Wednesday, July 18, 2012

TAJUK 75: PUASA RAMADHAN

PUASA RAMADHAN

PENGHAYATAN RAMADHAN MENURUT SUNAH RASULULLAH (s.a.w) 
Sumber: www.al-azim.com

MUQADDIMAH 

Hari ini adalah 28 Syaaban.  Lagi 2 hari akan tiba Ramadhan Mubarak Ramadhan Karim.  Tahun ini aku lebih bersedia berbanding dengan tahun-tahun sejak aku mengenal puasa.  Sebelum Rejab aku dah mula buat Isnin Khamis, bulan Rejab pun sama.  Masuk minggu kedua Syaaban, aku pulun terus menerus kecuali Sabtu dan Ahad.  Niat nak sapu juga tapi setiap weekend ada jemputan kahwin, kawan-kawan baik pulak tu.  Rasanya tak elok kalau tak pergi, (wajib pergi). Kalau pergi tetapi puasa, kurang sopan la namanya.

Bila sampai bulan puasa, kenanganku mengimbau zaman kanak-kanak di kampung dulu.  Paling signifiken bila tiba puasa adalah bermakna Hari Raya telah tiba. Puasa bukan satu agenda penting- hanya satu yang perlu diallui sebelum sampai Har Raya.  Seingat aku, sampai aku berusia 12 tahun, aku masih belum cukup puasa.  Bulan puasa bermakna aku dapat makan kurma (walaupun masa itu kurma dari kategori E- yang bergumpal macam asam jawa, jual kati dalam guni daun kepala).  Masa bulan puasa akan ada minuman air batu waktu buka.  Hari bulan lain tak ada budak-budak yang menjual air batu ketul.  Seketul sebesar batu bata berharga 20 sen.

Bulan Puasa, emak akan buatkan baju Melayu baru untuk Raya.  Bulan Puasa, emak akan masak kueh raya.  Yang jadi menu utama ialah bahulu yang dibakar dalam loyang. Atas bawah ada arang.  Masa itu mana ada oven- jauh sekali microwave. Zaman la ni, ada oven ada microwave pun orang beli kueh.  Jarang yang buat sendiri.  Yang seronoknya bila kueh dah masak, aku akan cari jalan untuk membatalkan puasa.  Alasan utama ialah penat mengublok (kacau) telur.

Malamnya seronok dengan bertarawikh di surau. Meriah kerana ada moreh. Selepas azan sementara menunggu imam datang kanak-kanak bernasyid (kita panggil puji-pujian) beramai-ramai. Lepas moreh main galah atau main jelon.  Tapi bila besar sikit, bapak suruh kami ikut tadarrus.

Itulah sedikit kenangan manis menyambut Ramadhan dalam tahun 60an dan 70an.  Zaman yang tidak dapat diulang malah kanak-kanak zaman sekarang tidak melalui keadaan seperti itu.  Ia hanyalah satu sejarah.  Kesah aku dan Bulan Ramadhan boleh dibaca di TAJUK 148. 

Lambaian Ramadhan hampir menggamit tiba dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: 
Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, di mana Allah telah memfardhukan ke atasmu puasa. Dibuka padanya pintu‐pintu syurga dan ditutup padanya pintu‐pintu neraka, ditambat padanya syaitan‐syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak.

Rencana di bawah ini disalin bagi mengulangkaji penghayatan ke atas puasa bulan Ramadhan menurut Sunnah Rasulullah s.a.w dan para sahabat.

TAKRIF PUASA, RAMADHAN DAN PENSYARIATANNYA 

Takrif Puasa. Dari segi bahasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini berbetulan dengan firman Allah s.w.t menceritakan perihal Maryam, melalui Surah Maryam, ayat 26: maksudnya: 
Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat al‐Rahman.

Dari segi istilah syaraknya pula, puasa ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.

