Thursday, July 21, 2011

TAJUK 30: DIA IBUKU


SHE IS MY MOTHER

Sejak aku kenal emak selepas aku dilahirkan, emak memang jarang sakit, kecuali demam sedikit.  Hanya pernah sekali emak rasanya emak di bawa ke hospital kerana diserang darah rendah dan pitam semasa berkebun.

Emak memang tak tau rehat,ada saja kerja yang dibuatnya.  Kalau masa aku kecil, pagi dia dengan bapak akan menoreh di kebun getah, petang memetik kopi dan sebagainya.

16 JULAI 2011 - pada jam 0525, aku menerima SMS dari adik aku Man  (Rakhiman) yang tinggal di Kemaman dan kebetulan balik kampung mengatakan emak kurang sihat, malam tadi bawa ke klinik, dan doktor nasihatkan supaya rujuk ke hospital kerana suspek ada masalah jantung.

Pagi itu, aku sedang bersiap-siap untuk berangkat ke Alor Setar menaiki pesawat C130 kerana menghadiri Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kedet Kolej Tentera Udara.  Aku hanya memberitahu isteriku tentang berita itu dan tidak menyangka keadaan akan lebih serius, kerana jangkaku emak demam atau sakit biasa.

Semasa di Alor Setar aku menerima SMS lagi dari Man yang mengatakan emak telah di bawa ke Hospital Pantai, Batu Pahat dan beberapa minit kemudian memberitahu bahawa emak terpaksa dimasukkan ke wad ICU untuk rawatan rapi dianogsis.  Wah gawat niiii.

Malam itu, aku sepatutnya hadir Majlis Makan Malam HUT TUDM ke 53 di Hotel Oriental Mandarin.

Kemudian aku terima SMS dari isteriku pula yang mencadangkan untuk balik kampung kerana keadaan emak yang tidak menentu. Aku setuju dan mengarahkan  isteriku serta anak-anak supaya bersedia berkemas untuk balik ke Batu Pahat sebaik sahaja aku pulang ke KL pada tengahari tersebut.  Aku menghubungi PENGSEK (melalui SMS) memberitahu bahawa aku tidak akan hadir majlis makan malam kerana terpaksa pulang ke kampung petang itu juga.

Petang itu juga aku sekeluarga (kecuali Fazeera dan Atikah) pulang ke Batu Pahat, dan terus ke hospital.  Kami sampai lebih kurang jam 2030.

Keesokan harinya diberitahu bahawa ibuku mengalami komplikasi jantung kerana salah satu dari 4 saluran utama telah 100% blockage.

Setelah kebenaran lawatan (tidak melebihi 2 orang dalam satu masa) ditutup pada jam 10 malam, aku ulang ke kampung.




Keseokan paginya aku ke hospital semula- tengahari itu emak dipindahkan ke wad 606 untuk menerima rawatan sehingga doktor membuat laporan lengkap. sehingga 1630 petang, baru balik ke kampung dan malam itu juga lebih kurang jam 2030 aku pulang ke KL. 


Memang ramai saudara mara yang ziarah kerana ibuku memang sejak muda lagi, adik beradiknya, dan ramai anak-anak saudaranya yang dibelanya.  Jadi bila mendengar emak ada masalah kesihatan, apalagi masuk ICU, semuanya memang terkejut dan berpusu-pusu untuk datang menziarah.

Emak keluar hospital pada tengahari 18 Jul 11.




YA ALLAH engkau anugerahilah kekuatan kepada emak untuk menghadapi ujian ini. Lanjutkan usianya dengan diberikan ksihatan yang baik.

Ibu 

Ibu…
adalah wanita yang telah melahirkanku
merawatku
membesarkanku
mendidikku
hingga diriku telah dewasa

ibu..
adalah wanita yang selalu siaga tatkala aku dalam buaian
tatkala kaki kakiku belum kuat untuk berdiri
tatkala perutku terasa lapar dan haus
tatkala kuterbangun diwaktu pagi ,siang , dan malam

ibu..
adalah wanita yang penuh perhatian, dikala.
bila aku sakit
bila aku terjatuh
bila aku menangis
dan bila aku kesepian

ibu..
telah kupandang wajahmu diwaktu tidur
terdapat sinar yang penuh dengan keridhoaan
terdapat sinar yang penuh dengan kesabaran
terdapat sinar yang penuh dengan kasih sayang
terdapat sinar kelelahan karena aku.

aku yang selalu merepotkanmu
aku yang selalu menyita perhatianmu
aku yang telah menghabiskan air susumu
aku yang selalu menyusahkanmu hingga muncul tangismu.

ibu..
engkau menangis karena aku
engkau menderita karena aku
engkau kurus pun karena aku
engkau korbankan segalanya untukku

ibu..
jasamu tiada terbalas
jasamu tada terbeli
jasamu tiada akhir
dan jasamu terlukis indah didalam surga

ibu..
hanya doa yang bisa kupersembahkan untukmu
hanya tangisku sebagai saksi
atas rasa cintaku padamu..

Author: Ikbal Oktaviansyah 

.

.


Bapak yang sekarang  kesihatannya sudah begitu merosot  (banyak lupa), memang tidak pernah berpisah dengan emak. Walaupun bapak amat garang dan sikap dengan emak juga agak keras, tapi amat jelas dia amat merasai kehilangan ibu dari sisinya walaupun sekejap.

