Bila tiba waktu begini aku terkenang zaman aku budak-budak dulu. Puasa dalam bahasa Jawa ialah 'POSO'.  Tapi bunyinya bukan bunyi huruf 'O' bila kita baca perkataan 'motor' atau 'kotor' atau 'kasut loto' tapi bunyi 'O' adalah macam orang Johor sebut 'beso' untuk perkataan 'besar' atau sebut 'kelako' untuk 'kelakar'.


Bila dah tua-tua begini, setiap kali tiba Ramadhan, jiwa aku menjadi sentimental mengimbau zaman kanak-kanak dahulu. Masa aku kecik, ketibaan puasa adalah satu bulan yang menyeksakan.  Masa itu walaupun kita tau bahawa puasa adalah salah satu dari 'Rukun Islam' yang 5, tapi kita tidak pernah mengaitkan puasa sebagai satu ibadah.  Ia adalah tradisi tahunan sebelum sampai hari yang ditunggu-tunggu- iaitu Hari Raya. 


Puasa zaman itu banyak dikaitkan dengan empat perkara, iaitu satu: air batu,  dua:  tarawikh/moreh, tiga: kotek'an dan empat: main galah.  Masa itu tidak terfikir tentang pelbagai pilihan makanan untuk buka puasa apatah lagi tentang bazaar Ramadhan.  Bazaar Ramadhan adalah seperti 'handphone' yang kewujudannya tidak pernah terfikir pada masa itu.



Kalau bukan bulan puasa, kalau nak rasa minum air batu cendol atau ais parut kena pergi ke Parit Saidi kerana di situ ada warung Wak Berahim (mamak)- dan di situ juga hanya ada jual rojak. Jarak warung itu dari rumah aku lebih kurang 1 km sahaja.  tapi bila tiba bulan puasa, akan ada kanak-kanak yang berjiwa 'enterpreneurship' menjual air batu bungkah.  Mereka mengayuh basikal, membawa satu kotak (tong) di belakang yang berisi ketulan ais yang disaluti dengan abuk kayu (gergaji).  Bungkah ais berukuran 5" x 5" x 5" dijual dengan harga 20 sen.  Mereka menjual air batu keliling kampung - rumah ke rumah.  Antara mereka ialah kawan sekelasku semasa sekolah rendah iaitu Kamari bin Mudiar (anak Lek Nandang).


Nama jolokan si Kamari ialah 'Kamari Kopo Goyeng'. Kamari ada sejarah tersendiri- kalau masa dulu kanak-kanak hanya bersunat pada usia 10 tahun ke atas, tapi si Kamari ini sudah bersunat pada usia 5 tahun. Kenapa? Kata orang- ANU dia kena gigit tungau (Jawa kata TENGU) - membengkak sampai tak boleh kencing. Bapak dia bawa kepada Tok Mudim untuk minta ubatkan- jalan penyelesaian yang diambil ialah sunatkan.  Selesai masalah.



Juadah berbuka di zaman itu adalah minima.  Macam biasa, mesti ada nasi dan kueh-kueh yang agak beranika kerana bertukar-tukar dengan jiran tetangga. kurma mesti ada (tamar). Tapi kurma masa itu, tak ada pilihan. The 'lowest class' kurma. Yang dijual seperti asam jawa dalam plastik atau kurma dalam bakul daun kurma yang dibeli secara kilo.




"Dulu-dulu mana ada lampu elekrik yang terang benderang macam sekarang.  Dulu guna lampu gasolin atau kita orang selalu panggil 'lampu pam @ pom.  Kena isi minyak gasolin atau minyak tanah dalam tangki yang kembung di bawah, guna spirit (alkohol) untuk hidupkan api sebelum dipam untuk mengeluarkan gas dan membolehkan mentol menyala.  Selepas sejam lebih, mentol akan menjadi malap- maka kita kena pam semula untuk dia jadi terang semula". 


Lampu gasolin diguna secara meluas, semasa kenduri kendara dan majlis perkahwinan atau apa jua majlis yang dianjurkan disebelah malam.