Takrif Ramadhan.  Ramadhan pada bahasa dengan maksud kepanasan atau batu‐batu kecil yang berada di padang pasir pada musim panas. Ia merupakan satu bulan daripada bulan‐ bulan Islam yang berada di antara Sya’ban dan Syawal. Bulan ini ditaklifkan kepada umat Islam berpuasa.Al‐Syeikh Sya’rawi di dalam al‐Fatawa berkata: Perkataan bulan ﺷﻬﺮ diambil daripada maksud pemberitahuan dan penzahiran dan kadang‐kadang dinamakan masa yang tetentu sebagai bulan.

Sesungguhnya matahari tidak mampu untuk diketahui berkenaan dengan bulan kerana ia berfungsi hanya untuk menetukan hari. Matahari yang muncul disebelah timur pada hari ini begitu juga akan muncul pada hari esok mengikut  sifat dan bentuknya yang sama. Sedangkan bulan dapat dipastikan datang dengan Hilal (anak bulan) pada permulaan kemudian membesar sehingga menjadi bulan mengambang yang penuh hingga kepada kekurangan semula, justeru dapat di bezakan awal, pertengahan dan akhir bulan.  

Atas dasar inilah Allah s.w.t mengikat segala amalan ibadat dengan ayat kauniyyah yang zahirah (tanda kekuasaan Allah yang zahir). Ayat di sini ialah anak bulan selepas itu baru di ambil dari matahari hari tersebut kerana anak bulan tidak memberikan kepada kamu kefahaman tentang hari justeru, kita berhajat kepada kedua‐duanya. Dengan sebab itulah sentiasa bermula masa Ramadhan dengan malam dan segala ibadat di sini berkenaan dengan Ramadhan bahawa malam didahulukan sebagaimana yang ma’ruf (tidak ada khilaf dalam masalah ini bahawa siang hari mendahului malam kecuali pada satu ibadat iaitu wuquf di `arafah. Malam datang selepasnya). 

Bulan ramadhan asalnya daripada kalimah 'ra'-mim-dha'  yang menunjukkan kepada kepanasan atau kepada kepanasan yang membawa kepada dahaga begitu juga pasir‐pasir yang panas di padang pasir. Al‐Qurtubi berkata: Dikatakan dinamakan Ramadhan kerana ia membakar segala dosa dengan amalan yang soleh. Ini kerana diambil dari perkataan ﺍﻹﺭﻣﺎﺽ yang bermaksud membakar.

Ada pendapat mengatakan kerana hati‐hati dapat mengambil padanya darikepanasan mau`izah dan fikrah pada urusan akhirat sebagaimana pasir dan batu menjadi panas dengan sebab panahan cahaya matahari. Seolah‐olah manusia ketika mereka datang untuk meletakkan nama‐nama berbetulan pada ramadhan pada waktu yang panas terik (sebagaimana bulan rabi’ yang pertama dan kedua berlaku dalam musim bunga) ini menunjukkan mereka memerhatikan sifat bulan ketika menamainya, kemudian berlangsungnya masa yang khas bagi orang arab sebagai hilali pada zaman yang am sebagai syamsi. Kemudian datangnya ramadhan pada musim sejuk dan juga datangnya ramadhan pada musim luruh, tetapi saat penamaan adalah pada musim panas, justeru penamaan tersebut berkenaan dengan ramadhan dilihat pada waktu dinamakannya. Seolah‐olah Allah yang sebenarnya telah memilih bagi bulan ini dengan nama yang tersebut untuk menunjukkan
betapa masyaqqah untuk ditempuhi oleh orang yang berpuasa.

Pensyariatan PuasaPuasa bulan Ramadhan telah difardhukan pada bulan Sya’ban tahun ke‐2 Hijrah. Sebelum itu amalan puasa telah pun biasa dilakukan di kalangan
umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan Rasulullah. Hal ini berdasarkan firman Allah Ι dalam Surah al‐Baqarah, ayat 183: maksudnya: 
Wahai orang‐orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang‐orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.

Sayid Qutub berkata: 'ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredhaan‐Nya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati'. 

