Saturday, October 2, 2010

TAJUK 20: KELUARGA ANGKAT

  YANG DITEMUI DI ALAM MAYA  


Sejak aku meninggalkan kampong pada tahun 1977 kerana melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6 Rendah (L6) di Sekolah Alam Shah, kemudian ke UTM seterusnya menceburkan diri dalam Angkatan Tentera (ATM) hubungan aku dengan saudara mara terutama sepupu sepapat semakin menjauh.  Kalau masa aku dapat jumpa secara kebetulan semasa Hari Raya atau majlis-majlis perkahwinan saudara-mara.  Masa aku kecil dulu bapak aku memang rajin bawa aku melawat saudara mara, semasa cuti aku pun ditinggalkan di rumah bapak saudara di Johor Bahru, begitu juga sepupuku akan tinggal di rumah aku bila cuti sekolah. Jadi hubungan kami agak rapat.  Setelah lebih 30 tahun aku tinggalkan keadaan itu, hubungan kami semakin renggang.  Malah ada antara sepupu sepapat ku yang telah lebih 40 tahun tidak aku temui.

Hidup aku lebih rapat dengan kawan-kawan sepelajar dan sekerja.  Apabila sudah berumah tangga, kebebasan untuk menziarahi kaum keluarga juga semakin sempit.  Banyak masa lebih tertumpu dengan membina keluarga sendiri serta membina kerjaya yang baru meningkat.



KAKAK ANGKAT


PUAN SHARIFAH MOLEK SYED AHMAD
(KAK MERAH)




Ini mengimbau kembali kesah waktu aku jadi penuntut di UTM pada tahun 1978-1979- sebelum aku melompat ke dunia militar.

Aku menyewa bersama kawan-kawan sekelas (kursus Senibina) di Lorong Bukit Keramat 4, Datok Keramat.  Tuan rumah kami, kita orang panggil Pak Aji dan Mak Aji je...nama sebenar aku lupa.  Anaknya Kak Melah dan suaminya abang Kadir duduk di rumah yang sama.

Salah satu jiran kami (rumah depan seberang jalan) yang agak rapat ialah Puan Sharifah Zabedah atau kami panggil Ayong je.  Aku ikut je apa yang adik-adik dia panggil kerana aku agak rapat dengan adik Ayong yang bernama Mamat (allahyarham) dan Khalid, serta dua orang anak Ayong yang bernama Zainal (Enal) dan Zahid.  Masa itu kedua-dua budak ni masih sekolah rendah lagi.  Ayong ni 'single mother'.

Jadi, aku selalu lepak kat rumah Ayong sembang dengan aruah Mamat, Khalid atau Enal.  Dalam rumah Ayong (dua tingkat) ada 3 buah rumah.  Rumah utama di sebelah atas diduduki oleh Ayong (bersama 2 anaknya) serta adik-adiknya Kak Jah, Kak Piji, Mamat dan Khalid (masa tu semua amsih single).  Selain dari itu ada dua lagi waniat yang duduk di rumah itu, iaitu Kak Nah dan Kak Merah.  Masa aku masih menyewa di situ, Kak Jah (Sh Norhijjah) dan Kak Piji (Sh Norashikin) melangsungkan perkahwinan. Kami pun turut menyebuk la. Lepas itu kedua-duanya berpindah ikut suami masing-masing.

Oh ye, ada dua buah rumah lagi di tingkat bawah.  Satu rumah disewakan dan satu lagi diduduki oleh seorang lagi adik Ayong bernama Sh Noor Akma (Kak Nor) -suaminya abang jamaludin- dan anak-anaknya.  Yang aku ingat nama anak-anaknya ialah Aidil dan Aida.  Jadi rumah itu memang agak padat dan meriah la.

Balik cerita pasal Kak Merah. Kak Merah ni (nama sebenar, Sharifah Molek) ada tali persaudaraan dengan Ayong (kampungnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan), tapi Kak Nah aku kurang pasti.  Cuma- pada masa itu, Kak Merah ini menjadi perhatian semua students yang menyewa di rumah sewa aku (lebih kurang 8 orang semuanya)- pasti kerana kecantikannya laaaa.  Orangnya putih,  berambut kerinting.  Itu je yang aku boleh cerita keadaan masa itu.  Ye la, zaman muda belia- usia 18-19 tahun- selain dari study, apa la yang ada dalam otak.  Apa yang ada dalam hati tu, sendiri-sendiri boleh cerita laaa......

