Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang

Sunday, October 16, 2016

PLM 116 MY MARRIAGE: FIRST SIGHT LOVE

my
first sight luv











LATAR BELAKANG

Isteriku bernama Adibah binti Haji Taha  atau lebih mesra dengan panggilan  'Adib' sahaja. Adib dilahirkan pada 16 Disember 1960 di Hospital Batu Pahat, Johor.


Ayahandanya bernama Dato' Haji Taha bin Haji Zakaria (1917 - 1989) dan ibunya Datin       Hajjah Habibah binti Hj Abd Hamid (1925 - 2009). Almarhum ayahandanya adalah pesara, pernah menjadi Ahli Dewan Negeri Johor (1959 - 1964) dan Ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Kanan (Pengerusi Jawatan Kuasa Pertanian) Negeri Johor pada tahun 60an. Almarhum juga  pernah menjawat Timbalan Menteri Besar Johor.  Sebelum menyertai politik dan terlibat dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu, almarhum adalah seorang guru agama dan peniaga kecil.   Setelah bersara dari politik, selain dari menjalankan perniagaan, almarhum mengajar (memberi) kuliah agama di masjid-masjid di Kluang. Ayahanda mertuaku meninggal dunia di Batu Pahat dalam tahun 1989 semasa aku duduk di Shah Alam manakala bonda mertuaku meninggal dunia pada tahun 2009 di Johor Bahru.  Alfatihah.


Adibah mempunyai 7 adik beradik seibu sebapa iaitu Daud, Omi Kalsom, Zainab, Abdul Rahman Putra, Zulkifli dan Khalidah.  Selain dari itu Adib mempunyai seorang abang dan lima lagi adik dari ibu yang berlainan. Kakak-kakak isteriku, membahasakan diri mereka sebagai 'abang'- sama seperti yang lelaki.  


Dato' Hj Daud bin Dato' Hj Taha DPMJ SMJ PIS @ Bang Atan.  Panggilan keluarga untuk almarhum ialah Abang Atan. Almarhum Daud adalah Ahli Parlimen Batu Pahat dari 1982 hingga  1995 dan pernah menduduki jawatan Pengerusi J.Kuasa Kira-kira Wang Awam (PAC), Timbalan Menteri Perusahaan Awam (1984-1990) dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (1990-1995) sebelum bersara dari politik. Menjadi Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat dari 1984-1993. Meninggal dunia pada 19 April 2013 (73 tahun). Balu almarhum ialah Datin Hajjah Kamariah binti Hj Mahmud. Mempunyai 9 orang anak; Andrina, Azahari, Afidah, Athira, Amira, Mohd Ariffin, Mohd Abduh, Ani Zamariah dan Zuriati.

Hajjah Omi Kalsom binti Hj Taha PIS.. Panggilan keluarga adalah Kak Chom atau Ba Chom. Suaminya Tuan Haji Ismail bin Abd Rahim telah meninggal dunia pada tahun 20xx. Mempunyai 4 orang anak; Fauziah, Ghazali (meninggal dunia- 1985), Fizwani dan Dalila.

Hajjah Zainab binti Hj Taha. Panggilan keluarga ialah BeNab. Beliau berkahwin dengan Haji Mohd Abu bin Hj Ali (Kolonel bersara), mempunyai tiga orang anak; Maniza, Mohd Azani dan Mazila.


Datuk Hj Abdul Rahman Putra bin Hj Taha DMSM DSM.  Abdul Rahman berkelulusan ijazah Undang-undang dari University of Auckland.  Beliau pernah menjadi Penasihat Undang-undang (LA) Negeri Melaka, Ketua Pendakwa di Perak, Penolong Pengarah di Jabatan Peguam Negara, Penasihat Undang-undang di Suruhanjaya Sekuriti, Penasihat Undang-undang Negeri Johor dan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia. Berkahwin dengan Datin Hajjah Narimah binti Hj Iwan dan dikurniakan 4 orang anak; Abdul Hakeem Putra, Abdul Haleeq Putra, Nur Fahimah dan Nurul Aiman.

Zulkifli bin Hj Taha. Berkahwin dengan Norliza binti Muhammad dan dikurniakan 6 orang anak; Zulfaraida (Fara), Zulhilmi, ....., ...., Ahmad Haidir, Muhammad dan Nur Alya.

Hajjah Adibah binti Hj Taha.  isteriku

Khalidah @ Yan binti Hj Taha.  Kini menetap di Holland. Telah berumahtangga dan dikurniakan 3 orang anak; Sara, (meninggal dunia) dan Zariff.

