Monday, May 28, 2012

TAJUK 71: BALIK KAMPUNG 26MEI2012

BALIK KAMPUNG
RUMAH BAPAK BERWAJAH BARU


Aku mengambil cuti tahunan selama dua hari sahaja pada 28 dan 29 Mei 2012.  Rancangan awalnya nak ajak anak-anak berjalan-jalan sambil balik kampung. Tapi hasrat terbengkalai kerana masing-masing anak dah ada plan sendiri.  Hafeez balik Ipoh untuk mengambil isterinya. Aisyah ada jemputan perkahwinan kawan dia pada Ahad.  Heikal ada janji dengan rakan dia menghadiri Bantu Palestin.  Atikah dah kerja hari Isnin, dan Nurul pulak Isnin sampai Khamis ada tusyen di sekolah. Hampeh.

Pusing sana pusing sini, balik kampung tetap balik. Satu malam pun jadi. Itu yang wajib. Cuma Atikah dan Nurul sahaja yang ikut.  Yang lain akan balik minggu depan dengan Hafeez.  Elok juga tu, boleh balik sendiri.  Yang penting mereka tau mana asal-usul mereka.

Perjalanan Pulang - Pokan Tampin

Pada hari Sabtu, 26 Mei 2012 kami berempat bertolak dari rumah lebih kurang jam 1030.  Macam biasa hiway dari KL ke Seremban agak sesak, especially selepas Bangi.  Menyesal juga kerana tak ambik highway LEKAS tadi.  Selepas Seremban, perjalanan mula normal, tapi kereta memang agak banyak. Agaknya ramai yang balik kampung sempena cuti sekolah ni la kot.  Tapi, perjalanan selepas Senawang hingga ke Ayer Hitam sememangnya amat membosankan.

Dalam jam 1300 kami baru sampai exit Simpang Ampat, Alor Gajah.  Aku mengambil keputusan untuk lunch di pekan Tampin. Aku teringat pada 15 Dis 2011 aku datang ke sini kerana dijemput memberi syarahan AFNG di Seminar Pegawai Wanita di A Famosa Resort. Hari tersebut aku sampai awal dan makan tengahari di Restoran Sambal di pekan Tampin. Lauknya semua jenis podeh (pedas). Salah satu hidangan (minuman) spesel di restoran tersebut, iaitu 'air janda pulang'.  


Air Janda Pulang

Tapi, ramuan air yang aku minum di Restoran Sambal adalah berbeza dengan gambar yang aku jumpa dalam internet- kalau berdasarkan resepi yang aku jumpa ia adalah aduan air kelapa bersama isi kelapa muda, gula enau + gula putih dan daun pandan.  Kesemuannya dimasak hingga pekat.  Kemdian dituang dalam juga sehingga sejuk dan dibubuh ais.  Tapi apa yang ada di restoran ini dicampur dengan santan.

Di sini juga aku menunjukkan kepada isteri dan anak-anaku keunikan Tampin. Sempadan negeri Melaka/Negeri Sembilan terletak di tengah bandar ini.  Sebelah Melaka ialah pekan Pulau Sebang dan di Negeri Sembilan ialah Tampin.  Kalau berjalan-jalan di bandar ibni tanpa ada papan tanda ini sukar untuk menentukan kita sedang memijak tanah NS atau Melaka.


Papan tanda sempadan negeri Melaka/NS

Restoran Sambal di Jalan Besar Pulau Sebang

Selepas makan aku mengambil keputusan untuk tidak kembali ke hiway tetapi mencuba susana baru, melalui jalan yang aku belum pernah melaluinya seumur hidupku. Ia itu jalan dari Tampin ke arah Batu Pahat melalui pekan Gemas - Batu Anam - Segamat - Labis - Chaah - Yong Peng dan Ayer Hitam.