Dia tidak berhenti bertanya-tanya ke mana emak pergi, walaupun telah diberitahu emak masuk hospital, sekejap sahaja dia telah bertanya lagi.  malah pada hari pertama emak masuk hospital, bapak menangis mencari emak, dia naik basikal mencari emak di kebun.

Sungguh menyentuh perasaan.


Pada hari cuti hujung minggu pada 22/23 Julai 2011 aku balik kekampung lagi untuk menjenguk emak lagi.  Emak kelihatan sihat dan ceria, tetapi perlu dibawa ke hospital sekali lagi pada hari Selasa 26hb.  


SHE IS MY MOTHER
THIS IS MY MOTHER.. SHE IS 77 (2012). SHE JUST COULD NOT SIT DOWN WHEN SHE IS WELL


BAPAK, THOUGH HAS MEMORY DISORDER, STILL VERY KEEN TO THE ENVIRONMENTAL ISSUES. HE COULD NOT ACCEPT ANY 'FOREIGN OBJECT LITTERING AROUND',  HE WILL ASK MY MOTHER TO CLER IT. HE COULD NOT SEE UNDULATING SURFACE. HE WILL GO TO FLAT IT.
.
Kesah kehidupan dan perjalanan hidup emak sejak aku kenal emak amat sukar untuk ditafsirkan  dalam ayat atau cerita.

Biarpun emak telah melahirkan aku ke dunia ini sejak 53 tahun yang lalu (1959-2012), namun aku ikhlas mengakui bahawa aku belum kenal benar siapa emak sebenarnya.  Maksud aku bukan asal usul atau latar belakang keturunannya.  Tetapi apa yang ada tersirat setiap katanya, apa yang tersirat dari pandangan matanya, apa yang tersirat di sebalik senyumannya dan apa yang tersirat di sebalik air matanya.

Untuk membalas jasanya, Ya Allah, aku rasa sayup sekali jaraknya untuk ku capai. Terlalu jauh.  Aku terlalu jauh untuk disebut sebagai ANAK kepada emak aku.  Tiada kelihatan langsung sumbanganku terhadapnya sama ada dari segi moral atau material.  Mungkin sumbanganku hanya menghadiahkan cucu-cucu yang baik itu sahaja.  Tapi untuk menjadi cucu yang berjasa belum tentu lagi.

Emak hanya mampu bercerita. Kalau emak berpendidikan, boleh menulis dengan baik tentu sahaja dia akan mencoretkan segala isi perut kehidupannya untuk dibaca oleh anak cucunya.

Emak tidak sekolah.  Masa aku kecil-kecil dulu pernah aku nampak emak pergi ke Sekolah Dewasa (terminologi yang digunakan pada masa itu.  Kalau sekarang mungkin di bawah KEMAS.  Di sekolah itu, emak belajar menulis ABC dan Alif Ba Ta.  Masa aku sekolah rendah dulu, pernah emak cuba menulis namanya di atas kertas, dia tulis P pun terbalik. Dia eja nama ayahnya, MOSTAPA sebagai 'MOSTAqA'.  Kami gelakkan emak masa itu. Bila aku ingat kesah itu, aku menangis. Maafkan aku mak, Aku memang bodoh masa itu. Tak tahu adat.  Tapi aku tahu, mak pun tak kecik hati dengan ketawa kami.

Emak dilahirkan beberapa tahun sebelum Jepun datang menyerang Tanah Melayu.  Masa Jepun datang emak baru berusia 7 tahun.  Patut masuk Darjah Satu.  Tapi dalam usia emak bermain-main dalam suasana dentuman senapang dan bom.  Hidup emak tidak tentu arah. Mungkin perkataan BERMAIN pun tiada dalam kamus emak.

Emak seperti juga kanak-kanak sezaman dengannya terpaksa makan nasi bercampur parutan ubi dan pisang.  Mungkin berasnya hanya 20-30% sahaja.  Boleh ke kita bayangkan? Itu pun kais pagi makan pagi, ubi kena cabut, kupas, potong dan jemur dulu, kemudian ubi dan pisang kena sagat. Masak nasi dulu, dah nak tanak baru masuk ubi dan pisang.  Kalau masauk sekali waktu mula masak, lunyai semua ubi dan pisang. Lauk? Ikan kering buatan sendiri dan pucuk-pucuk kayu- ulam sayur kampung. Kalau masa aku belasan tahun pun sebulan sekali baru rasa makan lauk ayam, bayangkan pada awal  tahun 1940an. Nak bela ayam pun masalah kerana dalam satu kampung, lebih banyak musang dan ular sawa dari ayam.

Hari ini anak-anak kita mengalami masalah obesity kerana terlalu mewah dengan makanan khsuusnya makanan segera. Bawa duit pegi ke tepi jalan, mana-mana sahaja ada stall burger. Nak ayam?, nak daging? nak arnab? nak ikan? semua ada. Atau pergi sahaja ke KFC atau McD atau yang seaktu dengannya.  Bersepah di merata-rata tempat.  Yang lebih rajin lagi, tak payah keluar rumah, angkat telefon atau taip sahaja dalam internet atau henfon, sekejap lagi, ting tonnnnggggg, pizza pun sampai.  Inilah sebabnya anak-anak kita, anak-anak sedara kita, anak-anak jiran kita kebanyakannya sihat dan bulat, gedebab, gedempol. Muka sembab perut bersimpul.

