Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang

Wednesday, May 29, 2013

TAJUK 89: PERJALANAN UMRAH 2


PERJALANAN UMRAH 
SIRI 2  


Lanjutan dari TAJUK 362.

Awal mula pertama mula, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah yang telah memberikan aku usia, rezeki kemampuan material dan fizikal serta keinsafan untuk sekali lagi menjejaki Tanah Suci, bumi tempat kelahiran Rasulullah s.a.w.

Seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini, aku dan isteri mengambil pakej Umrah Ziarah Istanbul dengan syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. Pemilihan ini adalah berasaskan kepada pemerhatianku tentang kecekapan syarikat ini mengendalikan jemaah Haji semasa aku menunaikan Fardhu Haji pada tahun 2010 dulu.

Memang banyak syarikat pelancongan yang menawarkan pakej umrah ini.  Ada juga sahabat-sahabatku yang mencadangkan beberapa nama syarikat yang agak terkenal dan berpengalaman mengendalikan pelbagai pakej Umrah. Namun, kali ini aku memilih Andalusia.

Pada 4 Mei 13 aku dan isteri menghadiri kursus refreshment Umrah yang dijalankan di bangunan pejabat Andalusia di kampung Pandan.  Ramai yang hadir, kesemua ruang di bangunan 3 tingkat itu dipenuhi peserta Umrah yang telah menempah perjalanan bersama syarikat ini. Kursus yang bermula jam 0900H itu (mula agak lewat) dikendalikan sendiri oleh tuan punya syarikat ini iaitu Dato Hj Daud Che Ngah.  Kursus tamat pada jam 1330H.  Kami turut membeli beberapa barangan untuk keperluan perjalanan kami.

Pada 10 Mei 13 aku membayar baki kos Umrah dan ziarah untuk saya dan isteri iaitu RM7290 seorang.  Alhamdulillah, baki dari simpanan Tabung Haji yang terus terkumpul selepas Haji 2010 dulu masih mencukupi.  Isterku juga mengambil simpanan THnya.  Bukanlah niat aku tidak mahu menggunakan wang simpananku bagi membiayai kos umrah ini.  Tapi niat aku supaya wang simpanannya juga mendapat keberkatan Allah.  Kalau semua aku tannggung mungkin wang itu akan dibelanjakan kepada perkara yang sebenarnya bukan satu ibadah.

Sebenarnya tarikh asal perjalanan ialah pada  27 April 2013 tetapi aku telah tangguhkan sebanyak dua kali.  Perancangan asal saya mengambil Umrah Ziarah ke Cairo setelah berpakat dengan rakan jemaah Haji dari Masjid Tanah, Melaka iaitu Tuan Hj Osman Ibrahim.  Beliau telah membatalkan pelannya kerana terpaksa menjalani rawatan kansernya yang semakin serius.

Tuan Hj Osman Ibrahim- rakan jemaah yang amat peramah dan aktif walaupun sedang menderita sakit kanser

bersama Tuan Hj Osman semasa melakukan Rukun Haji Wukuf di Arafah
pada 14/15 Nov 2010

NOTA TERAKHIR

Hanya pada 29 Julai 13, iaitu lebih sebulan dari tarikh aku pulang dari Umrah, aku mendapat maklumat dari Kak Hawa (juga sahabat pakej Haji TMTT 2010) bahawa Tuan Haji Osman telah meninggal dunia pada petang 22 Jun 2013, iaitu hari aku sampai di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang sekembalinya dari menunaikan Umrah.


Al Fatihah buat sahabatku almarhum Tuan Haji Osman Ibrahim. Semoga Allah melimpahi rahmat dan pengampunan ke atas ruhmu

Kali pertama saya tangguhkan ke tarikh 19 Mei 2013 kerana anak saya Muhammad Heikal dijangka bertolak ke Qatar pada 15 Mei.  Penangguhan ini juga bersekali dengan penukaran dari pakej ziarah ke Cairo kepada pakej ziarah ke Istanbul.  Penukaran kepada Istanbul dibuat setelah perancangan dengan Tuan Hj Osman untuk mengambil pakej Ziarah tidak dilaksanakan. 