Selain dari itu, Adib juga mempunyai beberapa lagi adik beradik berlainan ibu.  Antara maklumat ini aku perolehi dari buku catatan ayahanda mertuaku.
  • Abd Jalil bin Hj Taha (dari ibu bernama Khadijah). 
  • Jalilah binti Hj Taha (juga dari ibunya Khadijah).  Dicatatkan bahawa Jalilah ini meninggal semasa kecil.
  • Abd Razak bin Hj Taha (dari ibu bernama Rahmah binti Hj Idris) - bertugas sebagai guru di Sarawak. Meninggal dunia di Kuching pada bulan Julai 2014 akibat penyakit barah.
  • Azahana binti Hj Taha (dari ibunya Rahmah). Ana meninggal dunia semasa berusia 19 tahun akibat kemalangan jalan raya.
  • Siti Aisyah binti Hj Taha (dari ibunya Rahmah).  
  • Baharudin bin Hj Taha (dari ibunya Rahmah).
  • Rasyidah binti Hj Taha (dari ibunya Rahmah).
  • Nur Izzati binti Hj Taha (dari ibunya Rahmah).  
Isteriku, Adibah juga mempunyai seorang adik angkat bernama Siti Salwa. Salwa telah berumahtangga dengan Salleh Ahmad (bekas tentera) dan kini menetap di Johor Bahru.

Makcik Rahmah menetap di No 51, Jalan Masjid, Kampong Baharu, 86000 Kluang. Semoga Allah memberi kesihatan dan ketabahan kepada Mak Cik dan anak-anak menempuh segala cabaran.

Aku mohon maaf kepada abang-abang dan adik-adik ipar/tiriku yang berlainan ibu kerana tidak berjaya merapatkan keluarga kami.  Aku telah berusaha biarpun tanpa direstui.   Aku gembira kerana anakku (Hafeez) mempunyai hati yang lebih terbuka dan tidak terpengaruh dengan krisis domestik.  Dia berusaha sendiri mengesan, menjejaki dan merapatkan diri dengan keluarga nenek/atuk (tiri) dan makcik-cik tirinya. Akhirnya dapat juga bertemu dan beraya di rumah Mak Cik Rahmah pada tahun 2009 (biarpun menggunakan jalan helah dan paksa).  Mak Cik dan anak-anak juga datang semasa perkahwinan anakku Fazeera pada 25hb Sep 2010 dan juga perkahwinan Aisyahnur pada 19 Nov 2011.


Zaman Kanak-kanak

Aku tidak banyak mengetahui cerita Adib di zaman kanak-kanak kerana dia tidak suka bercerita perihal dirinya di zaman tersebut.  Begitu juga zaman persekolahannya.  Gambar-gambar yang ada ini aku snap semula dari album keluarga.



CINTA PANDANG PERTAMA

Dari mana datangnya lintah
Dari sawah turun ke kali
Dari mana datangnya cinta
Dari mata turun ke hati


Aku juga tidak pernah bersembang perihal pelajarannya di sekolah menengah.  Apa yang aku tahu tentang Adib ialah semasa di sekolah menengah dia amat cemerlang dalam bidang olahraga, khususnya lari jarak dekat (sprint). Melalui bidang sukan inilah aku kali pertama melihat wajahnya dan terus menyimpan perasaan.  Waktu itu aku dalam Tingkatan 4, turut mewakili sekolahku dalam acara lontar cakera dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Batu Pahat tahun 1974.  Adib pulak pelari 100m dan 200m. Gadis sunti dari Tingkatan 3 TIGS ini bukan sahaja cemerlang dalam sukan bahkan mempunyai paras rupa yang cantik.  

Perasaan tinggal perasan sahaja.  Tiada 'follow up'.  Bukan apa, zaman itu mana ada handphone.  Nak approach memang tak mampu lagi.  Maklumlah, aku budak sekolah kampung, dia pulak gadis bandar.  Bukan takut tidak dilayan, mungkin dia tak pandang pun. Nak tulis surat, ehem... mana tau alamat rumah dia? nak tanya kat sapa?... Maka, perasaan tersebut mengikut aku tinggalkan di Stadium Jalan Ampuan setelah tamat sukan.  Nak tulis surat ke alamat sekolah, gerenti tak sampai....masa tu kalau ada surat (persendirian) di alamatkan ke sekolah akan dibuka oleh cikgu, kena tapis. Kalau ada yang kena tangkap 'berutus surat' dengan mana-mana girl friend atau boy friend akan mengadap guru disiplin. Kadang-kadang pihak sekolah akan buat operasi mengejut memeriksa beg sekolah, jika terdapat pelajar yang disyaki.

Tahun berikutnya, aku ke Tingkatan 5 dan sekali lagi mewakili sekolah dan begitu juga dengan Adib.  Bila terpandang wajahnya, perasaan lama berbunga kembali.  Emmm...dah setahun tak nampak, dia semakin cantik.  Masalahnya, aku tetap penakut, tak berani juga nak approach.