Emak aku cerita lagi, selepas peninggalan Jepun, kehidupan makin susah kerana Bintang Tiga memburu orang Melayu yang tak sokong perjuangan mereka. Kebanyakan orang Melayu sokong Kerajaan yang kebetulan Kerajaan dipimpin oleh British. Askar Melayu adalah askar Kerajaan. Sokong Askar Melayu maknanya sokong Kerajaan dan pada masa yang sama musuh Bintang Tiga.

Masa emak berusia 9 tahun, bapanya mati dibunuh oleh askar Bintang Tiga di halaman rumah sendiri.  Dengan ibunya (embah aku- Embah Suminah) yang mempunyai ramai anak (12 orang tetapi 6 darinya meninggal waktu usia muda). Bertuah Embah, 6 dari 12 anaknya masuk syurga tanpa hisab.  Emak aku terpaksa mengikut kakaknya (Wak Besah) berlari keluar kampung ke kawasan pendalaman yang lebih selamat.  Mereka berjalan kaki, berkaki ayam berjalan berbatu-batu ke kawasan perkebunan atau rumah saudara mara yang jaraknya melebihi 5 km.  5km sekarang memang kacang. Pejam celik pejam celik dah sampai. Masa itu, jalan raya tiada, jalan tanah merah pun tiada, jalan kampung hanya denak atau batasan yang paling-paling boleh dilalui basikal.  Tapi emak dan kakak serta beberapa orang kampung tak berani melalui jalan biasa.  Terpaksa meredah kebun dan belukar untuk mengelak dari bertembung dengan askar Bintang Tiga.

Dalam gelap malam, dalam ketakutan.  Aku yang nama saja ASKAR, SOJAR, TENTERA boleh bermain senjata, tak boleh bayangkan dalam keadaan sebegitu. Itu antara cerita emak yang boleh aku rekodkan.  Emak aku banyak bapak angkat kerana dia singgah merata. Masa aku kanak-kanak bapak ada bawa jalan-jalan jumpa dengan saudara-saudara yang membantu emak masa zaman perang.  Tapi bila aku besar, aku kerja aku lupa mereka semua.  Kalau aku cari pun, anak cucu mereka pun tak kenal aku siapa. Mereka tak tau apa hubungan keluarga aku dengan keluarga mereka.

No wonder, emak dan bapak aku suka bela anak angkat. Pantang kalau ada program anak angkat dari universiti atau sekolah, bapak akan ambil sorang dua.  Semuanya telah berkeluarga dan antaranya masih tetap datang menziarahi emak dan bapak. Yang paling rapat ialah Salehuddin (Din) dari Kahang, Kluang dan Kamaliah dari Muar bila berkesempatan.  Din (yang paling akrab dengan keluarga kami) kemudian masuk TUDM dan telah bersara sebagai PWU1. No wonder, aku pun ada jiwa yang sama.  Ramai anak angkat walaupun diperolehi melalui internet sahaja.

Kembali cerita tentan emak.  Pada usia 15 tahun emak dikahwinkan dengan bapak aku.  Aku tak boleh bayangkan bagaimana emak mengharungi kehidupan bersama bapak aku yang amat terkenal dengan garangnya. Tapi segarang-garang bapak, aku tak pernah melihat bapak memukul atau menyentuh emak.  Kalau bapak mengamuk, kadang emak menjawab juga. Kami yang ketakutan. Kami anak-anak akan diam seribu bahasa, dan buat sebodoh yang mungkin supaya tak diheret sama. Sebab kalau dengan kami, bapak akan capai apa sahaja benda yang ada dekatnya untuk melibas kami. Rotan (untuk ngajar ngaji), kayu masak, salang (tau tak salang?- gelong rotan untuk menimbang getah secara pikul)....

Biarpun begitu, di kalangan ahli keluarga yang lain dan orang kampung, reputasi bapak agak tinggi.  Dia amat dihormati orang kampung dan selalu dijadikan bahan rujukan apabila ada masalah. Dia juga selalu dijadikan orang tengah bila ada persengketaan.  Tau-tau aje la, satu kampung berasal dari Tanah Jawa. Dari berbagai kawasan.  Ada Semarang, ada Belora, ada Jeporo, ada Banyuwangi dan lain-lain. Mungkin ada yang bersengketa sejak dari sana, masih di bawa dendamnya.  Pantang tercuit atau tersiku, silat akan terbuka. Maklumlah anak-cucu pahlawan Mataram.

Mungkin pusingan dunia. Masa emak kecik, dia ikut Wak Besah kerana embah dalam kesusahan. Walaupun bukan dibela atau ditanggung (kerana emak turut sama-sama kerja berkebun cari makan), tetapi suami Wak Besah (aruah Wak Radiban) tetap bertanggungjawab ke atas keselamatan emak. Bila kami dah senang, beberapa anak Wak Besah telah duduk di rumah kami sebagai anak angkat emak juga kerana kehidupan Wak Besah yang agak susah pada masa itu (tahun 60an).  Anak Wak Besah juga ramai- 10 orang). Kang Maarof dan Kak Jah pernah tinggal bersama kami.  Emak yang bela.

Hampir keseluruhan baki usia almarhumah Embah Suminah setelah rumahnya dirobohkan, almarhumah tinggal bersama kami.  Emak yang bela. Bekas rumah almarhumah embah di belakang rumah kami. Tak mahu embah duduk seorang diri dan anak-anak yang lain agak kurang mampu, maka bapak dan emak jadi sandangan.  Walaupun sesekali aruah Embah pernah tinggal di rumah Wak Non (di Simpang 6). Tapi rumah utamanya adalah rumah kami, sehinggalah Embah meninggal dunia pada tahun 1995.