Bagaimanapun penerbangan Heikal sekali lagi ditunda kepada pada 31 Mei, maka aku terpaksa menangguhkan sekali lagi tarikh perjalanan umrah ke  7 Jun 13. Sekali lagi, setelah pelan berubah sebanyak dua kali, penerbangan Heikal ke Qatar diubah sekali lagi pada bukan September. Mesti ada hikmahnya. Paling tidak, sepanjang tempoh aku di luar negara, Heikal yang menguruskan menghantar dan mengambil adiknya pergi dan balik dari sekolah di Ampang Indah.

Memohon Restu Bonda

Pada 24hb Mei 2013, aku sekeluarga pulang ke kampong. Tujuan utama ialah untuk memohon restu kedua ibu bapa sebelum terbang ke Tanah Suci.  Kebetulan tarikh esok harinya 25 Mei 2013 adalah tarikh majlis walimatul urus anak-anak kakakku Hjh Siti Rahimah.  Suaminya Hj Hamzah Hj Yusof telah meninggal dunia pada tahun 2006. Dia buat majlis khenduri untu perkahwinan 3 orang anaknya sekali.  Mohd Hamdan bin Hj Hamzah dengan Ain Huda Zakiah bt Hj Misnan, Nur Faizi Fahariah bt Hj Hamzah dengan  Mohd Lokman bin Zahari dan Nor Farizah Syahida bt Hj Hamzah dengan Mohd Syafiq bin Kamal. Meriah.


Semasa majlis perkahwinan tersebut aku dan abangku Hj Khamim bertugas sebagai penyambut tetamu. Hari itu aku dapat berjumpa guru-guru yang pernah mengajar aku.  Pertama; Ustaz Hj Jamil bin Hj Yusof (Sek Agama Seri Rejo Sari 1969), Cikgu Habibah bt Khasan dan Cikgu Hamzah Hj Selak (STMI 1972-76).

Aku bertolak pulang ke KL selepas waktu Isyak.  Kerana terlalu penat aku singgah di rumah Seremban.  Walaupun sepanjang perjalanan (mulai dari R & R Yong Peng) kereta dipandu oleh anakku Heikal namun dengan kenderaan yang agak banyak di jalan raya dan dalam kepenatan, aku rasa lebih selamat untuk menginap di Seremban.

Esoknya (26hb), kami bertolak balik ke KL dalam jam 1230.  Singgah solat di R & R Beranang (LEKAS) dan kemudian singgah menghadiri majlis perkahwinan anak Brig Jen Dato Mohd Sulong (B) di Dewan Angkasaraya, PUKL.

MENANTI PERJALANAN KE TANAH SUCI YANG KURINDUI

Buat saudara maraku, rakan handaiku serta siapa sahaja yang aku kenali, jika ada dosa dan kesalahanku kepada kelian, kami mohon belas ikhsan supaya ampunkanlah dosa-dosa kami berdua agar kami dapat beribadah dengan penuh kesucian dan ketenangan. Andainya ada sesiapa menyebut dosa kesalahan dan keburukan kami di hadapan kelian, kami dengan penuh hina memohon supaya sampaikanlah salam permohonan ampun kami kepada mereka.

Itinerari yang diberikan oleh pihak 'travel agency' adalah seperti berikut:

  • 07 Jun 13 - Subang (1510H) - Singapore (1630H) - Penerbangan FY 3515
  • 07 Jun 13 - Singapore (0030H) - Istanbul (0640)H - Penerbangan TK 67
  • 11 Jun 13 - Istanbul (2230H) - Madinah (0240H) - TK98
  • 15 Jun 13 - Medinah (1400H)- Mekah (perjalanan darat) (2100H)
  • 21 Jun 13 - Jeddah (1625) - Istanbul (2010h) - TK 93
  • 22 Jun 13 - Istanbul (0040H) -Singapore (1625H) - TK 66
  • 22 Jun 13 - Singaore (2140H) - Subang (2250H)