Bila acara sukan tamat, kali ini perasaanku semakin kuat untuk mencari jalan menghubunginya.  Kebetulan, sepupuku Shamsiah yang belajar dalam Tingkatan 4 Sains di SDBL duduk di asrama TIGS.  So, bila dia balik week-end, aku cuma berani kirim salam sahaja. Lama-lama berani kirim surat.  Walaupun setiap bulan aku menulis surat (aku pun tak ingat apa yang aku tulis dulu), dia tak pernah balas pun, tapi dari tindakbalas yang tidak membantah atau menolak, dianggap sebagai 'silence agreement'. Akhirnya aku mendapat alamat rumahnya.

Setelah tamat SPM aku ke Alam Shah dan UTM, aku terus menghubunginya dengan surat hampir setiap bulan.  Kali ini dia mula membalas walaupun 3-4 bulan sekali.  Di penghujungnya, aku dapat bercakap melalui telefon.  

Aku tak ingat tahun berapa, tapi mungkin 1977 atau 78, masa raya aku dengan kawan-kawan sekolah beraya ke rumah Adib di No. 33, Jalan Dato' Wan Idris, Kampung Merdeka. Pertama kali tenguk muka dia (sebelum ni tenguk gambar je) dan berkenalan dengan emak dia.

Kebetulan semasa aku di UTM (1978/79), aku tinggal di rumah sewa di Lorong Bukit Keramat 4, salah seorang housemateku ialah Abdul Shukor bin Abdul Aziz (juga coursemate Architecture).  Dia berasal dari Kg Istana, Batu Pahat. Satu malam, kami berdua berbual-bual di beranda rumah tentang kesah dirinya dan kampung halamannya. Katanya, dia selalu bermain dengan adik kepada tuan rumah di depan rumah dia.  Nama tuan rumah tersebut ialah Cikgu Ismail dan isterinya Kak Chom.  Adik lelaki Kak Chom yang bernama  Aman dan Zul selalu datang ke situ dan bemain bersama dia.  Dia kata, Kak Chom ada adik perempuan yang cantik bernama Adibah.  Dia kata lagi, Adibah bersekolah di TIGS dan terkenal dengan kehandalannya dalam bidang  sukan olahraga. Berderau darah aku mendengarnya.  Tapi aku dapat menyembunyikan perasaanku dan membiarkan dia terus bercerita.  Dari situlah aku baru tau yang ayah Adib seorang yang bertitle Dato'.

Aku lupa bila masa aku bagi tau Shukur yang aku ada 'ehem-ehem' dengan Adib.  Tapi lepas tu, dia memang close dengan aku.  Bila cuti raya, aku beraya ke rumah dia... tapi tak pulak ternampak Adib kat rumah Kak Chom.

Setelah gagal UTM dan aku masuk kedet di SPK Port Dickson, hubungan kami berterusan. Malah Adib adalah insan yang membakar semangatku untuk 'kuat' menempuh cabaran getir di SPK.

Pernah di satu hari (mungkin tahun 81), dia dan Fauziah (anak Kak Chom) datang ke rumahku di kampung,  itu lah kali pertama ayah ibuku melihat wajah 'girl friend' ku.  Tapi nampak kerisauan di wajah kedua ibu-bapaku kerana girl friend aku anak orang besar.  Tau je lahh.. orang kampung, takut tak tau macamana kalau berbesan orang besar nanti. 

Tamat SPK aku ke TUDM Kluang, kemudian ke TUDM Kuching. Hubungan kami semakin intim.  Surat tetap penghubung utama.  Telefon hanya sesekali sahaja. Masa latihan kedet memang tak de peluang nak telefon begitu juga masa latihan penerbangan.  Ada sesekali peluang semasa di Kinrara dan juga Kuching.  Semasa aku bertugas di TUDM Kuching lah aku buat keputusan untuk meminta orangtuaku menghantar pinangan.  




Majlis Pertunangan
16 Ogos 1982

Sepanjang aku berkenalan dengan Adib pada tahun 1976 kami hanya berutus surat sahaja dan sesekali bertelefon.   Kali pertama kami 'dating' ialah beberapa bulan sebelum keluargaku menghantar cincin pinangan kerana nak berbincang tentang tarikh peminangan.

Aku bercuti dari Kuching.  Tunggu dia di Jalan Rogayah (dekat kedai kopi sebelah stesen bas Batu Pahat).  Patutnya nak dating, boy friend la yang jemput girl friend.  Tapi dalam kes ni, boy friend haprak, lesen memandu pun tak ada, apa lagi kereta. Jadi, girlfriend la yang datang jemput.  Nasib baik dia dah ada lesen memandu.  Aku tak ingat kereta jenis apa, mungkin Mini Cooper.

