Tuesday, March 6, 2012

TAJUK 60: SELAMAT PAGI CIKGU



.

.
SELAMAT PAGI CIKGU

Di sini, aku menunggu kawan-kawan
kawan sama-sama sekolah
sama-sama belajar

sampai sekolah, kami... riang..... selalu
berjumpa guru
selamat pagi cikgu

sekolah, tempat aku menuntut ilmu
membaca menulis mengira
dengan panduan guru

marilah kita kawan, usaha selalu
hormati guru
selamat pagi cikgu

Lagu: Eddy Noor Ali

Lagu ini mempunyai nostalgia tersendiri dalam kehidupanku.  Mengingatkan aku kepada zaman di sekolah menengah (Sek Men Tunku Mahmood Iskandar) di awal tahun 70an.  Setiap tahun, pada 16 Mei, sekolah kami akan mengadakan sambutan hari guru.  Hari itu amat menyeronokkan kerana kami diberi kelepasan tidak payah masuk kelas kerana hari tersebut kami perlu menghiburkan guru-guru kami.  Maka setiap kelas akan mengadakan satu persembahan.  Bermacam-macam performance dibuat, ada nyanyian solo, ada nyanyian kumpulan, ada lawak jenaka, ada sajak dan ada ucapan penghargaan.

Aku ingat sangat, semasa di Tingkatan 1, kelas aku (1P1) membuat persembahan koir lagu Bahtera Merdeka, dan sebelum nyanyian dimulakan aku dan Rubai Hj Mansor (udak Parit Mahang) telah mempersembahkan satu sketsa (jenaka) di mana aku berlakun sebagai tailor.

Semasa di Tingkatan 2P1, kami mendapat seorang guru sementara Bahasa Inggeris bernama Miss Vasantha K.Nair.  Beliau mengajar kami pelbagai lagu Inggeris seperti Red River Valley, Black and White, Clementaine dan lain-lain.  Tapi yang nostalgik ialah kelas 2T1 yang ada seseorang penuntut perempuan yang aku minati (kira-kira admired la masa tuu...) mempersembahkan lagu ini (Selamat Pagi Cikgu).  Jadi sampai sekarang, bila mendengar lagu ini aku akan teringatkan Hari Guru semasa di sekolah- sekali gus teringatkan budak itu. Nama? ooooh RAHSIA sebab budak perempuan itu telah meninggal dunia semasa di Tingkatan 3 kerana sakit demam panas. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya.

Semasa di Tingkatan 3, aku membuat persembahan lakunan sebagai ketua platun tentera kerana masa itu aku mempunyai cita-cita untuk masuk RMC.

Lagu ini membuat aku terkenang semua guru-guruku semasa di sekolah dulu.  Dulu GURU merupakan individu yang amat disegani dan dihormati. Ada waktunya seseorang guru itu amat ditakuti kerana keGARANGannya. Masa itu guru boleh belasah anak murid dengan kayu pembaris sepanjang SATU ELA. Bayangkan. Tak ada yang berani mengadu kepada bapak (ada juga sorang dua). Tak ada murid yang bercita-cita membalas dendam untuk memancitkan motor (masa tu ramai cikgu naik Vespa) atau menggarit kereta cikgu dengan paku atau benda tajam.

Orang kampung pun amat hormat dengan cikgu.  Dalam satu kampung kalau ada cikgu sekolah agama dia akan pasti dilantik menjadi imam Masjid atau Surau.  Kalau guru sekolah rendah akan dipilih menjadi Ketua UMNO Cawangan. Masa tu (tahun 60an/70an) UMNO je parti politik yang menjadi sandaran orang Melayu. Ada segelintir sahaja penyokong PAS.

Semasa aku di sekolah rendah (SK Seri Rejo Sari) Guru Darjah (dulu kita panggil DARJAH bukan TAHUN) adalah Master of the Class. Dia mengajar semua subjek kecuali Agama Islam dan Bahasa Inggeris.  Dalam sekolah aku hanya ada dua orang sahaja Guru Agama dan dua orang Guru English.  

Kalau sekolah menengah kampung macam sekolah aku (STMI Parit Saidi) guru graduan memang spesis yang sukar ditemui. Guru Besar berijazah yang pertama di STMI hanya diperolehi pada tahun 1972 ketika aku dalam Tingkatan 1 iaitu Cikgu Rashidi bin Abd Rahman.Seorang lagi guru berijazah masa itu adalah Cikgu Zakiah Shuib (rasanya beliau datang lebih awal dari Cikgu Rashidi)

AKU MASIH INGAT SATU PERSATU NAMA GURU-GURUKU. Cuba lihat nama-nama guruku dari Darjah Satu hingga Darjah Enam:

  • Darjah Satu (1966)
    • Cikgu Jemaon bin Hj Nasir (Guru Darjah)
    • Ustaz Aswoto Hj Saion (Agama) - allahyarham
    • Cikgu Zainal Abidin bin Hassan (English) - dia adalah Guru Sementara- anak kepada Guru Besar SRS pada masa itu- Cikgu Hassan bin Mohd Siekh)
  • Darjah Dua (1967)
    • Cikgu Rahmat bin Kasidin (Guru Darjah)
    • Ustaz Shariff bin Omar (Agama)
    • Cikgu Ghazali bin Hassan (English)
  • Darjah Tiga (1968)
    • Ustaz Aswoto Hj Saion (Guru Darjah dan Guru Agama) - allahyarham
    • Cikgu Ghazali bin Hassan (English)
  • Darjah Empat (1969)
    • Cikgu Ahmad bin Hj Salleh (Guru Darjah)
    • Cikgu Shariff bin Omar (Agama)
    • Mr Thomas Joseph Huwiler (English dan Sains) - beliau adalah guru dari program Peace Corp iaitu program bantuan pendidikan oleh Amerika Sharikat)
  • Darjah Lima (1970)
    • Cikgu Mahyun bin Mohd Yusof (Guru Darjah) - allahyarham
    • Cikgu Shariff bin Hj Omar (Agama)
    • Cikgu Mohd Amin bin Ismail (English)
  • Darjah Enam (1971)
    • Cikgu Redzo bin Hj Sidek (Guru Darjah) - mula-mula Cikgu Khamis bin Hj Sujak (allahyarham) sebelum dipindahkan ke kelas sebelah.
    • Cikgu Shariff bin Hj Omar (Agama)
    • Cikgu Yee Kong Heng (English)