"Ya Allah Ya Rabbi, Engkau Maqbulkanlah Hasratku ini untuk mengunjungi Rumahmu, Kota Sucimu dan Kota dan Maqam Rasulmu"

Perjalanan ke Tanah Suci
.
Perjalanan bermula dari rumah pada hari Jumaat, 7hb Jun 13 jam 1030 pagi kami berdua bertolak ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS).  Pemergian hanya diiringi di halaman rumah oleh anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu sahaja.  Hanya Heikal dan Nurul yang mengikut hingga ke airport.  Kami dihantar ke airport dengan menggunakan kenderaan TUDM yang dipandu oleh LUK Azman.  Mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak Andalusia, semua ahli jemaah umrah perlu melapor ke LTAAS sebelum jam 1200H.

Di airport kami diberikan taklimat perjalanan oleh staff Andalusia sebelum diserahkan kepada Mutawwif kami iaitu Ustaz Muhibbuddin bin Abu Bakar.  Selesai taklimat kami membuat check-in dan kemudiannya solat jamak Zohor-Asar di surau terminal LTAAS.  Selepas solat aku bertembung dengan skot kedet aku Lt Kol (B) Ahmad Jamari bin Mohamed TUDM yang kini bertugas sebagai juruterbang dengan syarikat Firefly.

Komplen: Keadaan tandas di Skypark tidak mencapai standard sebuah lapangan terbang. Banyak yang rosak.  Surau juga terlalu kecil.  Inilah satu kelemahan kita. Buat bangunan mahal tapi senggaraan lemah.  Surau pula muat untuk lebih kurang sepuluh orang sahaja.  Agak memalukan sebagai sebuah negara islam.  Tunggulah nanti bila saya bercerita tentang keadaan surau di Ataturk International Airport.

Kami bertolak dari Subang pada jam 1520 menaiki pesawat FY3515 Firefly dan tiba Terminal 2 di Changi Airport, Singapura pada jam 1630.  Menaiki bas untuk check in ke Terminal 1.  Flight kami TK0067 yang akan bertolak pada jam 2350H.  Menunggu hampir 8 jam di lapangan terbang adalah suatu yang amat menyakitkan.

Penerbangan TK 0067 mengambil masa 10 jam. Rombongan kami tiba di Atarturk International Airport, Istanbul pada jam 0620 waktu Istanbul. Kedudukan lapangan airport ini adalah terletak di bahagian Turki Eropah. 


 
 

Aku simpan sementara semua cerita berkaitan lawatan (ziarah) ke Istanbul kerana aku akan buka satu tajuk khas berkaitan dengannya.  Terdapat banyak perkara yang menarik mengenai Istanbul.


Madinatul Munawarah


Kami bertolak dari Istanbul ke Madinah pada 11 Jun 2013 dengan menaiki pesawat Turkish Airlines (TK 0098) pada jam 2220H dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah pada 12 Jun jam 0240H.  Sempat juga lena sepanjang 4 jam perjalanan sehingga tidak sedar hidangan malam diedarkan.  Seperti yang dijangka, proses pelepasan imigresen di LTA Madinah agak lembab. 

Mula-mula semua jemaah wanita diarahkan buat satu barisan dan diselesaikan segera.  Kami gembira melihat cara tersebut.  Ada harapan boleh clear segera dan cepat sampai ke hotel- mungkin sempat solat Subuh di Masjid Nabawi.  Bila penumpang wanita selesai melepasi kaunter imigresen, mereka mula buat hal.  Buat kerja ikut masa sendiri. Macam-macam kerenah mereka. Tengah check passport boleh berhenti, bangun pergi ke kaunter lain, ambil fail sana-sini atau kerja yang tak ada kena mengena dengan mereka.  Pada hal ada staf-staf lain yang mundar-mandir yang boleh buat kerja tersebut.  Ada pula yang berhenti kerja buat teh dengan membiarkan penumpang berbaris.