Bila aku meninggalkan UTM (gagal) dan memasuki TUDM sesekali aku ke KL, aku akan singgah di rumah Ayong.  Sebelum aku kawin pada tahun 1983 dulu, aku ada datang ke rumah Ayong untuk jemput dia ke Johor. Tapi Ayong tak dapat datang - ye la siapa nak bawak dia. Tapi, Enal ada ikut aku balik kampung dan duduk di rumah aku seminggu.  Masa itu, Kak Merah pun dah kawin juga dan telah berpindah keluar dari rumah itu - menurut kata Ayong, dia  bertukar kerja mengikut suaminya. Sejak aku pindah dari rumah sewa Bukit Keramat itu, aku dah putus hubungan dengan sebahagian besar ahli keluarga rumah itu. Apa lagi, bila aku sudah berkahwin. 

Pada tahun 1993 atau 1994 aku ada sekali bertugas di Kluang kerana ada elemen Logistik TUDM masih beroperasi di PUTD Kluang.  Melalui PW Saleh Pandi, aku berjaya menjejaki Kak Merah yang masa itu tinggal di Taman Kluang Jaya (dia bertugas di Sekolah Jurutera TD).  Jadi, aku sempat menziarahi beliau di rumah sewanya. Masa itu Kak Merah baru kehilangan suami (meninggal kerana sakit jantung) dan mempunyai 5 anak yang masih kecil-kecil.  Masa itu anak sulungnya Syed Azam pun baru berumur kurang lebih 10/11 tahun.

Masa aku tinggal di OMQ Lorong Golok, Kem KEMENTAH, Ayong ada datang sekali dengan Enal dan anak-anaknya.  Kebetulan saudaranya Syed Azhar (juga skot aku) tinggal di blok sebelah.

Kali kedua aku menziarahi Kak Merah ialah pada tahun 1998 (aku bertugas membuat PDI peralatan ATC di Bukit Tinggi Jalan Mersing, masa itu Kak Merah telah berpindah ke kuarters (Blok E8- kalau tak silap) dalam Kem Mahkota, Kluang dan kali ketiga pada tahun 2006 ketika aku mengikuti kursus di INTAN Selatan (IKWAS).  Itulah kali terakhir aku jumpa Kak Merah.  Selepas itu, hubungan kami hanya sesekali melalui telefon sahaja.



Kak Merah dengan anak-anaknya yang hensem dan cantik-cantik
belakang: Syed Azam, Kak Merah dan Syed Ammar
hadapan: Syarifah Nadzirah, Syarifah Syahirah dan Syarifah Nabihah.

Kak Merah sekarang sudah ada cucu (2012)


Cuma sejak mutakhir ini, aku suka merapatkan saudara-mara dan sahabat handai yang jauh-jauh.  Ye lah dah semakin tua, dah mula bermenantu - nak kekalkan hubungan silaturrahim.  Manalah tau, nanti anak ke cucu duduk dalam satu kelas/kuliah di mana-mana IPT, mereka tak tau yang emak-bapak mereka bersaudara. Zaman pun berubah, hubungan menjadi rapat melalui facebook sahaja. 

Alhamdulillah pada bulan 12 Jun 2011 lepas, anak sulung Kak Merah, Syed Azam telah selamat melangsungkan perkahwinan dengan Ungku Azizah Afiqah.  Aku tak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Peramuda di Ipoh.  Anak keduanya, Sh Syahirah telah tamat pengajian perubatannya, dan kini bertugas di Hospital Kluang.  Alhamdulillah- keperitan Kak merah membesarkan anak-anak telah menampakkan hasilnya - anak-anak Kak Merah berjaya dalam pelajaran. 

Semasa majlis perkahwinan Hafeez/Musfirah dan Aisyahnur/Muhd Noor Hafiz pada 19 Nov 2011, Kak Merah datang dari Johor dengan anak sulungnya Syed Azam dan isteri.

Dr Sharifah Syahirah (kiri) dan Sharifah Nadzirah - uncle doakan kejayaanmu daam kerjaya dan kehidupan- jangan sesekali lupakan jasa dan pengorbanan ibumu.

Persaudaraan di Alam Maya 

Pertama kali aku tahu menggunakan satu sistem komunikasi baru yang dipanggil internet ialah dalam tahun 1999.  Ketika itu aku mengikuti kursus staf di MTAT, Haigate.  Keadaan kursus yang memerlukan rujukan yang banyak khususnya semasa fasa Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan Universiti Malaya.  

