ALBUM KELUARGA
Sebahagian dari liku-liku kehidupanku bersama keluarga tidak tercatat dalam mana-mana blogpage dalam blog ini.
Secara keseluruhannya waktu aku untuk bergembira bersama keluarga amatlah sedikit. Walaupun 'entitlement' cuti seorang pegawai ATM agak banyak, iaitu 30 hari untuk Lt Muda hingga Kapt dan 42 hari untuk Mejar ke atas, namun sepanjang ingatanku, sejak aku berkhidmat dengan TUDM (mulai tahun 1981), rasanya belum pernah aku mengambil cuti lebih dari seminggu dalam satu-satu masa dan jumlah cuti dalam setahun tidak pernah melebihi 14 hari.
Aku akui, aku amat jarang sekali membawa keluargaku bercuti di luar kawasan atau negeri tempat aku bertugas (kecuali balik kampung- itu pun setahun 2-3 kali sahaja. Masa cutiku juga banyak dihabiskan dirumah sahaja, untuk berehat atau menyelesaikan perkara-perkara peribadi atau urusan keluarga.
Sepanjang ingatanku, semasa aku bertugas di Kuantan (1983-1986), aku hanya pernah bercuti bersama keluarga ke tempat lain (luar Kuantan) hanya sekali sahaja, iaitu mengikut keluarga jiranku di taman TAS (Kapt Mues dan Kak Nah) balik ke kampung mereka di Losong, Terengganu. Bukan aku tidak prihatin atau 'ignorance' dengan keluarga (untuk membawa berjalan), TAPI masa itu aku hanya berpangkat Leftenan Muda atau Leftenan sahaja, gaji sebulan hanya RM750. Baru kawin, baru nak dapat anak (setahun satu pulak tu), baru nak memulakan kehidupan sebagai satu keluarga. Mungkn ada yang tidak percaya, semasa di Kuantan, aku pernah kekeringan wang sehingga tiada lauk untuk di makan. Masa itu, baru masuk quarters, elaun rumah kena potong sekali gus. Nak pinjam duit orang lain, memang bukan prinsip hidup aku. Dua hari isteriku (Adibah) hanya masak bubur nasi, lauk ikan bilis goreng dan sambal kicap sahaja. Kami tidak pernah bercerita kepada sesiapa perkara ini. Siapa yang membaca blog ini, tahu lah.
Masa aku duduk di Shah Alam (1986-1993), 3 tahun pertama aku buzy dengan pengajianku di ITM, mana ada masa nak bawa keluarga berjalan. Duit gaji banyak digunakan untuk keperluan belajar. Anak-anak pun mula sekolah. Masa itu, dengan kereta Nissan Pulsar (yang dibeli di Kuantan), aku betul-betul cukup makan sahaja. Pernah berlaku, ekzos kereta aku patah, aku ikat sahaja dengan dawai sementara menunggu hujung bulan. Aku bersyukur kerana isteriku tidak banyak kerenah, meminta lebih dari yang kami ada, apa lagi meminta yang bukan-bukan untuk dirinya.
Semasa duduk di Shah Alam (selepas tamat ITM), aku bertugas di MPPU (1989-1991) dan DTU-Latih (1992-1993) seingat aku, hanya sekali sahaja aku bercuti bersama keluarga keluar jauh dari KL iaitu ke ke Langkawi (1992). Kalau picnic ke Port Dickson tu, adalah 2-3 kali.
Semasa tinggal di OMQ 4501 Lorong Golok, KEMENTAH (1993-2007) ada dua kali ke pantai Timur. Yang pertama (kami plan nak ke Langkawi, tapi bila sampai Kuala Kangsar, tukar fikiran masuk highway Timur-Barat arah ke Jeli. Bercuti di Kota Bharu dan K.Terengganu. Masa tu hujung tahun, musim tengkujuh, sepanjang jalan mengharungi hujan. Menumpang tidur di Mes pegawai Bukit Petri. Kami terkandas kerana hujan lebat berterusan selama 2 hari. Hampir-hampir sahaja terkandas oleh banjir di jambatan Kuala Besut. Rantau Abang, Chalet Awang. Atikah hampir ditarik ombak. Pengalaman ngeri. Malam chalet cuba dipanjat oleh pencuri.
Kali kedua ke pantai Timur ialah semasa menghantar anak-anak (Hafeez dan Fazeera) mengikuti kursus Bahasa Arab di Nilam Puri (2007)....lalu Raub, K.Lipis Gua Musang, hotel. demam. hujan lebat juga, ke Terengganu. Di Terengganu menginap di rumah Aminin.
Satu ketika, semasa balik untuk menghadiri perkahwinan Azyati (anak abang Long) di Kluang, aku mengambil kesempatan melancong ke Mersing. Dari KL kami berpusing melalui Kuantan-Pekan-Kuala Rompin-Endau dan Mersing. Kami menginap di hotel Seri Malaysia. Last baru ke Kluang untuk majlis perkahwinan. Di Kluang kami tak balik kampung kerana emak dan bapak ada di rumah Long. kami duduk di Prime City Hotel.
Aku bersama keluarga juga beberapa kali ke Kedah dan Perlis di awal tahun 2000 kerana dua orang anak aku bersekolah di sana; mula-mula di Sek Men Wawasan, Sungai Petani dan Sek Agama Nahdatul Hasanah, Melele, Jitra.
Tempat-tempat lain yang pernah aku lawati (menginap bersama keluarga) ialah Teluk Batik (Lumut), dan Cameron Highland. Amat sedikit sekali!.
Sebagai ringkasan dan rekod, di sini aku paparkan sebahagian dari gambar-gambar bersama keluargaku.
No comments:
Post a Comment