Dekat sejam baru selesai. Kaum wanita nampaknya yang ajdi mangsa menunggu dan mengambil bagasi dari ruang bagasi.  Bila kami sampai ke ruang bagasi, beg sudah selesai dipunggah ke troli. Bagi keluarga yang ramai dan banyak beg, terdapat ramai Mat-Mat Bangla yang sentiasa mengendeng untuk memberikan khidmat bantuan.  Maka bagi yang tak mampu membiarkan Mat Bangla buat kerja meletakkan beg atas troli.  Mat Bangla itu terus memegang troli sehingga penumpang lelaki sampai.

Nasib aku baik kerana isteri aku tidak memberikan peluang kepada Bangla mengangkat beg. Mereka terus menolak troli ke aras bas untuk dipunggah ke ruang bagasi bas.  Bagi Mat Bangla yang dapat tugas mereka minta SR10.  Yang malang ialah apabila Mat Bangla yang tak dapat tugasan. Mereka mengekori kami menolak troli ke bas, dan bila sampai ke bas, tanpa disuruh dia terus angkat beg masuk dalam ruang bagasi.  Malaun yang ini pun minta SR10 juga.  Hantu Raya betul. Aku tak bagi chance tapi ramai yang terkena.  Mat Bangla ini akan mengekori naik ke atas bas dan berdiri di depan mereka menunggu SR10.  Buat muka tembok. Ada yang dapat dan ada yang kena maki.

Kami sampai ke Hotel Mubarak Silver, kota Madinatul Munawarah lebih kurang jam 0430.  Sudah terlepas waktu subuh. Hari itu masuk waktu Subuh di Madinah ialah jam 120401H Jun 13. Solat kat bilik sahaja.


Hotel inapan jemaah Andalusia di Madinah
 
Kiri: Lawatan familiarisasi di sekeliling Masjid Nabawi dan kanan: pandangan di luar masjid di waktu pagi antara lepas Subuh hingga sebelum Zohor. Lengang

Program pada 12hb hanyalah 'familiarization walks' atau reorientasi semula Masjid Nabawi oleh Mutawwif Ustaz Muhib.  Walaupun baru 3 tahun, rasa masih fresh, tapi tentang sejarah dan keistimewaan setiap tempat dalam dan luar masjid sudah dilupakan.  Pagi itu tak dapat masuk Raudhah kerana sesak agak sesak dan perlu jalan lagi.  Lepas satu pusingan masjid, kami balik hotel untuk berehat dan sambung lepas Asr untuk melawat perkuburan Baqi'.


 
 

Hari kedua di Madinah, Khamis 13hb Jun, kami melakukan ziarah ke Masjid Quba' (hadis: mengerjakan satu solat sunat di Masjid Quba' mendapat ganjaran yang sama dengan mengerjakan satu Umrah). Dari Masjid Quba' kami membuat lawatan lalu tanpa turun bas ke Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh (Sab'atin).  Keadaan persekitaran Masjid Quba' jauh berbeza dengan 3 tahun lalu semasa aku menunaikan Haji (2010). Kawasan parkir bas/kemderan luas dan berturap serta tersusun.

Masjid Quba' dengan persekitaran yang bersih dan cantik
Bersama isteri di Masjid Quba'
Masjid Qiblatain
Dalam bas

Dari Masjid Quba' bas membawa kami ke ladang khurma. Dalam ladang ini terdapat sebuah supermarket kurma. Aku tak membeli apa-apa di sini kerana melalui pengalaman lalu, harga jualan di sini agak tinggi berbanding dengan di pasar kurma nanti (yang akan dilawati di akhir program hari ini). Pekerjanya 90% dah terdiri dari bangsa Indonesia. 


 


Selepas itu, rombongan menuju ke Bukit Uhud.  Keadaan juga telah jauh berbeza berbanding 3 tahun lalu. Kerajaan Arab Saudi sedang membina sebuah masjid yang agak besar serta kompleks perniagaan.  Oleh kerana cuaca terlalu panas, aku dan isteri duduk sahaja dalam bas.  Keadaan Bukit Panah (Bukit Rumat) tempat kedudukan paling strategik yang membantu kemenangan tentera islam di peringkat awal (tetapi tentera islam kemudiannya tewas kerana pasukan pemanah menuruni bukit) telah semakin rendah kerana hakisan.