Hari ini, aku berusia 53 tahun (2012).  Aku ada 2 anak yang masih bersekolah. Masa bapak berusia yang sama, pada tahun 1980, aku sedang menjalani latihan Pegawai Kedet di Port Dickson. Adik aku yang terkecil Aminin baru berusia 9 tahun, dalam Darjah 3. Khairiah, 12 tahun dalam Darjah 6. Rakhiman, 14 tahun dalam Tingkatan 2. Noradzim, 17 tahun dalam Tingkatan 5. Masih ada empat adik-adik aku yang bersekolah.

Hari ini, bapak berumur 85 tahun dan emak 77 tahun.  Mereka berdua sahaja di rumah itu. Emak tak boleh pergi jauh dari rumah, walaupun ke surau kerana bapak tidak boleh tidak berteman.  Kami tidak boleh bawak emak ke rumah kami kerana bapak tak mau ikut.  Bapak nak duduk rumah sahaja. Perjalanan jauh adalah memanatkan. Dia suka buat apa-apa kerja keliling rumah kemudian balik tidur ikut suka dia.  Bapak sudah lupa semuanya. Anak-anaknya pun dia tidak kenal lagi.  Kalau kami balik, nampak elok sahaja bersalam, berbual tapi sebenarnya dia tak tau pun dengan siapa dia bercakap.

Emak tetap taat memperhambakan diri. Biarpun kepenatan, keletihan dan tertekan, dia buat sahaja untuk menyenangkan hati bapak.  Mahu saja aku berhenti kerja dan duduk kampung bela emak dan bapak. Tapi boleh kah aku berkorban sehingga ke tahap itu. Sampai ke tahap itukah jihad aku sebagai anak??.  Aohh Allah, ampunkan dosaku, aku tidak mampu.  Oh bapak, oh emak, ampun dosaku, aku tidak mampu.


Tidak sesekali aku tersirat untuk membandingkan kesah ini dengan ibuku, tetapi video ini adalah untuk memberi keinsafan kepadaku agar tidak menyesal apabila ibu telah tiada nanti. Waktu itu segala-galanya hanya 
.

Tuesday, June 28, 2011

TAJUK 29: PANGGILAN HAJI 3 (2010)

SAMBUNGAN DARI TAJUK 91

 BAHAGIAN 2 

  MADINAH AL MUNAWWARAH 




Jumaat, 3hb Disember (HARI KE 35).  Selepas menunaikan solat Subuh terakhir di Masjidil Haram kami melaksanakan Tawaf Wada' yang wajib dilakukan sebelum meninggalkan Kota Suci Makkah.  Kami diberi taklimat bahawa selepas Tawaf Wada', jemaah tidak lagi dibenarkan untuk melakukan aktiviti lain seperti membeli belah atau melawat-lawat sekitar Makkah lagi.  Semua jemaah kena bersegera berkemas untuk menaiki bas yang akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

Seperti mana dimaklumi, bas di sini sukar untuk diramal.  Boleh cepat dan boleh lambat tapi 90% lewat.

Selepas selesai pusingan terakhir, aku dan isteriku bersolat sunat tawaf dan kemudian kami duduk berdoa di hadapan Kaabah dengan penuh syahdu. Dalam doaku (yang aku karang sehari sebelum aku tawaf wada'), aku tidak dapat menahan air mataku dari bercucuran, berderai-derai membasahi wajahku. Terbayang gumpalan dosa-dosa besar dan kecil yang pernah aku lakukan.  Entah mendapat kemaafan Allah entahkan tidak.

Namun sebagai hamba yang lemah dan kerdil ini hanya mampu memohon ikhsanNya. Sayu  sungguh hati ini untuk meninggalkan Kota Suci Mekah. Tempat megah berdiri Kaabah Baitullah. Entah bila kami akan dapat ke sini lagi. Kami akan terus merinduimu wahai Baitullah. 

SELAMAT TINGGAL WAHAI KOTA SUCI MAKKATUL MAKARRAMAH

 
 
 
saat-saat akhir di lobi Dar al Kaaki


menanti ketibaan bas untuk ke Madinah (di simpang jalan masuk ke Dar al Kaaki)

dalam bas- bergerak ke Madinah



perjalanan tersangkut dilokasi ini (depot transport)- masih dalam kawasan Makakh selama hampir 2 jam untuk menguruskan pas perjalanan ke Madinah

Kami bertolak ke kota suci Islam kedua iaitu Madinatul Munawarah pada jam 0900H. Dalam perjalanan ke Madinah ini aku dan isteri terpisah bas dengan kumpulan KT 71 yang lain. Bas yang kami naiki dipenuhi oleh jemaah dari KT 63 (TMTT).  Jemaah KT 71 yang ada dalam bas ini hanya Hj Ghazali dan isteri serta Hj Jami dan isteri sahaja. 

Perjalanan dari Mekah ke Madinah sejauh 424 km terasa amat panjang sekali. Selain dari itu, walaupun jalannya lurus, besar dan rata serta tiada langsung kesesakan (sepanjang perjalanan jumlah kenderaan yang berselisih boleh dikira) tetapi penuh dengan cabaran, mengambil masa hampir 10 jam kerana masalah teknikal seperti pemeriksaan paspot dan kerenah pentadbiran di 'checkpoint'.  Sepanjang perjalanan hanya kelihatan bukit-bukit batu dan padang pasir sahaja. Di pertengahan jalan (210km  dari Madinah) kami berhenti di satu R & R untuk bersolat jamak Zohor/Asar dan makan tengahari (nasi briyani ayam)- macam nasi mande juga la rasanya. Sungguh enak sekali.  Aku dah lupa nama tempat (R&R) itu, kalau tidak salah Abu Rubayq atau al Yitmah.