Pokan Gomeh

Gemas merupakan pekan yang terletak di sempadan negeri NS dan Johor.  Sebahagian besar kawasan Gemas terletak di dalam NS.  Di sebelah Johor dinamakan Gemas Baharu.  Melalui pekan Gemas, aku teringat bekas boss aku di MOF (En Abd Ghaffar A. Tambi- sekarang Datuk- TKSU di MOTOUR) yang pernah berkhidmat sebagai ADO Gemas di awal dekad 2000.

Gemas, masih kelihatan sebagai pekan lama.  Mungkin akan lebih cepat maju dengan wujudnya sebuah Kem TD yang agak besar iaitu Kem Syed Sirajuddin. Pembangunan di sebelah negeri Johor kelihatan lebih rancak dengan kewujudan taman-taman perumahan baru.



pekan Gemas (di bahagian Negeri Sembilan)

Dari segi sejarah, Gemas menjadi titik pertemuan penting laluan Keretaapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menghubungkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung. Stesennya dibina sejak 1922 masih beroperasi hingga sekarang dan itu cuma sebahagian daripada seribu kenangan dan sejarah negara.   Kedudukannya bersempadan dengan Johor dan Pahang dianggap strategik, malah ada yang menggelarnya Segi Tiga Emas.   Bukan setakat Segi Tiga Emas, bandar kecil ini juga sebenarnya mendapat nama sempena sejenis logam kuning yang mahal harganya iaitu emas.   

Ada yang mengatakan nama Gemas bermula apabila orang Inggeris berhujah dengan orang tempatan mengenai nama logam. Orang Inggeris menamakan `gold´ tetapi penduduk mengatakan ia ´omeh´ dan gabungan kedua-duanya menjadi Gomeh sebelum ejaannya dimuktamadkan sebagai Gemas.   Penduduk tempatan mengatakan ia sebenarnya dinamakan sempena penemuan tempat lombong emas di sebuah gua yang mereka namakan ´Gomeh´ (gua emas). Apa pun ia sebenarnya berkaitan dengan penemuan logam emas.   Kedua-duanya saling berkaitan dan mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa gua emas itu memang wujud, cuma ia sebenarnya adalah bekas tapak lombong emas di sebuah bukit. Teori awal yang mengaitkan perdebatan mengenai emas itu memang logik kerana diakui, pelombong asalnya ialah orang Inggeris yang bekerjasama dengan penduduk tempatan.


menyeberangi Sungai Gemas dan nampak mercu tanda masuk ke negeriku, Johor

papan tanda Selamat datang ke Negeri Johor

Jalan utama dari Gemas ke arah Segamat kurang elok, tak menepati jalan persekutuan. Banyak kerosakan dan bertampal di sepanjang perjalanan.  Sama ada kualiti pembinaan atau pun masalah tanah dan cuaca.  Kami berhenti rehat dan bersolat jamak  Zohor/Asar di Masjid Syed Alwee di Batu Anam.  Aku sempat ambil gambar masjid ini.



Selepas bersolat di Masjid Batu Anam, aku dapat sms dari salah seorang kenalan yang bertanyakan sama ada aku balik kampung atau tidak kerana hari itu ada majlis perkahwinan anak salah seorang saudara aku di kampung, Hj Maulan Asmuni.  Aku jawab, sekarang on the way balik ke BP tapi bukan untuk majlis tersebut kerana aku tak dapat berita pun tentang majlis itu.  Lagi pun masa itu dah dekat jam 3pm.  Paling cepat pun aku sampai kampung jam 6pm.  Biasanya majlis kenduri kawin tamat paling lewat jam 5pm.  Dari Batu Anam aku melalui jalan bandar Segamat, Labis, Chaah, Yong Peng dan Ayer Hitam.

Sampai sahaja di kampung lebih kurang jam 1830.  Emak suruh pergi juga ke rumah Hj Maulan sebab beliau kira saudara dekat juga dengan kami. Emak cakap, kalau nak pergi majlis kawin tu masih sempat sebab di kampung ni orang tak kesah sangat, walaupun jemputan dalam kad sampai jam 4pm sahaja,  kalau datang malam pun orang terima. Tapi tak kan nak datang malam, itu dah kira mengacau namanya. Kesianlah tuan rumah dah penat sepanjang hari.