Orang‐orang yang dihadapkan ayat‐ayat al‐Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya maqam taqwa di sisi Allah dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah. Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka, dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkatkan taqwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa. Akan tetapi kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat‐umat terdahulu adalah dari segi pensyariatan puasa itu sahaja. Kemudian umat Nabi Muhammad s.a.w secara khususnya difardhukan puasa bulan Ramadhan tersebut berdasarkan Surah al‐Baqarah, ayat 185: yang bermaksud:
Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al‐Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan‐keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah. Oleh itu sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahuinya hendaklah ia berpuasa bulan itu.

PENGHAYATAN RAMADHAN MENURUT SUNNAH RASULULLAH ε DAN PARA SAHABAT 

Rasulullah s.a.w amat bergembira dengan kedatangan Ramadhan al‐Mubarak, bahkan baginda menganjurkan para sahabat supaya bergembira dengan mengisi ketaatan yang penuh sama ada fardhu ataupun sunat bagi menghiasi Ramadhan al‐Mubarak. Dengan sebab itu banyak hadith‐hadith yang menunjukkan kelebihan dan keutamaan Ramadhan dan puasa serta acara sunat yang lain untuk menambahkan lagi koleksi pahala di sisi Allah. Di sini dinyatakan hadith‐hadith antaranya:

1. Hadith riwayat Ahmad, al‐Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa’d, sabda Rasulullah: maksudnya: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang‐orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya.  

2. Hadith riwayat Ahmad dan al‐Nasa`ie, daripada Abu Hurairah. Sabda Rasulullah: maksudnya: Puasa sebagai perisai.

3. Hadith riwayat Ibn Majah dan al‐Hakim, daripada Ibn Umar bahawa Nabi bersabda: maksudnya: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak.

4. Hadith riwayat al‐Baghawi dari seorang lelaki di kalangan sahabat. Firman Allah  dalam hadith Qudsi yang bermaksudMaksudnya: Satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda dan ditambah, dan satu kejahatan hanya dibalas satu dan mungkin Aku hapuskannya, dan puasa untuk‐Ku, dan Akulah yang membalasnya. Puasa sebagai perisai dari azab Allah sebagaimana penyangga, sebagai perisai dari mata pedang.

5. Hadith riwayat al‐Baihaqi di dalam al‐Syu`ab daripada Abu Hurairah, Rasulullah  bersabda: yang berertiPuasa adalah separuh kesabaran, dan di atas setiap sesuatu mempunyai zakat, dan zakat jasad ialah puasa.

6. Hadith riwayat al‐Nasa`ie daripada Abi Sa`id: Maksudnya: Siapa yang berpuasa sehari semata‐mata pada jalan Allah nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari neraka jahannam selama 70 tahun.

7. Hadith riwayat Ibn Mandah di dalam `Amali, daripada Ibn Umar dan al‐Dailami, daripada Abdullah bin Abu Aufa bahawa sesungguhnya Nabi (saw) bersabda, maksudnya: Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

8. Hadith riwayat al‐Bukhari dan Muslim: maksudnya: Apabila datangnya Ramadhan nescaya dibuka pintu‐pintu syurga, ditutup pintu‐pintu neraka dan diikat syaitan‐syaitan.

9. Hadith riwayat Ahmad, al‐Bukhari dan Muslim, begitu juga dengan Ashabal‐Sunan: maksudnya: Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, nescaya diampun baginya dosa yang terdahulu.

PELUANG, CABARAN DAN TIPS MENANGANINYA 

Setiap ibadat sudah tentu mempunyai cabaran dan halangan. Ini kerana terdapatnya ganggu gugat daripada syaitan dan lain‐lain supaya ibadat tersebut batal atau tidak diberi pahala di sisi Allah s.w.t . Justeru jadilah ibadat sia‐sia disamping natijah taqwa yang terhasil daripada ibadat puasa tidak kesampaian. Di sini dikemukakan beberapa hadith yang menunjukkan cabaran dan bagaimana cara untuk mengatasinya. Antaranya ialah:

1. Hadith riwayat al‐Nasa`ie, Ibn Majah, daripada Abu Hurairah, Allah s.w.t. berfirman: maksudnya:Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi‐Ku dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad ditangannya maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbukadia merasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia merasa
gembira dengan puasanya.

