Monday, June 24, 2013

TAJUK 90: WAFA PERMATA FIRDAUS

WAFA FIRDAUS
PERMATAKU DI SYURGA FIRDAUSI

Ruangan ini aku tulis khas bagi memperingati kepergian cucundaku yang dikasihi ke, Wafa Firdaus ke rahmatullah pada 9 Jun 2013 sewaktu aku dan isteri dalam perjalanan mengerjakan ibadah umrah. Semoga coretan ini akan menjadi bahan sejarah buat anak cucuku selagi blog ini masih wujud sehingga hari qiamat.

Wafa Firdaus binti Muhammad Hafeez Firdaus adalah puteri yang dilahirkan hasil dari perkahwinan antara anak lelaki sulungku dengan Musfirah binti Kader.  Wafa Firdaus (cucuku yang kedua) dilahirkan pada 22 Ogos 2012.



Sewaktu aku dan isteri mahu bergerak menaiki kenderaan untuk ke lapangan terbang (LTSAAS) Subang pada 071030 Jun 13, kesemua 6 anak/menantu (kecuali menantu kedua; Muhd Noor Hafiz yang berada di Kuching) dan 3 cucuku ada di halaman rumah untuk mengucapkan selamat jalan. Muhammad Aqeef Waqas (anak Fazeera), Wafa Firdaus (anak Hafeez) dan Auny Humayra (anak Aisyahnur). Mereka didokong oleh ibu atau bapa masing-masing.

Dalam dua hari itu aku memang selalu mendukung Aqeef. Bukan kerana aku menyayangi melebihi cucu yang lain tetapi kebetulan Aqeef baru discharged dari Hospital KPJ Ampang setelah dimasukkan ke wad selama 3 hari akibat sakit demam jangkitan di paru-paru. Tubuhnya kelihatan kurus menyebabkan aku sedih melihatnya dan mendukungnya selalu sejak keluar dari hospital.

Wafa yang baru pandai berdiri dan melangkah, agak aktif.  Kami lebih banyak membiarkan dia bergerak sendiri ke mana dia suka dan hanya mengawasinya supaya tidak jatuh atau melanggar bucu-bucu tajam.  Kami sengaja tidak selalu mendukungnya supaya dia cepat berjalan. Walaupun tubuhnya berisi tetapi dia aktif.  Sehari sebelum bertolak, aku seronok melihat dia selalu mengganggu adiknya, Auny yang duduk di dalam walker. Dia akan bermain permainan bermuzik di walker tersebut dan bila Auny merasa haknya diganggu dia akan menolak Wafa supaya jauh. Dan Wafa tidak sama sekali membalas atau marah dengan tolakan adiknya.

  

Yang lebih menyayukan aku selepas kejadian ialah pada pagi hari aku berangkat itu juga, selepas mandi abinya membalutkan tuala Wafa seperti orang lelaki memakai ihram. Jadi serba putih.  Kudus. Tetapi aku tidak terlintas apa-apa kerana niat abinya ialah untuk mengajuk pakaian yang akan aku pakai semasa melaksanakan umrah di Mekah nanti.



Pada hari Ahad (9hb) Wafa akan pulang ke Kampar kerana Umminya (Musfirah) akan mula mengajar semula setelah habis cuti pertengahan penggal persekolahan. 

Aku tidak mendokong mana-mana cucuku sebelum bertolak kerana pada saat ketika seperti ini aku khuatir kalau ada antara anak-anak aku akan terkilan. Ketiga-tiganya didokong oleh ayah atau ibu masing-masing.  Aku hanya memberikan beberapa ciuman selamat tinggal kepada ketiga-tiga cucuku dengan iringan doa semoga mereka semua sentiasa mendapat perlindungan Allah swt.



Sebelum bertolak, terlintas juga aku ingin mengambil gambar tetapi dari satu sudut hatiku ada yang menghalang yang menyebabkan aku membatalkan niat tersebut.  Dalam hatiku berkata, "Ala, 2 minggu je, bukan macam pergi Haji sampai 2 bulan".

Pada pagi hari kedua (9hb Jun) ketika aku berada berada dalam bas di Istanbul (destinasi pakej ziarah dan umrah). Aku melihat ada missed call dari anakku Hafeez tapi aku tak buat panggilan balik kerana kos panggilan telefon yang tinggi.  Dalam hatiku berkata, kalau ada hal penting mesti dia SMS.  Semasa dalam perjalanan menuju ke destinasi lawatan tempat bersejarah di hari kedua itu aku menerima satu SMS dari menantuku Muhd Noor Hafiz yang bertugas di Kuching.

"Salam ayah, Maaf ayah. Allah lebih menyayangi Wafa ayah. Wafa dah meninggal sebab kemalangan. Abg Hafiz dan Kak Mus selamat. Ai (Aisyah) baru call bagi tau. Semua ada di hospital Melawati.  Sabar ye ayah".