Di sinilah disemadikan Para Syuhada' seperti Saidina Hamzah Abdul Muttalib, Mas'ab bin Umair, Hanzalah bin Amir, Abdullah bin Jahsy dan lain-lain. Mengikut kesahnya (hadis) jenazah Hanzalah ini dimandikan oleh sekumpulan malaikat yang dihantar oleh Allah swt. Ini kerana Hanzalah baru sahaja berkahwin dan belum sempat mandi junub apabila menerima panggilan jihad ke medan Uhud.

Bukit Rumat
Bukit Uhud
pandangan Bukit Uhud dahulu (http://peribadirasulullah.wordpress.com)
 
Pasar Kurma

Dari Bukit Uhud, rombongan bertolak ke Pasar Kurma sebagai destinasi akhir hari itu.  Kerana kami mesti balik sebelum jam 11 pagi supaya dapat bersolat jemaah di Masjid Nabawi. Di pasar Kurma aku sempat membeli 4 kilo khurma (Ajwa dan Sukari) serta kacang Pistachio untuk jadikan ole-ole balik ke Malaysia.
Waktu Solat Madinah di pintu King Fahd
(aku jadikan gambar ini sebagai wallpaper henfon aku bagi memudahkan rujukan)


 

14hb Jun adalah hari Jumaat.  Hari ini (dan semalam) adalah cuti hujung minggu di Arab Saudi. Mulai pagi lagi, ramai penduduk luar kota Madinah yang datang untuk bersolat Jumaat di Masjid Nabawi.  Pada jam 1030 aku berhasrat untuk bersolat di Raudhah.  Bila sampai di bahagian hadapan masjid, jemaah sudah memenuhi masjid. Ramai orang yang tidur baring atau bersolat atau baca Qur'an di kawasan itu.  Untuk sampai ke tepi Raudhah sahaja aku terpaksa berbaris hampir sejam. Masih menanam harapan untuk masuk juga.  Bila sampai di sempadan Raudhah kesesakan semakin teruk.  Rupanya jemaah sudah bertapak tak mahu keluar dari Raudhah menunggu untuk bersolat Jumaat. Aku tetap mencuba.

Memang tiada ruang boleh dicelah untuk bersolat.  Untuk bergerak melangkah antara jemaah pun amat sukar. Aku mengambil keputusan untuk membatalkan niat bersolat di Raudhah pagi itu dan mencari jalan untuk keluar. Semasa tersekat (tersepit) untuk terus ke hadapan aku berdiri di belakang dua orang sedang bersolat. Tak boleh ke kanan-kiri atau hadapan.  Aku pun mengambil keputusan untuk bersolat ghaib untuk arwah cucuku Wafa Firdaus. Ada hikmahnya Allah mencipta solat jenazah yang tiada ruku' dan sujud. ...dan pastinya aku tak dapat mengawal derain airmata sehingga membasahi bajuku.




Hari Sabtu, 15hb Jun merupakan hari terakhir di Madinah.  4 hari memang tak puas. Tak sempat nak berjalan-jalan melalui jalan-jalan lama ke arah hotel yang aku duduk 3 tahun yang lalu. Funduq Safwah Mawaddah.

Jam 1400H selepas solat Zohor kami bertolak ke Mekah dengan menaiki bas. Semua jemaah telah bersiap dengan pakaian ihram. Bakal melalui perjalanan yang agak panjang, dijangka mengambil masa 6 jam. Bas singgah untuk bermiqat (berniat Umrah dan Ihram) di Masjid Bir Ali (setengah jam perjalanan dari Madinah)


 

Lebih kurang 4 jam perjalanan, bas kami singgah untuk singgah makan malam (petang) di Wadi Qudait.  Kami makan nasi mandey kambing. Perghh! setelah sekian lama menanti dan tak berkesempatan makan nasi mandey Pak Arab. Waktu maghrib kami bertolak meneruskan perjalanan ke Makkah. Kami berniat solat jamak di Makkah nanti. Surau di Wadi Qudait