Lepas bersalaman dengan kedua orang tua aku, aku terus bergegas ke rumah Hj Maulan. Cara kampung, walau pun masa jemputan sehingga jam 4 petang, namun sampai jam 6.30 petang pun masih dibuka lagi. Walaupun di hujung petang, langkahku masih kanan lagi, makanan masih banyak. Beriani gam masakan chef kampung aku. Orang Sarawak kata 'nyaman gilak' (sedap sangat). Hj Maulan adalah pesara guru agama di kampungku. Beliau dulu amat aktif dalam politik di kawasan Parlimen Seri Gading.  Kini (2012) bertugas sebagai Pegawai Khas Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) di Kaherah bagi menjaga hal ehwal kebajikan pelajar Johor dai Masir.

KALI terakhir aku balik kampung sebelum ini ialah pada 16 Mac 2012 untuk menyelesaikan pembayaran cukai tanah Simpang Rengam di Pejabat Tanah Rengit.  Masa itu, aku sempat menziarah Lek Birin (Sabirin) sepupu bapak aku (tinggal di Parit Mahang) yang sakit kerana terjatuh di bilik air dan terus hilang ingatan.  Kena angin ahmar agaknya.   

Kepulanganku kali ini menerima berita bahawa Lek Birin telah meninggal dunia pada 17 April 2012. Lebih kurang 40 hari selepas ia terjatuh dan sakit. Aku juga dimaklumkan bahawa Lek Modhan (Hj Sarmodan), penghuni rumah paling 'darat' dikampungku juga telah meninggal dunia lebih kurang dua minggu yang lalu. Inna lillahi wa inna ilaihi rojiunn. Lek Birin sangat baik hati dan lemah lembut.  Sehingga beliau meninggal dunia (usia lebih 70 tahun), beliau masih belum berumah tangga. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh kedua almarhum.

Kebetulan kali ini, musim durian baru sahaja bermula.  Buang buruk kata orang. Sepanjang tempoh di kampung hanya sebiji sahaja yang boleh di makan,  Itu pun setelah ditebuk tupai satu pangsa. Alhamdulillah dapatla jugak la rasa sebiji. 

Bapak aku sendiri yang telah hampir 3 tahun telah hampir kehilangan ingatan kelihatan stabil (sihat).  Perbualan kami agak terhad kerana bapak sudah tidak dapat mengingat apa sahaja peristiwa yang lepas.  Nama anak dan cucu pun dia lupa.  Tapi ROKOK dia tak pernah lupa.  Tapi kotak rokok emak yang simpan dan jumlah hisapan juga emak yang control.  Bila dia minta baru emak bagi sebatang.  Kalau bagi sekotak nanti dia letak mana-mana dia akan lupa.  Bapak kini berusia 85 tahun merupakan penduduk yang tertua di kampung aku.

Yang paling terkini mengenai kepulanganku ke kampung ialah rumah bapak ku telah berubah wajah.  Aku difahamkan Yah yang bermodal untuk membuat renovasi rumah itu kerana dia yang mendapat pusaka tanah tapak rumah itu dan dimaklumkan akan menetap di kampung  kelak.  Dengarnya untuk membuat ubahsuai dapur dan yang terkini dah habis dekat RM120k.  Bila tenguk rumah kampung pun kena belanja sebanyak ini, aku mula terbayang berapa pula aku perlukan untuk buat renovasi rumah aku di Seremban nanti!.

      

INI ADALAH REKABENTUK RUMAH YANG LAMA

Hujung tahun 70an hingga pertengahan tahun 80an
pertengahan tahun 80an hingga pertengahan tahun 90an
pertengahan tahun 90an hingga 2012

GAMBAR-GAMBAR RUMAH SEMASA SYAWAL 1433








.

No comments:

Post a Comment

IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...