Masa untuk ke perpustakaan memang amat terhad.  Buku pun terhad.  Masa yang sesuai untuk menulis assignment atau kertas projek ialah di waktu tengah malam.  Internet amat membantu aku mendapat banyak maklumat sepanjang kursus.

Dalam kejemuan mentelaah pelajaran, aku sesekali masuk ke ruang chatting. Masa itu, chatroom yang popular ialah IRCdan ICQ selain dari hotmail dan yahoo messanger.

Dari sini lah aku menemui beberapa individu yang sentiasa menjaga tatatertib persahabatan melalui alam maya.  Dan dengan izin Allah, persahabatan dan persaudaraan itu kekal sehingga hari ini.


Dunia cyber membawa aku ke satu alam kekeluargaan yang berbeza.  Beberapa siri masalah keluarga membawa aku mencari alternatif mendapat kebahagiaan.  Walaupun bukan satu kebahagiaan yang hakiki, ia membantu aku untuk menenangkan jiwa yang kacau.  Keperihatinan  dan sokongan moral beberapa individu, memberikan peluang kepadaku untuk menyusuri beberapa alternatif untuk menggali semula formula mendapatkan semula kebahagiaan yang masih dalam buruan.

Walaupun antaranya bertahun-tahun hanya berhubung melalui email dan telefon (sekali sekala), namun ia berpanjangan.  Antara adik-adik/anak-anak angkatku yang masih kekal sehingga sekarang ialah:

GEE

Gee aku kenali melalui internet juga sewaktu aku bertugas di Perbendaharaan pada tahun 2000. Dalam web mana, aku tak ingat.  Hubungan persahabatan hanya melalui emel sahaja tetapi berkekalan sebagai adik.  

Gee dilahirkan pada 27 Ogos 1977 dan berasal dari Batu Gajah, Perak (kebetulan sama dengan tarikh lahir anak sulungku).  Mendapat pendidikan di St Bernadette Convent School, Batu Gajah dan kemudian melanjutkan pengajian ke University di New Zealand dalam bidang accountancy.  Sekarang bertugas di Maybank Finance, Bangsar.

Gee kemudian berkahwin (tahun- lupa- lebih kurang 2004) dengan orsng Batu Pahat (lebih kurang 6 km dari kampung aku) dan kini mempunyai dua cahaya mata. 

Dia dan suami pun datang dalam majlis perkahwinan anak aku pada tahun 2010. 


anak angkat

NORHAIKA ATIKAH binti AZMIN

MOHD HAIRUL ANUAR bin MD SALEH

Norhaika Atikah aku kenali melalui Tagged dalam tahun 2009.  Mula-mulanya saja-saja je add-in.  Masa tu dia tengah study di UNIMAS Samarahan dalam bidang Zoology.  Mula-mula cuma berbahasakan 'uncle' sahaja dan bertanya-tanya khabar tentang pelajaran dan keadaan hidup sebagai pelajar yang jauh dari keluarga.

Hubungan semakin rapat apabila, dia kehilangan 'buah hati'nya.  Jadi, aku jadi tempat dia meminta nasihat dan meluahkan rasa hatinya.  Seperti biasa, sebagai orang tua aku hanya mampu memberi nasihat dan kekuatan kepadanya untuk menghadapi cabaran hidup.  Kami berhubung sama ada melalui facebook atau telefon. Oleh kerana semakin selesa dengan aku dia telah menganggap aku seperti ayahnya, dan akhirnya dia membahasakan aku sebagai ayah.


Kebetulan perhubungan kami turut diceritakan kepada kedua ibu bapanya (En Azmin dan Puan Fauziah) dan mereka gembira menerima aku sebagai ayah angkat anak mereka.  Hubungan kami berterusan hingga Ika mendapat kenalan baru dan berakhir dengan perkahwinan.  Ika melangsungkan perkahwinan dengan Mohd Hairul Anuar Md Salleh (kebetulan seorang pegawai Kejuruteraan TUDM) pada 30 Jan 2011.  Malangnya aku tidak dapat hadir dalam majlis mereka kerana kebetulan aku pada hari minggu tersebut aku ada kelas (tutorial) di OUM Shah Alam sehingga petang.

Setelah sekian lama, berkenalan melalui facebook, kali pertama aku berjumpa muka Ika  ialah pada 17 Mac 2011.  Sekembalinya dari Putrajaya (mesyuarat) aku singgah ke rumahnya di Bandar Permaisuri untuk mengambil chocholate yang aku order melalui internet.  Kebetulan, hari itu aku dapat juga berjumpa dengan ibunya.