 
 
 


 Makkatul Mukarramah

Kami sampai ke hotel di Makkah (Malak Ajyad Hotel) lebih kurang jam 2200H. Selepas selesai check in, masuk bilik dan menyempurnakan solat jamak Isyak/Maghrib dan berehat sekejap kami turut ke lobby dalam jam 2245H untuk menyelesaikan Umrah.  Kami turun ke Masjidil Haram untuk Tawaf dan Saie.  Selesai kesemuanya lebih kurang jam 0130H.  Keletehan kerana baru sahaja sampai dari perjalanan yang jauh tetapi menyeronokkan.  Paling seronok ialah bila dapat melihat Kaabah lagi yang aku tinggalkan dengan tangisan 3 tahun lagi.  

Aku sedar, aku adalah insan yang banyak dosa kepada Penciptanya dan juga kepada makhluk lain. Aku sedar aku bukan insan bersih dan suci yang layak untuk mengadap rumahnya.  Namun setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Pencipta Alam yang memaqbulkan doaku dahulu untuk memberi peluang lagi kepada insan kotor ini untuk mengunjungi RumahNya. Benarlah kata orang, itulah berkat Tawaf Wada'.

Keesokan harinya, 16hb Jun tiada program khusus kerana jemaah diberikan rehat untuk membuat ibadah secara persendirian. Selepas Subuh (jam 0342H) dan breakfast, kami berehat dan pastinya terlelap sehingga jam 1100H.  Selepas Zohor dan makan, rehat lagi. Sebelum Asr aku sempat melaksanakan Tawaf sunat.

Hari Isnin, 17hb ada program lawatan ke beberapa tempat serta ke Tanaim untuk niat Umrah kedua. Tetapi aku tidak ikut serta kerana mengalami ceret beret. Bila sakit berkurangan, dalam jam 1100H aku turun ke Masjidil Haram untuk mengerjakan Tawaf Sunat.  Setelah jumpa dengan jemaah lain petang itu, rupanya lawatan mereka terpaksa dibatalkan kerana bas tidak muncul hingga jam 1000H.  Mereka hanya ke Tanaim untuk niat Umrah.  Program lawatan ditunda pada keesokan harinya.  

Hari Selasa 18hb program lawatan gantian dilaksanakan.  Kami bertolak menaiki bas pada jam 0800H. Lalu Gua Hira'. ke Jabal Rahmah, Muzdalifah, Mina dan akhir sekali ke Ji'ranah untuk berniat Ihram dan Umrah.  Kami mengerjakan solat Zohor sebaik sahaja selesai mengerjakan Saie.


Bukit Thur tempat Rasulullah mula-mula menerima wahyu Allah melalui malaikat Jibrail
Jabal Rahmah- dikatakan sebagai tempat pertemuan Nabi Allah Adam dan Hawa setelah dikeluarkan dari syurga. 
Bekas tapak Masjid asal yang didirikan oleh Rasulullah saw di Jabal Rahmah
Masjid Namirah di Arafah. Masjid ini terbahagi dua di antara Tanah Haram dengan Tanah Halal
Masjid Ji'ranah tempat bermiqat dan berniat ihram/umrah



19hb Jun- ada program lawatan ke Muzium Rasulullah dan ladang unta tetapi aku tidak menyertainya.  Malam tadi ada program mendaki Gua Hira'.  Aku juga tidak mengikuti kerana khuatir sakit tulang belakang menjadi bertambah serius. Aku dan isteri menegrjakan tawaf sunat pada jam 1100H.

20hb, tiada program khusus.  jemaah diberi rehat untuk membuat persediaan untuk pulang. Aku dan isteri sekali lagi mengerjakan tawaf sunat. 

Hari Jumaat, 21hb Jun adalah hari terakhir kami di Mekah.  Kami mengerjakan Tawaf Wada' pada jam 0800H dan bertolak ke Jeddah pada jam 1000H.  Kami tidak berpeluang untuk bersolat Jumaat di Masjidil Haram.