2. Hadith riwayat Ahmad, al‐Bukhari, al‐Nasa`ie dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah: maksudnya: Setiap amalan anak Adam digandakan, satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda hingga sampai 700 kali ganda, hingga mengikut kehendak Allah, firman Allah s.w.t: Kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi‐Ku dan Akulah yang membalasnya, meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku, bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbukanya dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

Berdasarkan dua hadith di atas dapatlah disimpulkan beberapa pengajaran antaranya:

  • Keistimewaan puasa sehingga disandarkan kepada Allah s.w.t.
  • Amalan kebajikan digandakan daripada sepuluh hingga tanpa had.
  • Amalan kejahatan hanya dibalas satu sahaja sebagai lambang rahmat dan kasih sayang Allah terhadap makhluknya.
  • Puasa sebagai perisai.
  • Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada kasturi.vi. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan, iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhan.
  • Antara adab‐adab puasa ialah;
    • Tidak melakukan rafas iaitu mutlak maksiat atau lagha.
    • Tidak melakukan sakhab iaitu bertempik dan dikehendaki dengannya meninggalkan maksiat begitu juga bercakap sia‐sia kecuali membaca al‐Quran dan zikir.
    • Berkata kepada musuhnya; sesungguhnya aku berpuasa. Untuk mengelakkan daripada tercemarnya maksud puasa dan dari mendapat natijah taqwa.
Hal ini berbetulan dengan sebuah hadith yang menggambarkan puasa kerana Allah yang layak dan berhak dibalas dengan kelebihan. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh al‐Tabarani, daripada Abu Hurairah dan lainnya bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: maksudnya: Kecuali puasa, dan puasa bagi‐Ku dan Akulah yang membalasnya, dia meninggalkan makan, minum dan syahwatnya semata‐mata kerana‐Ku.

Begitu juga dengan sebuah hadith, Rasulullah s.a.w bersabda: maksudnya: Siapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta dan beramal dengannya maka tiadalah bagi Allah keperluan dengan sebab beliau meninggalkan makan dan minumnya.

Oleh kerana itu bagi menjadikan puasa yang sahih dan mendapat pahala hendaklah bermula dengan pembetulan nawaitu yang benar‐benar ikhlas selaras dengan firman Allah s.w.t dalam Surah al‐Bayyinah, ayat 5: yang maksudnya: Dan mereka tidak diperintahkan kecuali semata‐mata mengabdikan kepada Allah dalam keadaan mengikhlaskan bagi agamanya dan suci, mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, dan yang demikian itu merupakan agama yang unggul.

Seterusnya mempelajari hukum fiqh al‐Siyam mengikut amalan Rasulullah s.a.w dan para sahabat supaya ianya benar‐benar menepati kehendak syarak sama ada yang membabitkan amalan sunat atau wajib. Begitu juga dengan adab dan etikanya. Justeru perkara seumpama ini bukanlah mustahil untuk mencapai hakikat puasa yang menatijahkan taqwa.

PENUTUP 

Sebagaimana diketahui puasa pada bulan Ramadhan adalah ibadat yang difardhukan oleh Allah s.w.t.. Dalam erti kata lain setiap orang Islam yang melakukannya hanya kerana mematuhi perintah Allah s.w.t. danmelaksanakan tanggungjawab keimanan kepada‐Nya tanpa memandang kepada sebarang kemungkinan yang berlaku. Sebagai natijah daripada ibadat
tersebut. Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

  • Boleh menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah.
  • Bulan Ramadhan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun.
  • Allah menghendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan dan taqarrub kepada‐Nya.
  • Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat‐sifat keras hati dan keterlaluan.
  • Membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.