Solat Tarawaikh adalah seperti wajib.  Hari biasa (bukan Ramadhan) kita tak pernah ke surau pun, kecuali kalau majlis tahlil malam Jumaat, atau ada khenduri MaulidurRasul, Israk Mi'raj dan Awal Muharram.  Bulan Puasa jemaah menjadi ramai walaupun kena solat tarawih 20 rekaat dan witir 3 rekaat.   Masuk Isyak ketuk 'kentong' dengan irama tersendiri, kemudian sementara tunggu imam datang, kita akan berqasidah atau dinamakan 'puji-pujian' memuji kebesaran Allah dan rasulnya.  Bapak aku ada ajar beberapa qasidah atau ada yang ikut-ikut sahaja orang terdahulu, salah ke betul bahasa Arabnya aku pun tak tau.


'kentong'

"Dulu-dulu mana ada microphone, kalau azan pun tak boleh dengar. Nak tau masuk waktu solat, kena dengar bunyi beduk atau 'kentong' surau.  Bilal akan ketuk kentong kemudian baru azan"


Keseronokan solat Tarawikh ialah di bahagian akhir apabila imam membaca doa yang agak panjang, kanak-kanak akan menjawab dengan sebutan 'Aminnn' kuat-kuat.  Satu keseronokan.  Kadangkala bila terpengaruh dengan kawan-kawan yang nakal, pegi kacau orang tengah solat, iaitu jolok bontot orang yang sedang sujud-  jahat betul.

Selepas abis tarawikh, ada moreh, macam-macam la makanan yang ada- tapi makanan kampung la- biasanya lebihan buka puasa yang dibawa oleh jemaah.  Lepas moreh, kami akan bertadarrus.  Memang dari kecil  lagi bapak aku dah trained adik beradik aku untuk bertadarrus -  kalau tidak, balik rumah nanti bapak aku sesah dengan rotan.


contoh tadarrus- tapi dulu tak ada karpet dan lampu elektrik macam sekarang


Lepas abis tadarrus, masa untuk beriadah dan enjoy.  Mula-mula main 'kotek'an' iaitu menegtuk kentong dengan apa saja irama yang kita suka.  Bersahut-sahutan antara kampung ke kampung jiran yang lain.  Tapi ada had la, kalau terlebih malam, akan kena marah kerana mengganggu ketenteraman orang nak tidur. 

Lepas 'kotek'an' kami akan main satu sahaja permainan iaitu 'main galah' atau 'main jelon'.  kadang berakhir dengan aman, dan kadang berakhir dengan gaduh.  Dekat pukul satu pagi baru balik rumah.  Sesekali main sembunyi-sembunyi.


contoh surau zaman dulu-dulu

Paling tak suka dalam bulan puasa ialah nak bangun sahur.  Liat betul nak bangun. Berpuluh kali emak kejutkan - kadang menungging je, bangunnya tidak, kadang (bukan kadang, selalu juga kena) kena simbah air sejuk baru kelam kabut bangun.  Makan yang paling tak sedap dan susah nak telan adalah makan sahur.



Masa dulu, budak-budak, terutamanya lelaki, kalau 10 tahun tu baru nak jinak-jinak puasa- dapat la seminggu dalam sebulan.  Dah masuk 12 ke 13 tahun baru puasa penuh.  Kadang orang gelar puasa 'yangyuk' iaitu sahur dan niat puasa tapi siang-siang curi-curi bukak periuk.  Paling menggoda ialah 10 hari terakhir bulan Ramadhan.  Masa itu mak mula buat kueh raya.  Masa itu tak ada berbagai jenis kueh dan biskut macam sekarang.  Emak cuma buat bahulu sahaja. Sama ada bahulu besar, bahulu kecil atau bahulu gulung.  Waktu itu bakar kueh menggunakan loyang dan bahanapinya ialah arang, yang diletak di bawah dan atas loyang- sentiasa kena jaga- silap masa akan hangus. Loyang pun, bukan macam loyang sekarang dibuat dari aluminium- ringan.  Loyang dulu dari besi - tebal dan berat- sebab nak letak arang panas di atasnya.  Sekarang dah tak jumpa lagi loyang macam itu.

 


Kami akan bantu emak membancuh telur dan tepung dalam pasu besar- penat.  Kita panggil sebagai 'mengublok'.  Masa ni bila tenguk bahuklu dikeluarkan dari loyang, dengan baunya yang harum, sungguh mencabar.  Tu yang banyak kali batalkan puasa sebab nak 'merasa' kueh.  Atau kadang curi-curi jilat tepung yang telah berpadu (setelah di'kublok') dengan gula dan telur dalam pasu.