MELANGSUNGKAN PERKAHWINAN DENGAN KAPT MOHD KHAIRUL SALLEH PADA 30 JAN 2011

Selepas perkahwinannya, Ika sekarang mengikut suami yang bertugas di PU Butterworth.

Ika serta keluarga telah datang semasa majlis perkahwinan anak-anak aku (Hafeez dan Aisyahnur) pada19 Nov 2011.  Terima kasih Ika and family.

Pada 7 Jan 2012, aku sekeluarga  menghadiri majlis perkahwinan abang sulung Ika (Haisyar Azizi bin Azmin) di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak.


Pada 16 Januari 2012, Ika telah selamat melahirkan putera pertamanya bernama Muhammad Adam Qhalish bin Mohd Khairul Anuar.  Tahniah anakanda.




* ANAK ANGKAT UPNM *


Pada masa ini aku mempunyai LIMA orang anak-anak angkat 'maya' yang terdiri dari graduan UPNM.  Kesemuanya telah menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing pada tahun 2012.  Mereka adalah:



Lt Zamil Afiq bin Zulkifli (TLDM)



Bermula alkesah bagaimana aku mula menemui anak-anak angkat ini adalah apabila Zamil Afiq membaca dan membuat komen dalam blog milikku.  Melalui komunikasi dalam emel aku mendapat lebih banyak maklumat tentang latar belakangnya. Hal ini berlaku dalam bulan Septermber 2010.

Hubungan kami semakin rapat melampaui hubungan seorang pegawai kanan dengan pegawai muda adalah apabila dia menjadi mangsa penipuan seorang penggodam akaun 'gmail' kepunyaanku.  Beberapa hari setelah aku gagal membuka emel, penggodam (hacker) yang dipercayai dari luar negara itu telah menghantar emel kepada semua pemilik alamat emel yang ada dalam mailbox aku.  Termasuk Afiq.  Kandungan emel penggodam itu lebih kurang begini:

"Saya (dimaksudkan ialah aku - pemilik akaun gmail) telah kehilangan dompet semasa berada di London.  AKu memerlukan wang tunai sebanyak GBP2500 untuk membeli tiket kapal terbang pulang ke Kuala Lumpur.  Meminta supaya memasukkan wang tersebut dalam akaun dan akan membayar selepas aku pulang ke Malaysia"

Sebahagian besar rakan-rakanku yang menerima emel tersebut segera menghubungi aku melalui telefon atau datang ke pejabat kerana mereka tahu aku tidak berada di luar negara.  Mereka membawa salinan emel berkenaan.  Barulah aku tahu tujuan penggodam akaun emel berkenaan.

Afiq- selakun individu yang mengenali aku bersimpati dengan masalah yang aku (penggodam) hadapi lalu mengirimkan wang sebanyak GBP50 (lebih kurang RM250) untuk membantu meringankan bebanan.  Aku ketahui apabila dia menghantar sms kepadaku bertanyakan sama ada telah menerima wang tersebut.  Aku sangat terperanjat. Bertambah terperanjat lagi dengan keikhlasan hatinya untuk membantu aku dalam kesulitan walaupun dia tidak mengetahui bahawa dia telah tertipu oleh penggodam.

Aku amat terharu di atas tindakannya. Tak dapat aku gambarkan bagaimana seorang Pegawai Kedet mempunyai tahap keikhlasan sebegitu tinggi. Ye lah, berapa sangatlah elaunnya, namun tetap mempunyai niat ikhlas untuk membantu seseorang dalam kesulitan. Aku membayar balik wang yang telah dia hantarkan kepada penggodam itu. 

Sejak dari itu, hubungan kami semakin rapat.  Sebagai membalas jasanya, aku ambil dia menjadi anak angkat aku.

Afiq yang berasal dari Kuala Lumpur telah menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Komputer dan ditauliahkan dalam Cawangan Logistik perkhidmatan TLDM.

Pertemuan pertama empat mata antara aku dan Afiq ialah pada 4hb Okt 2012 di Restoran Teluk Muruh semasa aku makan malam bersama pemandu dan kawan yang bermalam di Marina Island. Waktu itu aku bertugas sebagai ahli Panel pengadil Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan peringkat KEMENTAH.