Firman Allah s.w.t dalam Surah al‐Baqarah, ayat 183: maksudnya: Hai orang‐orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang‐orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertaqwa.

Sayid Qutub berkata: Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu, iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjung perintah Allah s.w.t  dan mengutamakan keredhaan‐Nya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati. Orang‐orang yang dihadapkan ayat‐ayat al‐Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya maqam taqwa di sisi Allah s.w.t dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah. Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini
mengangkatkan taqwa dihadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.

Terima kasih kepada penulis artikel di atas kerana dapat berkongsi maklumat berkaitan PUASA RAMADHAN secara akademik.  Artikel di atas saya cedok hampir sepenuhnya dari websait Masjid Negeri Melaka (www.al-azim.com).

Masa aku buat catatan ini sudah masuk hari ke7 Ramadhan.  Disamping dapat menjalankan ibadah puasa dengan keadaan sihat wal afiah (banyak-banyak bersyukur kepada Allah swt di atas nikmat usia dan peluang yang diberi untuk membersihkan diri yang serba kotor ini), aku meneruskan tugas sebagai Bilal Solat Tarawikh di Surau Luqman Hakim.  Kalau tahun lepas aku bersilih ganti dengan Kdr Isa, tahun ini bergilir pula dengan Lt Kol Yusof.  Selepas solat Witir meneruskan agenda Tadarrus hinggala jam 1100 malam.

Tahun ini aku dapat melaksanakan dua perubahan utama dalam kehidupanku.  Bukan bertujuan untuk bermegah atau riak, tapi untuk mencabar diriku sendiri yang amat lemah ini.  Maklumlah setelah berpuluh tahun mengikut rasa hati dan nafsu, tahun ini aku mencuba dua perkara:

  • Menganjurkan kelas Tajwid dan bacaan Qur'an setiap hari di Markas Logistik Udara.  Walaupun sambutan agak dingin, biasalah apa jua perjuangan ugama sukar untuk menerima sambutan, memerlukan kesabaran.  Kelas diadakan mulai jam 1230 hingga 1330 setiap Hari Isnin hingga Khamis.  Minggu pertama kurang 10 orang yang berminat untuk hadir.  Itulah perjuangan. Memerlukan ketabahan dan kesabaran.
  •  Kedua, lebih bersifat peribadi.  Mulai tahun ini aku tidak lagi membeli makanan di Bazar ramadhan seperti tahun-tahun yang lalu.  Memasak makan sendiri iniadalah lebih baik berbanding membeli makanan di bazaar Ramadhan kerana:
    • Kebersihannya terjamin- masak sendiri kita tahu mana yang suci dan bersih semasa di masak- kalau makanan yang tak bersih kita makan- hasilnya boleh menyebabkan penyakit atau jiwa pun jadi kotor.  Apalagi kalau penjualnya tidak mengambil berat tentang hukum hakam.  Dari sebelum Asar sampai azan Maghrib masih sibuk melayani pelanggan.
    • Mengelakkan pembaziran. Biasanya bila ke bazar Ramadhan, kita lupa diri, semua nak beli.  Bila dah buka puasa, banyak yang terbazir.  Dosa besar- sahabat syaitan.
    • Mengelakkan dosa mata.  Allahu Akbar.  Bulan puasa di bazar Ramadhan - dalam suasana hingar bangar dan sesak, ramai kaum wanita yang 'masya Allah' berpakaian amat menjolok mata.  Puasa tak puasa sama sahaja.  Bukan sahaja mendedah aurat malah berseluar pendek ketat, berbaju tshirt ketat, rambut berwarna-warni, ada yang mendedahkan bahagian-bahagian yang sensitif (memakai singlet atau low-cut)- MasyaAllah. Puasa menambah dosa kita yang melihat atau terlihat atau terpaksa melihat.

adakah kebersihan pembuatannya terjamin?

penuh sesak
bercampur-aduk, bersesak-sesak, bergeselan
rezeki Ramadhan????
pakaian
Masya Allah.....





No comments:

Post a Comment

IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...