 
 
Berhenti rehat, makan dan solat Zohor/Asar di R & R. Adib bersama Hjh Suryati dan Hjh Faridah Hanim


Masjid tempat kami bersolah jamak Zohor/Asar

Kami tiba di Madinah lebih kurang jam 7.30 malam.  10 jam perjalanan, sesuatu yang membosankan.  Nasib baik di tengah jalan ada berhenti satu tempat di mana ada beberapa ekor monyet padang pasir yang mengiburkan hati. Di Madinah kami tinggal di Hotel Mawaddah asSafwa yang terletak hanya 50 meter di luar pagar belakang Masjid anNabawi. No bilik kami ialah 1117.


Hotel di Madinah ini jauh lebih selesa dari di Dar al Kaaki.  Aku membayar tambahan sebanyak RM1600 kepada pihak TMTT untuk mendapatkan bilik untuk dua orang.  Demi keselesaan.  Ye la, dah tak ada pantang larang lagi.  Lagi pun isteri aku asyik sakit sahaja, teruk batuk selsema dia.  Bawak dari Makkah, masih belum elok lagi.




Sabtu, 4hb Disember (1- 36)

Subuh di Masjid an Nabawi, solat pertamaku di Masjid Nabawi. Jam 8 pagi membuat lawatan di sekitar Masjid Nabawi termasuk Makam Rasulullah (saw),  Perkuburan Baqi'.  Tapi tiada peluang memasuki dalam kawasan pagar Baqi'. isteriku dapat masuk ke Raudhah pada pagi itu bersama kumpulan jemaah wanita.  Keadaan di tempat lelaki alat sesak, ramai yang tidak berpeluang masuk. Masih ada 7 hari lagi untuk mencari peluang.  hari itu kami dapat bersolat semua 5 waktu di Masjid Nabawi.

Makam Rasulullah dahulu (sebelum tahun 80an) , terbuka dan boleh di lawati 

Makam Rasulullah sekarang- berpagar hanya boleh lalu sahaja. Itu pun kena berasak-asak.
Punca dipagar logam ini pun sebab untuk menghindar dari jemaah/penziarah yang 'over' atau melampauhingga menyukarkan kawalan.

Ahad, 5hb Disember (2 - 37)

Selepas sarapan, kami di bawa melawat kesekitar beberapa lokasi bersejarah diluar kota Madinah seperti Masjid Quba' (dapat bersolat Tahyatul masjid, Hajat dan Dhuha), Ladang Khurma, lalu Masjid Qiblatain, Kilang alQur'an, Bukit Uhud dan pasar Khurma.hari ini kami dapat bersolat 5 waktu di Masjid Nabawi. 

Nota: bersolat sunat di Masjid Quba' adalah bersamaan dengan satu Umrah (Hadith Nabi).

Pemerhatian 1

Sedikit perbezaan di Masjid an Nabawi ini berbanding dengan Masjidil Haram, Makkah.  Disini,  tidak rushing seperti Makkah. Sebab utamanya- di sini tiada Kaabah dan  lagi satu, perjalanan masuk dan keluar serta kedudukan pintu di sini yang ada menyediakan laluan dan ruang khas untuk jemaah wanita- keadaan mudah dikawal.

Di Masjid Nabi yang sungguh besar ini, semua berpermaidani, ruang solatnya luas.  Di sini apabila masuk waktu, dan azan, masa yang diberi amat panjang sebelum memulakan solat fardhu.  jadi peluang untuk solat sunat atau membaca al Qur'an juga panjang.  Purata, antara azan dan qamat ialah antara 15 hingga 20 minit.

Oleh itu, andainya kita bergerak dari bilik hotel semasa azan sedang dilaungkan, kita masih boleh mendapat tempat di dalam ruang masjid.



 Masjid Quba'                           kilang al Quran


aku bergambar berlatarbelakangkan Bukit Uhud  



Lawatan ke ladang Khurma- mahal harga kalau beli di sini- biasalah, tumpuan orang ziarah- serupa macam di Malasyia juga.  Jemaah dinasihatkan supaya beli di pasar khurma.

Isnin, 6hb Disember (3 - 38)

Tiada aktiviti lain hari ini. Berehat sahaja. Dapat bersolat 5 waktu di Masjid Nabawi.  Satu-satunya suasana yang agak tidak selesa di Madinah ialah,setiap lepas solat Zohor, Asar dan Isya.. sebaik sahaja keluar dari pintu masjid, suasana jadi hingar-bangar, penuh sesak kerana peniaga (illegal) membuka perniagaan di ruang-ruang luar pintu masjid, di hadapan deretan hotel.  Bagusnya mereka tidak mengganggu langsung koridor pintu kedai di hotel-hotel.  Letih juga nak melepasi kebingaran/kesesakan itu.  Macam pasar lambak di Malaysia. Tapi jauh lebih bingar dans esak lagi.