Sampai di Jeddah perlu awal untuk mengelakkan risiko kelewatan proses di lapangan terbang. Faham-faham saja lah di Saudi ni. Lebih-lebih lagi hari Jumaat.  Tapi alhamdulillah hari itu pekerja di lapangan terbang telah memberi kerjasama yang amat baik yang membolehkan jemaah kami bergerak pantas. Destinasi pertama di Jeddah ialah Masjid Terapong atau Masjid King Abdul Aziz yang terletak di pantai Laut Merah.

Masjid King Abdul Aziz atau Masjid Terapong di Jeddah
(kami amkan tengahari di perkarangan masjid ini)

Setelah selesai makan tengahari (nasi mandey tapau) di pondok (wakaf) di tepi laut Merah, perkarangan Masjid Terapong rombongan bertolak ke airport King Abdul Aziz Jeddah.  Kami tidak check in di terminal antarabangsa tetapi di terminal haji.  Kerajaan Arab Saudi kerap mengasingkan penumpang antarabangsa dari negara Asia yang datang berumrah menggunakan terminal Haji.  Ini bagi mempastikan perkhdmatan di terminal antarabangsa sentiasa cekap.  Terminal Haji memang terkenal dengan banyak staf airport yang banyak kerenah dan lewat.  Atas kangkaan itu, kami dinasihatkan supaya check in lebih awal.

 
 
 

Rombongan kami agak bernasib baik pada tengahari itu atas kecekapan mutawwif (Ustaz Muhibbuddin) yang pandai mengambil hati staf di airport, kumpulan kami diberi perkhidmatan yang cekap dan lancar. Dalam masa setengah jam kami sudah masuk ke ruang berlepas. Alhamdulillah.

Kami bersolat Jamak Zohor/Asar di satu korner di terminal yang disediakan oleh pihak berkuasa airport. 

 


Itinerari pulang kami adalah seperti berikut:

TK 93 21 JUN 2013 JED-IST 1625 (4.25 PTG) 2010 (8.10 MLM) 
TK 66 22 JUN 2013 IST-SIN 0040 (12.40 PG) 1625 (4.25 PTG) 
FY 3522 22 JUN 2013 SIN-SZB 2140 (9.40 MLM) 2250 (10.50 MLM) 

Kami tiba di LTSAAS Subang pada Hari Sabtu,  222250H Jun 2013. Aku dan isteri disambut oleh semua anak-anak dan cucu yang ada kecuali Wafa Firdaus yang hanya melambai ketika kami berangkat pada 7hb Jun lalu. Terasa sungguh. Namun di hadapan kawan-kawan jemaah akmi terpaksa menyimpan segala kepiluan itu di sudut hati.

Begitulah perjalanan kedua kami ke Tanah Suci.  Perjalanan Umrah jauh lebih mudah dan kurang pressure berbanding dengan musim Haji atas banyak faktor, antaranya:

  • Jumlah jemaah yang bertumpu di Mekah dan Madinah jauh lebih kecil berbanding musim haji.
  • Kesesakan jalanraya di musim haji jauh lebih teruk.
  • Ruang untuk bersolat 5 waktu di Masjidil Haram dan Masjid anNabawi jauh lebih mudah diperolehi malah untuk bersolat di kawasan tawaf juga tiada masalah.
  • Dalam umrah tiada Wukuf di Arafah, tiada bermalam di Mudzalifah dan tiada bermalam di Mina atau melontar Jumrah yang memerlukan perjalanan (berjalan kaki dalam kesesakan) sejauh lebih 3km dari Moassem ke tempat lontaran.
Sekali lagi aku rafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadzrat Allah swt yang telah mengurniakan kekuatan fizikal dan mental untuk menyempurnakan ibadah Umrah kali ini. Aku sentiasa berdoa agar dimaqbulkan doa-doaku agar dimurahkan rezeki dan diberi kemampuan agar dapat kembali ke Bumi kelahiran Rasulullah saw ini suatu hari nanti.
.
.




No comments:

Post a Comment