Aku tergamam, terpaku, terkedu, gelap, lesi dan hilang. Terpacul keluar dari mulutku.

"Allah, Wafa meninggal!!!!...Astagfirullah....". 

Isteriku yang duduk di sebelahku terperanjat. Airmatanya terus berjurai. Kami terpaksa control maksima untuk mengelakkan semua jemaah turut terperanjat. Aku membisikkan berita itu kepada Ustaz Muhibuddin (mutawwif kami) yang duduk di kerusi hadapan kami.  Sepanjang perjalanan, kami membisu melayan kedukaan yang tidak pernah disangka untuk diterima dalam keadaan sebegini.

Hari itu Ahad, hari cuti. Aku menghubungi Ustaz Kol Hj Nawawi (KAGAT), Mej Ammadi Atan dan Mej Monarizal untuk membantu anak-anakku menguruskan keadaan.  Ustaz Nawawi membalas SMS dan menyatakan dia berada di Ipoh dan memaklumkan Ustaz Lt Kol Hj Azmi untuk membantu menguruskannya. Yang lain aku serahkan kepada Allah swt.

Syukur kepada Allah yang mempermudahkan segala urusan. Anak aku Hafeez selamat dan masih mampu membawa tubuh Wafa ke hospital dan menghubungi individu-individu tertentu. Syukur kepada Allah kerana bapa saudara Musfirah, Lt Kol Hasanuddin yang juga tinggal di quarters KPTOJ telah memberikan bantuan untuk menguruskan segalanya sehingga sempurna.

Tragedi pagi Ahad itu berlaku semasa Hafeez dalam perjalanan untuk menghantar Musfirah pulang ke Kampar. Mereka bertolak dari rumah kami (di KPTOJ) lebih kurang jam 1030 pagi melalui jalan Wangsa Maju untuk mengisi minyak sebelum memasuki MRR2 menuju ke NKVE. Mengikut kesah yang disampaikan oleh salah seorang rakan Hafeez dalam facebook, kronologi tragedi adalah seperti berikut:

Lebih kurang jam 11.00 pagi, kereta Perodua MiVi ACR 3010 milik Musfirah yang dipandu oleh Hafeez menuruni bukit di hadapan Carefour Wangsa Maju rapat ke kiri untuk mengisi minyak di Shell Petrol Station berhampiran traffic light di situ. Tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Saga FLX yang dipandu laju oleh seorang pemuda berusia 25 tahun melanggar kereta yang dipandu Hafeez dari belakang.

Akibat perlanggaran tersebut kereta MiVi berpusing-pusing beberapa kali dan hampir terbalik. Kedudukan mengiring. Semasa dilanggar dan berpusing itu Wafa yang ketika itu sedang disusui oleh umminya telah tercampak keluar tingkap sebelah pemandu yang baru dibuka. Beberapa orang yang berada berdekatan membantu untuk menyelamatkan Wafa yang tercampak.


keadaan kereta MiVi AHR 3010 selepas kemalangan

Hafeez dan Musfirah terperangkap dalam kereta dan setelah berjaya keluar beliau terus membawa anaknya ke Damai Hospital, Taman Melawati menggunakan teksi.

Di Hospital Damai, Wafa telah disahkan meninggal dunia oleh doktor dan pada jam 1430  pihak polis telah membawa anaknya ke HKL untuk urusan post mortem dan selesai pada jam 1800. 

Antara jam 1800 hingga 1900 jenazah dimandi, dikafankan dan disolatkan di Masjid Khalid ibni Walid KEMENTAH. Hafeez sendiri mengimamkan solat jenazah untuk jenazah anakandanya. Selepas solat maghrib, jenazah di bawa ke tanah perkuburan islam Jalan Keramat 9 (di belakang Pasar Keramat).  Urusan pengkebumian selesai pada jam 2035. 

 
 
solat jenazah diimamkan oleh abinya sendiri, Muhammad Hafeez Firdaus
pusara ahli syurga

Hari-hari di Istanbul menjadi kurang ceria.  Aku mengikuti perkembangan melalui SMS ahli keluarga dan kawan-kawan di samping sesekali mengikuti facebook jika berkesempatan. Bila malam aku akan melepaskan perasaan terbuku dengan menangis sepuas-puas hati dalam bilik. Tetapi aku redha dengan ketentuan Allah.  Allah lebih menyayangi Wafa dan memilihnya untuk menjadi ahli syurganya yang kekal.