Kami 'dating' di Tasik Merdeka, Batu Pahat. KAKU. 

Rombongan peminangan ke rumah orangtua Adib dibuat pada 16 Ogos 1982.  Masa tu keluarga Adib dah berpindah dari Kampung Merdeka ke  No 4, Jalan Seladang, Taman Broleh.  Pinangan diterima, tempoh satu tahun, wang hantaran RM2000 serba satu.  



Peristiwa Hitam

Setelah bertunang, aku balik bertugas ke Kuching.  Jadi, setiap kali aku balik cuti ke Semenanjung aku akan menziarahi tunangku.  Terus ke rumah je, tak de dating-dating. Dalam salah satu cutiku, dan seperti biasa menziarahi tunang dan bakal mertuaku.  Telah berlaku peristiwa yang mengganggu ketenteraman tunangku.

Adib diserang penyakit ganjil, gangguan rohani.  Tidak sedarkan diri dan meracau.  Kami memanggil seorang jiran (Pak Mail) yang mengetahui perkara-perkara berkaitan untuk mengubatinya (sekarang dipanggil perubatan alternatif). Kalau dipegang untuk dibacakan ayat-ayat suci Al Qur'an, tubuhnya akan menjadi kuat dan melawan.

Seminggu aku 'tersangkut' di rumahnya dan tak sempat memberitahu ibuku dikampung, kerana tiada talian telefon di kampung.  Akhirnya, aku dapat berjumpa salah seorang sahabatku (Ustaz Jamaludin) yang mengajar berhampiran (Kg Kenangan Datuk Onn) untuk menyampaikan pesanan kepada keluargaku tentang peristiwa itu.  Kemudiannya, ibu bapaku datang melawat.

Seminggu selepas itu, apabila keadaan beransur pulih, cutiku pun dah habis, aku pulang ke Kuching.  Alhamdulillah, semuanya OK sehingga hari perkahwinanku.TAPI, OK tu tak la sebenar-benar OK. sampai sekarang, dah masuk hampir 30 tahun (2011), masih ada kesan benda tu dalam dirinya.  Masih banyak yang tak kena.

Malam Berinai 
(15 Okt 1983)


x


Majlis Pernikahan
(16 Okt 1983)

Aku dinikahkan dengan isteriku pada 16 Oktober 1983   di alamat No 4, Jalan Seladang, Taman Broleh, Batu Pahat. Majlis akad nikah dilaksanakan oleh jurunikah Haji Zainudin bin Munajat.  Salah seorang saksi nikah di pihak perempuan ialah Dato' Hj Mohd Salleh bin Hassan Farid (Dato' Seri Utama DiRaja, Selangor), bekas Imam Besar Masjid Negara (1966-1974) dan bekas Mufti Kerajaan Negeri Selangor (1974-1976) .  Tak tahu, rupanya beliau (almarhum) ada kaitan persaudaraan dengan keluarga isteriku. 



Majlis 'reception' dan persandingan pada petang itu juga. Majlis resepsi dibuat dua kali, sebelah petang memakai pakaian tradisional Melayu dan sebelah malam, memakai pakaian Istiadat Ketenteraan. 'SWORD BEARERS'. Bestman aku ialah rakan sekursus aku, LtM (U) Sulaiman Idris. Di antara tetamu yang hadir pada malam itu ialah Dato' Abdul Ajib bin Ahmad (almarhum), Menteri Besar Johor dan isteri serta beberapa orang kenamaan yang lain.

x


Majlis Perkahwinan (Siang) Di Taman Broleh
16 Okt 1983


x



Majlis Perkahwinan (Malam) Di Taman Broleh
16 Okt 1983


Kumpulan pembawa pedang (sword bearers) dari kiri: Lt M (U) Mohd Yusnillah, Lt M (U) Abu Hanipah, Lt M (U) Muhammad Sakir, Lt M (U) Razali A.Rogigan,  LtM (U) Borsra Abd Wahab dan LtM (U) Radzali Ratin.
Pengapit: LtM(U) Sulaiman Idris (tiada dalam gambar)


Majlis Perkahwinan Di Parit Lapis Mahang
17 Okt 1983

x

Melihat gambar-gambar di atas, bukan sahaja nostalgik tapi menyayukan. Rewang atau gotong-royong adalah lambang kerjasama masyarakat kampung. Hampir 30 tahun lalu. Majoriti pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang ada dalam gambar-gambar di atas telah pergi untuk selama-lamanya.








x


Semoga kedua-dua ibu dan bapa mertuaku dianugerahi rahmah dan keampunan oleh Allah swt, diluaskan dan terangkan ruang alam barzahnya, dipermudahkan urusan Mahsyarnya dan disegerakan perjalanan ke syurga.

No comments:

Post a Comment