Bila ke Sekolah Menengah Tunku Mahmood Iskandar (STMI), Parit Saidi 
, budaya dan akedah pengajaran turut berubah. Dapat ramai kawan-kawan baru dari beberapa sekolah rendah yang berhampiran.  Antara SRK yang menjadi pelanggan kepada STMI ialah:

  • SRK Seri Rejo Sari (sekolah aku)
  • SRK Parit Kadir
  • SRK Parit Kemang
  • SRK Seri Perpat
  • SRK Seri Timbul
  • SRK Seri Kemajuan
  • SRK Seri Pulih
  • SRK Kampung Baharu


Guru pulak, satu subjek satu guru. Paling banyak seorang guru hanya mengambil dua subjek sahaja. Masa itu (biasa la kannn) ada cikgu yang aku suka dan ada yang aku tak berapa suka (benci tu tak de laaaa).  Yang jadi tak suka bukan sebab garang tetapi cara mengajar yang membosankan:

Nama-nama guruku semasa di STMI ialah:

  • Tingkatan 1 (1972)
    • Cikgu Mohamad bin Sanip (Guru Kelas dan Seni Perusahaan dan Seni Lukis)
    • Cikgu Aishah Taib (B.Malaysia dan Sejarah)
    • Cikgu Fahariah bt Hamzah (P/Islam)
    • Cikgu Habibah bt Khasan (Ilmu Hisab Moden)
    • Cikgu Teh Et Tang (B.Inggeris)
    • Cikgu Amar bin Habib (Ilmu Alam)
    • Cikgu Abd Kadir bin Maidin (Sains)
  • Tingkatan Dua (1973)
    • Cikgu Saim bin Selamat (Guru Kelas dan B. Malaysia) - almarhum
    • Cikgu Mohamad bin Sanip (Seni Perusahaan)
    • Cikgu Kadir bin Maidin (Sains)
    • Cikgu Habibah Khasan (Hisab Moden)
    • Cikgu Zakiah Shuib (Ilmu Alam)
    • Cikgu Raja Abas bin Mohd Noor (Sejarah) - almarhum
    • Cikgu Hamzah Hj Selak (Seni Lukis)
    • Mr Johuson Gomez (English)
    • Miss Vashanta K. Nair (English) - sementara - 3 bulan
  • Tingkatan Tiga (1974)- SRP
    • Cikgu Zauliah Ramli (Guru Kelas dan Sains)
    • Cikgu Saim bin Selamat (Ilmu Alam) - almarhum
    • Cikgu Rashidi bin Mohd Noor (B. Malaysia)
    • Cikgu Uiop bin Kasim (Sejarah)
    • Ustaz Sulaiman bin Abdullah (P/Islam)
    • Cikgu Ahmad Dariri bin Kasim (Seni Perusahaan) - almarhum
    • Cikgu Hamzah Selak (Seni Lukis)
    • Cikgu Zainal bin Kamsul (B.Inggeris)
  • Tingkatan Empat (1975)
    • Cikgu Uiop bin Kasim (Guru Kelas, Bahasa Inggeris dan Sejarah)
    • Cikgu Raja Abas bin Mohd Noor (B.Malaysia) - almarhum
    • Cikgu Asmawi bin Asmuni (B.Malaysia)
    • Cikgu Zakiah bt Shuib (Sastera)
    • Ustaz Sulaiman bin Abdullah (P/Islam)
    • Cikgu Osman bin Kosmin (Ilmu Alam)
    • Cikgu Hamzah Hj Selak (Senilukis)
    • Cikgu Zauliah Ramli (Sains dan Hisab Moden)
    • Cikgu Mohd Yasin bin Kamari (Sivik) - almarhum (kemudiannya bergiat dalam politik dan semasa meninggal dunia menjawat sebagai Timbalan Menteri Kehakiman)
  • Tingkatan Lima (1976) - SPM
    • Cikgu Uiop bin Kasim (Guru Kelas dan Guru Sejarah)
    • Cikgu Rashidi Abd Rahman (B/Malaysia dan Sivik) Guru Besar
    • Ustaz Sulaiman Abdullah (P/Islam)
    • Mr Johuson Gomez (English)
    • Cikgu Zauliah Ramli (Hisab Moden)
    • Cikgu Abu Hasan Mazli bin Abdul Karim (Sains) - almarhum
    • Cikgu Rubiah Badri (Ilmu Alam)
    • Cikgu Hamzah Hj Selak (Senilukis)
    • Cikgu Selamat Hj Mansor (Sastera Melayu)

Semoga Allah merahmati guru-guruku dan memberkati hidup mereka dunia dan akhirat. Untuk yang bukan beragama Islam, didoakan agar dapat menerima hidayah Allah untuk memeluk dan mengamalkan Islam.

Cikgu,

ampunkanlah doasa ku jika semasa menjadi muridmu aku ada menyakiti atau menyinggung hati dan perasaanmu.

Cerita mengenai guru yang bertugas di pendalaman:

.

.



 Guru oh Guru 

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah Negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu


Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang, 1971
.




No comments:

Post a Comment

IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...