Aku dan isteri ingin menyampaikan ucapan setinggi-tinggi terima kasih semua kaum keluarga, sahabat handai, jemaah surau Luqman hakim serta semua individu yang telah membantu ahli keluarga semasa ketiadaanku seterusnya yang membantu mengurus jenazah cucunda kesayangan kami, memandi, mengkafan, mensolatkan dan seterusnya sehingga selesai pengekebumian serta juga Majlis Tahlil. Hanya Allah yang Maha Mengetahui akan budi baik dan keikhlasan semuanya.

Andainya terdapat kekurangan dari pihak keluarga kami, kami memohon ampun dan maaf. Jika ada sesiapa yang telah mengeluarkan apa-apa perbelanjaan berkaitan dengan urusan tersebut dan ingin menuntut, silalah berjumpa dengan saya semoga ia tidak akan menjadi bebanan hutang keluarga saya dunia dan akhirat. 

Di malam-malam yang sepi di bumi Istanbul, setiap malam aku tidak dapat menghindar bayangan wajah Wafa dari otakku. Setiap kali terkenang, air mataku akan mengalir keluar. Dalam iringan genangan dan titisan airmata, aku kuatkan hati untuk menuliskan bait-bait puisi kenangan buat cucundaku tersayang Wafa Firdaus.


Wafa Permata Firdausi


Aduhai cucundaku Wafa
Setelah 9 bulan dalam kandungan ibumu
setempoh itu juga ibumu menderita menghadapi pelbaga ujian dan kesukaran
Tanggal 22 Ogos 2012 bersamaan 4 Syawal 1434
kau dilahirkan di dunia ini dalam iringan gema takbir eidil fitri



Tiga bulan lebih kau tinggal bersama Atok dan Wan
sehingga kau tinggalkan atok pada penghujung Dis 2012
untuk mengikut ummimu pulang bertugas ke Perak.
Dalam tempoh kau berada dalam rumah Atok,
Kau telah menjadi saudara susuan kepada dua sepupumu Aqeef dan Auny
dengan harapan apabila dewasa nanti, 
kamu bertiga akan hidup permai asebagai adik beradik yang mutlak
Tidak lagi terbatas dengan hukum syar'i


Wafa (22/8/2012), Aqeef (24/10/2011) dan Auny (22/11/2012)
ketiga-tiganya adalah saudara sesusuan.  Mereka berkongsi susu ibu.

Aduhai cucundaku Wafa
Setiap kali kau pulang ke rumah Atok di hujung minggu,
setiap kali bertemu atok kau sentiasa menguntum leretan senyuman
kau sentiasa ceria
pipimu semakin montel dan tembam
kau suka sangat dalam dokongan Atok
rambutmu yang hitam lebat
hingga kau diusik dengan panggilan Kak Bat

 

Aduhai cucundaku Wafa
9 Jun 2013
Ketika Atok berada jauh di kota bersejarah Konstantinopol
menuju jalan ke tanah suci
Atok dikejutkan dengan berita,
Berita yang Atok tidak ingin didengar.
Bagai meledak letupan gunung berapi,
Bagai dentuman petir memanah dada,
Berita pemergianmu ke alam baqa'
Atok tersentak, terpaku, terkedu,
Dunia bagaikan gelap gelita,
Dunia ini bagaikan kosong, sunyi dan suram
Hanya airmata Atok yang tidak mampu ditampong
Mengalir membasahi pipi

Aduhai cucundaku Wafa
Baru semalam Atok baru memberikan kau ciuman ke pipimu
Rupanya itulah ciuman Atok yang terakhir
Baru semalam tanganmu yang gebu melambai Atok,
Rupanya itulah lambaian terakhir untuk Atok
Baru semalam kau ketawa gembira menghantar Atok
Rupanya itulah senyuman ketawa mu yang terakhir untuk Atok


Aduhai cucundaku Wafa
Jelas terbayang wajahmu yang gebu dan montel
Jelas terbayang wajahmu yang putih berseri
Jelas terbayang rambutmu yang hitam lebat
Jelas terbayang keletahmu yang baru boleh berdiri dan melangkah
Jelas terbayang kau menggoyang seluruh badan bila mendengar orang bertahlil
Jelas terbayang senyum mu bila berjumpa atok
Jelas terbayang kau yang baru pandai bertata


Aduhai cucundaku Wafa
Atok tak puas mendokongmu
Atok tak puas bergurau senda denganmu
Atok tak puas mencium pipimu
Atok tak puas memelukmu
Atok tak puas bermain-main denganmu
Atok tak puas lagi mendengar tangisanmu

 

Aduhai cucundaku Wafa
Tinggi angan-angan Atok ingin melihatmu membesar bersama Aqeef dan Auny
Tinggi cita-cita ayah dan ibumu untuk mendidikmu menjadi anak yang solehah
Terbayang nanti bila atok sudah tua 
Wafa akan menemani Atok, memimpin tangan Atok,
membawa Atok berjalan-jalan