Selasa, 7hb Disember (4 - 39)

Tiada aktiviti lain hari ini, berehat sahaja. Aku dapat bersolat di Raudhah hari ini setelah mencuba dalam pukul 10 pagi. Keadaan sungguh sesak. Kebetulan pada pagi itu pihak polis Saudi membuat kawalan dan mengatur keadaan supaya setiap orang dapat masuk dalam keadaan teratur. 

Bila raudhah dibuka selepas dicuci, jemaah menyerbu macam ombak besar menghempas pantai.  namun masa itu pihak pengawal dengan tegas menghalang dan membahagikan kepada kumpulan demi kumpulan.  Kebetulan aku termasuk dalam kumpulan hadapan untuk masuk. 

Hari itu aku dapat bersolat 5 waktu di Masjid Nabawi.

Rabu, 8hb Disember (5 - 40)

Hari ini ada lawatan lagi tapi aku tidak pergi kerana Adibah tidak sihat.  Bawa dia ke Klinik TH di Moven Pick Hotel. Dapat bersolat 5 waktu di Masjid Nabawi.  Jemaah lain melawat Masjid Quba' lagi, Bukit Magnet, Burqan, perkampungan Yahudi dan pasar khurma.

Malam, Naim dan Nasrullah ajak makan malam di luar. Nasi Mande lauk daging kambing, ayam dan unta di sebuah restoran di Jalan Salam bersama sepasang lagi suami isteri dari Kuantan (kawan kepada bapa Nasrullah)

Khamis, 9hb Disember (6 - 41)

Pagi program lawatan di sekitar Masjid Nabawi seperti Masjid Saiyidina Ali, Masjid Saiyidina Abu Bakar,Masjid Bilal dan Masjid Ghammamah. Dapat bersolat 5 waktu di Masjid Nabawi.





Jumaat, 10hb Disember (7 - 42)

Pagi itu ada perkara yang menggelihatikan semasa solat Subuh. Kedudukan imam jauh di hadapan, makmum yang di bahagian belakang cuma dengar suara sahaja. Dalam rekaat pertama Imam membaca Surah Sajadah.  Bila sampai ke ayat 15 (untuk sujud tilawah), semua makmum buat ruku' (sebab semua makmum (beribu) di barisan hadapan buat ruku'. Bila bangun balik, Imam sambung ayat 16.  Rupanya tadi tu imam buat sujud tilawah. Sudah habis satu surah baru Imam sujud yang sebenarnya.  Apa sudah jadi???.  "Morale of the story" makmum tidak percaya diri sendiri,tidak konfiden dengan ayat Allah.

Selepas Isyak ada taklimat pentadbilan (urusan pergerakan pulang) dan ceramah agama oleh ustaz Abdullah mengenai ziarah wadak. Dapat bersolat 5 waktu di Masjid Nabawi

 

Sabtu, 11hb Disember (8 - 43)

Hari terakhir di Madinah. Selepas solat Maghrib aku melaksanakan  Ziarah Wada' ke Maqam Rasulullah (saw)' juga Maqam Saiyidina Abi Bakr (ra) dan Saiyidina Umar ra. Meleleh air mataku semasa berdoa berhampiran Maqam rasulullah saw untuk meninggalkan Kota Madinah, kota pilihan Allah untuk rasulnya. Kami dapat menyempurnakan Solat Isyak malam itu, iaitu solat wajib ke 40 di Masjid Nabawi.

Ziarah Wada'. Sukar sekali untuk merapati Maqam Rasulullah.

luggage siap untuk dipunggah ke dalam bas


Walaupun kami sudah turun ke lobi hotel lebih kurang jam 2.30 pagi untuk pemunggahan dan pengaturan menaiki bas, namun bas hanya bertolak pada jam 4.00 pagi.  Kami diberikan sarapan nasi lemak dan sebiji pisang di perkarangan hotel dan bersarapan di situ.  


  
bersarapan di kaki lima hotel- sambil menunggu bas ke lapangan terbang


rakan jemaah - Brig Jen Dato' Hj Abdul Nasser

Ahad, 12hb Disember (9 - 44)

Jam 0400 bertolak dari Hotel Mawaddah Sofwah ke Lapangan Terbang Madinah. Departure time: 0815 (lewat 45 dari yang dijangkaan).. Sungguh sedih untuk meninggalkan kota kesayangan Rasulullah.  Entah bila aku dapat ke sini lagi.

Walaupun pengurusan di lapangan etrbang Madinah agak lebih sistematik tetapi masih banyak yang boleh diperbaiki untuk memberi keselesaan kepada jemaah.


Sebenarnya kalau mengikut timbangan barangan, berat barangan yang aku bawa sudah melebihi sebantak 30 kilo.  Faham-faham je la, last-last minutes kat Madinah tu, macam-macam nak beli, seperti jubah, khurma, kacang dan lain-lain.  Nasib baik tak beli daging unta, niat tu memang ada. Kononya malas nak bawa wang tunai ke Malaysia.  Ini bermakna aku kena bayar lebih kurang RM2000 riyal.  Aku check dalam poket, jumlah baki wang yang aku ada memang tak cukup.  Tetapi dengan izin Allah, berkat doa dan bantuan rakan-rakan, semuanya terlepas. 