Berpuasa di Asrama


Aku tidak berpeluang hidup di asrama lama seperti sebahagian rakan-rakanku yang berjaya terpilih ke sekolah berasrama penuh.  Pertama kali aku duduk di asrama ialah apabila aku berjaya melanjutkan pengajian ke UTM, Jalan Gurney (sekarang Jalan Semarak) pada tahun 1977-78.   Duduk di asrama mudah, semua hidangan untuk berbuka dan bersahur dah disediakan.  Cuma nak bangun atau tidak sahaja.  Selalunya kami tidur lewat, makan dulu baru tidur.


Tarawikh pun sesekali sahaja pergi- maklumlah 'architecture student's life'- sentiasa bizi dengan projek.


Berpuasa di Rumah Sewa


Lorong Bukit Keramat 4, Datok Keramat - boleh katakan sepanjang tempoh bulan puasa makan makanan bungkus sahaja.  Jumlah dan jenis juadah adalah tertakluk kepada baki wang dalam poket waktu itu.  Kalau baru dapat biasiswa, lumayan lah, kalau ujung bulan- faham-faham je la- makanan tradisi- mee segera je!.

Masa ini, Tarawikh pun tak berapa rajin - selalu malas. Sama ada ke surau bawah bukit atau ke surau kampung setinggan (sekarang dah tak ada- semua dah roboh menajdi rumah keluarga tentera Desa Wangsa Keramat).


Berpuasa di Berek Tentera


Sekolah Pegawai Kedet, Port Dickson-  suasananya sama seperti asrama UTM tapi lebih terstruktur- makan pun pakai 'planters order' - iaitu pakai slacks, baju lengan panjang dan bertali leher.  Smart.  Bakal pegawai tentera katakan.


Berpuasa di Rumah Sendiri (Rumah Sewa dan OMQ)


Rumah pertama yang kami sewa beralamat di No. 28, Jalan Tas 32, Taman Tas, Kuantan.  Pengalaman pertama hidup sebagai suami isteri dan menguruskan sendiri hal ehwal rumah tangga.  Menyediakan makanan sendiri dan sudah tau membeli makanan di pasar Ramadhan. Kena pandai berjimat, kerana tanggungan bertambah tapi gaji tak bertambah.  Masa itu Lt Muda gaji RM750 sahaja. Begitu juga bila aku masuk OMQ dalam pangkalan TUDM Kuantan.  Anak sudah dua.


Kehidupan keluarga bersambung di Shah Alam apabila aku menyewa rumah di Sek 17 (aku belajar di ITM).  Anak bertambah dari 2 kepada 4.  Masa itu, aku agak aktif di surau Al Amin. Kadang buka di surau bersama jemaah kerana aku akan melaungkan azan Maghrib.  Malam pula menjadi bilal solat Tarawikh dan beberapa tahun kemudian aku menjadi imam di surau itu.


Apabila aku berpindah ke Rumah Keluarga di Kem MINDEF pada tahun 1993,  tiada surau yang berdekatan, menyebabkan sifat MALAS meningkat. Jarang bersolat di surau.  Kalau bulan puasa aku bertarawikh di Surau Amirul Mukimin di Rejimen Semboyan PT berhampiran balai pengawal Kem.  Sehinggalah surau di Kompleks Perumahan ATM Tun Hussien Onn disiapkan lebih kurang tahun 1996/97 yang dinamakan Surau Al Firdaus.


Bila anak aku pun dah ramai dan makin membesar, akan menjadi keseronokan berbuka puasa bersama.


Paling Menyeronokkan - Buka Puasa Raya


Bagaimanapun, menyebut mengenai berbuka puasa, tiada suasana yang lebih menyeronokkan dari berbuka puasa di kampung di malam akhir bulan Ramadhan.  Dari dulu hingga sekarang.  Keluarga kami mengamalkan MAKAN BESAR seperti yang diamalkan oleh bangsa China di malam Tahun Baru China. 


NANTi aku sambung lagi


.

.

No comments:

Post a Comment

IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...