Aduhai cucundaku Wafa
Allah lebih sayangkan Wafa
Sayang Allah melebihi sayang, Umi, Abi, Atok dan Wan
Allah hanya meminjamkan Wafa kepada kami sebentar sahaja
Wafa dipinjam kepada kami untuk 291 hari sahaja
Wafa pergi waktu Atok dan Wan jauh di rantauan
Wafa pergi dalam keadaan tragis dan menyayat hati

Aduhai cucundaku Wafa
Kau adalah permata terpilih,
untuk meninggalkan dunia yang fana dan kotor ini
Wafa insan terpilih,
tidak perlu melaksanakan solat, puasa, zakat dan haji
Wafa adalah permata terpilih,
untuk melalui alam barzah tanpa soalan Munkar dan Nakir
Wafa adalah permata terpilih,
tanpa hisab dan melalui timbangan mizan di Padang Mahsyar
Wafa adalah permata terpilih,
untuk meniti siratul mustaqim tanpa halangan
Wafa adalah permata terpilih,
untuk menjadi tetamu Malikul Ridzuan dipintu syurga

 

Aduhai cucundaku Wafa
Atok redha dengan ketentuan Allah
Atok redha dengan kehilangan Wafa dari kami
Atok akan ada Wafa menanti di syurga nanti


Pusara Puteri Firdausi

Aduhai cucundaku Wafa
Berehatlah sayang menanti Yaumul Akhir
Kau insan bertuah
dapat bermain-main dengan anak-anak dan cucu-cucu Rasulullah di taman syurga
Kau insan pilihan Allah
Untuk berbaris bersama syuhada' Badar dan Uhud
Wafa insan bersih dan suci
Wafa akan tumbuh bagai bunga-bunga syurga
menghiasi bidadari  syurga firdausi

 

Aduhai cucundaku Wafa
Tunggulah
Nanti kau pimpinlah tangan Ummi dan Abi mu ke syurga sama
Andainya nanti Wafa melihat Atok atau Wan berjalan memikul dosa
Merangkak menuju neraka
Kejarlah atok
Mohonlah kepada Rahmat Allah
Tariklah Atok dan Wan ke syurga bersamamu

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar
Inna Lillahi Wa inna Ilaihi Rojiun

Hotel 3 Gold 
Istanbul, Turkey
092030 Jun 13

Jumaat, 141030 Jun 13, dalam kesesakan mencari jalan untuk memasuki Raudhah. hampir sejam baru aku dapat memasuki kawasan Raudhah.  Tiada ruang untuk sujud.  Kalau nak sujud pun dicelah-celah kaki manusia yang berhimpit-himpit.  Akhirnya aku dapat bediri rapat di belakang seorang yang sedang bersolat. Aku mengambil keputusan terus mengerjakan Solat Ghaib untuk Wafa.  Alhamdulillah. 

<iframe src="https://www.facebook.com/video/embed?video_id=4798563614166" width="1280" height="720" frameborder="0"></iframe>
.

Wajah Wafa ketika baru dilahirkan 
Wajah Wafa sebelum disemadikan

ALBUM KENANGAN
 
 
 

 
 
   
   



BUAT INSAN (AKU TIDAK KENALI) YANG MEMANDU KERETA YANG MELANGGAR KERETA MIVI 'AHR 3010' INI, SEBAGAI NENDA KEPADA KEPADA WAFA AKU MAAFKAN KESALAHANNYA. TETAPI INSAFLAH. JANGAN ADA LAGI INSAN TIDAK BERDOSA YANG MENJADI MANGSA KECUAIANMU. KEPADA AYAHANDA DAN BONDA WAFA, KAMU SENDIRILAH BERTEMU DAN MEMOHON MAAF DENGANNYA.

NASIHATKU: JANGANLAH DI MAHKAMAH NANTI KAMU MENGUBAH PENGAKUANMU DENGAN PELBAGAI DALIH. JIKA KAMU BERBOHONG ATAU KAMU DIPENGARUHI OLEH MANA-MANA KELUARGA KAMU UNTUK BERBOHONG ATAU BERDALIH UNTUK MELEPASKAN DIRI DI MAHKAMAH DUNIA INI, KAMU AKAN BERJAWABLAH DENGAN WAFA SENDIRI DI AKHIRAT NANTI. KERANA HUTANG KAMU ADALAH HUTANG NYAWA.

JIKA KAMU ATAU KELUARGA KAMU TERASA INGIN BERBOHONG, KAMU LIHATLAH GAMBAR JENAZAH DI ATAS.






1 comment:

  1. Amat menyedihkan. Terpaksalah kita menerima hakikat hidup dan mati. Biarlah kita yang diberi umur yang panjang membuat apa saja sebagai tanda kesyukuran.

    ReplyDelete

IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...