Biar panas, biar sesak, biar berhabuk, biar penuh dengan pelbagai cabaran yang mencabar kesabaran- dalam hati ini tetap mahu datang lagi.

keadaan di Airport Madinah (berdiri kiri: Dato Hj Che Omar dan kanan (jubah hitam) isterinya)

dalam penerbangan pulang ke KLIA

gambar curi oleh Hj Othman yang duduk di belakang aku

Sampai KLIA jam 0930H.  Malangnya proses untuk mendapatkan    mengambil masa yang amat panjang, iaitu hampir 2 jam.  Sesampainya di luar (ruang ketibaan), kami disambut oleh semua anak-anak yang ada di Malaysia.  Air mata kegembiran merembes dimataku. Kami berpelukkan melepaskan rasa rindu yang amat sangat.  



disambut oleh anak-anak di KLIA

Sampai rumah lebih kurang jam 1205H (13hb Disember). Ajim, isteri (Arah) dan 4 orang anaknya telah sedia (dah 2 jam lebih) menunggu di rumah. Mereka telah menyediakan masakan istimewa "Lontong Mak" (lontong daun pisang) dengan kuah lodeh dan sambal kacang.  Apa lagi, setelah 44 hari tak makan masakan Malaysia (Jawa) aku pun meratahlah lontong mereka. Itulah makanan istimewa keluarga di kampung setiap 1 Syawal.  TQ Ajim dan Arah.

Syukur alhamdulillah, aku dan isteri telah selamat menjejakkan kaki ke rumah kami untuk meneruskan kembali saki baki usia kami dengan tugas dan tanggung jawab yang lebih berat, itu memelihara kemuliaan 'HAJI' kami.

Semoga Allah MENGAMPUNKAN DOSA-DOSA KAMI dan MEMAQBULKAN DOA KAMI  untuk kembali semula ke Tanah Suci Mekah dan Madinah pada suatu hari nanti.

ALUMNI DAR AL KAAKI
(DI BAWAH PAKEJ TMTT)

Hj Khairudin Khalid (KL)
Hj Azahar bin Zualkefly (KL)
Hj Adnan bin Md Nasir & Hjh Zabedah (Melaka)
Hj Abd Rashid bin Hussin & isteri (Shah Alam)
Hj Mozarudin bin Musa & Hjh Norma bt Ali (Bangi)
Hj Othman bin Ibrahim & Hjh Hafsah bt Ismail (Melaka)
Hj Khairil Anuar bin Mohd Noor & Hjh Rosni bt Juda (KL)
Dato' Hj Che Omar bin Che Lim & Datin Hjh Noraimi bt Alias (KL)
Dato Ir Hj Abdul Nasser bin Ahmad & Datin Hjh Khadijah bt Ali (KL)
Hj Mohd Pasuzi b Awg Daud & Hjh Noor Aizita bt Abd Hamid Kelantan)
Hjh Maziah bt Awang Daud (Terengganu)
Hj Ar Azman bin Bilaji (Kulai, Johor)
Hj Hamim bin Yunus & Hjh Zakiah bt Ithnin 
Hj Mat Zaki bin Abd Majid & Hjh Zaliha bt Ahmad (Johor)
Hj Sarlan bin Kasan & isteri (Johor)
Hj Jusoh bin Mat Saman dan Hjh Faridah (Kedah)
Hj Zukhairi bin Abdul Wahab dan Hjh Mazlina bt Rhazali (Bangi)
Hj Toharudin bin Ab Rasid dan Hjh Adibah Taha (KL)
Hj Jasmi bin Arbain & Hjh Faridah Hanim bt Haron (Bangi)
Hj Ghazali bin Omar & Hjh Suryati bt Omar (KL)
Hj Alang Wahi & Hj Dahlah Suarno (KL)
Hj Ahmad Rosly bin Ahiar & Hjh Dr Anita Abdul Rahman (Bangi)
Hj Azrul Gul bin Omar Gul (Tok Ayah) & 2 isteri (Kulim)
Hjh Zarina bt Omar Gul (Kulim)
Hj Ibrahim (Kelantan)
Hj Md Yusof bin Ahmad (Melaka)
Hj Che Hassan & isteri (Kelantan)
Hj Mat Nawi (Kelantan)
Hj Che Kasim (Kelantan)
Hj Mustapha & isteri (Kelantan)
Hj Adnan bin Ayup & isteri (Johor)
Hj Norazman bin Hussein (Johor)
Hj Zahisham bin Kamaruzzaman & Hjh Ziana Abd Hamid (Bangi)
Hj Hussein & isteri (Johor)
Hjh Siti Hawa bt Ibrahim & Hjh Zeehan bt Zakaria (Melaka)
Hjh Roziah bt Abu Bakar 
Hjh Hayati binti Hussein (KL)
Hj Halim & isteri
Hjh Aminah (Amy) (B.Pahat)
Hj Azman bin Zainal & isteri (Johor Bahru)

Beberapa orang lain jemaah tidak mencatatkan nama dalam buku yang diedarkan.


ANTARA YANG BOLEH DIGAMBARKAN SEPANJANG PERJALANAN DI KOTA HARAMAIN


Lobby Hotel


       kiri: Tuan Hj Ridzuan (MD TMTT) & kanan: Pn Hjh Naaimah (Director- isteri Hj Ridzuan)

  
kiri: keadaan di dalam bilikku di Dar al Kaaki (pakej RM20k!), kanan: main entrance hotel



sehari selepas gunting rambut (selepas saei haji)



INILAH CAPAL YANG PALING BERJASA KEPADAKU SEPANJANG DI
MAKKAH DAN MADINAH
(terpaksa aku tinggalkan di Madinah kerana beg yang telah terlalu penuh)



PERINGATAN

Buat rakan-rakan yang bakal menunaikan Fardhu Haji, ini ada BEBERAPA tip untuk mengelakkan dari membawa terlalu banyak barang (memberatkan beg).  Ramaijemaah haji yang excited bawa semua barang, kain, makanan, baju, jubah, selipar, banyak kain ihram (yang berat tu), takut tak cukup.  Tak payah.  Bawa yang minima.  Kalau tak ada boleh beli di sana, banyak dan murah.  Buat permulaan, bawa cash SR2000 pun dah ok.  Yang lain boleh ambil di pejabat Tabung Haji Makah atau Madinah.