Keesokan harinya selepas menamatkan tugas, aku singgah menemui Afiq di dock TLDM dan berpeluang menjelajah masuk dalam kapal KD HANG TUAH.  Atas sebab-sebab 'isu keselamatan' aku tidak boleh memuatkan gambar-gambar dalam kapal untuk tatapan umum.  Walaupun kalau anda 'search image' dalam google terdapat gambar di dalam bridge kapal yang dipaparkan, itu di luar kawalan aku. 

pertama kali juga bertemu anak angkat di Pangkalan TLDM LUMUT pada 5 Okt 2012.  Lt Mohd Zamil Afiq bin Zulkifli sedang menjalani latihan penyesuaian di KD HANG TUAH.


Melalui hubungan melalui facebook dengan Afiq, aku mendapat beberapa orang lagi anak-angkat dari kalangan siswa UPNM.
.
Kapt Muhammad Haekal bin Azman (TUDM)

Muhammad Haekal bin Azman berasal dari Melaka, berkelulusan dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan dan kini sedang menjalani latihan asas penerbangan di PULATIBANG 1, TUDM Alor Setar.

 
Kapt Emma Emelia (TUDM) 

Emma Emelia binti Barhath Ali berasal dari Jelutong Pulau Pinang berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dan Komunikasi dan ditauliahkan sebagai Pegawai Kejuruteraan TUDM.  Setelah menjalani Kursus Penyesuaian Kejuruteraan di ITAS, TUDM Alor Setar, Selepas tamat kursus, Emma ditugaskan di No 3 Skn Pangkalan Udara Butterworth.



Emma telah melangsungkan perkahwinan dengan Kapt Ahmad Ridzuan TUDM pada 21 Dis 2013 di Pulau Pinang.



Pertemuan kali pertama aku dengan Muhd Haekal dan Emma berlaku di KTU Alor Setar pada 30 Jun 2012 semasa aku menghadiri Majlis Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan di KTU.



pertama kali dapat bertemu anak-anak angkat di KTU pada 30 Jun 2012 (Emma sedang mengikuti Kursus Asas Pegawai Kejuruteraan di ITAS manakala Haekal sedang mengikuti Kursus Asas Penerbangan di PULATIBANG I.


.
 
Kapt Siti Zubaidah bt Mohd Shukri TUDM

Siti Zubaidah binti Mohd Shukri berasal dari Arau, Perlis merupakan graduan Sarjana Pengurusan Strategi.  Ayahnya adalah seorang pegawai Tentera Darat.  Siti Zubaidah ditauliahkan dalam Cawangan Materiel TUDM dan kini bertugas di PU Gong Kedak.

Nak dijadikan cerita, Zubaidah telah bertunang dengan Shahrul Nizam, anak tiri kepada skot aku Lt Kol Nazli bin Alias (RAMD).

majlis pertunangan Siti Zubaidah dengan Nizam

Majlis perkahwinan Siti Zubaidah pada 17 Nov 13



Kapt Abdul Hafeez bin Abdullah Chek (TDM)

Abdul Hafeez bin  Abdullah Chek berasal dari KL adalah graduan dalam bidang Kejuruteraan dan ditauliahkan dalam Rejimen Askar Melayu DiRaja.  Hafeez atau nickname nya Jeffry Zain sedang mengikuti kursus di Kolej Tentera Darat (KTD) Port Dickson.  Dia lewat ditauliahkan, tidak bersama Afiq, Emma dan Zubaidah. Agak malang sikit semasa ditauliahkan dia terikat dengan dasar baru (PMAT) yang menetapkan semua graduan UPNM ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.


Pertama kali aku berpeluang bertemu dengan anak yang ini ialah pada 21 Feb 13 ketika menghadiri Seminar Pegawai-pegawai Kanan ATM di Wisma Transit.  Waktu itu dia sedang menunggu untuk terbang ke KK kerana Batalionnya terlibat dengan OPS DAULAT di Lahad Datu. TERLUPA AMBIK GAMBAR.

=

AYAH DOAKAN SEMOGA ANAK-ANAK AYAH AKAN BERJAYA (SUKSES) DALAM KERJAYA MASING-MASING DAN SENTIASA MENDAPAT KEBERKATAN ALLAH SWT

1 comment:

  1. Salam tuan.alhamdullilah tuan di pertemukan dengan graduan-graduan upnm yang baik dan tinggi budi pekerti. semoga tuan terus maju dan sukses insyallah.

    ReplyDelete

IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...