  • Tunai SR2000 (buat beli keperluan asas, bayar dam tamattuk danbeli ubat-ubatan jika perlu).
  • Selipar sepasang.
  • kain ihram 3 helai dah cukup.
  • Baju Melayu sepasang.
  • Kain sarung 2 pasang.
  • Jubah bawa satu pasang sahaja. Di Mekah ada banyak dan murah2.  Kalau di KL RM60-70, di sana boleh dapat SR25.
  • Seluar dalam secukup rasa.
  • Seluar panjang dalam (untuk pakai jubah) 2 pasang.
  • Kopiah, satu cukup. Di sana ada beribu jenis dan rupa serta murah-murah.
  • Uncang kasut (bawa dua, takut hilang)
  • Tali ropia/nylon (untuk ampai gantung baju di Arafah/Mina)
  • Plastik sampah dan tisu murah untuk lap hingus/luah kahak dalam masjid atau di Arafah/Mina nanti.
  • Alatan lain seperti pisau, gunting, benang, jarum dll tu tak payah bagi tau laaa.
  • Kalau boleh bawa rendang daging dan sambal ikan bilis lebih2 sikit.  Bungkus kecil2 supaya tahan lama. Sebab kalau bawa bungkusan 10 kilo pun, bawa ke dining hall, pass sana sini akan habis...(kecuali kalau memang niat nak derma sehari sekilo).  Kalau nak makan dalam bilik sorang-sorang tak apa la...  bawa sambal bilis pun baguihhh... kalau tak bawa mende2 ni memang menyesal.  Hari-hari atau paling2 selang 2 hari, pusing-pusing akan makan lauk yang sama, macam duduk kat asrama.

Keadaan di Lapangan Terbang Madinah

Sepanjang hayat, aku berpeluang menziarahi banyak tempat dan negara di dunia ini seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Italy, Amerika Syarikat, Canada, United Kingdom, Rusia, Switzerland dan Sepanyol. namun menziarah ke Haramain (Makkah dan Madinah) adalah sesuatu yang amat berbeza.  Terlalu banyak perkara yang ganjil, unik, menyeronokkan, dan mencabar yang tidak boleh diceritakan.

Apa Tugas Kita Selepas Pulang Dari Mekah?

Tugas yang paling berat bagi semua Jemaah Haji ialah untuk mengekalkan HAJI kita.

  • adakah kita kekal menunaikan solat waktu (mengikut waktu) seperti mana kita buat di Makkah dan Madinah?
  • adakah kita boleh sentiasa memelihara aurat sebagaimana yang kita patuhi sepanjang di tanah suci?
  • adakah kita mampu menahan kesabaran atau kemarahan apabila diuji dengan pelbagai kerenah manusia yang boleh menyakitkan badan, mata, telinga dan hati kita?
  • adakah kita masih bersolat di masjid atau surau setiap waktu (terutama waktu subuh) setiap hari (kalau pun tidak setiap waktu) apabila berada di tanah air?
  • adalah kita suka bercerita yang kita dah buat haji, dah rasa itu, dah rasa ini dan menunjukkan kebanggaan bahawa supaya orang tahu kita sudah ke Mekah?
  • kita tahu menutup aurat itu wajib, kita mampu buat walaupun sekadar cukup syarat asas sahaaj, tapi mampukah kita merubah anak-anak kita supaya menutup aurat?  kalau tidak kita seronok sorang-sorang dapat ibadah haji, tapi membiarkan anak-anak kita terjun dalam api neraka.  kita mengharapkan anak kita sedar sendiri bila mereka ke Mekah nanti.



WAHAI 2 KOTA SUCI


LAMBAI LAH DAKU
PANGGIL LAH NAMAKU
SERULAH ROHKU


AGAR AKU AKAN KEMBALI LAGI MENJEJAKI MU


"AKU AMAT MERINDUIMU"

 TAJUK-TAJUK BERKAITAN 

Saudaraku dari Jemaah Haji Pakej TMTT (2010) yang dikasihi,


TAJUK 120 ini sebahagian dari pengkesahan (sebelum dan selepas) perjalanan hajiku (Tahun 1431 Hijriyah) bersama rakan-rakan dalam Pakej Haji Swasta TMTT yang dipimpin oleh Tuan Haji Redzuan dan isterinya Hajjah Naemah. Pakej ini mengandungi kumpulan KT 71 (turut mengandungi kumpulan KT 11 dan KT 63).  KT 71 bertolak dari KLIA pada 30 Okt 2010 dan kembali ke tanah air pada 12 Dis 2010. 


Semoga pertemuan ini akan menjadi asas persahabatan dan persaudaraan kita di dunia dan akhirat. Saudara-saudari boleh terus melayari tajuk-tajuk yang berkaitan dengan perjalanan kita dalam blog ini dengan mencari tajuk-tajuk berikut:

IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...